Assalamualaikum.
Kita menerima beberapa pertanyaan tentang ziarah kubur pada pagi 1 syawal. Ada yang sertakan video, kenyataan fb dan tulisan daripada agamawan yang meminta supaya masyarakat meninggalkan upacara ataupun adat menziarahi kubur ibubapa dan ahli keluarga sebaik sahaja pulang dari masjid menunaikan solat dan mendengar khutbah hari raya.
Respon kita dalam perkara ini : Ya, mari kita tinggalkan adat itu.
Sebab :
🔴 Perkara pertama :
🔸Menziarahi kubur asalnya sunat, bertujuan supaya orang yang menziarahi lebih ingat kepada kematian. Pada awalnya, Nabi Muhammad saw pernah melarang para sahabatnya menziarahi kubur, kerana mereka ketika itu baru keluar dari kegelapan amalan jahiliyyah. Kubur adalah asal tempat munculnya amalan menyembah berhala, di mana bermula dengan memuja roh orang mati, akhirnya dibina patungnya. Setelah aqidah tertanam kemas di jiwa para sahabatnya, akhirnya baginda saw membenarkan mereka menziarahi kubur, kerana menziarahi kubur boleh mengingatkan insan kepada kematian dan hari akhirat.
Hal ini jelas dinyatakan oleh Nabi Muhammad saw dalam beberapa hadith, antaranya :
1.
كنت نهيتكم عن زيارة القبور،
ألا فزوروها فإنها تذكركم بالأخرة.
Maksudnya : Pernah aku melarang kalian menziarahi kubur, namun sekarang ziarahlah, kerana kubur itu boleh mengingatkan kalian kepada hari akhirat.
(Mustadrak al-Hakim. Dinilai sahih oleh al-Albani.)
2.
عَنْ أَبِى هُرَيْرَةَ قَالَ زَارَ النَّبِىُّ -صلى الله عليه وسلم- قَبْرَ أُمِّهِ فَبَكَى وَأَبْكَى مَنْ حَوْلَهُ فَقَالَ :
اسْتَأْذَنْتُ رَبِّى فِى أَنْ أَسْتَغْفِرَ لَهَا فَلَمْ يُؤْذَنْ لِى وَاسْتَأْذَنْتُهُ فِى أَنْ أَزُورَ قَبْرَهَا فَأُذِنَ لِى فَزُورُوا الْقُبُورَ فَإِنَّهَا تُذَكِّرُ الْمَوْتَ
Maksudnya : Abu Hurairah berkata : Nabi Muhammad saw menziarahi kubur ibunya, baginda menangis, lalu orang-orang disekitar baginda pun turut menangis. Kemudian bagin bersabda, "Aku memohon izin daripada Tuhanku untuk meminta keampunan bagi ibuku, tetapi aku tidak diizinkan. Aku pun memohon izin daripadaNya untuk menziarahi kubur ibuku, dan aku diizinkan. Ziarahilah kubur kerana ziarah kubur itu memberi peringatan tentang kematian.
(Sahih Muslim, Kitab al-Janaiz, Bab Allah Azza wa Jalla Mengizinkan Nabi Muhammad saw Menziarahi Kubur Ibunya)
Tujuan menziarahi kubur lebih kepada memberi manfaat untuk orang hidup, bukan orang mati. Jika hendak berdoa, doa kita kepada orang (muslim) yang sudah meninggal dunia tetap sampai in syaa Allah, walau di mana sekalipun kita berdoa.
🔸Namun, apabila ada segelintir masyarakat seolah-olah menetapkan ziarah kubur mesti mereka lakukan pada hari raya, maka penetapan amalan seperti itu sudah menganggu syariat yang dibawa oleh nabi saw.
Dalam syariat sebenarnya tidak disunatkan, tidak dianjurkan langsung ziarah kubur pada hari raya. Amalan ini sebenarnya tidak bertepatan dengan ruh hari raya yang riang dan penuh kesyukuran.
Jika ada orang melakukannya seolah-olah perkara itu sunat dan dianjurkan, maka itulah namanya bid'ah.
Apakah buktinya amalan ini sudah menjadi bid'ah? Buktinya ialah apabila wujud rasa terganggu apabila menerima saranan supaya meninggalkan amalan itu pada hari raya. Rasa terganggu timbul kerana amalan tersebut sudah menjadi rutin amalan dalam keluarga sejak lama dahulu, dan merasakan ia suatu kemestian dan ketetapan yang tidak boleh ditinggalkan.
Menetapkan sesuatu yang tidak pernah ditetapkan oleh syariat Islam itulah yang dilarang. Nabi muhammad saw melarang kita daripada bid'ah kerana bid'ah boleh menutup wajah agama yang sebenar.
Anak-anak kita hari ini, dengan melihat amalan orang tua mereka, mereka mungkin menyangka, oh, inilah ajaran Islam, kita mesti ziarah kubur pada pagi raya!
Ataupun mereka sangka, kalau hendak menziarahi kubur, tunggulah hari raya, sebab semua orang buat begitu, tentu ada kelebihannya!
Secara tidak langsung, lama kelamaan, ia menutup wajah asal amalan menziarahi kubur dalam syariat yang dibawa oleh Nabi Muhammad saw. Ia juga menambah sesuatu amalan yang langsung tidak disyariatkan pada hari raya umat Islam yang disambut selepas sebulan berpuasa.
Sebahagian kita pada hari ini yang pernah mengamalkannya, mungkin mewarisi perkara itu dari generasi terdahulu. Setelah sampai ilmu kepada kita, jelas kedudukannya yang tiada asas dalam syariat Islam, maka sudah ramai yang mula meninggalkan amalan ziarah kubur pada hari raya.
🔴 Perkara Kedua :
🔸Memang ramai di antara kita yang bertanya, balik beraya di kampung, apakah tidak boleh menziarahi kubur ibubapa sendiri?
Persoalan di sini sebenarnya bukan tidak boleh ziarah kubur ibubapa, tetapi persoalan di sini mengapa mesti dibuat pada pagi raya 1 Syawal, seolah-olah ia amalan yang dianjurkan, padahal tidak. Mengapa anak-anak yang tinggal berdekatan dengan kubur ibubapa pun menziarahinya pada 1 Syawal juga?
Kita sebenarnya masih ada waktu lain untuk menziarahi kubur bagi tujuan mengingatkan diri tentang akhirat.
🔸Kita juga masih ada satu malam 10 Ramadhan yang berbaki.
Gantikan adat menziarahi kubur pada hari raya dan amalan-amalan di kubur pada hari tersebut dengan mendoakan keampunan bagi insan kesayangan yang sudah meninggal dunia itu secara tulus, pada malam baki terakhir Ramadhan ini.
Semoga Allah mengampunkan dosa kita semua yang masih hidup, dan mengampunkan dosa orang-orang yang kita kasihi, yang sudah pergi meninggalkan kita.
Masa sahur, sebelum kita bersahur, masa yang sangat mustajab doa.
Sabda Nabi Muhammad saw :
"ينزل ربنا تبارك وتعالى كل ليلة إلى السماء الدنيا حين يبقى ثلث الليل الآخر يقول: من يدعوني فأستجيب له،
من يسألني فأعطيه، من يستغفرني فأغفر له"
متفق عليه.
"Tuhan kita yang Maha Mulia dan Maha Tinggi turun setiap malam ke langit dunia, ketika malam tinggal 1/3 terakhir. Tuhan berkata : Sesiapa berdoa kepadaKu, akan Aku perkenankan doanya. Sesiapa meminta kepadaKu, akan Aku berikan permintaannya. Sesiapa memohon keampunan dariKu, akan Aku ampunkan dia."
(Sahih al-Bukhari, Kitab al-Tahajjud, Bab Berdoa Dan Solat Pada Akhir Malam)
Seruan ini wujud pada setiap malam, dalam Ramadhan dan selepas Ramadhan.
اللهم إنك عفو تحب العفو فاعف عنا
والله الموفق
○ Usrah Online Ustazah Nabilah ●
29 Ramadhan 1436H
Assalamualaikum.
Dedikasi untuk ahli usrah online.
MENCARI DAN MENJADI GURU-GURU YANG JUJUR
🔹Nabi Nuh as
🔶 Siapakah guru yang menunjukkan jalan kebenaran pada zaman Nabi Nuh alaihissalam? Tentulah Nabi Nuh alaihissalam sendiri.
Susah sangatkah silibus yang diajarkannya?Sangat mudah :
Tauhidkan Allah, jangan syirikkan Allah.
Adakah semua umatnya menerima Nabi Nuh sebagai 'guru' yang menunjukkan jalan kebenaran? Tentu tidak. Malahan ketika Nabi Nuh 'mengajar', mereka sumbat lubang telinga dengan jari, dan mereka selubungkan kepala dengan pakaian, sebagai isyarat penolakan dan penentangan.
Selama 950 tahun Nabi Nuh alaihissalam 'mengajar', tidak ramai yang mengikutnya.
🔹Nabi Muhammad saw
🔶 Siapakah guru yang menunjukkan jalan kebenaran pada zaman Nabi Muhammad saw? Tentulah Nabi Muhammad saw. Adakah mereka yang ada di sekelilingnya dengan mudah menerima baginda sebagai seorang guru?
Nabi Muhammad saw 'mengajar' umat dari 'silibus' terbaik, iaitu wahyu yang diturunkan oleh Jibril as. Baginda tidak mengajar sembarangan, sebagaimana yang dijelaskan dalam ayat :
وما ينطق عن الهوى.
إن هو إلا وحي يوحى.
Dengan sukatan yang terbaik diturunkan dari langit oleh Allah Yang Maha Mengetahui, dengan akhlak terbaik seorang Nabi, baginda saw pernah dituduh gila, dilempar batu, dikejar dan diancam supaya tidak meyampaikan.
🔶 Para ulama' adalah guru sebenar kepada umat, kerana mereka menyambung tugas Nabi Muhammad saw.
Menunjukkan jalan benar yang membawa ke syurga, dan menunjukkan jalan salah yang membawa ke neraka.
Menjelaskan tauhid supaya ditanam di dalam jiwa, menjelaskan syirik supaya dikikis sedaya upaya.
Menjelaskan sunnah supaya diikuti, menjelaskan bid'ah supaya dijauhi.
🔹Pentingnya ilmu bagi seorang guru
🔶 Dalam Fiqh al-Awlawiyyat, Dr Yusuf al-Qaradawi menyebut tentang berilmu lebih utama daripada beramal. Imam Bukhari dalam Sahih Bukhari Kitab Ilmu, menamakan salah satu judul babnya sebagai 'al-Ilm Qabla al-Qaul wa al-Amal. Berilmu sebelum mengajar dan beramal.
Mengapa mereka menyebut tentang perkara ini? Kerana sudah banyak kerosakan berlaku kerana mengajar tanpa ilmu, dan beramal tanpa ilmu.
Pendakwah adalah guru. Berdakwah dan menyampaikan ilmu perlukan ilmu yang benar. Kelak kita akan ditanya, apakah yang kamu ajarkan kepada orang, kebaikan ataupun keburukan?
Di luar sana, kalau ada guru yang tidak benarkan tawassul dengan roh orang mati, ada pula orang yang mendakwa dirinya sebagai guru, mengatakan tidak mengapa kita meminta di kubur dengan roh orang mati, sebab yang memberikan sebenarnya - Allah!
Di luar sana, kalau ada guru yang melarang sujud kepada manusia, ada pula orang yang mendakwa dirinya sebagai guru, mengatakan itu bukan sujud, itu sekadar cium kaki, jadi jangan tuduh sembarangan jika tidak tahu soal2 ilmu hakikat!
Demikian nilai ditunjukkan jalan yang lurus, nilai diberikan kefahaman menilai antara yang haq dengan yang batil.
Pilihlah guru yang jujur, dan jadilah guru yang jujur.
Jika manusia tidak tahu, Allah Maha Mengetahui.
بسم الله الرحمن الرحيم
📓PERLUKAH BELAJAR CARA BERSANAD?📓
🌐MUQADDIMAH
🍀Sepanjang peristiwa banjir ini, banyak pengajaran yang boleh kita ambil, sementelah banyak berita dan maklumat palsu yang diterima, kemudian terus disebarkan.
Dari Kelantan diisytihar darurat, orang hilang belum ditemui dikatakan sudah diuruskan jenazahnya, sehinggalah tersebar nombor ahli penyelamat, yang rupa2nya mereka adalah mangsa banjir. Begitu pantas sampai ke pengetahuan orang ramai. Sekali butang 'send' ditekan, ia umpama arus banjir yang deras, tak dapat ditahan2 lagi.
Asalnya perlu berhati-hati ; menyaring mana yang betul, mana yang palsu. Namun hal ini dilupakan, kerana masing-masing merasakan dia sedang membantu dengan menyebarkan.
Walhal, kepalsuan maklumat yang tersebar itu, sebenarnya semakin menambahkan beban. Paling kurang, orang berpusu kepada maklumat palsu, dan meninggalkan maklumat yang benar.
Tidak kurang ada yang menyebarkan dalam keadaan tidak pasti, dengan harapan orang yang menerima nanti dapat menyemaknya sendiri.
🍀Begitulah juga situasi dan sebab timbulnya hadith palsu. Ada yang suka-suka, ada yang berkepentingan, ada juga yang tidak tahu menahu, tetapi ingin berbuat kebajikan tanpa dipandu ilmu.
Yang penting, kita tahu, ada orang yang memulakannya. Jika ada orang sanggup menipu atas nama nabi saw, tentulah ada orang yang sanggup buat perkara yang sama atas nama orang lain.
Namun, menipu atas nama nabi saw tidak sama dengan menipu orang lain. Menipu atas nama nabi saw boleh merosakkan agama, maka perbuatan itu bererti menempah awal-awal tempat duduk dalam neraka.
Demi mempertahankan agama, amanah terhadap maklumat dan ilmu, maka ulama' dahulu menapis dengan segala daya upaya setiap satu hadith yang diterima. Bermusafir ribuan batu, adakalanya, hanya kerana ingin mendapatkan satu hadith sahaja, daripada orang yang betul-betul mendengarnya, yang juga menerimanya daripada orang yang betul-betul amanah.
🌐HIKMAH SANAD
🍀Itulah hikmahnya hadith2 nabi saw sampai kepada kita dengan sistem sanad.
Maksudnya, ada rantaian lengkap perawi ataupun pelapornya, hingga sampai kepada Nabi saw. Tujuannya ialah memastikan hadith-hadith nabi saw disampaikan oleh orang yang amanah dan cukup syarat, bagi memastikan hadith benar2 berlaku, ataupun nabi saw benar2 menyebut hadith itu.
Ulama' mencatat dengan lengkap maklumat peribadi yang berkaitan bagi setiap perawi dalam sanad itu, malah membukukannya.
Keperibadian seseorang perawi mempengaruhi rantaian sanad.
Hadith, jika diambil daripada orang yang tidak dikenali, ataupun yang ada kecacatan peribadi, ia sudah dikira sebagai hadith yang daif.
Sanad menjadi lemah apabila perawinya tidak cukup syarat, ataupun tidak dikenali (Sekadar menyebut secara ringkas sebagai contoh)
🍀Namun, sanad juga boleh dicipta oleh orang yang tidak bertanggungjawab. Seperti situasi banjir tadi ; reka sesuatu berita, kemudian sandarkan kepada sumber yang berautoriti.
Bermakna, belum tentu sanad sahih, hadith pun sahih. Ada penilaian lain pula bagi menentukan dan menyaringnya.
🍀Adakalanya juga seseorang perawi/pelapor itu jujur, tetapi dia mungkin keliru. Mungkin juga laporannya agak janggal, berbanding laporan perawi2 yang lebih baik daripadanya.
Semua itu diambil kira oleh para ulama' hadith dalam menentukan kedudukan sesuatu hadith. Mereka sangat teliti dalam disiplinnya, dan kerja itu rumit, memerlukan taqwa dan kepakaran yang tinggi.
Itulah antara warna-warni disiplin ilmu hadith, yang telah Allah tentukan bagi menjaga sumber syariat Islam kedua itu.
🍀Adapun al-Quran, ia tidak lagi memerlukan sistem sanad agar terpelihara, kerana Allah swt telah menjaminnya menerusi ayat :
( إِنَّا نَحْنُ نَزَّلْنَا الذِّكْرَ وَإِنَّا لَهُ لَحَافِظُونَ )
Maksudnya : "Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan al-Quran, dan Kamilah yang memelihara dan menjaganya."
Surah al-Hijr, ayat 9.
🌐APABILA HADITH SUDAH DIKUMPUL DAN DIBUKUKAN
🍀Katakan begini :
Apabila sesuatu berita/kenyataan sudah terpampang pada 'official website', ataupun website rasmi sesebuah agensi/pertubuhan, maka ia tidak dipertikaikan lagi. Itulah rujukan utama dan terpenting. Tidak perlu lagi kita persoalkan, siapakah yang menyebarkannya.
Kalau ada kritikan ataupun pembetulan sekalipun, ia berada di sekitar maklumat dalam website itu sahaja. Jelas dan telus.
Setelah hadith2 nabi saw (beserta dengan sanadnya) dibukukan secara sistematik oleh para ulama', maka ia umpama website rasmi (sekadar memudahkan pemahaman) yang menjadi rujukan. Boleh dikaji, dipelajari, dan boleh mengajarkannya, oleh guru yang cukup syarat2nya, dengan disiplinnya.
🍀 Sanad, dari sudut hikmahnya, telah terhenti pada kitab2 hadith primer seperti Sahih Bukhari, Sahih Muslim, Sunan Abi Daud, Jami' al-Tirmidhi dan lain2. Kita boleh belajar daripada kitab2 itu tanpa cara bersanad, walaupun rantaian sanad, bermula dari Rasulullah saw sampai kepada ulama' yang menyusunnya, memang ada didalamnya. Guru boleh mengajar, apabila dia berilmu dan tahu disiplinnya, tanpa perlu cara bersanad.
Seringkali juga orang yang belajar tidak bersanad lebih memahami dan menghayati maksud sesuatu hadith, berbanding orang yang menerima hadith secara bersanad.
🍀 Ilmu tentang sanad dan maklumat tentang para perawinya, semuanya telah termaktub dalam senarai kitab-kitab yang ada dalam disiplin ilmu hadith. Demikian caranya hadith terpelihara daripada sebarang penipuan insan terdahulu, mahupun tokok tambah insan sekarang.
🌐 TRADISI PENGAJIAN HADITH SECARA KHUSUS
🍀 Ada guru yang menerima/belajar hadith secara bersanad. Namun ia sekadar meneruskan tradisi pengajian hadith, dan nilai sanad itu tidak sama seperti zaman hadith sebelum dibukukan.
Mungkin juga boleh diumpamakan sijil tambahan bagi mereka yang benar-benar mendalami bidang ilmu hadith. Ia dimaklumi oleh mereka yang menekuni bidang hadith.
🍀 Namun, ia bukan boleh didapati ataupun diberikan sewenang2nya. Bagi orang awam, tiada erti dia memilki sanad, seperti menggenggam segulung sijil, tetapi tidak tahu selok belok sesuatu disiplin ilmu.
Malah untuk mendapat sijil asas sekalipun, seseorang itu mesti bertanya kepada mereka yang ahli dalam bidangnya. Jika tidak, dia boleh menjadi mangsa penipuan yang ada di mana-mana.
🌐 SALAH FAHAM TERHADAP SANAD DAN BERKAT
🍀 Ada juga sanad diberi dengan cara yang aneh dan meragukan. Seperti guru tertentu mendakwa boleh beri sanad, lalu orang awam pun meminta sanad daripadanya, tanpa belajar apa-apa, dengan alasan untuk mengambil berkat. Orang yang mendakwa guru itu pula didapati menyebarkan hadith2 palsu yang disandarkan atas nama nabi saw.
Jika demikian, bagaimana mungkin ia boleh mendatangkan keberkatan ilmu, ataupun membentuk jatidiri, dan apa ertinya dakwaan bersambung sanad kepada Rasulullah saw?
Orang awam tidak mampu menilai apabila seseorang mendakwa dia memiliki sanad yang sampai kepada nabi saw.
Persoalannya, sejauh mana pengajian bersanad boleh dikawal kualitinya daripada perkara seumpama ini. Sedangkan tujuan asal sanad adalah bagi menjaga kualiti.
🍀Ada juga pengajian bersanad dibuat untuk mempelajari kitab2 yang tiada kaitan dengan kitab2 hadith primer tadi. Didapati bahawa kitab yang mengandungi banyak hadith2 palsu juga diajar kepada orang awam secara bersanad.
Apa yang berlaku bertentangan dengan dakwaan bahawa pengajian bersanad yang dibuat itu, ada yang khusus untuk peringkat tinggi dan ada yang khusus untuk peringkat awam. Sebab ramai orang menyangka, apa yang ada dalam kitab yang mereka pelajari itu mesti diterima sepenuhnya, walaupun dalam kitab itu ada hadith palsu, suatu pendustaan yang dibuat atas nama seorang utusan Allah.
Dalam hal ini, orang awam menjadi mangsa apabila mereka tidak faham erti dan tujuan sanad. Ada juga yang ingin meraih kelebihan tanpa melalui susah payah dan pahit maung usaha dalam menuntut ilmu. Tanpa perlu mendalami asas dan disiplin yang sepatutnya.
🌐BERKAT ITU JIKA SESUAI KITABNYA, JUJUR GURUNYA, IKHLAS MURIDNYA
Ada hadith nabi saw yang menyebut tentang ghibtah, iaitu irihati yang dibolehkan. Antara lain ia mengajar kita secara tersirat, agar berusaha gigih untuk mendapat kelebihan berilmu dalam Islam, dan mengikhlaskan niat kerana Allah.
Niat yang baik akan melorongkan jalan yang baik dan menghasilkan natijah yang baik. Jika hasilnya tidak diraih di dunia, Allah kurniakan di akhirat. Niat yang buruk akan menatijahkan yang buruk, jika tak nampak di dunia oleh manusia, hasilnya akan nampak di akhirat, apabila amalan yang disangka banyak dan baik menjadi debu berterbangan yang tiada nilai di sisiNya.
Tiada siapapun yang boleh melepaskan diri daripada ketetapan ini.
Maka, para ulama' kita selalu mengingatkan tentang kepentingan niat, lebih-lebih lagi niat dalam menuntut ilmu, yang merupakan gerbang pintu masuk agama seseorang. Mereka, selain membawakan ayat2 al-Quran dan hadith2 nabi saw, juga sering membawakan doa Umar al-Khattab ra sebagai panduan amalan dari sahabat nabi, iaitu :
اللهم اجعل عملي كله صالحاً،
ولوجهك خالصاً،
ولا تجعل فيه لأحد شيئاً
Maksudnya :
Ya Allah, jadikanlah amalanku ini semuanya menjadi amal soleh, ikhlas semata2 kerana-Mu, dan jangan jadikan pada amalan itu (kulakukan) kerana orang lain sedikitpun."
🍀 Bagi orang awam, malah semua orang sebenarnya, yang menjadi matlamat bukan sanad. Yang menjadi matlamat ialah :
kesahihan sesuatu ilmu yang diperolehi, agar hidup diredai Allah, agar amalan yang dilaksanakan diterima oleh Allah swt.
Itulah keberkatan, walaupun guru tidak mempunyai, ataupun tidak memberikan sanad.
🍀 Guru yang 'alim dan jujur akan memandu para pelajar mengikut kebenaran, bukan menjadi pengikutnya.
Sanad yang diberi kepada awam boleh menimbulkan salah faham yang besar terhadap disiplin ilmu dan ilmu itu sendiri.
Oleh yang demikian, sekalipun guru itu betul2 memang ada autoriti untuk mengajar secara bersanad, namun, seperti sijil akademik, ia hanya layak dan bererti kepada pelajar yang memenuhi syarat sahaja, yang telah menguasai ilmu alat yang wajib seperti nahu sarafnya, asas ilmu hadith dan tafsir, dan banyak lagi.
Guru yang cermat, didapati tidak akan memberikan sanad dengan sewenangnya. Walaupun ramai orang awam dan juga terpelajar belajar dengannya.
📝KESIMPULAN
🍀Justeru, pada pandangan kita, bagi memelihara disiplin ilmu agar tidak disalahfahami serta tidak disalahgunakan oleh orang yang tidak amanah, kita dapati fatwa berikut, yang dikeluarkan oleh
اللجنة الدائمة للبحوث العلمية والإفتاء
dibuat atas dasar dan alasan yang kukuh ;
📜📜📜📜📜
Soalan :
Apakah masih ada ulama' yang bersambung sanad pengajian mereka sampai kepada Rasulullah saw dan kepada kitab2 ulama' Islam? Tunjukkan kami nama dan alamat mereka, agar kami boleh belajar hadith serta ilmu daripada mereka.
Jawapan :
"Ada sebahagian ulama' yang mempunyai sanad pengajian yang
menyambung mereka kepada kitab-kitab sunnah. Namun ia tiada nilai kerana panjangnya sanad itu, serta ramai perawinya tidak diketahui (sejauh mana) sifat adil dan dabit mereka itu..."
اللجنة الدائمة للبحوث العلمية والإفتاء
📜📜📜📜📜
🍀 Fatwa tersebut membawa orang ramai kepada perkara yang lebih utama, iaitu kesahihan ilmu yang dipelajari dan diperolehi, supaya amalan diterima oleh Allah swt.
اللهُمَّ عَلِّمْنَا ما يَنْفَعُنا، وَانْفَعْنَا بِمَا عَلَّمْتَنَا، وَزِدْنَا عِلْمًا.
"Ya Allah, ajarkan kepada kami apa yang bermanfaat bagi kami,
berilah manfaat dengan apa yang telah Engkau ajarkan kepada kami, dan tambahkanlah ilmu kepada kami."
والله اعلم
Ustazah Nabilah Hasan
29 December 2014
Israiliyyat ialah 'kumpulan kisah-kisah dari Bani Israil yang dibawa oleh ahli kitab - yahudi dan nasrani.'
Biasanya dibawa semasa mentafsirkan ayat al-Quran, khususnya bagi mendetailkan kisah dalam al-Quran. Dinamakan israiliyyat, antara lain, pertama kerana berita/kisah2 begini banyak diambil daripada orang2 Yahudi, dan kedua, kerana orang2 Nasrani pun berasal daripada Bani Israil juga.
Cerita2 ini,
1. Jika bertentangan dengan al-Quran dan hadith nabi saw, wajib kita tolak.
2. Jika tidak bertentangan, kita diamkan sahaja. Maksudnya, tak mengatakannya betul, tak kata juga salah.
3. Tetapi jika kisah itu disebut dalam hadith yang sahih, maka wajiblah kita menerima dan percaya.
Kata Ibn Taymiyyah :
"Memang dimaklumi bahawa kisah2 israiliyyat ini tidak ada sanad, tidak dijadikan hujah dalam agama, kecuali apabila memang dibawa kepada kita dengan cara yang betul seperti apa yang nabi saw ceritakan kepada kita dalam hadith2 baginda."
Seperti kisah Juraij dan kisah 3 pemuda yang terperangkap di dalam gua. (Lalu ia tidak lagi dinamakan kisah israiliyyat, tapi kisah dari hadith nabi saw)
Buku ttg israiliyyat yg ada di pasaran ialah Israiliyyat Dalam Tafsir Dan Hadith oleh Syeikh Muhammad Husin al-Dhahabi.
Kisah Tha'labah melihat aurat wanita itu bukan israiliyyat. Ia kisah palsu tentang sahabat nabi. Mmg ada banyak juga hadith2 palsu ttg sahabat nabi.
Yg melawan syaitan untuk menebang pokok sembahan itu bukan tha'labah. Itu kisah israiliyyat, tidak disebut namanya. Disebut 'abid/ahli ibadat sahaja.
Ada 3 cerita 'abid yang masyhur.
1. Kisah Juraij - ini disebut dalam hadith sahih. Wajib kita percaya. Dan ulama' mengeluarkan pelbagai pengajaran drpd hadith ini.
2. Kisah Bursisa. برصيصا
Ini kisah israiliyyat, tapi tak bertentangan dgn ajaran al-Quran dan sunnah. Mungkin benar, mungkin tidak. Jika mahu, boleh diambil iktibar drpdnya.
3. Kisah 'abid dengan pokok sembahan dan syaitan. Ini kisah israiliyyat, juga tak bertentangan dgn al-Quran dan sunnah. Mungkin benar, mungkin tidak. Jika mahu, boleh diambil iktibar drpdnya.
No 2 dan 3 seperti kisah2 lain dalam kehidupan manusia di dunia ini, yang boleh dijadikan pengajaran.
Kisah Tha'labah itu berbeza pula. Ia bukan israiliyyat, bukan kisah figure dalam umat terdahulu di kalangan Bani Israil.
Ia kisah sahabat dan nabi saw sendiri, yg didakwa sebagai hadith. Maka mesti diteliti sebagai hadith, sama ada diterima atau ditolak. Ibn al-Jauzi mengatakannya palsu. Bila palsu, kita tidak boleh menyebarkannya. Nanti kita bincangkan, bahaya hadith palsu kepada umat Islam.
Adapun kisah israiliyyat yg membahayakan ialah khurafat dan kepalsuan yg berasal drpd ahli kitab, serta kisah2 yg direka oleh musuh2 Islam, khususnya yahudi yg sgt dengki kpd Islam sejak zaman awal Islam lagi. Seperti yang kita tahu, kitab2 Taurat dan Injil telah diubah oleh tangan2 manusia, jadi kisah2 yg berasal dari situ terdedah kepada kepalsuan.
Antara contoh israiliyyat dalam tafsir ayat al-Quran ialah kisah dua anak Nabi Adam. Al-Quran dengan terang menyebut bahawa sebab dengki yg membawa kepada pembunuhan itu ialah kerana KORBAN TIDAK DITERIMA. Sedangkan kita, sejak dari kecil lebih mengingati kisah israiliyyat iaitu dengki itu timbul kerana inginkan isteri yg lebih cantik. Sedangkan kisah itu bukan dari hadith, dan tidak boleh kita terima cerita itu sebagai suatu yang pasti.
Bacalah ayat 27 - 31 surah al-Maidah dengan terjemahannya. Malah nama Qabil dan Habil pun tidak disebut dalam ayat al-Quran, kerana yang lebih penting ialah pengajarannya, iaitu Allah hanya menerima amalan orang yg bertaqwa, dan tidak boleh dengki kepada kelebihan yang Allah kurniakan kepada seseorang.
Surah Al-Maeda, Verse 27:
وَاتْلُ عَلَيْهِمْ نَبَأَ ابْنَيْ آدَمَ بِالْحَقِّ إِذْ قَرَّبَا قُرْبَانًا فَتُقُبِّلَ مِنْ أَحَدِهِمَا وَلَمْ يُتَقَبَّلْ مِنَ الْآخَرِ قَالَ لَأَقْتُلَنَّكَ قَالَ إِنَّمَا يَتَقَبَّلُ اللَّهُ مِنَ الْمُتَّقِينَ
Dan bacakanlah (wahai Muhammad) kepada mereka kisah (mengenai) dua orang anak Adam (Habil dan Qabil) yang berlaku dengan sebenarnya, iaitu ketika mereka berdua mempersembahkan satu persembahan korban (untuk mendampingkan diri kepada Allah). Lalu diterima korban salah seorang di antaranya (Habil), dan tidak diterima (korban) dari yang lain (Qabil). Berkata (Qabil):" Sesungguhnya aku akan membunuhmu!". (Habil) menjawab: "Hanyasanya Allah menerima (korban) dari orang-orang yang bertaqwa;
Surah Al-Maeda, Verse 30:
فَطَوَّعَتْ لَهُ نَفْسُهُ قَتْلَ أَخِيهِ فَقَتَلَهُ فَأَصْبَحَ مِنَ الْخَاسِرِينَ
Maka nafsu jahat (Qabil) mendorongnya (sehingga ia tergamak) membunuh saudaranya, lalu ia membunuhnya. Oleh itu menjadilah dia dari golongan orang-orang yang rugi.
Surah Al-Maeda, Verse 31:
فَبَعَثَ اللَّهُ غُرَابًا يَبْحَثُ فِي الْأَرْضِ لِيُرِيَهُ كَيْفَ يُوَارِي سَوْءَةَ أَخِيهِ قَالَ يَا وَيْلَتَا أَعَجَزْتُ أَنْ أَكُونَ مِثْلَ هَٰذَا الْغُرَابِ فَأُوَارِيَ سَوْءَةَ أَخِي فَأَصْبَحَ مِنَ النَّادِمِينَ
Kemudian Allah hantarkan seekor burung gagak (menyuruhnya) mengorek-ngorek di bumi supaya, diperlihatkan kepada (Qabil) bagaimana cara menimbus mayat saudaranya. (Qabil) berkata: "Wahai celakanya aku! Alangkah lemah serta bodohnya aku, aku tidak tahu berbuat seperti burung gagak ini, supaya aku dapat menimbuskan mayat saudaraku?". Kerana itu menjadilah ia dari golongan orang-orang yang menyesal.
Wallahua'lam
~ Ustazah Nabilah Hasan ~
Surah Al-Hujraat, Verse 6:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِن جَاءَكُمْ فَاسِقٌ بِنَبَإٍ فَتَبَيَّنُوا أَن تُصِيبُوا قَوْمًا بِجَهَالَةٍ فَتُصْبِحُوا عَلَىٰ مَا فَعَلْتُمْ نَادِمِينَ
Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini - dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) - sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.
![]() |
| Surah al-Hujurat ayat 6 |
Surah Al-Isra, Verse 36:
وَلَا تَقْفُ مَا لَيْسَ لَكَ بِهِ عِلْمٌ إِنَّ السَّمْعَ وَالْبَصَرَ وَالْفُؤَادَ كُلُّ أُولَٰئِكَ كَانَ عَنْهُ مَسْئُولًا
Dan janganlah engkau mengikut apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semua anggota-anggota itu tetap akan ditanya tentang apa yang dilakukannya.
![]() |
| Surah al-Isra' ayat 36 |
| Written by Administrator | |||||||||
| Sunday, 24 October 2010 08:23 | |||||||||
| Oleh zain-ys |
Designed by Gabfirethemes . Converted to Blogger by SimplexDesign