Jika anda termasuk orang yang gemar menonton acara TV `Discovery Chanel pasti kenal Mr. Jacques Yves Costeau, ia seorang ahli Oceanografer dan pakar selam terkemuka dari Perancis.

Orang tua yang berambut putih ini sepanjang hidupnya menyelam ke berbagai dasar samudera di seantero dunia dan membuat filem dokumentari tentang keindahan alam dasar laut untuk ditonton oleh seluruh dunia.
Pada suatu hari ketika sedang melakukan eksplorasi di bawah laut, tiba-tiba Captain Jacques Yves Costeau menemui beberapa kumpulan mata air tawar-segar yang sangat sedap rasanya kerana tidak bercampur/tidak melebur dengan air laut yang masin di sekelilingnya, seolah-olah ada dinding yang membatasi keduanya.

Fenomena ganjil itu menjadikan Mr. Costeau pelik dan mendorongnya untuk mencari jawapan penyebab terpisahnya air tawar dari air masin di tengah-tengah lautan.

Ia mulai berfikir, jangan-jangan itu hanya halusinansi atau khalayan sewaktu menyelam. Waktu pun terus berlalu setelah kejadian tersebut, namun ia tak juga mendapatkan jawapan yang memuaskan tentang fenomena ganjil tersebut.

Sehingga pada suatu hari ia bertemu dengan seorang profesor muslim, kemudian ia pun menceritakan fenomena ganjil itu. Profesor itu teringat pada ayat Al Quran tentang bertemunya dua lautan (surat Ar-Rahman ayat 19-20) yang sering diidentikkan dengan Terusan Suez.

Ayat itu berbunyi “Marajal bahraini yaltaqiyaan, bainahumaa barzakhun laayabghiyaan…” Artinya: “Dia membiarkan dua lautan mengalir yang keduanya kemudian bertemu, antara keduanya ada batas yang tidak dilampaui masing-masing. Kemudian dibacakan surat Al Furqan ayat 53 di atas.
Selain itu, dalam beberapa kitab tafsir, ayat tentang bertemunya dua lautan tapi tidak bercampur airnya diertikan sebagai lokasi muara sungai, di mana terjadi pertemuan antara air tawar dari sungai dan air masin dari laut.

Namun tafsir itu tidak menjelaskan ayat berikutnya dari surat Ar-Rahman ayat 22 yang berbunyi “Yakhruju minhuma lu’lu`u wal marjaan” Ertinya “Dari keduanya keluar mutiara dan marjan.” Padahal di muara sungai tidak ditemui mutiara.

Terpesonalah Mr. Costeau mendengar ayat-ayat Al Qur’an itu, melebihi kekagumannya melihat keajaiban pemandangan yang pernah dilihatnya di lautan yang dalam.


Al Qur’an ini mustahil disusun oleh Muhammad yang hidup di abad ke tujuh, suatu zaman semasa belum ada peralatan selam yang canggih untuk mencapai lokasi yang jauh terpencil di kedalaman lautan.


Benar-benar suatu mukjizat, berita tentang fenomena ganjil 14 abad yang silam akhirnya terbukti pada abad 20. Mr. Costeau pun berkata bahawa Al Qur’an memang sesungguhnya kitab suci yang berisi firman Allah, yang seluruh kandungannya mutlak benar. Dengan seketika dia pun memeluk Islam.
Subhanallah… Mr. Costeau mendapat hidayah melalui fenomena teknologi kelautan. Maha Benar Allah yang Maha Agung. Shadaqallahu Al `Azhim.

Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Sesungguhnya hati manusia akan berkarat sebagaimana besi yang dikaratkan oleh air.” Bila seorang bertanya, “Apakah caranya untuk menjadikan hati-hati ini bersih kembali?” Rasulullah s.a.w. bersabda, “Selalulah ingat mati dan membaca Al Quran.
sumber : informasikini
Beberapa hari lepas, ada satu peristiwa yang agak meruntun hati.
Saat itu, saya berada dalam tahiyat awal, iaitu duduk semasa rakaat kedua solat Asar.  Aleeya yang berusia 10 bulan lebih merangkak menuju ke arah saya dan merebahkan kepalanya di atas riba.  Dia diam sahaja.  Hati seorang ibu mana yang tidak tersentuh dengan aksi manja bayi kecilnya begitu.  Dalam keheningan menunaikan solat pula.

Ya Allah… bersyukurnya padaMu atas kurniaan perasaan yang indah ini.  Perasaan kasih sayang itu menyapa lembut di hati kepada bayi yang pernah dikandung lebih 9 bulan.  Dan perasaan kasih itu begitu mendalam.  Ia lebih hebat dari rasa kasih pada mana-mana insan di dunia ini.

Habis membaca tahiyat, saya menunggu seketika.  Saya teringatkan Rasulullah s.a.w yang hanya bangun seusai cucunya beredar dari belakangnya.  Untuk mengetahui lebih lanjut, boleh rujuk video dalam entry ‘Komunikasi dengan Kanak-kanak Cara Rasulullah s.a.w’.  Rasulullah s.a.w membiarkan cucunya bermain puas-puas dahulu di atas belakangnya sedangkan waktu itu baginda sedang sujud.

Itu pun kerana saya baru menyalin lampin Aleeya sebelum memulakan solat.  Jadi saya kira dia masih dalam keadaan bersih dari najis.  Kalau lampin dia sudah kotor, biasanya saya akan angkat dan letak dia di sisi.
Seketika kemudian, melihat dia bangun sedikit, saya tidak berlengah lagi untuk menyambung qiyam (berdiri) bagi rakaat ketiga.

Subhanallah!  Alhamdulillah!   Peristiwa Aleeya datang baring di atas ribaan saya itu hakikatnya jawapan Allah s.w.t secara halus mengenai kerisauan saya sejak akhir-akhir ini.

Biar penat sedikit di dunia asalkan dapat berehat sepenuhnya di akhirat kelak

Dalam meniti perjalanan hidup dunia menuju akhirat, saya melalui fasa-fasa kehidupan sebagaimana ramai insan di luar sana. Ada masa pasang surut sama ada pada amalan dan juga keimanan.  Sudah ditakdirkan saya bersama anda semua berada di zaman iman dan taqwa yang susah untuk meningkat naik.  Kalau dapat konsisten, itu dikira sudah cukup baik.  Insya Allah.

Kadang-kadang saya merasa cemburu dengan para sahabat dan ummah di zaman Rasulullah s.a.w.  Mereka dapat bertemu Rasulullah s.a.w secara langsung dan hidup di zaman keimanan setiap mukmin sering meningkat lewat ujian yang dihadapi.  Namun bila difikirkan secara lebih mendalam, saya percaya saya tidak mampu menjadi seperti mereka andai hidup di zaman mereka.  Ini  disebabkan saya mempercayai kalam Allah dalam surah Al-Baqarah, ayat  286,
“ Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya.”
Saya risau akan dosa-dosa yang sentiasa dilakukan setiap hari.  Kadang-kadang hati lembut dan mudah tersentuh dengan ingatan-ingatan.  Kadang-kadang yang lain, hati terasa keras kematu- susah tersentuh.  Lalu saya beristighfar dan cuba muhasabah diri, amalan mana yang perlu diperbaiki lagi.  Terutama hubungan dengan suami dan hubungan dengan anak-anak kerana sebahagian besar masa saya adalah bersama mereka di rumah.

Tatkala berusaha memperbaiki diri, saya berfikir adakah Allah masih sudi memberi perhatianNya pada saya yang sering tidak konsisten dalam memelihara taat dan ikhlas?  Namun dalam masa yang sama,  sentiasa mahu kembali kepadaNya.  Dalam kebingungan itulah, Allah takdirkan peristiwa yang tercatat di atas serta memberi ilham bahawa jika hubungan saya sebagai ibu dengan anak kandung sudah melahirkan rasa kasih sedemikian rupa, apalah sangat jika hendak dibandingkan rahmatNya yang melaut luas dan berganda-ganda lagi dari kasih sayang saya pada anak sendiri?

Saat bayi itu datang merangkak perlahan menuju ibunya, naluri kasih seorang ibu tidak akan lari, sebaliknya ibu itu akan segera menyambut kedatangan bayinya… yang serba lemah itu.

Saat bayi itu menyentuh kepalanya di atas paha ibunya, naluri sayang seorang ibu membuatkan ibu itu tersenyum melihat kelakuan anaknya yang mendambakan dirinya.
Perlakuan bayi yang mahu dimanja biasa disambut mesra oleh si ibu.

Tidak sesekali ibu itu merasa marah apatah  lagi mahu menjauhkan diri dari bayi kecilnya.
Bahkan si ibu akan bergerak lebih cepat menuju bayinya tatkala bayi menangis mencari dirinya.

Ya Allah… hebat dan agungnya nilai sebuah kasih sayang.

Kasih sayang yang ada pada seorang ibu memadamkan segala penat lelah menguruskan si bayi- makan minum, tawa tangis dan membersihkan bayi setiap hari, berkali-kali.

Itu baru kasih sayang ibu pada anaknya, kasih sayang Allah mengatasi segala kasih makhluknya kepada hambaNya.

Jika dahulu tatkala saya menukilkan perumpamaan,
Sekasih ibu pada anaknya,
Sayang lagi Nabi pada umatnya.
Sesayang Nabi pada umatnya,
Cinta lagi Allah pada hambanya.

Dulu saya menukilkan ungkapan di atas tanpa merasai sendiri perasaan kasih seorang ibu… cukup dengan memerhati naluri keibuan orang lain.  Namun hari ini, Allah beri saya merasainya sendiri.  Ya Allah… ia cukup hebat.  Ungkapan di atas adalah untuk menzahirkan kasih sayang Allah yang tidak bertepi pada setiap hambaNya dan peluang yang terbuka luas untuk setiap insan mendekatkan diri padaNya.

 Abu Hurairah r.a melaporkan daripada Rasulullah s.a.w, katanya,
Allah Azza wa jalla berkata dalam Hadis Qudsi,  ”Aku adalah menurut sangkaan
hambaKu dan Aku akan selalu bersamanya selama ia berdoa padaKu.”
“Demi Allah,  nescayalah Allah itu lebih gembira kepada taubatnya seseorang
hambaNya daripada seseorang di antara kamu semua yang menemukan sesuatu bendanya
yang telah hilang di padang yang luas.”
“Apabila seseorang mendekatiKu dalam jarak sejengkal, maka Aku mendekatinya dalam jarak sehasta.  Sesiapa mendekatiKu dalam jarak sehasta,  maka Aku mendekatinya dalam jarak sedepa. Jikalau hambaKu itu mendatangi Aku dengan berjalan, maka Aku mendatanginya dengan berlari.”
Hadis-hadis direkodkan oleh Imam Muslim.

Mutiara Untuk Pembaca

Sebenarnya setiap orang akan ada saat-saat yang menyentuh hatinya serta menimbulkan keinsafan… sama ada melalui perantaraan manusia atau peristiwa lain yang dihadapi setiap hari.  Ia merupakan nasihat-nasihat secara langsung dari Allah untuk kita.  Itu petanda Allah sentiasa memberi perhatian dan mahu menarik perhatian kita kepadaNya.  Jika kita sedar dan faham iaitu memandang dengan hati terbuka untuk menerima hidayahNya, kita akan merasa seronok dan bahagia dengan perhatian-perhatian tersebut.  Namun jika kita menutup pintu hati, maka kita akan memandang dengan rasa jengkel serta mahu lari dari kasih sayang Allah itu.   Na’uzubillah.
Carilah perhatian dan petunjuk-petunjuk Ilahi dari setiap peristiwa, nescaya engkau akan menemui cintaNya yang abadi.
Wassalam.
Ummu Abbas
2 Rabie’ Awwal 1433H
7.47pm
Melbourne
Jordan merupakan sebahagian daripada negara Syam yang mempunyai nilai yang sangat tinggi dalam sejarah keagungan umat Islam.

Inilah bumi yang telah menempatkan ramai para rasul yang telah menghabiskan hayat mereka untuk berdakwah bagi mendaulatkan agama Allah swt.

Inilah bumi yang telah menyaksikan pertembungan yang besar di antara Islam dan kuasa besar Rom di Mu'tah ( معركة مؤتة , غزوة مؤتة) di akhir kehidupan Rasulullah saw apabila seramai 3,000 tentera Islam telah berhadapan dengan lebih 150,000 tentera Rom Byzantine.

Inilah bumi yang menempatkan tempat Umar al Khattab untuk bermalam sebelum beliau menerima kunci bagi membuka kota Baitul Maqdis pada tahun ke 15 H/641M.

Inilah juga bumi yang telah menyaksikan berulangnya sejarah kegemilangan Islam apabila generasi Solahuddin berjaya mengalahkan pasukan tentera Salib yang sebenarnya merupakan batalion tentera terkuat di dunia pada ketika itu (gabungan tentera daripada 22 negara-negara Eropah).

Semoga umat kini mampu menekuni & menghayati sejarah kegemilangan ini.

Sumber :

Satu artikel yang sangat baik untuk di baca, di fahami dan di hadam oleh kita semua, yang bergelar ibubapa.. InsyaAllah..
Ya Allah.. bantulah hambaMu ini, untuk menjadi ibu yang terbaik buat anak - anakku..

Minggu lalu, ketika menjamah makanan makan malam di sebuah restoran semasa dalam perjalanan ke airport, rakan-rakan yang bersama menghantar saya berbicara berkenaan pelbagai isu. Hj Rosman kemudian menzahirkan kebimbangan beliau berkenaan kes jenayah yang wujud di Malaysia. Kes-kes sedemikian agak kurang berlaku di Bahrain.
Natijah dari kebimbangan tersebut, beliau bertanya
"pada pandangan ustaz, macam mana cara untuk selesaikan masalah ini"
Saya berfikir sejenak, sudah tentulah jawapan paling mudah bagi seorang ustaz adalah berkata
"kita kena kembali kepada Islam"
Tetapi disebabkan jawapan itu terlalu umum, maka saya mengambil keputusan untuk tidak memberikan idea itu.
"Ia perlukan penyelesaian secara kolektif, semua pihak perlu ada kesedaran untuk merubah keadaan" demikian jawapan permulaan saya.
"Namun yang paling utama perlu berperanan, adalah ibu bapa atau keluarga"
Saya mengulang kembali ingatan sedih dan pedih kita kepada kes Al-Marhumah Nurin Jazlin yang dibunuh kejam dan masih gagal diselesaikan oleh pihak berkuasa Malaysia sehingga kini.
"Bukankah Nurin dibunuh oleh seorang manusia?, sudah tentunya manusia ini dilahirkan ke dunia oleh seorang ibu dan pastinya dia punyai bapa dan keluarga"
"Namun apakah yang menjadikannya sebegitu kejam?" saya menrang sambil mengajak berfikir.
Memang benar, pelbagai faktor menyumbang, namun bagi saya ia bermula dari hasil didikan pertama ibubapa, sesuai dengan apa yang disabdakan oleh nabi s.a.w
"Setiap anak dilahirkan dalam keadaan fitrah (tidak mempersekutukan Allah) tetapi orang tuanya lah yang menjadikan dia seorang yahudi atau nasrani atau majusi. Sebagaimana seekor binatang yang melahirkan seekor anak tanpa cacat, apakah kamu merasakan terdapat yang terpotong hidungnya? (Riwayat Al-Bukhari & Muslim)
Sudah tentu juga ibubapa yang berperanan untuk mencorakkan seorang bayi sehingga menjadi seorang Muslim, mukmin yang bertaqwa.
Kita tidak nafikan faktor persekitaran yang sentiasa menghurungi anak-anak kita khususnya di sekolah, melalui internet, rakan-rakan, games, TV dan lainnya.
JANGAN DIDIK ANAK SECARA SPONTAN
Namun tidak boleh dinafikan, ibubapa mempunyai saham terbesar. Anak-anak adalah satu tugas terbesar buat ibubapa yang sering diabaikan. Sedangkan mereka semua adalah suatu aset dan ‘pelaburan' terpenting. Namun amat kerap mereka menjadi mangsa kurang teliti, kurang perhatian dan tiada perancangan jitu oleh sang ibubapa.
Akhirnya, sebuah aset yang ditangani secara lebih kurang akan menghasilkan hasil yang bukan lebih kurang juga, tetapi hasil lebih buruk malah membawa padah.
Memang benar, kegagalan merancang pendidikan anak-anak adalah sebuah kegagalan masa depan.
Ramai yang merasakan, pendidikan anak-anak boleh dibuat secara spontan, bergantung kepada hari dan masa. Dalam kata lain, bergantung kepada keadaan.
Hakikatnya, anak tidak boleh dididik secara spontan, ia memerlukan satu pelan perancangan khas untuk menjadikan lebih mudah dibentuk. Mendidik mereka seperti mengendalikan sebuah syarikat awam yang sentiasa memerlukan plan induk, teknik khas, contingency plan dan monitoring system.
Kerana itu kita perlukan seorang Chief Operating Officer (COO) untuk anak-anak. Menurut teori ideal Islam, COO yang paling ideal bagi pendidikan anak-anak adalah seorang IBU. Bapa bertindak sebagai Chief Executive Officer (CEO) yang mana,, ruang lingkup tugasan, peranan dan tanggungjawabnya lebih besar dan menyeluruh.
"Namun apabila hari ini kedua-dua ibubapa sibuk mencari nafkah, aset di rumah terabai dek kerana pendapatan RM 2,000 (purata) atau RM 5,000 sebulan si ibu"
Anak-anak diswastakan kepada nursery yang kurang pengalaman. Kurang penghayatan, kurang sensitiviti dan seumpamanya.
Kita boleh menghantar mereka ke pelbagai jenis kursus dan kem untuk menyuntik sesuatu, namun pokok pangkalnya tetap di atas bahu kita selaku ibubapa. Kalaupun anak telah berubah hasil tarbiyah di dalam kursus, mereka akan tetap melupakan nilai baik tersebut jika ibu bapa masih di takuk lama.
WAHAI IBUBAPA, HORMATI ANAKMU NESCAYA KAMU DIHORMATINYA
"Treat your child with respect" itu saranan Richard Templer, penulis buku parenting yang popular.
Saya amat selesa dengan saranan tersebut, seorang ibubapa yang bijak perlu mengendalikan dan melayan anak-anak mereka dengan penuh penghormatan. Kelak anak-anak akan mencontohi tatacara yang sama.
Biasanya apabila orang dewasa meminta bantuan seorang dewasa yang lain, mereka akan menggunakan bahasa yang sopan. Itu adalah kerana mereka sedar, yang diminta itu tidak mesti untuk membantu, kita perlukan ihsan mereka untuk membantu. Atas sebab itu, kata-kata sopan digunakan, demi memujuk dan mearih ihsan.
Bukankah elok jika cara yang sama untuk anak-anak kita, cuba kita jangan merasakan si anak sentiasa WAJIB untuk mematuhi arahan kita. Kelak nanti si anak apabila meminta kepada ibubapanya atau orang lain, dirasakan mereka semua wajib menurut arahannya.
Si anak juga kerap meminta ibubapanya, mainan itu dan ini. Namun sedikit yang diperolehi.
Maka si anak akan menghadapi kekeliruan.
"ibubapa minta, semua aku kena buat, aku minta, ibubapa tak buat semua pulak"
Lebih teruk dari itu, arahan dari ibubapa kerap dihamburkan dengan kata-kata perintah tanpa hormat dan pujukan serta ihsan. Contohnya:
"makan tu"
"Habiskan ini!"
"Pergi mandi!"
"Cepat masuk kereta!"
"Gosok gigi!"
"Kenapa sepah sangat ni, cepat bersihkan!"
"Heiii, kenapa buat macam tu!"
Itulah yang kerap dilaungkan oleh ibubapa, memekik melolong setiap pagi dan petang serta malam.
Setiap hari anak akan mendengar lolongan kuat menerjah telinga dan hatinya. Kalimah-kaalimah arahan dan larangan sebegitu sudah terlalu biasa, lali hingga ia menjadi masak dan sebati dek pemikiran dan hatinya.
Pada masa yang sama, kita akan dengar kedapatan ibubapa yang mengeluh kerana anaknya kurang beradab ketika remaja dan dewasa. Sedarkah bahawa si anak sebenarnya telah ‘berjaya'. Ya berjaya dalam mencontohi model yang diterapkan oleh ibubapanya sendiri. Namun kini ibubapa merasa sedih dan tidak selesa. Sedarkah ibubapa bahawa si anak yang dibesarkan sedemikian rupa menyangka itulah cara arahan dan permintaan yang terbaik. Bukankah itu yang ditunjukkan oleh ibubapa mereka?.
Justeru, lebih kasar sang ibubapa terhadap anaknya, akan kasar jualah anak terhadap ibubapanya dan orang lain, khususnya di ketika remaja dan dewasa.  Malah lebih mendukacitakan, itulah cara yang akan dibawa ke sekolah, mempengaruhi kawan-kawan dan akhirnya menjadi penjenayah yang merasakan tindakannya ‘ok' atau tidak bersalah. Puncanya dari cara didikan dan layanan ibubapa yang kasar.
Patut kita sedari di awal bulan hijrah 1431 ini, bahwa anak layak mendapat sebuah penghormatan, semudah-mudah penghormatan adalah dengan memilih ayat dan kata-kata yang manis didengari, intonasi yang sedap didengar. Cuba tambah sikit sahaja sebagai contoh
"boleh tolong ibu ambilkan barang itu"
"Adik baikkan, tolong ummi kemaskan meja ini boleh?"
Dan pelbagai lagi bentuk ayat yang serupa dengannya.
Di samping itu, jangan sesekali memungkiri janji,, membohongi anak dan lain-lain kelakuan negaitf. Selain anak akan mengambil contoh, mereka juga akan merasa kurang penting berbanding yang lain.
TUNJUKKAN PERHARGAAN TERHADAPNYA
Juga menjadi kebiasaan ibubapa hari ini. Bangun sahaja anak dari tidur dan terus dia menghala ke dapur.
Ibu yang terlihat anak, ayat pertamanya :
"hah apa lagi tu, dah gosok gigi, pergi basuh muka dan gosok gigi!"
"Lepas tu pergi buat itu ini bla la bla"
"Mak boleh tolong angah buat kerja ini tak" pinta si anak lembut
"Ehhh nanti-nanti!, mak tengah sibuk goreng ayam ini" mungkin itu jawapan si ibu.
Terasa dalam hati si anak, dirinya ibarat tidak berharga, kemunculannya hanya bersedia untuk diarah dan ditengking.
Permintaan tidak banyak erti buat si ibu, ‘gorengan ayam lebih utama dari perminataannya.
Malah ketika pulang dari sekolah juga, ibubapa tidak menyambut tetapi dibiarkan anak begitu sahaja.
Tahap si anak ibarat sebuah perabot buruk dan pekakas rumah sahaja. Wujudnya tidak disedari, hilangnya tidak diendah.
Pastinya, anak akan menyimpan itu sebagai standard kehidupan. Nanti kelak itu jugalah yang diperlakukan di masa hadapan.
Kalau ada perhatian dari ibubapa, mungkin hanya perintah demi perintah, larangan demi larangan sahaja.
Justeru, sudah sampai masa kita mengubahnya, kita berhijrah.
Sedarilah bahawa, tatkala kita sedang melakukan tugasan harian di rumah, mengemas baju, memasak dan sebagainya, tatkala anak muncul, anak punyai priority yang lebih tinggi. Jangan dijadikan alasan, tengah buat kerja, basuh baju, gosok baju, jahit baju dan lainnya, kerana tatkala anak muncul, itulah kerja yang paling besar keutamaannya untuk dipenuhi.
Tunjukkan rasa seronok dan gembira kita selaku ibubapa ketika melihatnya, sewaktu pulang dari sekolah (atau sewaktu kita pulang dari kerja), melihatnya di awal pagi dan berpisah dengannya ketika waktu malam untuk tidur. Ia boleh dilakukan dengan ucapan-ucapan yang baik, atau sedikit pelukan dan sentuhan tanda mereka penting buat kita.
KESIMPULAN
Semoga dengan sedikit peringatan untuk diri ini, kita semua mampu berubah menjadi ibubapa yang berperancangan dan memperbaiki pendidikan anak-anak.
Kerana anak-anak itulah kelak bakal menjadi sama ada Imam besar, Pemimpin Negara, Ulama Besar, atau sebaliknya menjadi perompak terulung, penjenayah bersiri dan pengkorup unggul. Nauzubillah.
Perbaikilah masyarakat kita melalui kesedaran peranan ibubapa. Jenayah hakikatnya bermula dari rumah dan perlu ditangani bermula di rumah juga.
Sekian
 
Zaharuddin Abd Rahman
4 Muharram 1431 H
21 Disember 2009
Satu kupasan jawapan yang baik dari kak Ummu Abbas.
Sebenarnya Ummi pun pernah di tanyakan dengan soalan yang lebih kurang macam ni.. dan, jawapan ummi pun InsyaAllah lebih kurang sama.. cuma, tidak lah pandai nak menyusun kata - kata yang begitu baik seperti Kak Ummu Abbas ni.. ^_^

InsyaAllah bermanfaat buat semua. Ameen.

Bismillah.
Entry kali ini, saya copy paste soal jawab melalui email sahaja dengan sedikit suntingan dan penambahan jawapan.
Wassalam.

Assalamu’alaikum..ustazah..
Saya ada soalan… Non- Muslims people keep asking us this question:How do the Muslim kid know her mother while she wear Niqab between many women wearing Niqab ? Anyone have an answer for them?..so, saya tanya pendapat kawan2 saya..ramai cakap instinct ..saya baru terjumpa ustazah punya blog dan kalau tidak silap ustazah pakai purdah..mungkin ustazah boleh share jawapan yg lebih ilmiah..thankss ~
Muhammad
******************************
From:
To: ”ummu_abbas@ymail.com” <ummu_abbas@ymail.com>
Sent: Monday, 12 December 2011 6:57 PM
Subject: soalan
Wa’alaikum salam warahmatullah.
Muhammad,
:) :) :)
Maaf ye… icon di atas menggambarkan reaksi awal saya tatkala membaca soalan saudara… saya tidak senyum dan ketawa kepada saudara tetapi kepada soalan yang ditanya.
Namun tidak mengapa… ia soalan yang baik untuk diberi penjelasan buat mereka yang keliru.
Benar, menurut pengalaman saya, ‘instinct’ adalah satu jawapan yang kurang tepat… ada hujjah aqli yang lebih kuat.
Insya Allah, saya mahu survey pandangan rakan-rakan yang berpurdah terlebih dahulu.  Dan saya akan kongsikan bersama saudara dan juga di dalam blog.
Jawapan lojiknya ada di sekitar manusia itu sendiri sebenarnya jika mereka mahu berfikir jauh sedikit.  Namun jika berfikir bercampur prejudis atau kita sudah ada persepsi tertentu, agak sukar sikitlah untuk melihat hikmah di sebalik kebenaran dalam beragama.  Saya tujukan kata-kata ini kepada mereka yang prejudis terhadap ajaran agama sendiri dan juga golongan non-muslim yang melihat Islam adalah satu agama yang memayahkan umatnya.
Mohon bersabar sedikit kerana sudah tentu saya juga perlukan masa untuk mendapatkan feedback dari rakan2 niqabis.
Wassalam.
*******************
Thanks a lot .. saya pon dah cuba tanya kawan2..tapi yelah..saya cuba nak carikan jawapan yang lebih ilmiah dan tepat dari orang yang berilmu dan memakainya sendiri..bila non-muslim tanya soalan macam tu saya sendiri pon tak tahu bagaimana nak beri jawapan yang terbaik (kurang ilmu)
Muhammad
********************
From: W Nor Ainon W Abdullah <ummu_abbas@ymail.com>
To:
Sent: Monday, January 2, 2012 11:18 AM
Subject: Pasal Purdah
Sedikit perkongsian setakat termampu:
Jawapan kepada persoalan yang pernah dikemukakan sebelum ini lebih kepada aqli.  Memang begitu adatnya, jika akal manusia sudah mampu berfikir mengenainya, petunjuk naqli tidak diperlukan.
Cuba tanya mereka kembali, bagaimana jika adik beradik atau ibubapa yang membesar bersama-sama di dalam satu rumah menelefon mereka, adakah mereka mampu mengecam atau tidak suara tanpa tuan di dalam talian?
Adakah bila terdengar derap langkah orang yang rapat [seperti ibubapa dan adik beradik yang tinggal serumah sejak kecil] menuju ke muka pintu, mereka boleh mengecam siapakah itu?
Kita biasa lihat wawancara di dalam TV dengan orang tertentu tanpa melihat wajahnya, kita boleh kenalkah suaranya? [Maksudnya dengan tokoh yang sudah dikenali ramai namun kadang-kadang tokoh tersebut berada di luar kawasan.  Jadi wawancara menerusi talian telefon digunakan]
Kita lebih-lebih lagi biasa mendengar tokoh atau agamawan tertentu yang sudah biasa bercakap di radio, kita akan kenal siapa yang bercakap tanpa melihat tuannya.
Pengenalan kepada seseorang lebih dari sekadar melihat rupa paras… kalau mendengar suara sahaja, kita mampu membezakan siapakah empunya suara, inikan pula niqabi yang masih kelihatan dua biji matanya… atau jika tidak kelihatan 2 biji mata, saiz tubuh, ketinggian dan cara gerak-gerinya tetap berbeza dari individu yang lain.
Jika kita beralasan, ada sesetengah orang suaranya hampir sama- jawapannya kita ada istilah ‘pelanduk dua serupa’.  Maknanya, kadang-kadang rupa seseorang juga boleh hampir sama… namun kita mengenal pasti seseorang dalam banyak aspek, dan bukannya satu aspek sahaja.
Kami pernah melihat seorang sahabat dari jauh berjalan menuju ke arah kami (tidak nampak muka sebab jauh)… pada masa itu, dia tidak memakai purdah.  Terkeluar dari mulut kami, “Tengok cara berjalan sahaja sudah tahu itu Norma”.  Apabila sahabat itu dekat dengan kami, memang sah ia adalah Norma.
Kalau keakraban kita yang tidak seakrab seorang ibu dan anak sekalipun, kita mampu mengecam seseorang tanpa melihat wajahnya… apatah lagi kemampuan seorang anak dalam mengenal ibunya.  Yang mana seseorang anak itu membesar 9 bulan dalam rahim ibunya.  Selepas dilahirkan, bayi itu menyusu dan sentiasa mendapat sentuhan, belaian dan pelukan hangat dari ibunya.  Suara ibunya begitu sinonim dengannya sejak ia berada dalam kandungan.  Gerak geri ibunya, derap langkah ibunya dan kelibat ibunya semua tercerna secara semulajadi dalam diri seorang bayi yang dibelai sepenuh masa.
Berbanding seorang ibu yang bukan sahaja tidak berpurdah, bahkan tidak menutup aurat di luar rumah namun tidak suka membesarkan sendiri anak-anaknya, ibu begini akan dijauhi anak-anaknya, bahkan anak-anaknya mungkin lebih mengenali seorang ‘bibik’ dari ibu kandungnya sendiri.
Biasa berlaku seorang anak akan mengikut orang dewasa yang bukan ibubapanya kerana tersalah sangka- sedangkan ibubapa tersebut tidak pun memakai purdah… Dalam kes begini, purdah sedikit pun tidak menjadi penyebab kepada kekhilafan anak tersebut.  Atau sememangnya kanak-kanak terdedah kepada sifat lemah dalam memerhati?
Ini salah satu komen kenalan niqabi di Facebook;
Assalamualaikum. Ana nak kongsi pengalaman ana bila ana berjumpa dengan seorang pasangan suami isteri ini. Mereka ini sangat baikkk dengan ana. Ana suka mereka. Kakak tu bernama Kak Yong. Cara mereka ..subhanallah..sangat menyejukkan mata dan buat ana nak nikah cepat. ehehe. Selepas makan bersama, ana jaga anak kecilnya..rasanya..tak sampai setahun. Masa Kak Yong tu solat, anak dia tu, main-main dengan ana. Selepas ibunya solat dan pakai purdah, anak dia masih dengan ana. Tapi, tiba-tiba dia toleh pada ibunya. dan dia merangkak laju pergi pada ibunya. Mungkin disebabkan bau badan ibu dia (menuju ke arah-editor) ibunya. wallahualam.
(Untuk makluman, ‘ana’ dalam komen di atas juga seorang gadis yang berpurdah dan memakai purdah ketika bermain-main dengan anak Kak Yong)
Satu lagi, seingat sayalah, tidak pernah lagi baca berita dari Arab Saudi yang mewajibkan muslimah warganegaranya di Tanah Haram memakai purdah, berlaku kes anak tersalah ikut ibunya, atau suami tersalah bawa balik isteri.  Di sana lagilah nampak sama sebab semuanya pakai serba hitam.
Rumusan saya, sesuatu yang ada di dalam syariat tetap akan memberi manfaat dan sedikit pun tidak memayahkan jika ia ditanggapi dengan keimanan dan ketaqwaan kepada Allah.  Saya sendiri tidak pernah terfikir tentang kemungkinan suami tidak akan mengenali saya sebagai isterinya atau anak-anak tidak akan mengenali saya sebagai ibunya semata-mata kerana saya berpurdah.  Apatah lagi untuk bimbang mengenainya.
Alhamdulillah, dari 6 orang anak, tidak pernah sekali pun anak-anak mengikut orang lain kerana tersalah sangka bahawa itu ibu mereka.
Saya meyakini bahawa Allah adalah Tuhan yang Esa… dan saya meyakini bahawa setiap yang ada di dalam syariatNya ada kebaikan di sebaliknya serta tidak memudaratkan imma ianya ditatang sebagai hukum khilaf di kalangan ulama.
Saya kira memadai setakat ini dulu respon saya.
Mohon maaf atas segala kekurangan.
Wassalam.
***************
Terima kasih sangat2..saya share dengan kawan2 ..
Muhammad.
*************************
Apa yang baik dari Allah.
Ummu Abbas
12.01am
22 Safar 14433H

Sumber : Sayang Islam

Ibu-Ibu, bapa-bapa serta saudara-saudari seislamku,

Ingatlah,
Setiap Insan pasti mahu memulakan harinya dengan ceria dan bersemangat. Jika bangun pagi sudah dimulai dengan perkara kurang baik, ditakuti ia akan merosakkan mood sepanjang hari.

Sebelum tidur, pasti kebanyakan individu menyimpan cita-cita untuk masa depan, mengenangkan peristiwa lalu serta memikirkan perkara yang akan dilakukan pada keesokkan harinya.

Ingatlah wahai saudara-saudariku…

Cuba kita ingat dan kenang kembali bagaimana ibu mengejutkan kita bangun pagi setiap hari untuk ke sekolah serta hari-hari cuti. Namun apabila besar dan mula ke sekolah menengah kita sudah pandai mengunci jam sendiri untuk bangun pagi ke sekolah dan sebagainya.

Sedang kita lena enak dibuai mimpi, tiba-tiba kita dikejutkan dengan kasar atau perkataan yang menyakitkan telinga yang mendengar serta menyakitkan hati, sudah pasti hati berasa sangat marah. Apabila sudah dewasa dan berkeluarga, bagaimana pula kita mengejutkan anak-anak bangun dari tidur..?

Kadang-kala ibu berasa letih dan marah apabila anak yang dikejut berkali-kali tidak juga bangun dari tidurnya. Sudah digerakkan supaya bangun, tetapi masih juga mengalihkan tubuhnya ke posisi lain untuk menyambung tidurnya. Apabila dikejutkan sekali lagi, ia mendengus kerana marah diganggu.

Ibu dan bapa yang dirahmati Allah sekalian…,

Kejutlah anak kita dengan penuh kasih-sayang, bukan menjerit dan menggegarkan tubuh si anak dengan kasar.Ini akan membuatkan si anak bertambah malas untuk bangun daripada tidur akibat sikap ibu yang suka menjerit atau menggunakan kekerasan semasa mengejut si anak.

Biasanya kita menyuruh si anak segera bangun daripada tidur, sedangkan ada masanya anak mahu bermalas-malasan seketika sebelum bangun daripada tidur.

Sesungguhnya,kata-kata yang baik akan membuat si anak berasa bersemangat untuk bangun daripada tidur.
Jika si anak jenis yang liat bangun tidur, maka usahakanlah membelainya dengan kata-kata lembut dan mengusapnya. Dia akan merasa bahagia dan tahu dirinya disayangi .

Saudara-saudari yang dirahmati Allah,

Ingat..!
jangan lupa baca doa bangun daripada tidur.
Jika tidak berjaya mengejutkan anak dengan belaian dan kata-kata lembut, cubalah gerakkan tangan dan kakinya seolah-olah sedang bersenam. Anak yang masih mengantuk juga akan cepat tersedar apabila ibu atau bapa mengejutkannya dengan cara membuat kelakar atau bergurau. Ketika masih mengantuk,dia mungkin akan ketawa apabila mendengar gurauan ibu bapanya , dan akan memulakan paginya dengan perasaan ceria dan bahagia.

Sebaliknya ,cara kekerasan seperti meleteri,merentap kain selimut dan menarik telinga si anak untuk mengejutkannya daripada tidur, hanya akan menyebabkan si anak merasa malas dan tertekan bangun daripada tidur.

Tidak kira samada anak tidur pada waktu pagi, tengahari atau malam, seharusnya ibu dan bapa menggunakan pendekatan baik untuk mengejutkan anak. Perkataan kasar atau kesat akan menyebabkan anak merasa jauh hatinya.

Jika cara kekerasan di gunakan dalam mengejutkan anak daripada tidur, bimbang ia akan merosakkan personaliti si anak. Emosi anak juga akan terganggu dan tidak menentu serta merasakan suatu seksaan untuk bangun daripada tidur setiap hari.

Tidak dinafikan, ada si anak yang mempunyai tabiat bangun pagi dengan merengek atau sering saja buat hal, Namun seharusnya kasih sayang dimanfaatkan bagi memujuk si kecil bangun daripada tidur.

Sumber: http://www.halaqah.net/