Kembali ke pangkal jalan

Petikan daripada Harian Metro : 15hb April 2007
.............................................................................................
Kembali ke pangkal jalan


SELAYANG: Sejak kali pertama diadakan pada 22 April 2003, Kem Smart Remaja yang dikhususkan kepada pelajar sekolah menengah bermasalah di Selangor sudah ‘mengeluarkan’ hampir 500 pelajar.

Daripada jumlah itu, ada yang berjaya dalam kehidupan masing-masing, malah tidak kurang juga menjadi tenaga penggerak dalam pertubuhan Gerakan Ehsan Selangor (GES), satu daripada penganjur program berkenaan.

Setiausaha Kehormat GES, Mahezan Baharom Shah, berkata program yang turut dianjurkan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dengan kerjasama Jabatan Pelajaran Selangor itu terbukti membantu pelajar bermasalah kembali ke pangkal jalan.

“Pelbagai masalah kami temui sepanjang mengendalikan kem ini. Antaranya remaja yang mengaku terbabit dalam kes jenayah seperti merompak, mencuri, bergaduh, seks bebas, lumba haram, gansterisme dan peras ugut.

“Menyedihkan kerana pada usia semuda 14 tahun, mereka terbabit dalam kes yang boleh dianggap berat atau serius. Begitupun, kami berusaha membantu mereka kembali ke pangkal jalan.

“Memang ada yang berjaya kerana selepas kem ini kita buat susulan di sekolah sehingga mereka selesai menduduki SPM (Sijil Peperiksaan Malaysia), malah selepas itu juga ada yang dibantu,” katanya.

Mahezan ditemui di Pusat Belia Bukit Lagong ketika mengendalikan kem Smart Remaja Siri Ke Lapan bermula 9 hingga 12 April lalu.

Katanya, sebelum ini iaitu dalam siri awal kem berkenaan, peserta membabitkan pelajar tingkatan empat, tetapi wujud masalah membuat tindakan susulan kerana selepas tingkatan lima mereka tamat belajar.

Namun, katanya, selepas diubah kepada pelajar tingkatan dua, baru kesannya diperoleh apabila pemantauan dan tindakan susulan boleh dibuat bagi memastikan golongan itu berubah menjadi manusia lebih baik.

Mahezan berkata, dalam program itu peserta dikehendaki mengikuti tiga kem membabitkan kursus asas, kursus sahsiah dan peningkatan jati diri.

“Kursus asas ini lebih kepada mengenali diri, keluarga terutama emak dan ayah, serta kelebihan diri. Selepas itu, baru mereka menghadiri kursus sahsiah yang berorientasikan agama mempelajari fardu ain dan kifayah.

“Untuk kem terakhir, mereka didedahkan dengan aspek peningkatan jati diri seperti mempunyai hala tujuan selepas SPM dan wawasan mereka untuk masa depan,” katanya.

Sepanjang mengendalikan kem berkenaan, Mahezan berkata, masalah utama yang kerap ditemui atau membelenggu peserta ialah pengetahuan agama mereka cetek.

Sebagai contoh, katanya, ada yang tidak tahu mengucap dan sembahyang dengan tertib, meskipun usia masuk 14 tahun.

“Memang sedih melihat keadaan peserta, terutama yang kurang ilmu agama. Jadi tugas kami di sini ialah mendidik mereka daripada segi psikologi dan rohani, sekurang-kurangnya selepas keluar nanti mereka ada asas,” katanya yang turut menggunakan modul daripada Lembaga Pembangunan Penduduk dan Keluarga Negara (LPPKN).

Mengenai pemilihan peserta, Mahezan berkata, pelajar dipilih pihak sekolah dan nama mereka dihantar ke Pejabat Pendidikan Daerah sebelum diserahkan kepada penganjur.

Dalam kem siri kelapan baru-baru ini, 53 pelajar membabitkan daerah Petaling dan Hulu Langat menyertainya dengan pecahan 34 lelaki dan 19 wanita.

Dalam pada itu, Mahezan berkata, pihaknya memerlukan sumbangan pelbagai pihak, sama ada swasta atau badan bukan kerajaan (NGO) untuk memastikan lebih ramai peserta dapat menyertai selain memantapkan lagi program berkenaan.

.......................................................................................................

semasa baca berita ni.. pelbagai perasaan timbul.. takut, risau, bimbang, sedih dan hati tak tenang bila fikirkan masa depan anak - anak akan datang..
yang ummi copy di atas ni, hanyalah sebahagian daripada berita yang dipaparkan dalam akhbar berkenaan, bukan lagi pengakuan anak - anak yang boleh digelar dengan nama 'setan cilik' tu.. entahlah.. menitis air mata ummi bila baca pengakuan mereka, yang mana teramat teruk dan tak pernah terfikir di fikiran ummi, yang mereka sanggup melakukan semua perbuatan tersebut.. Ya Allah .. Selamatkanlah keluarga kami dari semua ini.. hindarilah kami dari fitnah dunia Ya Allah.. kami takut dengan azabMu.. Ya Allah, bimbinglah kami.. Amin Ya Allah..
Tapi, yang pasti.. penyebab utama mereka terjebak dalam kes - kes sebegini kerana kurangnya didikan agama daripada their parents. Sebagaimana petikan berita di atas
" Sepanjang mengendalikan kem berkenaan, Mahezan berkata, masalah utama yang kerap ditemui atau membelenggu peserta ialah pengetahuan agama mereka cetek."
Betulla bagai yang dijangka, mereka ini tidak diberikan apa yang sepatutnya mereka dapat.. iaitu pendidikan agama.. apabila ibubapa tidak menitikberatkan amanah yang telah Allah letakkan pada mereka, maka inilah padahnya.. anak - anak akan terumbang ambing tanpa satu pegangan yang kukuh.. mereka tidak tahu arah mana yang perlu mereka ambil.. dan, mereka tidak pandai dan tidak bijak dalam membuat keputusan.. Ya Allah.. Na uzubilLah..
Jika diteliti, mereka sebenarnya teringin menjadi baik dan menjadi 'seorang' yang berguna.. mereka ini lahir dalam fitrah, suci dan bukan mereka yang berhak mencorak masa depan mereka.. tugas ini, amanah ini, ibubapa mereka yang sepatutnya pikul.. ya, memang ibubapa mereka yang bersalah..
Ya Allah.. takut bila difikirkan semua ini.. beratnya amanahMu ini Ya Allah.. bimbang dengan diri sendiri?? adakah aku ini sudah menjalankan amanahMu ini dengan betul??.. adakah hambaMu ini sudah mengajarkan apa yang sepatutnya anak - anak dapat?? Ya Allah, risau dengan kedhaifan diri ini, takut amanah yang diberikan, tak tertunai.. Na uzubillah.. Ya Allah, bimbinglah kami Ya Allah.. kami takut dengan siksaMu di akhirat nanti.. Bimbinglah kami ke jalanMu Ya Allah.. kasihanilah kami Ya Allah..

Posted by Sulam Kaseh on 22:12. Filed under . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. You can leave a response or trackback to this entry

0 comments for "Kembali ke pangkal jalan"

Leave a reply