Assalamualaikum.
Dedikasi untuk ahli usrah online.
MENCARI DAN MENJADI GURU-GURU YANG JUJUR
🔹Nabi Nuh as
🔶 Siapakah guru yang menunjukkan jalan kebenaran pada zaman Nabi Nuh alaihissalam? Tentulah Nabi Nuh alaihissalam sendiri.
Susah sangatkah silibus yang diajarkannya?Sangat mudah :
Tauhidkan Allah, jangan syirikkan Allah.
Adakah semua umatnya menerima Nabi Nuh sebagai 'guru' yang menunjukkan jalan kebenaran? Tentu tidak. Malahan ketika Nabi Nuh 'mengajar', mereka sumbat lubang telinga dengan jari, dan mereka selubungkan kepala dengan pakaian, sebagai isyarat penolakan dan penentangan.
Selama 950 tahun Nabi Nuh alaihissalam 'mengajar', tidak ramai yang mengikutnya.
🔹Nabi Muhammad saw
🔶 Siapakah guru yang menunjukkan jalan kebenaran pada zaman Nabi Muhammad saw? Tentulah Nabi Muhammad saw. Adakah mereka yang ada di sekelilingnya dengan mudah menerima baginda sebagai seorang guru?
Nabi Muhammad saw 'mengajar' umat dari 'silibus' terbaik, iaitu wahyu yang diturunkan oleh Jibril as. Baginda tidak mengajar sembarangan, sebagaimana yang dijelaskan dalam ayat :
وما ينطق عن الهوى.
إن هو إلا وحي يوحى.
Dengan sukatan yang terbaik diturunkan dari langit oleh Allah Yang Maha Mengetahui, dengan akhlak terbaik seorang Nabi, baginda saw pernah dituduh gila, dilempar batu, dikejar dan diancam supaya tidak meyampaikan.
🔶 Para ulama' adalah guru sebenar kepada umat, kerana mereka menyambung tugas Nabi Muhammad saw.
Menunjukkan jalan benar yang membawa ke syurga, dan menunjukkan jalan salah yang membawa ke neraka.
Menjelaskan tauhid supaya ditanam di dalam jiwa, menjelaskan syirik supaya dikikis sedaya upaya.
Menjelaskan sunnah supaya diikuti, menjelaskan bid'ah supaya dijauhi.
🔹Pentingnya ilmu bagi seorang guru
🔶 Dalam Fiqh al-Awlawiyyat, Dr Yusuf al-Qaradawi menyebut tentang berilmu lebih utama daripada beramal. Imam Bukhari dalam Sahih Bukhari Kitab Ilmu, menamakan salah satu judul babnya sebagai 'al-Ilm Qabla al-Qaul wa al-Amal. Berilmu sebelum mengajar dan beramal.
Mengapa mereka menyebut tentang perkara ini? Kerana sudah banyak kerosakan berlaku kerana mengajar tanpa ilmu, dan beramal tanpa ilmu.
Pendakwah adalah guru. Berdakwah dan menyampaikan ilmu perlukan ilmu yang benar. Kelak kita akan ditanya, apakah yang kamu ajarkan kepada orang, kebaikan ataupun keburukan?
Di luar sana, kalau ada guru yang tidak benarkan tawassul dengan roh orang mati, ada pula orang yang mendakwa dirinya sebagai guru, mengatakan tidak mengapa kita meminta di kubur dengan roh orang mati, sebab yang memberikan sebenarnya - Allah!
Di luar sana, kalau ada guru yang melarang sujud kepada manusia, ada pula orang yang mendakwa dirinya sebagai guru, mengatakan itu bukan sujud, itu sekadar cium kaki, jadi jangan tuduh sembarangan jika tidak tahu soal2 ilmu hakikat!
Demikian nilai ditunjukkan jalan yang lurus, nilai diberikan kefahaman menilai antara yang haq dengan yang batil.
Pilihlah guru yang jujur, dan jadilah guru yang jujur.
Jika manusia tidak tahu, Allah Maha Mengetahui.
Designed by Gabfirethemes . Converted to Blogger by SimplexDesign