NIAT PUASA SUNAT SELEPAS SUBUH DAN SYARATNYA

 Soalan : 



Seseorang yang melazimi puasa sunat Isnin dan khamis terlupa bahawa hari tersebut ialah hari khamis.  Dia beranggapan hari itu hari Rabu. Kelaziman minum pagi sebelum subuh tetapi dia mungkin minum sedikit air selepas solat subuh. Hanya pada ketika beliau dlm perjalanan membeli sarapan (7.30 pagi) dan melihat kakitangan kerajaan berbaju batik, baru terdetik hari khamis kah hari ini?

Bolehkah dia meneruskan untuk berniat puasa sunat pada hari itu?

Jawapan :

بسم الله الرحمن الرحيم

Perbezaan di antara puasa sunat dengan puasa wajib ialah puasa sunat dibolehkan niat pada siangnya jika tiba-tiba seseorang itu hendak berpuasa, ataupun terlupa niat pada malamnya, dengan syarat dia BELUM makan dan minum pada hari itu, iaitu bermula selepas terbit fajar sadiq ataupun selepas masuk waktu Subuh.

Jika puan sudah minum selepas solat Subuh, tidak boleh lagi niat berpuasa sunat pada hari itu. Puan tidak dikira sebagai 'terlupa' minum ataupun terminum semasa berpuasa pada pagi itu kerana puan tidak niat pun pada sebelah malamnya.

Ia berbeza jika puan memang belum makan pada hari itu, kemudian contohnya jam 8.00 pagi puan teringat hari itu Khamis, lalu niat puasa. Kemudian jam 12 makan kerana dijemput kawan, lupa sedang berpuasa. Lupa dalam keadaan berpuasa begini yang dimaafkan dan boleh meneruskan puasa bila teringat.

Sebaik-baiknya, jika belum makan dan minum pada hari itu dan ingin berpuasa sunat, selewat-lewatnya masa niat ialah sebelum zawal, iaitu sebelum masuk waktu Zuhur. 


Tambahan :

Bagi puasa-puasa sunat muqayyad, tidak sama pahala dan kelebihan orang yang niat sebelah malam dengan sebelah siang.

Orang yang niat sebelah malam akan mendapat kelebihan yang dijanjikan oleh Nabi Muhammad saw bagi puasa-puasa sunat muqayyad tersebut.

Manakala orang yang niat sebelah siang, pahalanya hanya bermula semasa dia berniat.

Contohnya :

Puasa Hari 'Asyura' diharapkan dapat menghapuskan dosa-dosa setahun sebelum itu. Bagi mendapatkan ganjaran puasa Hari Asyura', kita perlu niat puasa sebelah malamnya.

Jika kita terlupa malamnya, lalu hanya niat sebelah siang, puasa sunat masih boleh diteruskan. Kita masih mendapat pahala puasa sunat secara umum, ada ulama' mengatakan bahawa  ganjarannya tidak sama jika kita niat awal-awal sebelah malam ataupun sebelum fajar.

Puasa Hari Isnin dan Khamis adalah puasa sunat muqayyad, sama seperti puasa Hari Asyura'. Teruskan niat berpuasa sunat, meskipun kita hanya sempat niat pada siangnya. Pahala di sisi Allah,  sedikit ataupun banyak, tetap berharga bagi kita seorang hamba.

والله أعلم

Bacaan lanjut :
1. Sahih Fiqh Sunnah
Di bawah judul : 
إذا أكل أو شرب بعد طلوع الفجر في صيام التطوع هل يصح صومه؟
3.http://www.ahlalhdeeth.com/vb/showthread.php?t=336157

----------------------------------------------------------------------------------

Sumber : Blog Dr Nabilah Hasan 

Posted by SulamKaseh on 18:24. Filed under , , , , . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. You can leave a response or trackback to this entry

0 comments for "NIAT PUASA SUNAT SELEPAS SUBUH DAN SYARATNYA"

Leave a reply