"Apabila diri diuji, hadapilah ia dengan hati yang tenang.. ".. 
Ungkapan yang begitu senang diucap, namun amat sukar untuk di laksanakan.. lebih lebih lagi sekiranya terkena pada diri sendiri.. Kekadang terfikir, semakin diri ingin menjadi seorang yang baik, semakin kuat juga diri tertarik kepada keburukan... Semakin diri ingin dekat kepadaNya, semakin kuat diri diuji..

Doa yang tidak pernah putus, semoga Allah sentiasa mendorong diri ummi ini ke arah kebaikan, dan melindungi diriku, suamiku, anak-anakku, dari segala bala dan bencana.. Jauhilah kami juga dari segala kemaksiatan dan kejahatan. Jadikanlah setiap ujian yang Engkau berikan kepada kami, adalah sebagai salah satu tarbiyah untuk mendekatkan lagi diri kepadaMu..dan ..Bantulah kami Ya Allah.. Jauhilah kami dari azab api neraka.. Ameen Ya Allah, Ameen Ya Rahman.. Ameen Ya Rahim..


Sumber artikel : Genta Rasa

Setiap masalah yang hendak diselesaikan mestilah difokuskan kepada real problem (masalah sebenar) bukan kepada presenting problem (masalah yang zahir). Apabila kita menumpukan kepada real problem ertinya kita sedang berdepan dengan punca masalah yang lebih bersifat dalaman dan ini memaksa kita menyelami soal hati dan perasaan manusia.

Manakala jika kita hanya berlegar-legar di sekitar presenting problem kita hanya terapung di permukaan yakni berdepan dengan akibat sesuatu masalah. Cara kedua ini tidak akan menyelesaikan sesuatu masalah secara tuntas. Mungkin kita berjaya seketika mengubat akibatnya tetapi masalah itu akan berulang lagi kerana punca sebenarnya tidak diatasi. Hendaklah difahami benar-benar maksud saya ini.

Jika kita ingin menyelesaikan sesuatu masalah, terutamanya yang melibatkan soal perhubungan (komunikasi dan interaksi) dengan orang lain kita hendaklah fokuskan langkah-langkah penyelesaiannya kepada ‘lingkungan pengaruh’ kita bukan ‘lingkungan kebimbangan’ kita. Maksud saya, hendaklah kita bertindak pada batas dan keupayaan diri kita sendiri bukan di luar batasan itu.

Hakikatnya, kita hanya mampu mengawal cara berfikir, pertimbangan, keputusan dan tindakan diri kita sendiri bukan fikiran, pertimbangan, keputusan dan tindakan orang lain. Kejayaan mengubah manusia lain bermula dengan kejayaan mengubah diri kita sendiri. Jangan marah kalau orang lain tidak berubah seperti mana kita kehendaki kalau diri kita sendiri juga tidak berubah mengikut apa yang kita kehendaki.

Tegasnya, lihatlah apa yang anda boleh lakukan pada diri sendiri terlebih dahulu untuk menyelesaikan masalah ini kemudian dengan sendirinya pengaruh kita untuk mengubah orang lain akan meningkat.

Untuk berjaya dalam perhubungan sesama manusia kita hendak memahami orang lain terlebih dahulu, barulah orang lain akan memahami kita. ‘First seek to understand than to be understood’ – pertama carilah jalan untuk memahami kemudian barulah kita difahami. Inilah adalah prinsip dalam mana-mana perhubungan. Jika prinsip ini dilanggar, krisis dalam perhubungan akan berlaku. Maksudnya, kita mestilah terlebih dahulu menjadi ‘telinga’ daripada menjadi ‘mulut’.

Dengar, fahami, hayati, simpati dan kalau boleh empati terhadap apa yang selalu diperkatakan oleh orang lain. Jangan terlalu gopoh hendak menyuarakan isi hati, pandangan dan idea kita… nanti kita tidak akan difahami. Tetapi bersabarlah, dengar dahulu apa yang hendak disampaikan oleh orang lain samada yang disuarakan dalam bentuk lisan atau perbuatan. Tidak semestinya mereka benar… tetapi fahamilah kenapa dan mengapa mereka berpendirian begitu.

Jika mereka yang benar, ini adalah peluang kita untuk mengakui kesalahan dan mula membaiki diri sendiri. Oh, rupanya aku yang menjadi punca masalah. Sebaliknya jika tidak, kita mempunyai peluang untuk menyuarakan ‘kebenaran’ kita dengan lebih tenang, matang dan diterima setelah sekian lama anda sabar mendengar. Ingatlah, ‘what you give, you get back’ – kita akan mendapat semula apa yang kita berikan.
Jika kita sanggup sekian lama mendengar pandangan orang lain, pasti cepat atau lambat pintu hati orang lain akan terbuka untuk mendengar pandangan kita. Ah, selama ini dia begitu sabar mendengar segala pandanganku apa salahnya kalau sekarang aku pula mendengar pandangannya, begitulah nanti suara hati mereka terhadap kita. Ingat, mengamalkan prinsip ini tidak akan merugikan kita, kata orang ‘tidak kalah dengan mengalah’ sebab kuasa mendengar lebih kuat dari kuasa bercakap. Mungkin kerana itu agaknya Allah kurniakan kita dua telinga berbanding satu mulut!

Kemudian, lihat masalah dengan peluang mendapat didikan di sebaliknya. Masalah hakikat adalah agenda pembelajaran dan pendidikan yang datang ‘direct’ daripada Allah untuk membangunkan diri kita. Manusia berkembang dan berkemajuan dengan melangkah anak tangga masalah demi masalah dalam hidupnya. Ini ‘syllbuss’ pelajaran yang anda tidak boleh mengelakkan diri.

Jika dicuba juga… kita akan menghadapi ‘sylbuss’ yang sama melalui peristiwa, manusia dan situasi yang lain. Ingat, masalah ialah anak tangga kehidupan. Jika anda merungut, kenapa aku terpaksa melaluinya, anda akan terus melekat di anak tangga itu. Jika kita cuba melompat, kita akan jatuh tersembam. Kata orang, jangan berlari ketika menaiki tangga.

Jadi, selalu sematkan di hati, bahawa orang-orang yang berjaya dalam hidup sebenarnya telah melalui agenda demi agenda yang sarat dengan dalam episod kehidupan mereka. Malangnya, kita selalu melihat apabila mereka telah sampai ke puncak tetapi ketika mereka mendaki di lurah atau tersembam ke lembah… tidak ada siapa yang tahu, apalagi ingin belajar darinya.

Dan ingatlah, ini semua hakikatnya daripada Allah jua. Cuma ia didatangkan melalui perlakuan dan sikap manusia. Sebagai hamba, kita perlu menerimanya… Ini akan memberikan satu kekuatan dalam diri kita. Yakinlah, Allah mendatangkan ujian yang setimpal dengan keupayaan kita. Malangnya, manusia selalu memandang rendah terhadap keupayaannya sendiri.

Sedangkan hakikatnya, pakar-pakar psikologi, motivasi dan pendidikan sepakat mengatakan bahawa manusia lebih kuat daripada apa yang mereka sendiri jangkakan. Cabarannya ialah kebanyakan manusia tidak tahu bagaimana menggunakan sepenuhnya potensi akal, hati dan perasaan mereka untuk mengatasi masalah-masalah seterusnya berjaya dalam hidup.

Ya, “we can’t direct the wind, but we can adjust our sails” – kita tidak dapat mengawal arah haluan angin, tetapi kita mampu mengawal kemudi pelayaran kita. Baiklah, cuba amalkan semua prinsip-prinsip di atas dalam menghadapi masalah kita. Sengaja saya luaskan horizon pemikiran dan ruang jiwa dengan beberapa prinsip penyelesaian masalah supaya kita sama-sama berfikiran dan berjiwa besar dalam menghadapi kehidupan.

Walaupun langkah ini kekadang dilihat lebih bercorak falsafah berbanding aplikasi, tetapi percayalah ia akan menolong anda untuk menghadapi hidup inii secara lebih pro-aktif. Tips-tips ‘direct’ untuk menyelesaikan masalah (seperti yang selalu diberikan) tidak akan dapat dimanfaatkan sepenuhnya jika soal hati dan pemikiran masih sempit dan tertekan. Sebaliknya, jika hati telah tenang, fikiran telah lapang, kita akan jadi lebih kuat, kreatif dan sabar untuk menyelesaikan masalah. Malah, ada kalanya masalah belum pun diselesaikan… tetapi kita rasa seolah-olah telah selesai justeru tekanan dan himpitan masalah itu sudah kurang impaknya akibat jiwa dan fikiran kita yang telah dibangunkan. Benarnya kata pepatah, cita-cita besar akan mengecilkan masalah.

Gunakanlah prinsip ‘ujian dalah satu didikan Tuhan’. Tuhan sedang mendidik manusia melalui manusia. Hakikatnya hidup adalah sebuah sekolah dan orang yang menjadi punca ujian kita adalah guru kita. Ada maksud tersirat yang perlu kita pelajari daripadanya. Hadapilah ujian ini dengan mencari maksud di sebalik takdir Allah ini.

Jangan mengeluh, kenapa manusia lain jadi begitu, begini … itu selamanya akan melekatkan kaki kita pada anak tangga ujian itu. Jangan memberontak, kerana kita tidak dapat mengubah realiti… dan kita terjun dari anak tangga yang anda berada sekarang. Jalan sebaik-baik, terimalah seadanya. Aku tidak akan menunggu hingga semua manusia jadi baik barulah aku menjadi baik. Yang penting aku cuba jadi yang manusia yang baik.

Ingatlah, tangan yang menghulur bunga mawar, akan lebih dahulu harum baunya. Jika kita menghulur kebaikan, kebaikan itu akan pulang semula kepada kita. Walaupun mungkin kebaikan kita tidak akan mengubah orang lain yang tetap bersikap negatif terhadap kita, namun kebaikan itu sebenarnya telah pun menggembirakan, menenangkan diri kita sendiri.

Kita telah menghapuskan dendam, iri hati, marah yang bersarang dalam jiwa kita. Kemaafan akan membuahkan kebaikan… Manakala kebencian akan membuahkan kejahatan. Belajarlah menyayangi, nescaya kita akan semakin jahil tentang kebencian dan permusuhan. Dan inilah maksud didikan Allah ketika menjadikan manusia ujud secara bersama (co-existence) di atas dunia ini. Mungkin hikmahnya, agar manusia belajar sesama manusia untuk merasa kesan didikan-Nya!

Kalau ditanyakan kepada orang tua, bilakah masanya dalam takah kehidupan ini mereka rasakan terlalu banyak melakukan kesalahan dan kesilapan? Nescaya mereka menjawab, “semasa kami masih muda.” Ya, bila seorang tua menoleh ke belakang, terasa begitu banyak perkara yang sepatutnya dibuat semasa muda, tidak dibuat. Sebaliknya banyak pula perkara yang tidak sepatut dibuat, telah dibuat.
Sayangnya, kebanyakan orang muda tidak menyedari hakikat ini sehinggalah mereka  sendiri meningkat tua. Lalu atas kealpaan itu mereka akan mengulangi kesalahan yang pernah dilakukan oleh bapa, datuk dan moyang mereka pada zaman mudanya. Pendek kata, ramai manusia lambat belajar di ‘universiti kehidupan’ ini. ‘Kurikulum’ pelajaran yang sepatutnya telah difahami di peringkat muda baru difahaminya hanya apabila kita meningkat tua.
Alam adalah sebuah ‘universiti’ yang luas dan besar. Setiap manusia adalah para pelajarnya. Dan manusia terpaksa belajar berterusan. Hidup adalah satu siri pelajaran yang tersusun rapi untuk difahami dan dihayati sepanjang hayat. Mungkin ini juga termasuk dalam maksud “tuntutlah ilmu dari buaian hingga ke liang lahad.”
Jika difahami, pelajaran-pelajaran ini akan memberi panduan dan suluh kehidupan untuk hidup yang lebih tenang dan bahagia. Tetapi sekiranya pelajaran ini gagal difahami, maka hidup akan huru-hara dan kita akan selalu menghadapi keadaan yang tidak menentu.
Kurikulum pelajaran ini pula tersusun mengikut tahap usia dan tempoh kedewasaan seseorang. Justeru, di peringkat muda ada ‘pelajaran-pelajaran’ tertentu yang perlu difahami benar-benar sebelum menghadapi usia dewasa yang jauh lebih mencabar. Apakah ‘pelajaran-pelajaran’ itu dan apakah cara sebaik-baiknya mempelajarinya?
Itulah salah satu persoalan penting yang mesti dijawab oleh setiap kita. Jangan sampai pelajaran yang sepatutnya ‘selesai’ pada usia muda terpaksa dibawa ke peringkat tua. Kalau begitu keadaannya maka rugilah. Samalah seperti pelajar universiti yang terpaksa ‘refer’  atau ‘repeat’ akibat gagal dalam peperiksaan semester atau tahunan mereka.
Para remaja adalah kelompok manusia yang sedang melalui satu proses transisi. Mereka telah meninggalkan alam kanak-kanak tetapi belum mencapai alam dewasa. Tahap transisi ini tidak stabil. Umpama air (cecair) yang hendak bertukar menjadi wap (gas), maka molekul-molekulnya terlebih dahulu bergerak dengan cepat dan tidak menentu.
Keadaan itu samalah dengan remaja, pada tahap itu jiwa, akal, nafsu, emosi dan lain-lain elemen-elemen dalaman mereka sedang bergolak. Takah usia ini paling tidak stabil – tercari-cari identiti diri, krisis pemikiran, ingin mencuba, perubahan biologi dan macam-macam lagi.
Dan di tahap ini juga para remaja akan menemui pelbagai situasi dan kondisi – suka dan duka, kejayaan dan kegagalan, permusuhan dan kasih-sayang, sempadan dan teladan. Muncul pelbagai individu dalam hidup mereka dengan pelbagai kelakuan dan sikap. Terjadi bermacam-macam peristiwa dengan membawa pelbagai kesan.
Sesungguhnya semua itu tidak berlaku sia-sia melainkan ada ‘pelajaran’ yang dibawanya untuk difahami dan dihayati. Para remaja (malah orang tua sekalipun) mesti dapat membaca ‘mesej’ yang dibawa oleh setiap peristiwa, individu dan keadaan yang berlaku ke atas kita. Jika tidak, kita terpaksa mengulangi pelajaran itu berkali-kali.

Sebab itulah dalam pengalaman kita, sering  kita temui orang tertentu yang sentiasa berdepan dengan masalah yang sama. Abu misalnya, akan sentiasa ‘pokai’ setiap pertengahan bulan dan sentiasa merungut duitnya tidak cukup. Minah, sudah lima kali ditinggalkan kekasih dan mengeluh tidak ada lelaki yang benar-benar memahami perasaannya.  Joe pula, telah tujuh kali jatuh motor dan marah-marah tentang nasib malang yang sedang menimpanya.

Anehnya mengapa Mat tidak mengalami masalah ‘pokai’ seperti yang selalui dialami Abu. Bedah tidak seperti Minah, dia telah pun bertunang dengan lelaki yang pertama dikenalinya? Manakala Samad, cuma sekali sahaja jatuh motor dalam hidupnya dan sekarang sedang selesa memandu Perodua yang baru dibelinya… Apakah yang menyebabkan keadaan atau nasib mereka berbeza?

Bezanya ialah ada diantara para kita yang cepat belajar dengan hidup sebaliknya ada di antara mereka yang tidak pernah atau lambat belajar. Yang belajar, akan ‘naik kelas’ dan layak untuk mengambil mata pelajaran baru yang lebih tingkat dan martabatnya. Yang tidak belajar, terpaksa mengambil mata pelajaran yang sama berkali-kali.

Abu, contoh kita tadi, tidak pernah belajar bagaimana mengurangkan perbelanjaan berbanding pendapatan… dan dia akan mengalami masalah yang sama walaupun kiranya nanti ia menjawat jawatan yang tinggi dan bergaji besar. Manakala Minah, tidak cuba mengenali kelemahan dirinya sendiri sebagai seorang wanita justeru dia sering menemui lelaki yang tidak sepatutnya dia temui.

Jadi langkah pertama supaya kita ‘lulus’ dalam pelajaran hidup ialah  kita perlu akur bahawa setiap yang berlaku di dalam kehidupan ada unsur pengajaran dan didikan buat kita. Setiap peristiwa, pahit atau manis, setiap individu, baik atau buruk – hakikatnya adalah ‘guru’ yang mengajar kita. Dan setiap guru itu mengajar sesuatu yang baik, walaupun kadangkala kelihatan pahit, pedih dan sakit kita menerimanya.

Untuk itu, apabila ditimpa sesuatu musibah atau menerima sesuatu nikmat, hendaklah ditanyakan pada diri sendiri, “apakah pelajaran yang di sebalik semua ini?” Pandanglah semua yang berlaku ke atas kita ada tujuan yang tertentu, maka barulah hidup kita sentiasa bertujuan. Kata ahli-ahli sufi, setiap yang berlaku dalam hidup ialah ‘mehnah’ – maksudnya didikan terus dari Allah.

Mereka berpendapat bahawa apa sahaja yang berlaku dalam hidup adalah ujian dan ujian itu hakikatnya adalah didikan terus daripada Allah. Ahli sufi menambah lagi bahawa jika manusia tidak mampu dididik melalui didikan terus dari Allah (mehnah) maka manusia tersebut tidak akan dapat dididik lagi oleh sesiapaun. Inilah yang ditegaskan oleh Ibnu Attoillah, seorang sufi yang terkenal dalam buku-buku karangannya.

Jika seorang datang membuat kita marah, maka dia adalah ‘guru’ yang hendak mengajar kita erti sabar. Jika kita selalu ‘kesempitan’ wang maka itu tandanya kita harus bersedia belajar erti berjimat cermat. Jika kita rasa kita sedang dikecewakan, itu menunjukkan kita sedang belajar untuk membina sikap tidak terlalu mengharap.

Begitulah seterusnya dalam apa jua situasi dan masa, kita hakikatnya sedang belajar dan dididik. Memang pada lahirnya, manusia, peristiwa dan kejadian yang sedang bertindak ke atas kita tetapi sedarilah hakikatnya semua itu adalah datang dari Allah. Semuanya berlaku dengan izin Allah, yang dengan itu DIA hendak mendidik kita. Maka terimalah didikan itu dengan baik kerana tujuanNya mendidik pun pasti baik.

Apakah sebenarnya yang menjadi ‘tujuan’ di sebalik ‘pelajaran-pelajaran’ yang datang  dan pergi dalam hidup kita? Tujuan utama pelajaran dalam hidup ini adalah untuk mengubah kita ke arah yang lebih. Perubahan tidak dapat dielakkan justeru   hidup ini sendiri adalah satu proses perubahan yang berterusan.

Sudah menjadi sunatullah (peraturan Allah) yang tidak berubah dalam hidup ini adalah perubahan itu sendiri. Perubahan sentiasa berlaku dan ia diluar kawalan manusia. Kita akan kalah jika kita tidak berubah. Jadi, berubahlah mengikut haluan dan kawalan kita sendiri. Jika tidak, kita juga terpaksa berbuah, mengikut kawalan orang lain atau keadaan sekeliling.

Manusia umpama nakhoda yang belayar di lautan. Sebagai nakhoda kita punya arah dan destinasi tersendiri. Tetapi tiupan angin, pukulan gelombang dan cuaca tidak selalunya menyebelahi kita. Kekadang arah pelayaran kita ke utara tetapi angin bertiup ke selatan. Kita akan tersasar dari destinasi jika menurut sahaja tiupan angin.

Sebaliknya kita akan patah, jika  terus berkeras menentang tiupannya. Jadi, apakah kita menjadi ‘Pak Turut’ yang terpesong tanpa prinsip dan haluan? Atau bersikap keras, rigid dan akhirnya patah kerana kedegilan melawan gelombang?

Sehubungan itu, bijak pandai pernah berkata, “we can’t direct the wind but we can adjust our sail.” Ertinya, walaupun kita tidak boleh menentukan takdir  yang menimpa tetapi kita diberi kuasa oleh-Nya untuk mentadbir diri kita. Inilah kelebihan manusia, sebagai khalifah.

Kita diamanahkan untuk mentadbir pendengaran, sentuhan, penglihatan, penciuman, penglihatan, fikiran, emosi, hati dan tindakan kita dalam lingkungan takdir-Nya. Oleh itu, dengan segala kuasa dan kelebihan yang ada, kita perlu berubah mengikut arah dan bentuk yang kita pilih dengan izin Allah jua.

Malangnya, ramai manusia yang tidak suka berubah. Ada kita bersikap ‘selamba’ dan ‘relaks’ dengan apa sahaja yang berlaku termasuk perubahan yang berlaku pada diri dan sekeliling mereka. Mengapa? Sebab perubahan ertinya hijrah atau berpindah. Setiap hijrah dan berpindah itu menagih kesusahan. Maksudnya, orang yang berhijrah terpaksa meninggalkan zon keselesaan (comfort zone) untuk menuju zon cabaran (courage zone).

Misalnya, anak kecil yang hendak berpindah dari tahap merangkak ke tahap berjalan, tentu terpaksa bertatih-tatih, jatuh bangun, jatuh dan terpaksa mengalami calar-calar dan sebagainya. Namun segala-galanya terpaksa dihadapi demi membolehkan dia berjalan. Apa akan jadi kalau ada anak kecil yang terus selesa merangkak dan tidak mahu belajar berjalan kerana takut cabaran? Tentulah tidak ada perkembangan dalam hidup. Maka begitulah para kita, dengan ujian mereka dituntut supaya berubah, jika tidak mereka tidak akan mencapai tahap kematangan untuk berjaya dalam hidup!

Rengkasnya, pelajaran dalam hidup datang bersama tuntutan perubahan. Jika sudah berkali-kali pelajaran disampaikan, tetapi masih tidak ada perubahan, maka itu bermakna kita gagal dalam peperikasaan di universiti kehidupan kita. Apa yang menghalang kita berubah?

Salah satunya ialah keinginan untuk melihat orang lain, keadaan atau peristiwa di luar diri kita terlebih dahulu berubah. “Aku boleh jadi baik, jika guru dan ibu-bapaku melayanku dengan baik,” begitu selalu yang kita dengar. “Kedudukan kewanganku boleh stabil, jika pendapatanku bertambah,” kata sesetengah yang lain. “Jikalau aku mengenali seorang lelaki yang beriman, aku akan menjadi isteri yang solehah.” “Kalau motorku dari jenis yang mahal, tentu aku tidak terlibat dengan accident lagi!”

Begitulah suara-suara kelohan dan harapan yang selalu diluahkan oleh hati kita. Semuanya, mengharapkan keadaan, individu lain dan peristiwa berubah – barulah kita mahu dan mampu berubah. Sedangkan hukum perubahan tidaklah begitu. Kita mesti berubah dulu, barulah keadaan, peristiwa dan individu lain berubah akibat perubahan kita.

Guru dan ibu-bapa akan melayan kita dengan baik, jika kita terlebih dahulu berusaha menjadi anak atau murid yang baik. Anda berjimat cermat dahulu, barulah kedudukan kewangan anda akan stabil. Anda jadi wanita solehah dahulu, barulah akan ada lelaki beriman yang akan melamar anda. Dan anda perlu baiki dan memandu motor ‘buruk’ anda dengan baik barulah anda tidak terlibat dengan ‘accident’ dan akhirnya layak untuk mendapat motor baru yang mahal harganya!

Ingat, setiap kali sesuatu menimpa kita, sama ada baik atau buruk… itu adalah pelajaran yang menuntut perubahan. Maka ubahlah diri kita selalu, ke arah yang baik, lebih baik dan cemerlang. Setiap detik, setiap ketika, ada sahaja peristiwa yang akan kita hadapi… maka belajarlah secara berterusan, dan berubahlah secara berterusan… Nanti kita akan mencapai kebaikan secara berterusan pula.

Jangan sekali-kali menangguhkan pelajaran, nanti anda akan menangguhkan perubahan dan akhirnya menangguhkan datangnya kebaikan. Belajarlah di universiti kehidupan semasa masih ada masa lagi, supaya kita tidak diburu penyesalan apabila tempoh pengajian tamat (mati).

Kata pepatah, “belajar sewaktu muda bagai melukis di atas batu, belajar sewaktu tua bagai melukis di atas air.” Teringat kata Dale Carnargie, “jangan gergaji abuk kayu!” Dan itulah nasib orang tua yang tidak belajar semasa mudanya!

Buat diri ku dan diri mu, kuaklah tirai hari ini dan ingatkan diri… aku adalah pelajar di universiti kehidupan ini. Hari ini Allah pasti mengajar ku melalui perlakuan-perlakuan manusia lain kepada ku.  Dan aku mesti belajar dengan orang lain, kejadian, peristiwa itu – pahit atau manis.

Jika manis, Allah mengajarku erti syukur. Jika pahit, Allah mengajar ku erti sabar. Jika dikecewakan, aku sedang belajar hakikat tawakal. Bila cemas, Allah mengajar ku erti raja’ (mengharap). Jika sedikit, Allah mengajar ku erti qanaah (berpada-pada). Ya Allah, lepaskan hati kami dari asbab-asbab ini, agar kami bebas dan tenang berpaut pada ‘musabbabil asbab’ (Penyebab segala sebab) – wajah MU ya Allah.

Pujuklah hati, katakan, didikan ini demi cinta-Nya jua.

p/s Nota Hati:

Sahabat-sahabat ku, maafkan kerana kekadang malah sering, aku gagal mengemudi arus perubahan dalam kehidupan ku. Bertugas di dua tempat dan dalam dua bidang berbeza ada kalanya sangat menguji aku. Begitu juga dengan anak-anak yang sudah dewasa – persahabatan dengan mereka menyebabkan aku sering tergelincir dalam mengendalikan masa. Betapa pemikiran dan perlakuan mereka yang perlu dipantau, diperbetulkan dan diluruskan dengan berhati-hati… selalu!
Semua itu memaksa aku ‘meninggalkan’ seketika tugas ku dengan masyarakat. Ayat Quran, “selamatkanlah diri dan ahli keluarga mu daripada api neraka,” sering mengingatkan aku (dan kita semua) betapa keluarga adalah benteng terakhir untuk menghadapi arus jahiliah kali kedua ini. Aku sering mengingatkan diri sendiri, aku akan ditanya Allah tentang ‘ini’ lebih daripada tentang ‘itu’.
Juga kesihatan yang sering menguji, memaksa aku cuba bersantai-santai dengan hidup. Mengatur jadual makan dan berjalan kaki pada awal pagi seolah-olah tidak ada kerja yang menggamit dan menanti. Sering kali aku mengendurkan keghairahan menulis walaupun digoda oleh tujahan idea yang mencurah-curah, agar aku tidak lelah menatap skrin lap top berjam-jam seperti yang selalu aku lazimi sejak dulu.
Namun, membaca respons pembaca di Gentarasa.com menyebabkan aku terbangun kembali. Malah ada kalanya aku menangis. Ya Allah, begitu lemahnya aku, masih Kau izinkan beberapa kerat manusia untuk terus setia berkongsi resah, masalah dan suka duka hidup mereka dengan aku yang kerdil dan berdosa ini. Lalu genta rasa ku, terus berbisik, bangunlah… menulislah, walau terpaksa jatuh bertongkat dagu. Kata azimatnya, patah sayap terbanglah jua!
Kiranya, ada sisa ingatan dan masa, hulurkanlah doa kalian. Nafas tulisanku berada di pinggir bibir dan hati doa kalian. Aku sedang mendidik dan terus mendidik hati dan nafsu yang masih liar ini. Marilah kita lalui titian mehnah Ilahi ini… kalah tetapi tidak mengalah.
Antara aku dan kalian, ada talian yang menyambung hayat iman kita kepadaNya. Semoga gentarasa ini akan terus bergema selagi talian itu terus teguh dan kukuh disepuh doa-doa sesama kita! 

Sumber
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...