Jam 12.05 tengahari. Sekejap tadi, selesai kuliah Ustaz Osama di pejabat.


Terima kasih di atas pengisian yang diberikan, sangat bermanfaat dan dapat di fahami semua. InsyaAllah.

Alhamdulillah, di samping perbincangan isi kandungan Kitab Bahru Al-Madzi, ada satu ayat yang ummi sempat simpan untuk di ambil pedoman dalam kehidupan kita sehari hari iaitu :


ٱعۡلَمُوٓاْ أَنَّمَا ٱلۡحَيَوٰةُ ٱلدُّنۡيَا لَعِبٌ۬ وَلَهۡوٌ۬ وَزِينَةٌ۬ وَتَفَاخُرُۢ بَيۡنَكُمۡ وَتَكَاثُرٌ۬ فِى ٱلۡأَمۡوَٲلِ وَٱلۡأَوۡلَـٰدِ‌ۖ كَمَثَلِ غَيۡثٍ أَعۡجَبَ ٱلۡكُفَّارَ نَبَاتُهُ ۥ ثُمَّ يَہِيجُ فَتَرَٮٰهُ مُصۡفَرًّ۬ا ثُمَّ يَكُونُ حُطَـٰمً۬ا‌ۖ وَفِى ٱلۡأَخِرَةِ عَذَابٌ۬ شَدِيدٌ۬ وَمَغۡفِرَةٌ۬ مِّنَ ٱللَّهِ وَرِضۡوَٲنٌ۬‌ۚ وَمَا ٱلۡحَيَوٰةُ ٱلدُّنۡيَآ إِلَّا مَتَـٰعُ ٱلۡغُرُورِ 

(Surah Al-Hadid : Ayat ke ٢٠)

Dengan maksudnya :

"Ketahuilah bahawa (yang dikatakan) kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah (bawaan hidup yang berupa semata-mata) permainan dan hiburan (yang melalaikan) serta perhiasan (yang mengurang), juga (bawaan hidup yang bertujuan) bermegah-megah di antara kamu (dengan kelebihan, kekuatan dan bangsa keturunan) serta berlumba-lumba membanyakkan harta benda dan anak pinak; (semuanya itu terhad waktunya) samalah seperti hujan yang (menumbuhkan tanaman yang menghijau subur) menjadikan penanamnya suka dan tertarik hati kepada kesuburannya, kemudian tanaman itu bergerak segar (ke suatu masa yang tertentu), selepas itu engkau melihatnya berupa kuning; Akhirnya ia menjadi hancur bersepai dan (hendaklah diketahui lagi, bahawa) di akhirat ada azab yang berat (di sediakan bagi golongan yang hanya mengutamakan kehidupan dunia itu) dan (ada pula) keampunan besar serta keredaan dari Allah (disediakan bagi orang-orang yang mengutamakan akhirat) dan (ingatlah, bahawa) kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya."

Ulasan ummi :

Maksud nya amat jelas. Bahawasanya kehidupan dunia ini hanyalah sebagai permainan dan hiburan yang melalaikan, sekadar sebagai tempat untuk bermegah - megah dengan nikmat yang diperolehi, serta tempat untuk memperbanyakkan harta benda dan anak pinak. 

Semoga kita menginsafi diri, janganlah kita tergolong di kalangan yang lalai dan leka sebagaimana yang di nyatakan, dan perlu sedar bahawasanya kehidupan kita di dunia ini hanyalah sementara sahaja. Usahlah kita terlalu mengejar dunia yang fana ini kerana apa yang kekal, adalah yang akan kita bawa di akhirat kelak. 

Semoga kehidupan kita yang di limpahi dengan kemewahan, kesenangan, anak pinak dan harta benda yang banyak ini akan kita gunakan dengan sebaik mungkin dan dapat di salurkan sebagai saham kita di akhirat kelak. 

Jadikanlah segala kesenangan dunia yang kita perolehi ini akan lebih mendekatkan lagi diri kita dengan Allah Yang Maha Esa.. semoga kita tidak akan lalai dan leka dengan nikmat yang telah di berikan.  Semoga kita akan tergolong di kalangan mereka yang sentiasa memohon keampunan dan keredhaan Allah Taala, dan akan selamat di dunia dan akhirat.. Amin.. Ya Rabbal Alamin..

Buat renungan kita bersama..para ibu bapa sekalian..
Kepada ibu bapa yang ringan tangan dan mulut….renung-renungkanlah.



Anak kita adalah cermin diri kita……..

Kanak-kanak dalam lingkungan umur 2-7 tahun (preschool memang sering dilabelkan lasak kerana ingin mencuba apa sahaja yang dilihat dan mereka juga didapati ‘tidak dengar kata’. Apa yang berlaku ialah ketiadaan komunikasi dua hala di antara ibu bapa dan anak.

Di samping itu kanak-kanak sebenarnya tidak dapat mendengar arahan dengan baik kerana tidak memberikan perhatian kepada suara ibu bapa. Sebaliknya perhatian mereka hanya tertumpu kepada permainan mereka dan alam sekeliling yang ingin diterokai.

Kanak-kanak mempunyai komunikasi verbal yang sangat terhad disebabkan Mereka tidak mempunyai pengetahuan (input) tentangnya. Mereka juga baru sahaja belajar bercakap, oleh itu ibu bapa kerapkali tidak dapat memahami apakah sebenarnya yang dimahukan oleh anak.

Maka jadilah anak tersebut menjerit, membaling barang, memusnahkan permainan dan sebagainya lantaran frustration (kekecewaan) kerana hajatnya tidak difahami dan dipenuhi. Kanak-kanak pun tahu kecewa sebenarnya tuan/puan. Justeru itu siapakah yang bersalah? Sudah tentulah orang dewasa kerana tidak berusaha untuk memahami kehendak si anak.

Ada beberapa tip yang boleh diberikan untuk tuan/puan berusaha mengatasi masalah ini.

1. Kanak-kanak sangat memerlukan belaian kasih sayang dan perhatian dari kedua ibu bapa. Sekiranya bapa jarang mendampingi anak, sudah tentulah anak akan mengalihkan perhatian kepada ibunya.

Oleh itu cuba fahami bahasa anak dengan bertanya secara lemah lembut kepadanya. Tinggalkan sebentar apa yang tuan/puan lakukan dan berikan perhatian kepada anak. Pandang mukanya dan tatap matanya. Berapa kalikah dalam sehari kita bertentang mata dengan anak. Eye contact sangat penting di dalam apa-apa jenis komunikasi walaupun dengan anak kecil.

2. Sebaik sahaja tuan/puan pulang dari bekerja dan mengambil anak dari nurseri, luangkan masa setengah jam terlebih dahulu bersama anak. Jangan terus ke dapur memasak, angkat kain dsb. Berikan perhatian pertama tuan/puan kepada anak.
Tanyakan dengan lembut dan mesra apa yang dibuatnya seharian di rumah bersama bibik atau di nurseri/tadika. Dukung dan peluklah dia serta nyatakan di telinganya, papa/mama sangat sayangkannya. Bermain-main dengannya lebih kurang setengah jam, barulah puan minta diri untuk ke dapur dsb. Insya Allah anak akan lebih mendengar kata kerana perhatian yang diharapkannya telah diperolehi.


3. Ajarkan anak dengan perkataan “tunggu sebentar boleh” sekiranya anak perlukan sesuatu dan tuan/puan tidak dapat berikannya kerana sedang sibuk memasak dsb. Dan layanilah dia sebaik sahaja berkesempatan.
Jangan buat tak tahu sahaja atau bersikap acuh tidak acuh kerana sebenarnya tuan/puan sedang mengajar anak agar tidak menghiraukan tuan/puan sekiranya tuan/puan pula yang memanggilnya.
The right way to make her listen to you is by listening to her first. Kita tidak boleh expect anak patuh setiap arahan kita kerana Allah tidak menjadikan ia berlaku demikian. Ingatlah anak belajar dengan meniru setiap perbuatan kita. Buktinya boleh dilihat apabila dia melayani adiknya pula.


4. Cuba fahami personaliti anak. Setiap anak dikurniakan oleh Allah dengan personalitinya yang tersendiri. Anak yang suka menjerit walaupun tidak mempunyai apa-apa sebab boleh dikategorikan sebagai personality Sanguine. Anak ini memang sangat sukakan perhatian. Oleh itu jika anak ini menjerit, berilah perhatian kepadanya seperti memandang ke arahnya, bertepuk tangan sekiranya dia menyanyi dengan kuat dsb.
Walau bagaimanapun, tuan/puan boleh mengajarkan kepadanya bahawa perbuatan suka menjerit adalah tidak bagus kerana boleh mengganggu adik kecil yang sedang tidur.Sekiranya anak suka menjerit, tuan/puan boleh suruh dia mengadap dinding yang kosong dan menjerit di situ berulangkali sehingga dia letih.

Insya Allah dia akan kurang suka kepada menjerit kerana mendapati aktiviti tersebut memenatkan. Mungkin dia akan berhenti menjerit atau membuat perangai beberapa hari. Sekiranya dia mengulanginya semula, puan suruh dia lakukan perkara yang sama sehinggalah dia berhenti lama kelamaan.

Berikan dia hadiah (gula-gula dsb) jika tuan/puan dapati dia tidak menjerit atau semakin kurang menjerit dalam satu hari sebagai positive reinforcement. Katakan padanya, papa/mama beri hadiah coklat kerana kakak tidak menjerit hari ini. Dengan ini anak akan faham bahawa papa/mama tidak menyukai perbuatan tersebut.

5. Sentiasa ingatkan diri tuan/puan dengan sifat positif anak. Keletah dan karenah anak yang menghiburkan. Tumpukan perhatian tuan/puan terhadap kelebihan tersebut, jangan ingati kekurangan anak dan doakan setiap kali selesai sembahyang agar Allah memudahkan tuan/puan mengubah sifat negatifnya.

Bayangkan anak dengan semua sifat-sifat positif yang tuan/puan inginkan setiap kali tuan/puan berinteraksi dengan anak. Boleh juga tuan/puan berbuat demikian setengah jam setelah anak sudah masuk tidur dan nyenyak tidurnya. Usapkan dengan lembut di ubun-ubun kepalanya, cium dan bacakan selawat serta sebutkan harapan tuan/puan kepadanya.

Misalnya ‘papa/mama sayang kakak, papa/mama mahu kakak tidak menjerit lagi’. Sebutkan perkara spesifik yang tuan/puan mahukan. Jangan hanya menyebut ‘papa/mama harap kakak berubah’ atau menyebut dengan nada negatif seperti ‘mpapa/ama tak suka kakak menjerit’. Teknik ini dipanggil imagery atau visualization dan didapati sangat berkesan jika dilakukan berulangkali. Tuan/Puan juga boleh membacakan surah AlFatihah, Ayat Kursi dan 3 Kul kepada anak setiap kali mereka masuk tidur untuk memelihara dari gangguan syaitan. Tuan/Puan, mendidik anak tidak mudah apatah lagi di zaman globalisasi yang serba mencabar.


Semoga tuan/puan lebih bersabar, jangan ignore anak dan cubalah memahaminya. Fahami dunia anak yang tiada masalah, penuh keseronokan dan penerokaan. Bayangkan perasaan anak apabila dimarahi sedangkan apa yang cuba dibuatnya hanyalah meneroka alam sekeliling.

Anak-anak hidup dalam dunia yang tiada peraturan. Ibubapalah yang membuat peraturan, disiplin dan juga galakan kepada anak. Belilah buku-buku tentang panduan mendidik anak, mengenali personaliti anak dan cara-cara menghadapinya.

Saya cadangkan tuan/puan cuba dapatkan buku bertajuk “Personality Plus for Parents” oleh Florence Littauer yang boleh didapati di Kinokuniya, MPH dsb. Sesungguhnya pelaburan yang ibubapa lakukan untuk anak akan menjadikan anak sebagai aset terbesar yang paling berharga dalam kehidupan ini.

Sekian, semoga Allah mengurniakanrahmat dan kebijaksanaan kepada tuan/puan. Jangan berputus asa dengan anak kerana ia akan membuatkan anak berputus asa terhadap kita sebagai ibubapanya.

Wallahua’lam. Dipanjangkan oleh Sharifah Norbaizura Tuan Ahmad Kamil, Bank Negara Malaysia.
Aku tidak mahu berbicara panjang tentang kewajipan menutup aurat. Apa yang ingin kukongsi di sini adalah tentang beberapa peristiwa dalam hidupku yang membuatkan aku berasa tudung labuh itu benar-benar istimewa. Allah banyak kali menyelamatkan dan memudahkan urusanku dengan asbab tudung labuh.

Dikejar Tebuan TanahDalam satu program motivasi remaja, aku menyertainya sebagai salah seorang fasilitator. Antara aktiviti yang dilakukan ialah jungle trekking. Aku mengetuai barisan remaja puteri yang siap sedia memasuki hutan. Taklimat dan doa dimulakan. Menderap ke tengah belantara, tiba-tiba peserta puteri paling depan terlanggar sarang tebuan tanah. Tebuan tanah berterbangan garang. Sedia menyerang. Peserta itu menjerit kesakitan kerana disengat. Peserta di belakangnya turut menjerit ketakutan. Aku yang turut berada di barisan depan ketika itu melaungkan takbir. Lantas mengarahkan peserta yang lain berundur. Mereka bertempiaran lari.

Sementara aku tetap bertahan di situ. Kututup sebahagian wajahku dengan tudung labuhku. Tangan turut kusembunyikan di bawah tudung labuh. Kulindungi beberapa peserta yang terkepung dengan tudung labuhku agar tidak disengat lagi. Segera kubawa mereka berundur. Ajaibnya, seekor tebuan pun tidak berjaya menyengatku. Subhanallah! Maha Suci Engkau yang menyelamatkan aku dengan secebis kain buruk ini.

Terlindung daripada Mata Mat RempitSuatu hari, aku ingin pulang ke kampusku di UIA setelah bercuti pertengahan semester di kampung halaman. Seperti biasa, aku membeli tiket bas dan berusaha mencari bas yang mempunyai tempat duduk seorang. Request. Ini penting bagi mengelakkan aku terpaksa bermalam di dalam bas dengan bertemankan seorang lelaki asing di sebelah. Akhirnya kumembeli tiket dengan sebuah syarikat bas yang belum pernah kunaiki . Sebelum menaiki bas, aku berpesan kepada pemandu kedua agar menurunkan aku di Greenwood. Semua mata terlena melepaskan kelelahan hidup dengan mengembara ke alam mimpi yang seketika. Kedengaran sayup-sayup suara pemandu bas mengejutkan aku dari tidurku. Lantas aku terjaga separuh sedar. Ketika itu, aku duduk di kerusi seorang paling depan, tidak jauh dari pemandu.

Jam baru menunjukkan pukul 4.30 pagi. Badanku amat penat dan urat kepala terasa merenyuk. Aku bangkit dari kerusiku dalam keadaan mamai menuruni bas. Ketika berada di luar bas, aku masih sangat mengantuk. Terasa secepat kilat bas meninggalkanku. Ya Allah! Aku terkejut kerana hanya aku seorang yang menuruni bas. Lagipun, tempat bas itu memberhentikan aku bukannya tempat perhentian bas di Greenwood seperti kebiasaan. Aku langsung tidak mengenali tempat itu. Tiada peluang untukku bertanya atau membatalkan saja tempat perhentian itu. Nyata aku sudah terlewat. Asap bas pun sudah tidak kelihatan.

Aku berada di sebuah perhentian bas. Jalan raya di hadapannya lurus. Lengang. Sunyi. Kawasan sekitarnya adalah kawasan perumahan yang sedang bergelap. Jalur-jalur cahaya hanya sedikit. Kupandang ke belakang dan mendapati tidak jauh dari situ terdapat sebuah masjid. Namun, ia kelihatan gelap. Sunyi. Kelihatan seekor anjing berwarna hitam, besar dan garang sedang berlegar-legar di luar pagar masjid. Ya Allah, pada-Mu aku bertawakal. Aku segera menelefon kenalan rapatku, Puan Norliza Mohd Nordin untuk mengambilku. Pada masa yang sama, mataku melilau mencari kayu atau besi yang akan kugunakan sebagai senjata seandainya anjing itu mendekatiku.

Di mana? Tanya Puan Norliza. Susah-payah aku cuba menerangkan lokasi yang asing itu. Tambahan pula, aku tidak dapat melihat papan tanda yang menunjukkan nama masjid. Kehadiran anjing itu membuatkan aku tidak berani menghampiri masjid. Sukar Puan Norliza mentafsirkan lokasi aku berada. Tiba-tiba, sekumpulan samseng jalanan dengan pelbagai aksi motosikal yang berbahaya berhenti beramai-ramai di seberang jalan tempatku berada. Bagaikan ada mesyuarat penting di situ. Aku tiada tempat bersembunyi. Apa yang mampu kulakukan adalah tetap berdiri di tempatku dan membaca segala ayat al-Quran yang pernah kuhafal. Tawakalku memanjat langit dunia. Kebetulan, aku berjubah hitam dan bertudung labuh warna hitam. Aku menggunakan kesempatan itu untuk menyembunyikan diriku di balik warna malam. Cebisan kain turut kututup pada wajahku yang berkulit cerah.

Saat yang amat mendebarkan dalam hidupku, kelihatan anjing yang garang sedang berlari ke arahku. Kupujuk hati, anjing itu akan baik padaku kerana ia tidak menyalak. Samseng jalanan pula seakan sedang memandang-mandang ke arah lokasiku. Ketika itu, aku mengucapkan dua kalimah syahadah berkali-kali. Aku siapkan emosi untuk berjihad mempertahankan diri. Biar nyawa jadi taruhan, menyerah tidak sekali! Allah menjadi saksi. Aku bagaikan tidak percaya apabila melihat anjing itu sekadar melintasiku seolah-olah langsung tidak melihatku di balik kegelapan. Walau bagaimanapun, aku masih resah melihat samseng jalanan asyik memandang ke arahku. Aku bertambah risau membayangkan Puan Norliza mungkin tidak dapat mengagak lokasiku itu kerana dia asyik menelefonku. Tiba-tiba samseng jalanan itu beredar. Bunyi ekzos mengaum pergi, pelbagai aksi. Mereka seakan-akan memandang dengan pandangan yang kosong sahaja ke arahku sebentar tadi. Puan Norliza pula sampai, menambahkan syukurku. Hatiku yakin, Allah telah menyelamatkanku di balik tudung labuh berwarna gelap itu. Alhamdulillah!


Ya! Ya! Ya! Kudengari suara-suara hatimu yang sedang berbisik, Ramai saja yang bertudung labuh tapi tak baik. Tudung tak labuh pun masih tutup aurat. Dont judge people by its cover. Kuhormati semua kata-kata ini sepertimana kuhormati dirimu yang masih bertudung. Alhamdulillah. Aku cuma berkongsi secebis pengalaman dalam hidupku yang menyebabkan kurasakan tudung labuh terlalu istimewa. Buat adik-adik remaja yang pernah bertanya, akak harap adik menemui jawapannya.
Menyelamatkan Beg Tanganku daripada RagutSeorang temanku dari Brunei sudah beberapa hari tidak datang ke kelas sarjana. Aku risaukan keadaannya. Apabila dia datang kembali, aku segera bertanya. Dia menunjukkan pipinya yang calar sambil bercerita dengan juraian air mata. Dua orang pemuda yang menunggang laju meragut beg tangannya. Dia ikut terseret. Ketika itu pula dia sedang mengandung dua bulan. Hampir-hampir keguguran. Kedua-dua lututnya terluka. Pipi dan tangannya tercalar. Berdarah.

Aku sedih mendengar ceritanya. Dia memegang hujung tudungku sambil menyimpulkan, Jika akak pakai tudung labuh macam ni, tentu diorang tak nampak beg tangan akak. Kata-kata itu membuatkanku benar-benar berfikir jauh. Aku bersyukur kepada Allah s.w.t. kerana tidak pernah menjadi mangsa ragut. Baru aku sedar, rupa-rupanya antara faktor yang menyelamatkanku adalah kerana beg tanganku sentiasa tersembunyi di bawah tudung labuh. Cuba anda bertanya kawan-kawan anda yang menggalas beg tangan di bawah tudung labuh, pernahkah mereka menjadi mangsa ragut?

Mendekatkan Jodoh dengan Lelaki Soleh
Aku hairan melihat beberapa orang temanku yang mulanya bertudung labuh tapi akhirnya menukar penampilan kerana takut tidak dipinang. Aku hormati penampilannya selagi masih menutup aurat namun jika itu alasannya, dia mungkin tersilap. Aku yang tetap bertudung labuh ini juga akhirnya yang agak cepat menerima pinangan. Suamiku mengakui antara faktor yang meyakinkannya pada agamaku saat memilih bunga untuk disunting adalah kerana nilai tudung labuhku. Wanita bertudung labuh lumrahnya hanya berani dirisik oleh lelaki yang mempunyai persiapan agama. Jika malas hidup beragama, mereka akan berfikir beribu kali untuk memiliki seorang suri yang bertudung labuh. Rasa tidak layak. Rasa perlu membaiki diri terlebih dahulu.

Pernah juga aku dan suami cuba memadankan beberapa orang temanku dengan lelaki-lelaki soleh yang kami kenali. Apabila biodata bertukar tangan, gadis bertudung labuh rupa-rupanya menjadi kriteria penting seorang lelaki soleh. Malang bagi temanku yang sebenarnya baik dan berbudi bahasa, namun kerana penampilannya itu melambatkan jodohnya. Benar, kita tidak boleh menilai seseorang hanya melihat luarannya. Namun, realitinya, kadang kala masa terlalu singkat dan peluang tidak ada untuk kita mengkaji dalaman seseorang sehingga terpaksa menilainya hanya melalui luarannya. Contoh realiti, jika kita ingin membeli nasi lemak di gerai. Kelihatan penjual di gerai yang pertama ialah seorang makcik bertudung labuh. Penjual di gerai kedua pula seorang wanita tidak bertudung dan rambutnya menggerbang lepas. Mana yang kita pilih? Kenapa cepat membuat pilihan sebelum mengkaji dalaman kedua-duanya dahulu? Apa nilaian kita ketika itu? Fikir-fikirkan.
Hormatilah Selagi Masih Menutup Aurat

Sumber:  Majalah Solusi 
بســـــــــم الله الرحمان الرحيم
الحمد لله رب العالمين حمداً يوافى نعمه ويكافئ مزيده


اللهم صل وسلم وبارك على سيدنا محمد الرؤوف الرحيم
ذي الخلق العظيم وعلى آله وأصحابه وأزواجه
في كل لحظة عدد كل حادث وقديم
- Selawat ar-Ra`uf ar-Rahim


اللهم أنت ربي لا إله إلا أ نت خلقتني وأنا عبدك
وأنا على عهدك ووعدك ما استطعت
أعوذ بك من شر ما صنعت
أبوء لك بنعمتك علي وأبوء لك بذنبي
فاغفر لي فإنه لا يغفر الذنوب إلا أنت
- Sayyidul Istighfar


الســــلام عليكم ورحمة الله وبركـــاته


Hadiths 1 : Daripada Sa`id bin Yazid رضي الله تعالى عنه kata nya :

"Sesungguh nya ada seorang lelaki meminta wasiat kepada RasuluLlah صلى الله عليه وسلم : "Wasiatkanlah sesuatu kepadaku!" Lalu Baginda bersabda : "Aku berwasiat kepadamu supaya malu kepada ALLAH yang Maha Mulia lagi Maha Besar sepertimana kamu malu kepada seorang lelaki Shalih daripada kaummu." - Maksud Hadiths Riwayat Imam Ahmad رحمة الله تعالى di dalam al-Zuhdi ms. 59.


Pengajaran Hadiths : Pertama : Hadiths ini mengajar kepada kita supaya rajin-rajin menziarahi orang-orang Shalih dan meminta nasihat kepada nya untuk bekalan akhirat kita. Kedua : Yang dimaksudkan dengan malu kepada ALLAH ialah mengerjakan yang disuruh dan meninggalkan yang dilarang. Kenapa kita disuruh malu kepada ALLAH seperti malu kepada orang yang paling kita segani daripada kaum kita? Memang begitulah tabiat manusia, mana ada yang nama nya manusia mampu mengerjakan sesuatu yang tidak baik apabila dilihat oleh orang yang paling dia segani? Begitulah juga sekurang-kurang nya supaya kita malu kepada ALLAH تعالى apabila kita melakukan benda yang tidak baik. Di sinilah perlu nya maqam Muraqabah (meyakini ALLAH Melihat kita) ialah maqam permulaan kewalian atau juga disebut dengan maqam taqwa.


Hadiths 2 : Daripada Fadhalah bin Ubaid dan Ubadah bin al-Shamit رضي الله تعالى عنهم bahawasa nya RasuluLlah صلى الله عليه وسلم bersabda :

"Apabila tiba hari Kiamat kelak, dan pengadilan terhadap MakhlukNYA sudah hampir selesai, maka ketika itu tinggal lagi dua orang, lalu diperintahkan kepada dua orang itu supaya diheret ke neraka, maka salah seorang daripada mereka itu menoleh, lalu Dzat yang Maha Perkasa berfirman : "Kembalilah dia ke sini!" Maka segeralah ia dikembalikan ke hadapanNYA. Kemudian ia ditanya : "Mengapa engkau menoleh?" Jawab nya : "Hamba benar-benar berharap kira nya Tuan sudi Memasukkan hamba ke dalam Syurga." Jelas RasuluLlah صلى الله عليه وسلم lagi : "Lalu diperintahkan supaya hamba tadi digiring ke dalam SyurgaNYA." Kemudian RasuluLlah صلى الله عليه وسلم bersabda : "Sesungguh nya aku benar-benar dilimpahi kurnia yang banyak oleh ALLAH, sehingga sekira nya aku berikan makan kepada semua penduduk Syurga nescaya tidak menghabisi barang sedikitpun yang ada di sisiku." - Maksud Hadiths Riwayat ibnu Abid Dun-ya رحمة الله تعالى di dalam bab Husnu al-Dzan BiLlah ms. 67 Hadiths 58.


Pengajaran Hadiths : Hadiths ini menerangkan kepada kita tentang fadhilat baik sangka kepada ALLAH تعالى. Terkadang di antara kita ini ada yang disempitkan rezeki nya, diuji satu demi satu tidak berhenti, cacat anggota badan, dimadukan dan lain-lain. Semua ini ada hikmah disebalik nya, baik semua, cuma kita sahja yang terkadang buruk sangka dengan ALLAH.


Pernah satu hari ada seekor semut masuk telinga saya sekitar pukul dua pagi. Kejadian ini mungkin kecil pada anggapan kebanyakkan orang, tetapi memang benar-benar pedih dan menyakitkan. Saya rasakan semut itu seakan-akan memegang kayu dan memukul-mukul gendang telinga saya. Berjam-jam saya dalam kesakitan ini dan berbagai cara yang saya lakukan untuk mengeluarkan nya; mengorek telinga, menuang air dan macam-macam lagi, tetapi semua nya gagal. Akhir nya saya diilhami supaya mengakui bahawa semua ini ada hikmah nya. Kemudian saya seru ALLAH dengan "يا حكــــم" (Dzat yang Maha Bijaksana!) Setelah saya seru ALLAH dengan NamaNYA, tidak sampai lima kali semut itu keluar dengan berkat baik sangka kepadaNYA. Semoga perkara yang kecil ini dapat menjadi iktibar dalam menghadapi perkara kita yang lebih besar.


Sumber : Kitab "40 Mutiara Hadiths dari 40 buah Kitab" karangan al-Fadhil Tuan Guru
asy-Syeikh Muhammad Nuruddin Marbu al-Banjari al-Makki حفظه الله تعالى


بارك الله فيكم وجزاكم الله خير الجزاء

والله تعالى أعلم بالصواب

Sumber : http://ukhti27.blogspot.com/2009/08/ml-bik-sgk-kd-allah.html
1. Kecewa ! Itulah yang boleh dilafazkan terhadap sikap tidak "tidak peduli" oleh pihak kerajaan yang masih mengizinkan konsert hiburan liar dianjurkan dalam negara ini. Terbaru , Adam Lambert dijangka akan "membinasa"kan akhlak masyarakat kita khasnya anak - anak muda di Stadium Bukit Jalil pada 14 Oktober kelak .

2. Semua orang kenal dan tahu bagaimana aksi dan sikap Adam Lambert di pentas . Seorang yang konsisten mempamerkan aksi liar , lucah dan melampau sehingga beliau turut ditolak oleh masyarakat barat .

3. Rancangan teleyisyen barat seperti Good Morning America pernah membatalkan rancangan Adam Lambert kerana membantah persembahan beliau yang dianggap sangat keterlaluan . Sementelah Adam Lambert adalah seorang artis yang secara terbuka, bukan sahaja mengaku sebagai gay dan pengamal homoseks tetapi beliau turut mempamerkan aksi gaynya dengan seringkali mencium dan mengucup penari lelaki serta menggayakan tarian serta aksi lucah bersama kumpulannya.

4.Persoalannya , kenapa kerajaan yang baru sahaja bercadang mahu mengajar Amerika mengenai Islam agar masyarakat Amerika tidak lagi mengidap penyakit Islamophobia tiba - tiba boleh menerima konsert liar seperti ini ? atau kerajaan kita sendiri sebetulnya sedang mengidap penyakit yang sama ? [ Islamophobia ]

5. Saya difahamkan pada hari yang sama [ 14 Oktober ] satu lagi konsert hiburan yang menampilkan artis baru dunia iaitu Maher Zain yang akan mengadakan persembahannya di Dewan MBSA . Malangnya artis yang membawa mesej yang mulia dan mendidik jiwa tidak pula dihighlight oleh pihak kerajaan .

6. Fakta dan nasihat yang bagaimana lagi mahu diberikan kepada pihak kerajaan agar menginsafi bahawa program seperti inilah yang akhirnya merosakkan akhlak generasi kita sekaligus membawa budaya dan cara hidup yang bertentangan dengan fitrah . Tidak cukup lagikah kerosakan dan kebinasaan sosial hari ini sehingga ia mahu ditambah lagi ?

7. Sudahlah baru - baru kita dikejutkan dengan kempen atau seruan "berzina tanpa mengandung" yang dipromosikan sebagai mengamalkan seks sihat tanpa perlu panik menanggung beban hamil yang akhirnya berkesudahan dengan jenayah buang bayi . Logiknya kempen itu kelihatan mampu membendung jenayah buang bayi tetapi masih mengekalkan jenayah zina yang dicela oleh agama dan masyarakat yang bertamaddun . Justeru seks bebas hanya menyamatarafkan manusia dengan binatang yang juga tidak mengerti soal ijab dan qabul dalam kehidupan mereka .

8. Saya mewakili Dewan Pemuda PAS Malaysia mendesak agar kerajaan dengarlah rayuan kami agar  segera membatalkan konsert seperti ini . Kami bukanlah anti hiburan dan penganjuran konsert para artis tetapi biarlah hiburan itu tidak bertentangan dengan syariat Islam dan juga norma - norma mulia orang timur .

9. Bagi pihak kami dan seluruh ummat Islam yang prihatin , insyaallah kami akan cubaya sedaya mungkin untuk mendesak dan memujuk kerajaan agar membatalkan konsert liar ini dan merencana kegiatan untuk mendidik masyarakat khasnya anak - anak muda agar mereka tidak terpengaruh dengan budaya kuning yang cuba diterap masuk dalam negara kita secara halus guna merosakkan akhlak dan jati diri generasi kita hari ini .

10. Anak - anak muda tidak perlu gusar untuk berhibur tanpa Adam Lambert ke negara kita kerana kita mempunyai banyak pilihan dan alternatif untuk berhibur termasuklah konsert Maher Zain yang boleh dimanafaatkan untuk berhibur dalam batas yang tidak keterlaluan . Selamatkan Negara .

Oleh Mohd Yusop Hassim

APABILA fikiran terganggu atau jiwa tidak tenteram, maka jangan lupa menyebut astaghfirullah'azim.

Begitu juga jika ditimpa penyakit, kehidupan berasa sempit, khuatir menjadi lemah dan inginkan kekuatan dan apabila melakukan kesalahan, maka segeralah beristighfar.
Sesungguhnya beristighfar itu adalah kunci rahmat Allah. Tujuan dan fadilatnya amat besar. Hakikat dan ganjarannya tidak terkira.

Mengapa kita beristighfar?
Kita adalah hamba-Nya yang tidak sunyi daripada kesilapan. Kita berusaha sedaya upaya untuk mengerjakan kebaikan tetapi tersilap juga. Yang demikian, kita beristighfar sebagai cara mengiktiraf diri, sebagai makhluk yang dijadikan-Nya dan hidup semata-mata untuk menyembah-Nya. Kita beristighfar semoga sentiasa beroleh niat baik-Nya. Jika kita telah mengerjakan kebaikan, maka kita akan diberi pahala. Tetapi apabila kita melakukan kesalahan, kita hendaklah segera memohon keampunan-Nya.

Ini adalah satu pengiktirafan bahawa sesungguhnya sifat sempurna itu adalah milik Allah semata-mata. Kita beristighfar kepada Allah kerana Dialah Yang Maha Besar dan Berkuasa atas segala-galanya. Malah, kita sentiasa berhajat kepada-Nya.

Bilakah masanya kita beristighfar?
Kita harus beristighfar pada setiap hari, setiap langkah setelah kita melangkah, setiap pandangan setelah kita memandang, malah setiap saat. Kita diseru beristighfar kerana padanya terdapat penghuraian bagi semua masalah yang kita hadapi.

Allah berfirman yang maksudnya: Maka Aku katakan kepada mereka: Mohonlah ampun kepada Tuhanmu, sesungguhnya Dia Maha Pengampun; nescaya Dia akan mengirimkan hujan kepadamu dengan lebat dan membanyakkan harta dan anak-anakmu dan mengadakan untukmu kebun-kebun dan mengadakan (pula di dalamnya) untukmu sungai-sungai.-Surah Nuh: 10-12

Beristighfar juga memberikan kekuatan kepada sesuatu umat: Dan (Dia berkata): Hai kaumku, mohonlah ampun kepada Tuhanmu lalu bertaubatlah kepada-Nya, nescaya Dia menurunkan hujan yang sangat deras atasmu dan Dia akan menambahkan kekuatan kepada kekuatanmu dan janganlah kamu berpaling dengan berbuat dosa.-Surah Hud: 52

Kesimpulannya ialah beristighfar merupakan huraian bagi pelbagai masalah manusia daripada ekonomi membawa kepada kesihatan. Rasulullah saw telah menggesa umatnya agar terus beristighfar. Baginda menegaskan bahawa beristighfar adalah satu cara untuk keluar daripada kesempitan, bebas dari segala keraguan dan pembuka jalan untuk mendapatkan rezeki.

Sabda baginda dalam sebuah hadis yang bermaksud: "Sesiapa yang membiasakan beristighfar, maka Allah akan tunjukkan baginya satu jalan keluar dan pada setiap keraguan itu pula satu jalan untuk menenteramkan jiwa dan Dia mencurahkan rezeki dengan tidak terkira." Rasulullah saw telah mengajar kita betapa perlunya seseorang itu beristighfar, merayu serta memohon taubat daripada Allah sebagaimana sabdanya yang bermaksud: "Sesungguhnya aku beristighfar kepada Allah 100 kali dalam sehari."

Ibnu Umar ra juga telah berkata bahawa "kami pernah mengira Rasulullah saw beristighfar sebanyak 100 kali dalam satu majlis yang maksudnya: "Ya Tuhanku, ampunilah daku. Sesungguhnya Engkaulah Penerima Taubat dan Amat Penyayang."

Sesungguhnya jika kita beristighfar 100 kali dalam sehari pun masih belum mencukupi.
Kita harus memohon ampun daripada-Nya setakat yang terdaya dengan memuji dan bersyukur atas ni'mat yang tidak terputus kepada Hamba-Nya. Justeru itu, beristighfar adalah satu jaminan bagi seorang Muslim itu untuk masuk ke syurga kerana Allah akan mengampuni dosa hamba-Nya yang memohon taubat.

Rasulullah saw telah memberitahu kita bahawa sesungguhnya seorang hamba itu apabila telah melakukan maksiat dan kemudian bertaubat kepada-Nya, nescaya Allah tidak akan menulis segala kesalahannya itu dalam sijil golongan orang-orang yang berdosa. Maka gugurlah segala hukumannya itu. Perlu diingatkan bahawa janganlah seseorang itu berputus asa daripada
rahmatAllah, walau apa jua pun dosa dan kesalahan yang dilakukannya.

Sesungguhnya rahmat Allah itu luas. Allah berfirman dalam Quran yang bermaksud: Katakanlah: Hai hamba-Ku yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa daripada rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni dosa-dosa semuanya. Sesungguhnya Dialah yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. (Surah Az-Zumar: 53).
Mata saya berkaca menatap ayat indah itu. Semakin lama saya menghayatinya, sebak kian melanda jiwa. Saya menyeka air mata dengan hujung telekung bercorak bunga warna coklat muda, hadiah dari suami tercinta. Belum pernah jiwa saya tersentuh sebegitu walau telah saban kali mengulangi ayat yang sama. Namun impaknya kali ini amat berbeza. Ayat yang sangat mudah dilafaz, tapi amat payah untuk direalisasikan dalam kehidupan moden hari ini. Bukan semudah mengungkap ayat-ayat cinta kala kasih bersemi.

Rasulullah SAW telah banyak kali menegaskan di sepanjang kehidupan Baginda. Antaranya sabda Baginda yang bermaksud :

Tidakkah ingin kalian aku khabarkan tentang perkara terbaik dan paling berharga yang boleh dimiliki oleh seseorang? Iaitulah, isteri yang solehah, yang cirinya adalah menggembirakankan apabila memandang kepadanya. Jika disuruh, dia mentaatinya, dan bila kamu tiada, dia memelihara ( rahsia dan hartamu ) dengan sebaiknya.” ( Riwayat Abu Daud dan al Hakim )


WANITA SEBAGAI ISTERI PEMBANGUN JIWA

Sudah lama saya mendengar dan membaca kisah Sayyidatina Khadijah, Aisyah, Fatimah, Ummu Sulaim, Ummu Salamah dan lain-lainnya, tapi baru kali ini saya benar-benar menghayati apa yang tersirat di sebalik kisah mereka. Terlalu besar peranan seorang isteri untuk menjadi penenang jiwa seorang suami.

“Apa pandangan abang tentang peranan seorang isteri dengan merujuk kisah Sayyidatina Khadijah, Fatimah dan yang lainnya? “ Suatu petang, saya bertanya suami, ingin tahu.

“ Seorang isteri yang berperanan sebagai penyejuk dan penenang hati, bukan sahaja memberi kesan kepada suami, bahkan juga kepada negara, “ suami saya menjawab sambil memandang tepat ke anak mata saya.

“ Mengapa begitu besar kesannya? “ saya bertanya, supaya suami melanjutkan perbincangannya.

“ Jika hati, pemikiran dan sikap suami mampu ditenang oleh isteri dan anak-anak sebagai ‘cahaya mata’ penyejuk jiwa dan raga, maka sudah pasti dia akan menjadi lelaki yang bijak serta tenang dalam mengambil sebarang keputusan dalam kerjayanya. Kebijaksanaan itu akan turut dimanfaatkan oleh masyarakat dan dunia, ” ulas suami sambil memandang jauh ke luar jendela.

“ Seterusnya hasil dari ketenangan di rumah juga, suami akan melihat dunia sebagai amanah yang dígalas atas nama Allah Azza wa Jalla, dan bukan sebagai habuan kepada nafsu yang bermaharajalela. Dunia baginya merupakan tempat untuk membalas kebaikan keluarga, lalu dia menjadi seorang lelaki yang baik dan soleh. Tidakkah beruntung seluruh warga alam andai semua lelaki bersikap begini? ” ujarnya lagi.

Saya mengangguk tanda sangat bersetuju dengan pandangannya itu. Memang benar, telah banyak kita melihat ramai lelaki yang nafsunya tidak selesai di rumah, akhirnya merosak anak gadis dan isteri orang di luar rumah. Mereka juga menjadi pelanggan setia, memeriahkan bisnes pelacuran di pinggir ibu kota. Mencetus caca marba dalam masyarakat serta membawa virus dosa dan akhirnya apabila kejahatan melata maka akan semakin kurang redha Allah terhadap masyarakat. Bala mula menimpa akibat dari nafsu lelaki yang tidak dirawat sebaiknya oleh isteri di rumah.

Juga, telah acap kali kita mendengar berapa ramai lelaki yang minda dan hatinya kusut, tidak tenang lantaran isteri yang gagal menyuntik kedamaian. Kesannya, suami yang gersang jiwanya ini akan bertukar ganas umpama serigala rimba. Segala keputusan diambil tanpa rujukan agama, pertimbangannya menjadi tempang akibat tiada damai di rumah. Sebagaimana seorang hakim membuat keputusan dalam keadaan diri resah gelisah dan marah, tentu saja hukuman yang salah dan tidak tepat akan terlaksana dan ini tidak dibenarkan oleh Nabi sa.w.


CIRI-CIRI WANITA PENENANG JIWA

Tidak dinafikan hari ini telah mula bangkit suara dan laungan sekumpulan wanita pejuang feminis, yang memandang hina kisah-kisah wanita solafussoleh ini. Mereka mendakwa Islam menganjurkan isteri menjadi ‘hamba’ kepada suami. Alangkah malangnya ‘pejuang wanita ‘ seperti ini disebabkan mereka berfikir menggunakan aqal bersalut nafsu dan bukan dengan mata hati bersuluh cahaya iman.

Mereka gagal melihat apa yang tersirat, bahawa dunia ini binasa disebabkan oleh tangan-tangan manusia sebagaimana yang pernah ditegaskan melaui firmanNya. Jika dulu, hanya tangan-tangan lelaki yang menjadi golongan majoriti membuat keputusan kononnya untuk pembangunan dunia, namun kini tangan-tangan wanita telah terheret sama menyumbang kepada kerosakan apabila mereka mula berjawatan dan turut sama membuat keputusan.

Bagi saya tiada lain yang lebih beerti selain kembali merujuk kepada srikandi Islam di zaman silam. Mereka merupakan contoh tauladan buat seorang isteri yang layak menjadi ‘qurratu’ayun’ seorang suami. Mereka memiliki segala yang diidamkan, antaranya :

1 ) Isteri yang cerdik. Kecerdikan seorang isteri bukan diukur dari segulung dua ijazah yang diraih dari universiti atau kolej-kolej tinggi. Akan tetapi, kecerdikannya terserlah pada sifat mengenali dan memahami keperluan suami semasa suka mahu pun duka. Dia pandai mengambil hati suami dengan perilaku yang manja dan lemah lembut. Tutur katanya halus dan berhati-hati agar suami tidak terasa hati. Gurauannya bersahaja sangat menyenangkan jiwa. Dia juga bijak mengangkat nilai suami pada pandangan orang lain dan sentiasa bersedia untuk diajak berbual apa sahaja tanpa rasa jemu dan perasaan layu.

Isteri yang pandai membaca riak rasa seorang suami sama ada gembira atau sebaliknya, menjadi penguat semangatnya untuk melakukan yang lebih baik pada esok hari. Kerana itu, ada pepatah mengatakan, di belakang seorang lelaki berjaya, ada seorang wanita bernama isteri yang sentiasa mendorong dan meniup semangat juangnya.

2 ) Sentiasa mendahulukan suami dari yang lain. Seorang isteri yang solehah dinilai dari ketaatannya kepada suami dalam apa jua perkara selagi ia tidak melangkaui batasan agama. Kesetiaan kepada suami didahulukan dari orang lain termasuk ibu dan bapa. Keizinan suami sentiasa diminta agar redhanya selalu mengiringi, sehinggakan untuk berpuasa sunat juga isteri perlu meminta izin suami sebagaimana sabda Baginda SAW yang bermaksud :

"Tidak halal bagi seorang isteri yang beriman dengan Allah dan hari akhirat untuk berpuasa , sedangkan suaminya ada di sampingnya kecuali dengan keizinan suaminya itu."(Riwayat al-Bukhari, Muslim, dan Ahmad Ibn Hanbal)

3 ) Mengurus rumahtangga. Tanggungjawab seorang isteri yang tidak kurang pentingnya ialah untuk menjadikan tempat tinggalnya sebagai tempat untuk berehat serta menghasilkan persekitaran yang menyenangkan. Anak-anak dijaga makan dan pakai, begitu juga suami yang sentiasa dipenuhi keperluan dirinya. Rumah yang bersih, damai dan tenang akan menggembirakan penghuni yang berlindung di dalamnya. Jiwa yang tenang pasti akan melahirkan individu yang ceria gembira. Walaubagaimanapun, untuk menghias rumah, isteri perlulah mengikut kemampuan keperluan keluarga. Isteri harus pandai menghargai susah payah suami mencari nafkah buat perbelanjaan sehari-hari.

Suami mana yang tidak berbunga rasa sebaik menjengah ke dalam rumah, isteri menyambut dengan manja, anak-anak riang gembira dan rumah bersih senang dipandang mata.

4 ) Berhias hanya untuk tatapan mata suami. Isteri yang menyintai suami tidak akan membiarkan kecantikannya dilihat apatah lagi dinikmati oleh orang lain. Mata, bibir , tangan, kaki dan seluruh anggota tubuhnya hanya untuk santapan mata suami yang halal baginya. Oleh kerana itu, pakaian dan penampilannya di hadapan suami sentiasa dijaga. Pelupuk mata, pipi dan bibir yang disolek dengan warna menaikkan seri wajah hanya digunakan di hadapan suaminya. Akan tetapi bila berada di luar rumahtangga, semua itu ditinggalkan. Auratnya ditutup dengan rapi. Tidak juga dia memakai wangi-wangian yang boleh dihidu oleh lelaki lain agar keberkatan dalam rumahtangga tetap terpelihara.


QURRATU’AYUN AYAT CINTA KAMI

Saya kembali menatap sebaris ayat indah itu. Di dalamnya terkandung doa dan harapan. Doa kepada yang Esa serta pengharapan dari hati yang membacanya. Ia bagaikan ayat-ayat cinta yang menghidupkan seluruh jiwa saya untuk terus berbakti kepada anak-anak dan suami, malah melangkaui lebih jauh dari itu, suatu bakti kepada dunia melalui khidmat kasih setia kepada suami. Membantu suami agar tidak menjadi lelaki pembinasa masyarakat tetapi penyelamat dari fasad dunia. Saya membaca dan terus membaca dengan penuh keinsafan dalam jiwa.

Wahai Tuhan kami, kurniakan lah kami pasangan hidup dan anak-anak yang menjadi penyejuk mata ( Qurratu’ayun ) dan jadikanlah kami pemimpin bagi orang-orang yang bertaqwa.”

( al Furqan : 74 )

Semoga kita semua berusaha meraih redhaNya sebagai qurratu’ayun dalam hidup seorang suami, amin.


Mencari dan terus mencari cinta Ilahi.


Jumpa lagi, Insya Allah.

21 Rabi'ulakhir 1430

17 April 2009
------------------------------------------------
Terima kasih kepada kak As yang telah banyak memberikan input yang sangat berguna buat ummi dan seluruh pembaca yang mengenali dan meminati tulisan nya. Lawati lah blog nya di Ummu Husna untuk mendapatkan pelbagai nasihat berguna dan mendidik jiwa. InsyaAllah bermanfaat untuk semua.

JazakilLahu khairan kathira buat kak As.. Moga Allah permudahkan segala nya buat dirinya dan keluarga. Amin.
~ ummi ~