Pada suatu petang, seorang lelaki datang ke kedai gunting rambut untuk memendekkan rambutnya yang agak panjang dan tidak terurus.  Seperti biasa, si penggunting rambut menyambut pelanggannya dengan mesra dan mempersilakannya duduk.

Sedang si penggunting rambut melakukan kerjanya, mulutnya tidak berhenti bercerita.  Macam-macam dibualkan menyentuh isu semasa dan kehidupan harian.  Tiba-tiba si penggunting rambut itu bertanya suatu soalan yang agak berat.

“Tuhan ni wujud ke?” tanya si penggunting rambut.

Lelaki tersebut terkejut dengan soalan tersebut.  Belum pun sempat nak menjawab, si penggunting rambut menyambung percakapannya.

“Kalau Tuhan wujud kenapa dunia ni huru-hara, manusia saling berperang dan benci sesama manusia?  Tuan tengoklah berita, di sana berperang di sini berperang.  Asyik bergaduh sahaja di mana-mana…”  adu si penggunting rambut.

“Lihat di negara kita, sana sini buang bayi.  Kes bunuh pun selalu keluar di akhbar.  Masalah sosial lagi.  Rasuah lagi.  Teruklah!”  sambungnya lagi menyatakan kekesalan.

“Tuhan tu ada.”  Jawab si lelaki itu singkat.  Risau melihat semangat si penggunting rambut itu dengan gunting tajam di tangannya.

“Kalau betul Tuhan ada, kenapa DIA tak selesaikan semua masalah tu?  Dan buat semuanya jadi aman sahaja?  Kan senang!”  ujar si penggunting rambut yang umurnya 40-an itu.

Selepas beberapa minit berlalu, sesi guntingan rambut pun selesai.  Selesai membayar, si lelaki mengajak si tukang gunting melihat ke luar tingkap.

“Encik lihat tak lelaki-lelaki remaja di sana?  Dan pakcik tua di seberang jalan tu yang sedang duduk tu?”  tanya lelaki itu.

“Ya, saya nampak.  Kenapa?”  si penggunting rambut bertanya kembali.

“Lelaki remaja tu rambutnya panjang, nampak tak senonoh kan?  Dan pakcik tua tu pula misainya tak terurus nampaknya.  Setuju tak?”  Lelaki itu meminta pandangan.

“Ya, betul.  Saya setuju.”  si penggunting rambut mengiyakan sambil mengangguk.

“Mereka jadi macam tu sebab tukang gunting rambut tiada kah?”  tiba-tiba lelaki itu mengajukan soalan ‘istimewa’ kepada si penggunting rambut.

“Eh, tak.  Bukan sebab tu.  Ni saya ada ni.”  Si penggunting rambut menafikan.

“Habis tu kenapa lelaki-lelaki remaja itu berambut panjang dan pakcik tua itu tidak tersusun misainya?”  lelaki tersebut bertanya kembali.

“Tu sebab mereka tak datang jumpa saya.  Kalau mereka datang jumpa saya tentu saya akan potong rambut remaja lelaki tu bagi elok.  Dan pakcik tua tu pula saya akan trim misainya bagi kemas.”  jawab si penggunting rambut.

“Ya, itulah jawapan kepada persoalan encik semasa encik memotong rambut saya tadi.  Tuhan itu ada.  Tidaklah bermakna berlakunya peperangan, pertelingkahan, jenayah, gejala sosial, rasuah di kalangan manusia itu adalah kerana Tuhan tidak ada.  Masalah ini semua timbul kerana mereka semua tidak mahu ‘berjumpa’ dengan Tuhan.”  kata lelaki itu.




Sekadar gambar hiasan
( abah sewaktu bertahlul ~ Haji 1430h )
Si penggunting rambut mendengar dengan teliti sambil mengerutkan dahinya.  Berfikir agaknya.

“Mereka yang abaikan suruhan dan perintah Tuhan.  Tuhan malah telah memberikan pedoman melalui RasulNYA dan juga melalui kitabNYA iaitu al-Quran.  Malangnya, manusia memilih cara mereka sendiri.  Mereka menjauhkan diri dari ALLAH.  Jika manusia mendekatkan diri dengan ALLAH, tentulah keadaan manusia lebih baik dan sejahtera.  Lebih kurang macam sayalah sekarang ni.  Lebih handsome dari lelaki-lelaki remaja dan pakcik tua tu sebab saya jumpa encik untuk dirapikan rambut saya, hehe…”

“Betul jugak.  Kenapa Tuan tak jelaskan pada saya semasa potong rambut tadi”  Si penggunting rambut mengangguk setuju sambil bertanya.

“Oh bukan apa.  Saya risau dengan gunting di tangan encik tu.  Dibuatnya encik marah nanti, tak pasal-pasal saya kena nanti…hehe.  Tapi, alhamdulillah encik tak marah, malah dapat menerima penjelasan saya”  Jelas lelaki tersebut sambil ketawa kecil.  Si penggunting rambut itu turut tertawa juga.

Sumber : Blog Teh Secawan



( Abah memang kamcing dengan anak - anak.. )
 Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
“Orang yang paling baik di kalangan kamu ialah orang yang paling baik (pergaulannya) dengan ahli keluarga dan aku adalah yang terbaik dari kalangan kamu dalam pergaulan dengan ahli keluargaku.”
(Hadis riwayat Ibnu Majah dan Ibnu Hibban)


* Pasang niat dan berdoa untuk menjadi suami terbaik. Tanpa berniat dan berdoa anda tidak mungkin jadi suami yang cemerlang. Ramai suami terlupa.

* Bersyukur kerana mempunyai pasangan hidup. Yakinlah bahawa isteri anda adalah pasangan terbaik yang Tuhan tentukan untuk anda. Ketentuan Tuhan adalah yang terbaik.

* Suami mithali menjadi kebanggaan isteri. Pastikan anda membentuk sifat positif dan istimewa.

* Cuba tanya diri apakah sifat atau amalan yang boleh dibanggakan oleh isteri anda.

* Setiap hari pulang dengan senyum dan bersemangat. Apabila suami tersenyum, isteri dan anak-anak akan bahagia dan rahmat Tuhan akan turun. Senyumlah apabila sampai ke rumah.

* Pastikan anda ada masa untuk berbual dengan isteri setiap hari. Semua isteri bahagia apabila dapat berbual dengan suami. Berapa minit yang anda luangkan untuk berbual dengan isteri setiap hari ?

* Telefon isteri ataupun hantar SMS sekadar untuk menyatakan yang anda sayang ataupun rindu pada isteri. Isteri anda akan berasa seronok dan bahagia apabila mendapat panggilan ataupun mesej tersebut.

* Hiburkan hati isteri anda dengan bercerita, buat lawak atau gurauan yang mesra. Setiap gurauan mengubat hati isteri dan mengeratkan hubungan suami isteri.

* Pastikan anda bergurau senda dengan isteri di dalam kenderaan semasa dalam perjalanan ke tempat kerja ataupun ke mana sahaja. Ramai suami membazir masa dengan membisu semasa di dalam kenderaan.

* Amalkan makan bersama setiap hari. Berbual mesra dan nasihat menasihati semasa makan. Amalan ini akan menarik hidayat Tuhan dan mengeratkan hubungan. Elakkan berbual perkara yang melalaikan semasa makan.

* Ajak isteri mandi bersama sekali sekala. Bergurau senda semasa mandi bersama adalah sunah yang dapat mengeratkan hubungan suami isteri.

* Bantu isteri melakukan kerja rumah. Ini adalah sunah yang dapat meringankan beban isteri, mengeratkan kasih sayang dan menbahagiakan pasangan anda.

* Amalkan mesyuarat keluarga sekerap yang mungkin. Amalan bermesyuaratmenarik hidayat Tuhan,mengeratkan hubungan dan menyelesaikan banyak masalah.

* Pastikan penampilan anda anggun, kemas, bersih, wangi, sihat dan ceria. Ramai suami inginkan isteri yang mengancam, tetapi mengabaikan penampilan diri sendiri. Mana adil ?

* Didik isteri dengan memberi nasihat dan perigatan secara hikmah. Jadikan tindakan dan amalan anda sebagai contoh teladan yang cemerlang. Elakkan cakap tak serupa bikin.

* Berikan nafkah kepada isteri mengikut keperluan keluarga dan kemampuan suami. Ramai suami mengabaikan nafkah kerana isteri bekerja. Ramai suami yang kedekut dan berkira. Ini menyebabkan isteri derita dan rumahtangga terancam.

* Jadikan penawar hati kepada isteri. Ambil berat keperluan dan kemahuan dan peka kepada emosi dan situasi isteri. Isteri yang bahagia membentuk keluarga sejahtera

* Sentiasa taat kepada semua perintah Tuhan dan memastikan keluarga juga patuh kepada Tuhan.

* Suami mithali sentiasa menyimpan rahsia isteri. Ramai suami secara sengaja ataupun tidak sengaja menceritakan keburukan isteri kepada orang lain. Ini wajib dihentikan.

* Muliakan keluarga isteri seperti keluarga sendiri.


Ada suami yang membeza-bezakan antara keluarganya dan keluarga isteri. Ada suami yang memusuhi keluarga isteri. Anda bagaimana ?

* Bentuk sifat cemburu yang positif. Cemburu tanda beriman, sayang dan endah. Suami yang tidak cemburu adalah dayus. Isteri amat suka apabila suaminya ada sifat cemburu. Dia rasa dihargai.

* Jadilah suami yang pemaaf. Syurga isteri di bawah tapak kaki suami.Maafkanlah isteri setiap malam sebelum tidur supaya rumah tangga bahagia dan isteri mudah masuk syurga.

* Tegur kesilapan isteri dengan hikmah dan kasih sayang. Isteri merajuk bukan sebab ditegur, tetapi cara ditegur yang kasar. Apabila suami kasar, isteri jadi takut, bingung, hiba dan memberontak.

* Gunakan Nabi Muhammad sebagai model. Hidupkan amalan sunah dalam rumahtangga. Sebut nama rasul apabila mendidik dan menasihati keluarga bagi mendapat hikmah.

* Mendahulukan keperluan isteri daripada orang lain. Ini adalah tertib memberi khidmat. Ramai suami yang melebihkan orang lain daripada isterinya. Elakan kesilapan ini.

* Suruh isteri dirikan sembahyang dan ibadah lain. Apabila berjauhan, telefon ataupun SMS bagi mengingatkan sembahyang. Wasiatkan isteri untuk sembahyang fardu dan sunat. Buat pesanan ini sehingga suami meninggal dunia.

* Cintai isteri sepenuh hati. Cintai tanpa syarat, bertambah mengikut usia, penuh kemaafan, memberi tenaga,tidak pernah sensara serta berteraskan iman dan takwa.

* Sentiasa berubah secara positif. Sebelum cuba ubah isteri dan keluarga, ubah diri dulu. Apabila suami berubah, keluarga akan turut berubah. Apabila suami cemerlang, isteri akan gemilang.

* Pamer keprihatian yang tinggi terhadap keluarga. Ramai suami tidak ambil kisah dengan keluarga mereka.Cuba tanya apa lagi khidmat tambahan yang patut berikan kepada keluarga.

* Pamer kematangan yang tinggi. Orang yang matang tenang, sabar, waras, bijaksana, dapat membuat keputusan dan cekap menyelesaikan masalah.

* Memuliakan semua perempuan bukan sekadar isterinya. Ramai lelaki cuba hormat wanita tertentu sahaja. Ramai isteri yang kecewa terhadap suami yang menghina atau tidak hormat sebarang wanita termasuk pembantu rumah.

* Bentuk beberapa sifat wanita yang terpilih dalam diri suami. Nabi Muhammad amat pemalu, pemaaf, peka, endah dan mudah menangis. Sifat wanita yang ada pada lelaki menaikkan martabat lelaki dan lebih disayangi wanita.

* Mahir dalam menguruskan keluarga. Peka dengan masalah dan karenah ahli keluarga, cekap mencari punca masalah, mencari alternatif penyelesaian dan memilih penyelesaian yang optimum.

* Membaiki diri secara berterusan. Tingkatkan iman dan takwa, cuci hati dengan sembahyang taubat, istighfar,memaafkan dan minta maaf, berkawan dengan orang yang baik, pendapatan yang berkat dan baiki amalan dan tindakan.

* Jadi contoh atau model terbaik untuk keluarga. Doa dan usaha supaya setiapperbuatan anda dapat dicontohi dan dibanggakan ahli keluarga. Apakah sifat dan amal anda yang dapat dicontohi oleh ahli keluarga ?

* Jadikan diri anda pendorong dan motivator berkesan unutk keluarga. Sentiasa beri galakan dan belaian. Elak marah, kritik ataupun hina keluarga. Fikir positif dan bersangka baik terhadap keluarga.

* Tingkatkan ilmu berkenaan agama. Lazimnya, suami yang mendidik keluarga berkenaan agama. Belajarlahilmu agama dengan niat mendidik diri dan keluarga.

* Sentiasa menegakkan kebenaran. Tegas menyatakan apa yang buruk dan apa yang baik. Elak mengenepikan kebenaran semata-mata bagi menjaga hati ahli keluarga. Tegakkan kebenaran dengan hikmah.

* Bertindak tegas dan lemah lembut mengikut situasi. Tegas dalam menyeru ke arah kebaikan. Lemah lembut dalam menegur dan memberi nasihat. Tegas sangat orang memberontak, lembut sangat orang pijak.

* Latih diri memuji dan menghargai isteri. Ramai suami yang pandai kritik tetapi tidak tahu memuji. Belaian merawat emosi dan fizikal isteri dan membuat dia terasa disayangi. Cari peluang untuk sentiasa memuji.

* Cari peluang untuk bertindak romantis terhadap isteri. Ini termasuk senyum, lemah lembut, sebut sayang tiga kali sehari, buat sebelum disuruh, sentuhan sayang, pujian dan memberi hadiah.

* Fahami yang isteri ingin selalu di sisi suami. Suami pula berjauhan dengan isteri sekali sekala. Apabila berjauhan, telefon, SMS ataupun e-mel untuk bertanya khabar, berikan maklumat dan mengubat rindu.

* Bentuk kerjasama yang mantap dengan isteri. Pamer kesatuan hati dan pendapat kepada anak-anak dan orang lain. Wujudkan kerjasama melaui mesyuarat, berbual, tolak ansur, bermaaf-maafan dan banyak berdoa.

* Nilai diri daripada kaca mata isteri. Buang sifat dan amalan yang isteri benci. Berusaha keras melakukan perkara yang isteri suka. Apabila isteri bahagia, suami akan bertambah bahagia.

* Apabila suami melayan isteri seperti mana dia melayan kawan, pasti isteri bahagia. Bayangkan cara anda melayan isteri sebelum kahwin. Ulangi layanan itu sekarang. Pasti hebat kesannya.

* Suami wajar belajar jadi mengikut setia. Patuhi cadangan, pandangan dan pandapat isteri yang betul. Jangan bangkang perkara yang baik. Kawal macho dengan saksama.

* Buat undang-undang dalam rumah tangga. Apabila suami marah, isteri mesti senyap. Apabila isteri marah,suami mesti senyap. Ini mengelakkan daripada bergaduh. Orang tidak boleh bergaduh sendirian.

* Latih gerak batin anda supaya serasi dengan gerak batin isteri. Serasikan gerak batin dengan berdoa, patuh perintah Tuhan, maafkan isteri, bersangka baik dan lakukan perkara baik untuk isteri mengikut sebarang lintasan dalam hati.

* Pimpin isteri dengan nasihat dan kasih sayang. Pesan selalu dan nasihat sekali-sekala. Waktu terbaik nasihat adalah semasa rehat, minum petang, waktu bersiar-siar dan semasa hendak tidur.

* Seimbangkan hidup dengan sempurna. Rajin di tempat kerja, rajin juga di rumah. Peramah dengan kawan, peramah juga dengan isteri. Disiplin di pejabat, disiplin juga di rumah. Sabar dengan orang, sabar juga dengan isteri. Di luar dan di dalam rumah serupa.

* Urus stres dengan sempurna supaya keluarga tidak terjejas. lakukan riadah, berdiet, hentikan merokok,bercampur dengan orang positif, bermain dengan bayi, tengok ikan di akuarium, menyanyi, sembahyang taubat dan maafkan semua orang.


Sumber : Syahirul.com
hati-hati berpurdah, jangan menyorok tapi terdedah -gambar hiasan-

Lewat beberapa minggu sebelum ini, kecoh dengan isu drama Tahajjud Cinta di tv3. Cukuplah, saya malas mahu mengulas isu yang sama. Saya yakin, masing-masing sudah boleh membuat kesimpulan sendiri daripada isu tersebut. Hakikat yang perlu diakui adalah, dilema kejahilan dalam masyarakat masih di tahap yang serius dan membimbangkan.
Kerana itu, mengomel dan menunding jari sahaja tidak memadai.
Sebagai contoh, salah satu perkara yang dibantah dalam drama tersebut adalah babak selak purdah. Umumnya, pemakai purdah akan terus dianggap sebagai golongan yang baiknya bukan di tahap biasa-biasa. Baiknya itu di tahap yang luar biasa. Apabila sesuatu yang baiknya luar biasa kita gandingkan dengan adegan jahiliah seumpama berdua-duaan ataupun berpegangan, maka ia akan mencetus suatu kejutan sensitiviti kepada semua orang.
Namun di sebalik semua itu, ternyata bilangan yang sekadar terkejut dan mengomen lebih banyak berkali ganda daripada golongan yang mahu mengajak atau mendidik.
Sunnahnya begitu. Golongan yang sedar akan tanggungjawab untuk mengajak, mendidik dan memberi faham adalah golongan yang sedikit. Jiwa mereka mahukan pencerahan, bukan pergolakan yang berpanjangan. Krisis jahil itu telah sekian lama menjadi barah yang sunyi dari rawatan.

Purdah = Ustazah
Berpurdah atau berniqab, secara mudah akan dilabel sebagai ustazah.
Fikiran sebegini, dianggap betul pada sebahagian orang dan itulah yang mereka pegang zaman berzaman. Orang yang menganggap pernyataan ini betul, adalah orang-orang awam yang menilai segala perkara melalui zahiriah semata-mata. Seorang ustaz mesti pakai kopiah. Siapa yang selalu pakai serban, dia adalah ustaz. Siapa yang selalu pakai tudung labuh, dia adalah ustazah.
Sedang hakikatnya tidak begitu. Ustaz atau ustazah, boleh saja dilabel kepada sesiapa sahaja, apatah lagi jika yang dinilai hanyalah pakaian. Walhal, label itu tidak ada kena mengena dengan soal pakaian secara khusus. Ia berkait rapat dengan soal warak, zuhud, alim dan bijaksana pada seseorang. Semestinya, kemahiran dalam bidang agama adalah teras kepada kelayakan seseorang berada di tempat ustaz atau ustazah. Itu secara hakikat bukan semata-mata persepsi atau gelaran.
Namun perlu diingat. Mahu atau tidak, kita harus terima bahawa dalam masyarakat kita tidak semuanya mempunyai kefahaman agama yang baik. Masih ramai yang jahil dan tak kurang juga yang berlagak tahu – enggan mengaku jahil.
Maka kalau anda ingin memakai purdah atau niqab, sila ambil kira juga kefahaman masyarakat dalam menilai diri anda.

Fenomena Niqobis
Di alam maya ini, lewat aktiviti berfacebook ataupun berblogwalking, secara jujurnya saya melihat semakin ramai wanita yang memakai purdah atau niqab. Tak kurang juga yang menjadikan purdah dan niqab itu sebagai identiti mereka.
Apabila diperhati kepada apa yang dicatat di blog-blog mereka, semuanya cenderung mengajak pembaca kepada nilai ‘ubudiyyah kita kepada Allah. Banyak ayat-ayat tazkirah, firman dan sabda serta tidak kurang juga artikel-artikel agama yang disalin dari pelbagai sumber.
Sekali imbas, saya yakin jiwa mereka sangat lunak dengan agama.
Tetapi suatu keanehan yang paling ketara adalah sebahagian mereka mempunyai tabiat tidak sihat yang sangat bertentangan dengan sunnah berpurdah itu sendiri. Ini mencetus suatu kepelikan yang tidak kunjung sudah di hati saya. Dalam hal ini, saya mempunyai beberapa pendapat :
Pertama : berpurdah itu khilaf antara wajib ataupun sunat. Ada yang menganggap sebagai wajib maka dia mengharamkan wajahnya dari ditatap, dengan meyakini bahawa wajahnya itu juga adalah aurat seumpama rambut dan tangan. Manakala yang menganggapnya sebagai sunat, memakainya sebagai suatu alternatif menzahirkan komitmen ‘ubudiyyahnya kepada Allah. Golongan ini memakai purdah di tempat tertentu dan membukanya di tempat yang lain. Pada saya, selagi mana dianggap sunat maka tidaklah menjadi masalah. Cuma dari sudut istiqamah, ia kelihatan sedikit cacat.
Kedua : berpurdah itu suatu tahap yang hanya boleh dicapai selepas selesai tahap asas terlebih dahulu. Berpurdah itu umpama mengupgrade diri ke peringkat yang lebih baik. Tahap asas yang dimaksudkan itu adalah menutup aurat dengan sempurna, menjauhkan diri dari budaya tabarruj ( berhias diri dan menarik perhatian lelaki ajnabi ) serta mempraktikkan nilai-nilai akhlak seorang muslimah di dalam diri sendiri. Kesemua itu adalah perkara wajib yang telah disepakati dan bukan merupakan perkara khilafiah. Adapun berpurdah, tidak sampai ke tahap itu. Mudahnya, anda tidak boleh memakai baju lengan sekerat kemudian memakai purdah. Sebaliknya anda haruslah berpakaian menutup aurat dengan sempurna terlebih dahulu, barulah anda menambah dengan memakai purdah.
Ketiga : Tujuan memakai purdah bukanlah supaya diri anda tidak dikenali. Ia bukan soal ‘hadang muka’. Tujuannya adalah untuk mengelakkan anda dari menjadi perhatian lelaki ajnabi ataupun menimbulkan fitnah kepada mereka. Atas kesedaran ini anda memakai purdah demi menjaga maruah dan agama anda. Selaras dengan tindakan ini, anda tentunya akan sedaya upaya mengelakkan diri anda dari menjadi tatapan orang ramai, lebih-lebih lagi di alam maya. Adalah sesuatu yang aneh jika anda memakai purdah tetapi mengambil gambar sendiri dalam jarak yang cukup dekat kemudian diletakkan di facebook ataupun blog dengan saiz yang begitu besar!

JAHIL
Itulah namanya simptom dari kejahilan. Jahil dari awal-awal mengorak langkah lagi, iaitu untuk apa anda memakai purdah? Ini kerana yang membezakan antara dua wanita yang memakai purdah adalah iman dan kefahaman mereka. Sedangkan kain sehelai itu bukankah neraca penentu taqwa ataupun tidak.
Ada yang memakai purdah kerana mahu kelihatan ‘mahal’. Ada yang memakai purdah kerana mahu menyorok kelemahan tertentu. Ada yang memakai purdah kerana mahu kelihatan lebih cantik atau mahu bergaya. Ada yang obses dengan trend dan fesyen. Ada yang obses dengan watak dalam filem atau drama ‘cinta Islamik’. Dan ada juga yang benar-benar memakai purdah kerana mengharapkan keredhaan Allah.
Nah. Sekarang anda di posisi yang mana?

‘Niqobis’ Alam Maya
Secara zahirnya, ada tiga kepelikan ketara yang sering saya lihat pada niqobis yang aktif di alam maya :
1- Bergambar.
Bergambar dalam jarak jauh dan jika tersiar pun, dalam saiz yang kecil pada saya tidaklah menjadi masalah. Jika jarak jauh dan saiz kepala pula hanya sebesar kepala mancis, tiada siapa yang akan tertarik. Yang kenal pun, tentulah kenalan rapat sendiri sahaja. Tetapi jika diletak dengan sebesar-besarnya, sehingga begitu jelas bulu mata yang lentik dengan sekeliling mata berhias celak, itu jelas sekali bertentangan dengan objektif memakai purdah itu sendiri. Meskipun hanya mata yang kelihatan, tetapi jika sejelas itu terpampang, sudah tentu bisa jua mencairkan hati anak adam. Anda sedang meletakkan magnet yang menarik fitnah. Apakah anda fikir jelingan mata anda itu bebas daripada virus fitnah wanita yang disabdakan oleh Nabi s.a.w ..?
2- Tabarruj
Ada beberapa ciri asas dalam tabarruj, antaranya adalah jenis pakaian yang boleh menarik perhatian lelaki ajnabi dan memakai bau-bauan yang kuat. Ramai niqobis yang seolah keliru dengan diri sendiri. Asalnya memakai purdah dan berbaju labuh untuk mengelak dari menarik perhatian atau menimbulkan fitnah, tetapi lama kelamaan seolah mengambil kesempatan pula ke atas pakaian labuh dan purdah. Daripada satu warna, menjadi banyak warna. Daripada kosong semata, jadi berhias pelbagai manik berkelipan pula. Sudahnya, makin lama makin pelik. Lebih pelik, tangkap gambar banyak-banyak dan masukkan dalam blog secara bersiri. Untuk apa?
3- Mendedahkan aurat
Sudah banyak dijelaskan di sana sini, bahawa menutup aurat itu bukan bermakna menutup rambut. Ada beza yang besar antara keduanya. Jika anda mahu ikut kefahaman sendiri, anda boleh tutup rambut dengan scarf sahaja. Tetapi jika anda mahu ikut Islam, anda wajib menutup seluruh rambut dengan melabuhkan tudung ke bahagian dada, serta memakai baju yang labuh dan tidak menampakkan bentuk badan. Barulah anda diiktiraf sebagai menutup aurat. Yang akan mengiktiraf itu adalah Allah, bukannya manusia. Tetapi saya lihat, ramai niqobis yang tidak mengupgrade disiplin pemakaian mereka sesuai dengan tuntutan syarak, sebaliknya menambah sehelai kain untuk menutup sebahagian muka pula. Ini pelik.
Dengan tabiat yang suka memakai t-shirt dan seluar jeans, dia menambah sehelai kain di muka lalu memanggil dirinya sebagai wanita berpurdah. Ini gharib. Ada juga yang bertudung silang ( tidak dilabuhkan ke dada ) tetapi memakai purdah. Ini juga gharib.
Dalam kesemua yang saya lihat dan perhatikan, saya fikir, sesiapa yang mahu memakai purdah, perlulah berhati-hati. Kenapa?
Pertama : Anda malu dengan manusia. Di dunia ini pun anda sudah merasa malu, kerana anda dilihat sebagai jahil dan aneh. Memakai serban tetapi berseluar pendek, ibaratnya begitu.
Kedua : Di akhirat kelak, anda akan ditanya oleh Allah atas apa yang anda pakai di dunia. Tidak cukup bab tidak menutup aurat dengan sempurna, ditambah pula dengan bab mengapa memakai sehelai kain di muka sedangkan perintah menutup aurat diabaikan. Dari satu hal bertambah jadi dua hal semata-mata kerana anda gatal tangan mahu memakai purdah tanpa terlebih dahulu menjelaskan niat kerana Allah. Itu cari penyakit namanya.
Justeru, sila berhati-hati jika ingin memakai purdah. Apabila anda meletakkan diri anda di tahap itu, maka mahu atau tidak, anda perlu menjadi sepertimana orang yang berada di tahap itu. Baik dari segi perkataan, perbuatan mahupun pemakaian. Sebenarnya, semua itu tidak akan membebankan anda pun jika anda benar-benar ikhlas memakai purdah. Tetapi jika sebaliknya, kekallah anda dalam ‘azab’ kegelisahan yang berpanjangan.
Fikir-fikirkanlah.

Sekian.
Penulis dilahirkan pada 21 Jun. Menulis tentang pelbagai isu kemasyarakatan dalam konteks dakwah masakini. Mula menulis di Myilham.com pada 14 Jun 2011. Semoga tulisan dan artikel di sini mampu menyumbang sebagai saham akhirat kelak. InsyaAllah.
myilham.com
View all posts by myilham.com
s website


Assalamu’alaikum wr.wb.

Aku suka memanggil kamu dengan nama di atas. Ia bukan satu panggilan tradisi, sebaliknya ia satu panggilan yang disukai dan digemari Rasulullah s.a.w.. Aku akan beritahu kamu selepas ini dengan izin Allah, kenapa nama ini dipilih.

Adapun sebab aku menulis surat ini ialah beberapa aduan daripada akhawat anggota jamaah Ikhwan Muslimin telah sampai kepadaku. Begitu juga aduan daripada akhawat yang bukan anggota IM. Meskipun aku rasa bertuah kerana diberi peluang hadir di muktamar akhawat yang diadakan beberapa minggu yang lalu di dewan muktamar university al-Azhar di bawah slogan: al-mar’ah al-Misriyyah… min athaurah ila an-nahdhah (Wanita Mesir.. dari revolusi kepada kebangkitan memajukan negeri), dan aku telah berbicara kepada mereka tentang kewajipan wanita di peringkat individu, keluarga dan masyarakat, tetapi kita mesti tahu bahawa di sana terdapat hak-hak mereka daripada lelaki yang merupakan tanggungjawab aku dan tanggungjawab kamu.

Sesungguhynya aku memilih untuk berbicara kepada kamu secara langsung, mengingatkan kamu peranan yang dipikulkan Allah ke atas bahu kamu, yang dipesan oleh Rasulullah s.a.w. kepada kamu ketika baginda berada di ambang kematian. Ia merupakan wasiat terakhir yang paling berharga pernah diungkapkan oleh orang yang berwasiat.

Tuhan yang memiliki kebesaran berpesan kepada kamu supaya menjadikan hubungan kamu dengan isteri kamu bertunjangkan mawaddah dan rahmat, dibaluti kesedaran akan masuliah (pertanggungjawaban). Maka kamu adalah pengemudi bahtera keluarga. Kepimpinan kamu adalah kepimpinan yang berupa pertanggungjawaban, bukan penghormatan. Tuhan kamu berpesan supaya kamu jangan lupa kerana jika kamu lupa, kamu akan dilupakan.

“… dan janganlah pula kamu lupa berbuat baik dan berbudi sesama sendiri. Sesungguhnya Allah sentiasa melihat akan apa jua yang kamu kerjakan.” (Al-Baqrah:237).

Al-fadhl ialah kamu memberi lebih banyak daripada kamu meminta, kamu mengambil hak kamu lebih sedikit daripada yang sepatutunya.

Dia berkata kepada kamu, bahawa kamu melindungi isteri, anak-anak daripada kemudaratan dan perkara yang membahayakan sama ada dari aspek kebendaan dan maknawi, juga usaha kamu membawa manfaat kebendaan dan maknawi kapada mereka merupakan tanggungjawab yang diletakkan di atas bahu kamu sejak mula dijadikan ayah kamu Adam dan ibu kamu Hawwa sebagaimana firmanNya yang bermaksud:

“Maka, Kami berfirman: Wahai Adam sesungguhnya Iblis ini musuh bagimu dan bagi isterimu; oleh itu, janganlah dia menyebabkan kamu berdua keluar dari Syurga, kerana dengan yang demikian engkau (dan isterimu) akan menderita.” (Ta Ha:117)

Dan Rasulullah Musa a.s. telah merealisasikannya secara amali, sebagai mematuhi tuntutan Ilahi yang penuh dengan hikmah yang sangat mendalam maknanya “Ketika dia melihat api, lalu berkatalah dia kepada isterinya: Berhentilah! Sesungguhnya aku ada melihat api semoga aku dapat membawa kepada kamu satu cucuhan daripadanya atau aku dapat di tempat api itu: Penunjuk jalan.” (Ta Ha:10).
Ayat ini mahu menyampaikan bahawa Musa seoalah-olah berkata kepada keluarganya: kamu tunggu di sini! Aku akan meninjau keadaan sekitar untuk mengelakkan kamu daripada bahaya dan perkara yang memudaratkan. Dan aku akan bawa kepada kamu perkara yang bermanfaat dari segi maddi dan maknawi.

Dan Allah juga telah menjadikan ikatan hubungan suami isteri ini dengan aqad yang kukuh yang diikat sendiri oleh kamu. Kamulah yang wajib memeliharanya. Allah akan menghisab kamu faktor-faktor yang menjadi ikatan itu kekal kukuh atau terburai

“Dan bagaimana kamu tergamak mengambil balik pemberian itu padahal kasih mesra kamu telah terjalin antara satu dengan yang lain dan mereka pula (isteri-isteri kamu itu) telahpun mengambil perjanjian yang kuat daripada kamu?” (an-Nisaa’:21)

Adapun kesalahan wanita atau keaipan mereka, ia seumpama keaipan kamu dan kesalahan kamu. Kedua-dua kamu perlukan kesabaran untuk merawatnya. Namun tali kekangannya tetap berada di tangan kamu agar kapal ini hanya dikemudikan oleh seorang individu sahaja. Urusan keluarga bukan tempat untuk berebut kuasa atau beradu tenaga untuk jadi ketua sabagaimana yang cuba dilakukan oleh musuh-musuh Islam dan musuh-musuh kemanusiaan untuk mencarikkan ikatan yang suci ini. Mereka cuba menyalakan api pertentangan antara lelaki dan perempuan dengan mengunakan setengah kesalahan yang dilakukan oleh sebahagian suami dan mengaitkan kesalahan itu dengan sistem Islam, syariah rabbaniah yang telah meletakkan tanggungjawab kepimpinan di bahu lelaki, semua lelaki ke atas semua wanita, demi memelihara kesejahteraan masyarakat.

Sesungguhnya al-Quran telah menyatakan dengan ringkas dan padat semua sistem-sistem yang diperlukan oleh manusia. Semua itu tersimpul di dalam beberapa ayat yang sangat ringkas. “Demi malam apabila ia menyelubungi segala-galanya (dengan gelap-gelitanya), Dan siang apabila ia lahir terang-benderang; Demi Yang menciptakan (makhluk-makhlukNya) lelaki dan perempuan, (jantan dan betina); (Maksud al-Lail:1-3)

Malam dan siang, lelaki dan perempuan, saling bergandingan, lengkap melengkapi. Bukan berebut dan bersaing. Tiada kelebihan yang satu ke atas yang lain kecuali dengan melaksanakan peranan masing-masing.

Sebagai contoh, lihat isteri Firaun. Firaun mendakwa dirinya sebagai tuhan. Namun dakwaan itu sedikitpun tidak menjejaskan iman isterinya. Sebaliknya dua orang wanita lain yang menjadi isteri kepada dua orang nabi yang mulia, tidak mendapat apa-apa kelebihan di sisi Allah di sebabkan keingkaran mereka. Dan Maryam pula, seorang wanita solihah yang tidak bersuami. Jadi setiap individu mempunyai kedudukan tersendiri di sisi Allah. Ia dihisab secara berasingan daripada pasangan masing-masing. Setiap orang mempunyai masuliah fardiah yang tidak boleh dipikul oleh orang lain.

Ketika Nabi s.a.w. menyebut bahawa wanita seperti tulang rusuk yang bengkok, itu tidak bermakna keaipan bagi wanita kerana wanita tidak menciptakan dirinya sendiri. Dari sisi lain kita dapati tulang rusuk yang bengkok itulah sebenarnya bentuk yang paling baik dan paling ideal. Kalaulah tidak kerana tulang rusuk itu bengkok, jantung tidak akan berada dalam keadaan yang selesa dan tidak akan dapat menjalankan fungsinya membekalkan darah ke seluruh anggota. Sepasang paru-paru juga begitu. Jika tulang rusuk tidak bengkok, seluruh tubuh tidak dapat bernafas, insan tidak akan hidup sihat dan sejahtera, tidak akan mampu melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan ke atasnya.

Justeru, Allah Azza wa Jalla berkata, ketika kamu tidak suka kepada sesuatu perkara yang ada pada isteri kamu – kesempurnaan itu hanyalah milik Allah jua - kamu juga tidak terlepas dari kekurangan dan kesilapan. Dalam kontek ini Allah berfirman maksudnya:

“… Kemudian jika kamu (merasai) benci kepada mereka (disebabkan tingkah-lakunya, janganlah kamu terburu-buru menceraikannya), kerana boleh jadi kamu bencikan sesuatu, sedang Allah hendak menjadikan pada apa yang kamu benci itu kebaikan yang banyak (untuk kamu).” (An-Nisaa’:19)

Rasulullah s.a.w. pula telah menghuraikan perkara ini dengan terperinci dan praktikal yang kamu boleh laksanakan dengan segera. Kamu yang mesti laksanakan, bukan dia (isteri kamu) kerana kamu adalah pengemudi, kamu yang bertanggungjawab. Baginda bersabda maksudnya: “Janganlah seorang mu’min itu (suami) membenci seorang mu’minah (isterinya) kerana boleh jadi dia tidak suka pada sesuatu perangainya, dia suka perangainya yang lain”. Maksudnya di sini, jika kamu melihat sesuatu yang tidak ada kaitan dengan prinsip-prinsip iman, maka kamu mesti mengubah mood kamu sendiri, sehingga kamu dapat melihat dan mengiktiraf kelebihannya dari aspek yang lain yang pastinya terlalu banyak yang kamu sukai. Maka dengan itu perasaan benci dengan segera akan bertukar menjadi sayang.

Aku ingin mengingatkan kamu satu maklumat yang simple yang kadang-kadang kita lupa. Tidakkah zakat fitrah isteri kamu, anak-anak dan khadam kamu yang bayar walaupun isteri kamu seorang yang kaya raya? Itu merupakan lambang pertanggungjawaban yang dipikulkan ke atas kamu kerana itu bukan zakat harta. Zakat harta yang dimiliknya adalah tanggungjawab dia sendiri. Dia yang mesti tunaikan secara berasingan daripada kamu. Awas kamu! Jangan ambil sedikitpun daripada hartanya tanpa izinnya dan jangan halang dia berbuat baik kepada keluarganya mengikut sukanya. Jika kamu berbuat demikian maka hisab kamu di sisi Allah amat sukar. Allah mengharamkan kezaliman ke atas diriNya dan menjadikan kezaliman itu haram ke atas sesama hambaNya.

Jadilah kamu orang yang sentiasa setia kepada isteri kamu kerana Rasulullah s.a.w. sentiasa setia kepada isterinya Khadijah r.a., kesetiaan yang sungguh indah sehingga selepas Khadijah meninggal dunia. Ia menjadi contoh bagi seluruh umat manusia. Begitu juga baginda tidak menyembunyikan perasaan cintanya kepada Aishah r.a. ketika baginda ditanya siapakah manusia yang paling baginda cintai. Maka dengan spontan baginda menjawab dengan terang dan tegas: “Aishah!” Lalu sahabat berkata bahawa mereka bukan tanya tentang wanita, dan sekali lagi baginda menjawab: “Ayahnya!”. Baginda tidak berkata “Abu Bakar”, sebaliknya berkata: “Ayahnya”. Ia memberikan gambaran hubungan mesra dan intim antara baginda dan Aishah dan secara tidak langsung menggambarkan kedudukan Abu Bakar di sisi baginda.

Adakah kamu fikir ada ungkapan yang lebih indah daripada ini bagi menggambarkan rasa cinta seorang suami kepada isterinya? Unggkapan yang begitu tulus lahir dari bibir suami pastinya mampu memadam apa-apa kesilapan dan perselisihan antara kamu berdua.

Seandainya masalah yang kamu hadapi, na’uzubillah, sudah sampai ke tahap bercerai, dan cerai adalah perkara halal yang paling dibenci Allah, isteri yang diceraikan itu berhak tinggal di rumah kamu, hak yang ditentukan sendiri oleh Allah, agar dengan keberadaannya di rumah itu, hati kamu dan hatinya akan jadi lembut, dan perselisihan yang berlaku sebelumnya akan lebur. Tidakkah kamu nampak, dalam keadaan yang begitu genting sekalipun, Allah tetap menghendaki kamu melaksanakan tanggungjawab dengan sebaik mungkin. Perhatikan ayat-ayat berkaitan dengan talaq, kebanyakannya dibasahi dengan ciri-ciri kelembutan dan kebajikan. Lihat surah at-Talaq ayat 1 hingga 3.

Akhirnya jangan kamu lupa wasiat perpisahan kekasih kita s.a.w. “Hendaklah kamu berpesan agar berbuat baik kepada wanita…”. Sungguh mengkagumkan, wasiat ini digandingkan dengan wasiat supaya menjaga solat. Tidakkah kamu rasa bahawa ia merupakan suatu perkara yang sangat penting?

Justeru, wahai saudaraku para suami, di manapun kamu dan dalam keadaan apapun, maka setia dan setialah kepada isteri kamu! Berbuat baik dan berbuat baiklah kepada isteri kamu! Beri perhatian dan beri perhatianlah kepada perasaan isteri kamu! Berbakti dan berbaktilah kepada keluarga isteri kamu! Bantu dan bantulah isteri kamu untuk berbakti kepada keluarganya. Bawalah isteri kamu memikul bersama kamu beban keluarga dan beban dakwah. Jadikan dia sandaran belakang kamu supaya dia dapat berjalan seiring kamu sambil membawa risalah dakwah yang diwajibkan Allah ke atas kamu.

Awas dan awas daripada mengambil hartanya tanpa kerelaannya. Adapun jika dia rela, Allah telah jelaskan hukumnya di dalam firmanNya yang bermaksud: “… Kemudian jika mereka dengan suka hatinya memberikan kepada kamu sebahagian dari mas kahwinnya maka makanlah (gunakanlah) pemberian (yang halal) itu sebagai nikmat yang lazat, lagi baik kesudahannya. (An-Nisaa’:4)

Ingat neraka dan neraka! Selamatkan isteri kamu darinya. “Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari Neraka…” (At-Tahrim:6)

Ingat syurga dan syurga. Bawalah dia bersama kamu serta anak-anaknya. “Mereka dengan pasangan-pasangan mereka bersukaria di tempat yang teduh, sambil duduk berbaring di atas pelamin;” (Ya Sin:56)

Dan ingatlah juga bahawa orang yang terbaik dalam kalangan kita ialah yang paling baik kepada isterinya. Dan sesungguhnya Rasulullah s.a.w. orang yang paling baik kepada isterinya dalam kalangan seluruh umat manusia. Maka adakah kita mencontohinya?

Akhirnya, Rasulullah s.a.w. menamakan kamu suami yang mulia (zauj karim) selama kamu melaksanakan wasiatnya yang bermaksudnya: “Tidak memuliakan wanita kecuali orang (suami) yang mulia, dan tidak menghina wanita kecuali orang yang tercela!”. Maka jadilah kamu wahai saudaraku suami muslim yang mulia. Semoga Allah berkati kamu pada isteri kamu, harta kamu dan anak-anak kamu. Semoga Allah rahmati ibu bapa kamu dan ibu bapa isteri kamu sama ada mereka masih hidup di dunia ini atau telah berpindah ke alam abadi. Semoga Allah himpunkan kamu berdua dalam kebaikan dunia dan akhirat. Semoga Allah berkati zuriat kamu berdua.

Sesungguhnya aku telah berbicara kepada para isteri dalam muktamar lepas dengan membawakan satu Hadis yang menjamin pahala untuk mereka, iaitu seorang wanita yang melayan suami dengan baik pahalanya menyamai jihad, solat jamaah, solat jumaat dan mengiringi jenazah. Dan redanya kamu kepada mereka merupakan pintu untuk mereka masuk syurga.

Aku berharap kamu tidak lupa kepada kami dalam doa-doa kamu yang baik-baik.
Was-salamu’alaikum wr.wb.

Saudara kamu,
Dr. Muhammad Badi’
Murshid Am Ikhwan Muslimin.

SulamKaseh :
Kandungan surat ini, telah kami perolehi dari seorang rakan melalaui email. Oleh itu, tidak di ketahui sumber asal nya.. moga bermanfaat buat semua.. Ameen.
Ramadhan Kareem...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...