Assalamualaikum.

Kita menerima beberapa pertanyaan tentang ziarah kubur pada pagi 1 syawal. Ada yang sertakan video, kenyataan fb dan tulisan daripada agamawan yang meminta supaya masyarakat meninggalkan upacara ataupun adat menziarahi kubur ibubapa dan ahli keluarga sebaik sahaja pulang dari masjid menunaikan solat dan mendengar khutbah hari raya.

Respon kita dalam perkara ini : Ya, mari kita tinggalkan adat itu.

Sebab :

🔴 Perkara pertama :

🔸Menziarahi kubur asalnya sunat, bertujuan supaya orang yang menziarahi lebih ingat kepada kematian. Pada awalnya, Nabi Muhammad saw pernah melarang para sahabatnya menziarahi kubur, kerana mereka ketika itu baru keluar dari kegelapan amalan jahiliyyah. Kubur adalah asal tempat munculnya amalan menyembah berhala, di mana bermula dengan memuja roh orang mati, akhirnya dibina patungnya. Setelah aqidah tertanam kemas di jiwa para sahabatnya, akhirnya baginda saw membenarkan mereka menziarahi kubur, kerana menziarahi kubur boleh mengingatkan insan kepada kematian dan hari akhirat.

Hal ini jelas dinyatakan oleh Nabi Muhammad saw dalam beberapa hadith, antaranya :
1.
كنت نهيتكم عن زيارة القبور،
ألا فزوروها فإنها تذكركم بالأخرة.

Maksudnya : Pernah aku melarang kalian menziarahi kubur, namun sekarang ziarahlah, kerana kubur itu boleh mengingatkan kalian kepada hari akhirat.
(Mustadrak al-Hakim. Dinilai sahih oleh al-Albani.)

2.

عَنْ أَبِى هُرَيْرَةَ قَالَ زَارَ النَّبِىُّ -صلى الله عليه وسلم- قَبْرَ أُمِّهِ فَبَكَى وَأَبْكَى مَنْ حَوْلَهُ فَقَالَ :
اسْتَأْذَنْتُ رَبِّى فِى أَنْ أَسْتَغْفِرَ لَهَا فَلَمْ يُؤْذَنْ لِى وَاسْتَأْذَنْتُهُ فِى أَنْ أَزُورَ قَبْرَهَا فَأُذِنَ لِى فَزُورُوا الْقُبُورَ فَإِنَّهَا تُذَكِّرُ الْمَوْتَ

Maksudnya : Abu Hurairah berkata : Nabi Muhammad saw menziarahi kubur ibunya, baginda menangis, lalu orang-orang disekitar baginda pun turut menangis. Kemudian bagin bersabda, "Aku memohon izin daripada Tuhanku untuk meminta keampunan bagi ibuku, tetapi aku tidak diizinkan. Aku pun memohon izin daripadaNya untuk menziarahi kubur ibuku, dan aku diizinkan. Ziarahilah kubur kerana ziarah kubur itu memberi peringatan tentang kematian.

(Sahih Muslim, Kitab al-Janaiz, Bab Allah Azza wa Jalla Mengizinkan Nabi Muhammad saw Menziarahi Kubur Ibunya)

Tujuan menziarahi kubur lebih kepada memberi manfaat untuk orang hidup, bukan orang mati. Jika hendak berdoa, doa kita kepada orang (muslim) yang sudah meninggal dunia tetap sampai in syaa Allah, walau di mana sekalipun kita berdoa.

🔸Namun, apabila ada segelintir masyarakat seolah-olah menetapkan ziarah kubur mesti mereka lakukan pada hari raya, maka penetapan amalan seperti itu sudah menganggu syariat yang dibawa oleh nabi saw.

Dalam syariat sebenarnya tidak disunatkan, tidak dianjurkan langsung ziarah kubur pada hari raya. Amalan ini sebenarnya tidak bertepatan dengan ruh hari raya yang riang dan penuh kesyukuran.

Jika ada orang melakukannya seolah-olah perkara itu sunat dan dianjurkan, maka itulah namanya bid'ah.

Apakah buktinya amalan ini sudah menjadi bid'ah? Buktinya ialah apabila wujud rasa terganggu apabila menerima saranan supaya meninggalkan amalan itu pada hari raya. Rasa terganggu timbul kerana amalan tersebut sudah menjadi rutin amalan dalam keluarga sejak lama dahulu, dan merasakan ia suatu kemestian dan ketetapan yang tidak boleh ditinggalkan.

Menetapkan sesuatu yang tidak pernah ditetapkan oleh syariat Islam itulah yang dilarang. Nabi muhammad saw melarang kita daripada bid'ah kerana bid'ah boleh menutup wajah agama yang sebenar. 

Anak-anak kita hari ini, dengan melihat amalan orang tua mereka, mereka mungkin menyangka, oh, inilah ajaran Islam, kita mesti ziarah kubur pada pagi raya!

Ataupun mereka sangka, kalau hendak menziarahi kubur, tunggulah hari raya, sebab semua orang buat begitu, tentu ada kelebihannya!

Secara tidak langsung, lama kelamaan, ia menutup wajah asal amalan menziarahi kubur dalam syariat yang dibawa oleh Nabi Muhammad saw. Ia juga menambah sesuatu amalan yang langsung tidak disyariatkan pada hari raya umat Islam yang disambut  selepas sebulan berpuasa.

Sebahagian kita pada hari ini yang pernah mengamalkannya, mungkin mewarisi perkara itu dari generasi terdahulu. Setelah sampai ilmu kepada kita, jelas kedudukannya yang tiada asas dalam syariat Islam, maka sudah ramai yang mula meninggalkan amalan ziarah kubur pada hari raya.

🔴 Perkara Kedua :

🔸Memang ramai di antara kita yang bertanya, balik beraya di kampung, apakah tidak boleh menziarahi kubur ibubapa sendiri?

Persoalan di sini sebenarnya bukan tidak boleh ziarah kubur ibubapa, tetapi persoalan di sini mengapa mesti dibuat pada pagi raya 1 Syawal, seolah-olah ia amalan yang dianjurkan, padahal tidak. Mengapa anak-anak yang tinggal berdekatan dengan kubur ibubapa pun menziarahinya pada 1 Syawal juga?

Kita sebenarnya masih ada waktu lain untuk menziarahi kubur bagi tujuan mengingatkan diri tentang akhirat.

🔸Kita juga masih ada satu malam 10 Ramadhan yang berbaki.

Gantikan adat menziarahi kubur pada hari raya dan amalan-amalan di kubur pada hari tersebut dengan mendoakan keampunan bagi insan kesayangan yang sudah meninggal dunia itu secara tulus, pada malam baki terakhir Ramadhan ini.

Semoga Allah mengampunkan dosa kita semua yang masih hidup, dan mengampunkan dosa orang-orang yang kita kasihi, yang sudah pergi meninggalkan kita.

Masa sahur, sebelum kita bersahur, masa yang sangat mustajab doa.

Sabda Nabi Muhammad saw :

"ينزل ربنا تبارك وتعالى كل ليلة إلى السماء الدنيا حين يبقى ثلث الليل الآخر يقول: من يدعوني فأستجيب له،
من يسألني فأعطيه، من يستغفرني فأغفر له"
متفق عليه.

"Tuhan kita yang Maha Mulia dan Maha Tinggi turun setiap malam ke langit dunia, ketika malam tinggal 1/3 terakhir. Tuhan berkata : Sesiapa berdoa kepadaKu, akan Aku perkenankan doanya. Sesiapa meminta kepadaKu, akan Aku berikan permintaannya. Sesiapa memohon keampunan dariKu, akan Aku ampunkan dia."
(Sahih al-Bukhari, Kitab al-Tahajjud, Bab Berdoa Dan Solat Pada Akhir Malam)

Seruan ini wujud pada setiap malam, dalam Ramadhan dan selepas Ramadhan.

اللهم إنك عفو  تحب العفو فاعف عنا

والله الموفق

○ Usrah Online Ustazah Nabilah  ●  
29 Ramadhan 1436H

Membaca Al Quran sewaktu haid 

Assalamualaikum.
Soalan : Benarkah wanita berhaid boleh baca al-Quran dan pegang al-Quran terjemahan?
 Bagi setengah orang awam di tempat kita yang mempelajari fiqh mazhab syafi'i sahaja, perkara ini sensitif, (termasuk guru agama yang mengajar). Apatah lagi jika mereka tidak memahami bahasa Arab, dan pendapat2 lain dalam mazhab fiqh, serta tidak pernah mendapat pendedahan tentang dalil ayat al-Quran dan hadith sesuatu amalan yang dilaksanakan.
Samalah seperti kita dahulu, semasa sekolah. Sebab ketika itu kita hanya belajar satu pendapat sahaja. Kita hanya bergantung kepada sukatan pelajaran dalam tingkatan tertentu ketika itu, belum didedahkan kepada mazhab-mazhab fiqh yang lain, dan kita belum mampu membuat kajian ilmiah dan membaca kitab2 lain. Apabila diberitahu oleh seseorang bahawa wanita berhaid boleh baca ataupun pegang al-Quran, tentulah kita berasa pelik.
Oleh yang demikian, persoalan sebegini perlu dibincangkan dalam majlis ilmu sahaja, ataupun dalam perbincangan secara ilmiah, bukan sebagai topik perdebatan awam.
Kita jawab soalan Sila dengan cara terbuka, kerana kita fikir ahli uol memang terbuka dan sudah terdedah kepada dalil-dalil amalan ibadah yang kita kerjakan, dengan mengikuti perbincangan dan perbahasan para ulama' fiqh dan hadith dalam majlis2 ilmu sebelum ini.
 Dalam ilmu agama, sangat penting kita mengetahui yang mana menjadi khilaf (perselisihan pendapat di kalangan ulama' dalam skop yang dimaafkan) dan yang mana yang tidak. Adalah tidak patut dan tidak berbaloi bergaduh jika perkara itu khilaf. Pilihlah pendapat yang paling baik, yang paling jelas dalilnya.
Tetapi jangan pula terpengaruh dengan ajaran yang menyimpang dengan alasan mereka juga ada sandaran dalil. Syiah pun berdalilkan al-Quran dan hadith juga. Begitulah juga mereka yang menyembah kubur di negara2 umat Islam, dan amalan2 lain yang tiada sandaran. Mereka hendak melakukan perkara yang dilarang dalam agama, lalu mereka ada-adakan dalil dari al-Quran dan hadith tanpa disiplin. Jadi, kita sangat perlukan disiplin yang betul dalam beragama.
Para ulama' bertoleransi, hormati menghormati apabila ada perbezaan dalam fiqh, namun mereka semua bersepakat, sangat tegas membanteras syirik dan bid'ah.
Dalam erti kata lain, kalau kita tidak pandai memandu sendiri, kita terpaksa memilih pemandu yang baik, bertaqwa dan amanah, untuk membawa kita ke jalan yang lurus. Salah pemandu, salahlah jalan yang kita lalui.
Itulah tinggi nilainya doa yang kita ulangi dalam surah al-Fatihah :
اهدنا الصراط المستقيم
 Hukum wanita berhaid membaca dan memegang al-Quran termasuk dalam perkara fiqh yang menjadi khilaf di kalangan ulama'. Kita boleh pegang pendapat yang paling kita yakini, setelah kita belajar daripada sumber dan guru yang betul.
 Kita ringkaskan rujukan dari dua kitab untuk memudahkan, dan kitab ini memang menjadi rujukan yang dimaklumi oleh ahli ilmu. Ustazah-ustazah dalam group ini boleh rujuk jika memiliki.
1. Al-Mufassal fi Ahkam al-Mar'ah wa al-Bait al-Muslim
2. Sahih Fiqh Sunnah
3. Al-Fiqh al-Manhaji 'ala Mazhab al-Imam al-Syafi'i
 Kita ringkaskan pendapat2 para ulama' seperti berikut :
♦️1. Ulama' yang mengatakan wanita berhaid haram membaca al-Quran dan haram memegang al-Quran. Antara ulama' yang berpendapat begini ialah al-Imam al-Syafi'i.
Yang dibenarkan hanya baca ayat2 yang diniatkan sebagai zikir sahaja, seperti
بسم الله الرحمن الرحيم
dan
ربنا اتنا في الدنيا حسنة وفي الاخرة حسنة وقنا عذاب النار

♦️2. Ulama' yang mengatakan wanita berhaid boleh membaca al-Quran tetapi haram memegang al-Quran.
Maknanya, boleh baca al-Quran seperti biasa, tidak perlu niat sebagai zikir, cuma tidak boleh pegang al-Quran.
(Terjemahan al-Quran dan kitab agama yang mengandungi banyak ayat al-Quran tidak dikira sebagai mushaf/ al-Quran.)
♦️3. Ulama' yang mengatakan wanita berhaid boleh membaca al-Quran dan boleh memegang al-Quran.
Maknanya, haid tidak menghalang seseorang wanita untuk membaca dan menyentuh al-Quran.
Dengan kata lain, ulama' golongan ketiga TIDAK memasukkan membaca dan menyentuh al-Quran sebagai perkara yang haram dilakukan oleh wanita berhaid.
Antara yang berpendapat begini ialah Imam al-Bukhari dan Ibn Hazm.
♦️♦️♦️♦️♦️
 Para ulama' yang disebutkan tadi berselisih pada beberapa dalil, panjang perbahasannya. Dalam perbincangan ini, kita ambil satu sahaja, iaitu ayat al-Quran. Firman Allah swt :

إنه لقرآن كريم (٧٧) في كتاب مكنون (٧٨)
لا يمسه إلا المطهرون (٧٩) تنزيل من رب العالمين (٨٠)
Maksudnya :
"Dan sesungguhnya (yang dibacakan kepada kamu itu adalah) Al-Quran yang sangat mulia. Tersimpan dalam kitab yang terpelihara (lauh mahfuz). Tiada yang menyentuhnya selain hamba-hamba yang disucikan. Al-Quran itu diturunkan dari Allah Tuhan semesta alam."
Bagi ulama' golongan ketiga,
'لا يمسه الا المطهرون' bukan merujuk kepada makhluk yang menyentuh al-Quran di bumi. Pada mereka, berdasarkan konteks ayat sebelum dan selepasnya ;
a. 'nya' dalam 'menyentuhnya' itu bukan al-Quran di dunia, tetapi al-Quran yang terpelihara di kitab/tablet 'luh mahfuz'.
b. Hamba-hamba yang dimaksudkan dalam ayat tersebut adalah makaikat2 yang disucikan daripada melakukan sebarang dosa.
Maknanya, ayat itu tidak menunjukkan wanita berhaid tidak boleh memegang al-Quran.
 Dari segi membaca, bagi golongan ketiga, hadith yang menyebut larangan wanita berhaid membaca al-Quran, adalah hadith yang lemah. Pada mereka, tidak ada dalil yang kuat menunjukkan bahawa wanita berhaid tidak dibenarkan membaca al-Quran, sedangkan perkara itu penting. Jika benar2 haram tentu banyak riwayat sahih mengatakannya.
Kesimpulan :
Kalau hendak detailkan dalil satu persatu, perlu attend pengajian, khususnya kelas Fiqh Sunnah, yang diulas oleh mereka yang ahli dalam bidangnya, supaya kita boleh belajar dalil al-Quran dan hadith pada setiap amal ibadat yang kita lakukan.
Apapun, demikianlah ringkasnya, khilaf dalam perkara fiqh memang banyak.
Bagi orang awam, perlu lihat kemampuan, jika rasa tidak mampu memahami, lebih baik ikut apa yang pernah dipelajari secara ringkas seperti zaman sekolah, iaitu satu mazhab sebagai asas.
Bagi mereka yang ingin terus belajar fiqh perbandingan dan fiqh sunnah, bila sudah jelas hujah, dipelajari dengan berdisiplin dan berguru, pilihlah pendapat yang paling baik, paling dekat dengan nas al-Quran dan al-hadith, dan hormati orang lain yang ambil pendapat yang berbeza dengan kita.
Namun sekali lagi kita ulangi, para ulama' fiqh tidak berkompromi, malahan mereka sepakat sangat tegas dalam bab akidah, iaitu soal syirik dan bid'ah. Itu persoalan yang berbeza.
والله أعلمُ
●  Usrah  Online  Ustazah  Nabilah  ● 

💠Soalan :

Saya keguguran semasa kandungan berusia 2 bulan. Hukum darah yang keluar selepas itu, adakah istihadah ataupun nifas?

💠Jawapan :

🔴 Nifas ialah darah yang keluar dengan sebab kelahiran.

🔴 Keguguran yang dikira sebagai 'kelahiran' ialah apabila janin yang gugur itu sudah ada rupa bentuk manusia.

🔴 Peringkat kejadian : Nutfah - 'Alaqah - Mudghah - Ditiupkan roh pada hari ke 120 (4 bulan)

🔴 Berdasarkan al-Quran dan hadith nabi saw, pembentukan itu hanya bermula selepas 80 hari (lebih kurang 2 bulan 20 hari/ 11minggu), iaitu pada peringkat mudghah. Ini berdasarkan ayat 5 surah al-Hajj.

🔴 Oleh itu :
🔺Jika gugur pada masa sebelum 80 hari/+-11 minggu, darah yang keluar adalah darah istihadah/fasad.
🔺Jika gugur pada masa 120 hari ke atas(+-4 bulan/16 minggu), maka darah yang keluar adalah darah nifas.
🔺Jika gugur pada masa antara 80-120 hari, perlu lihat keadaan mudghah yang keluar itu :
🔹jika sudah nampak bentuk kepala, kaki, tangan, dan lain-lain, maka darah yang keluar dikira nifas.
🔹jika janin yang keluar itu belum terbentuk, maka darah yang keluar dikira sebagai darah istihadah/fasad.

والله أعلمُ

● Usrah Online Ustazah Nabilah ●

Assalamualaikum.

Dedikasi untuk ahli usrah online.

MENCARI DAN MENJADI GURU-GURU YANG JUJUR

🔹Nabi Nuh as
🔶 Siapakah guru yang menunjukkan jalan kebenaran pada zaman Nabi Nuh alaihissalam? Tentulah Nabi Nuh alaihissalam sendiri.

Susah sangatkah silibus yang diajarkannya?Sangat mudah :
Tauhidkan Allah, jangan syirikkan Allah.

Adakah semua umatnya menerima Nabi Nuh sebagai 'guru' yang menunjukkan jalan kebenaran? Tentu tidak. Malahan ketika Nabi Nuh 'mengajar', mereka sumbat lubang telinga dengan jari, dan mereka selubungkan kepala dengan pakaian, sebagai isyarat penolakan dan penentangan.

Selama 950 tahun Nabi Nuh alaihissalam 'mengajar', tidak ramai yang mengikutnya.

🔹Nabi Muhammad saw
🔶 Siapakah guru yang menunjukkan jalan kebenaran pada zaman Nabi Muhammad saw? Tentulah Nabi Muhammad saw. Adakah mereka yang ada di sekelilingnya dengan mudah menerima baginda sebagai seorang guru?

Nabi Muhammad saw 'mengajar' umat dari 'silibus' terbaik, iaitu wahyu yang diturunkan oleh Jibril as. Baginda tidak mengajar sembarangan, sebagaimana yang dijelaskan dalam ayat :
وما ينطق عن الهوى.
إن هو إلا وحي يوحى.

Dengan sukatan yang  terbaik diturunkan dari langit oleh Allah Yang Maha Mengetahui, dengan akhlak terbaik seorang Nabi, baginda saw pernah dituduh gila, dilempar batu, dikejar dan diancam supaya tidak meyampaikan.

🔶 Para ulama' adalah guru sebenar kepada umat, kerana mereka menyambung tugas Nabi Muhammad saw.

Menunjukkan jalan benar yang membawa ke syurga, dan  menunjukkan jalan salah yang membawa ke neraka.

Menjelaskan tauhid supaya ditanam di dalam jiwa, menjelaskan syirik supaya dikikis sedaya upaya.

Menjelaskan sunnah supaya diikuti, menjelaskan bid'ah supaya dijauhi.

🔹Pentingnya ilmu bagi seorang guru
🔶 Dalam Fiqh al-Awlawiyyat, Dr Yusuf al-Qaradawi menyebut tentang berilmu lebih utama daripada beramal. Imam Bukhari dalam Sahih Bukhari Kitab Ilmu, menamakan salah satu judul babnya sebagai 'al-Ilm Qabla al-Qaul wa al-Amal.  Berilmu sebelum mengajar dan beramal.

Mengapa mereka menyebut tentang perkara ini? Kerana sudah banyak kerosakan berlaku kerana mengajar tanpa ilmu, dan beramal tanpa ilmu.

Pendakwah adalah guru. Berdakwah dan menyampaikan ilmu perlukan ilmu yang benar. Kelak kita akan ditanya, apakah yang kamu ajarkan kepada orang, kebaikan ataupun keburukan?

Di luar sana, kalau ada guru yang tidak benarkan tawassul dengan roh orang mati, ada pula orang yang mendakwa dirinya sebagai guru, mengatakan tidak mengapa kita meminta di kubur dengan roh orang mati, sebab yang memberikan sebenarnya - Allah!

Di luar sana, kalau ada guru yang melarang sujud kepada manusia, ada pula orang yang mendakwa dirinya sebagai guru, mengatakan itu bukan sujud, itu sekadar cium kaki, jadi jangan tuduh sembarangan jika tidak tahu soal2 ilmu hakikat!

Demikian nilai ditunjukkan jalan yang lurus, nilai diberikan kefahaman menilai antara yang haq dengan yang batil.

Pilihlah guru yang jujur, dan jadilah guru yang jujur.

Jika manusia tidak tahu, Allah Maha Mengetahui.

بسم الله الرحمن الرحيم

📓PERLUKAH BELAJAR CARA BERSANAD?📓

🌐MUQADDIMAH

🍀Sepanjang peristiwa banjir ini, banyak pengajaran yang boleh kita ambil, sementelah banyak berita dan maklumat palsu yang diterima, kemudian terus disebarkan.

Dari Kelantan diisytihar darurat, orang hilang belum ditemui dikatakan sudah diuruskan jenazahnya, sehinggalah tersebar nombor ahli penyelamat, yang rupa2nya mereka adalah mangsa banjir. Begitu pantas sampai ke pengetahuan orang ramai. Sekali butang 'send' ditekan, ia umpama arus banjir yang deras, tak dapat ditahan2 lagi.

Asalnya perlu berhati-hati ; menyaring mana yang betul, mana yang palsu. Namun hal ini dilupakan, kerana masing-masing merasakan dia sedang membantu dengan menyebarkan.

Walhal, kepalsuan maklumat yang tersebar itu, sebenarnya semakin menambahkan beban. Paling kurang, orang berpusu kepada maklumat palsu, dan meninggalkan maklumat yang benar.

Tidak kurang ada yang menyebarkan dalam keadaan tidak pasti, dengan harapan orang yang menerima nanti dapat menyemaknya sendiri.

🍀Begitulah juga situasi dan sebab timbulnya hadith palsu. Ada yang suka-suka, ada yang berkepentingan, ada juga yang tidak tahu menahu, tetapi ingin berbuat kebajikan tanpa dipandu ilmu.

Yang penting, kita tahu, ada orang yang memulakannya. Jika ada orang sanggup menipu atas nama nabi saw, tentulah ada orang yang sanggup buat perkara yang sama atas nama orang lain.

Namun, menipu atas nama nabi saw tidak sama dengan menipu orang lain. Menipu atas nama nabi saw boleh merosakkan agama, maka perbuatan itu bererti menempah awal-awal tempat duduk dalam neraka.

Demi mempertahankan agama, amanah terhadap maklumat dan ilmu, maka ulama' dahulu menapis dengan segala daya upaya setiap satu hadith yang diterima. Bermusafir ribuan batu, adakalanya, hanya kerana ingin mendapatkan satu hadith sahaja, daripada orang yang betul-betul mendengarnya, yang juga menerimanya daripada orang yang betul-betul amanah.

🌐HIKMAH SANAD

🍀Itulah hikmahnya hadith2 nabi saw sampai kepada kita dengan sistem sanad.

Maksudnya, ada rantaian lengkap perawi ataupun pelapornya, hingga sampai kepada Nabi saw. Tujuannya ialah memastikan hadith-hadith nabi saw disampaikan oleh orang yang amanah dan cukup syarat, bagi memastikan hadith benar2 berlaku, ataupun nabi saw benar2 menyebut hadith itu.

Ulama' mencatat dengan lengkap maklumat peribadi yang berkaitan bagi setiap perawi dalam sanad itu, malah membukukannya.

Keperibadian seseorang perawi mempengaruhi rantaian sanad.
Hadith, jika diambil daripada orang yang tidak dikenali, ataupun yang ada kecacatan peribadi, ia sudah dikira sebagai hadith yang daif.
Sanad menjadi lemah apabila perawinya tidak cukup syarat, ataupun tidak dikenali (Sekadar menyebut secara ringkas sebagai contoh)

🍀Namun, sanad juga boleh dicipta oleh orang yang tidak bertanggungjawab. Seperti situasi banjir tadi ; reka sesuatu berita, kemudian sandarkan kepada sumber yang berautoriti.
Bermakna, belum tentu sanad sahih, hadith pun sahih. Ada penilaian lain pula bagi menentukan dan menyaringnya.

🍀Adakalanya juga seseorang perawi/pelapor itu jujur, tetapi dia mungkin keliru. Mungkin juga laporannya agak janggal, berbanding laporan perawi2 yang lebih baik daripadanya.

Semua itu diambil kira oleh para ulama' hadith dalam menentukan kedudukan sesuatu hadith. Mereka sangat teliti dalam disiplinnya, dan kerja itu rumit, memerlukan taqwa dan kepakaran yang tinggi.

Itulah antara warna-warni disiplin ilmu hadith, yang telah Allah tentukan bagi menjaga sumber syariat Islam kedua itu.

🍀Adapun al-Quran, ia tidak lagi memerlukan sistem sanad agar terpelihara, kerana Allah swt telah menjaminnya menerusi ayat :

( إِنَّا نَحْنُ نَزَّلْنَا الذِّكْرَ وَإِنَّا لَهُ لَحَافِظُونَ )

Maksudnya : "Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan al-Quran, dan Kamilah yang memelihara dan menjaganya."
Surah al-Hijr, ayat 9.

🌐APABILA HADITH SUDAH DIKUMPUL DAN DIBUKUKAN

🍀Katakan begini :

Apabila sesuatu berita/kenyataan sudah terpampang pada 'official website', ataupun website rasmi sesebuah agensi/pertubuhan, maka ia tidak dipertikaikan lagi. Itulah rujukan utama dan terpenting. Tidak perlu lagi kita persoalkan, siapakah yang menyebarkannya.

Kalau ada kritikan ataupun pembetulan sekalipun, ia berada di sekitar maklumat dalam website itu sahaja. Jelas dan telus.

Setelah hadith2 nabi saw (beserta dengan sanadnya) dibukukan secara sistematik oleh para ulama', maka ia umpama website rasmi (sekadar memudahkan pemahaman) yang menjadi rujukan. Boleh dikaji, dipelajari, dan boleh mengajarkannya, oleh guru yang cukup syarat2nya, dengan disiplinnya.

🍀 Sanad, dari sudut hikmahnya, telah terhenti pada kitab2 hadith primer seperti Sahih Bukhari, Sahih Muslim, Sunan Abi Daud, Jami' al-Tirmidhi dan lain2. Kita boleh belajar daripada kitab2 itu tanpa cara bersanad, walaupun rantaian sanad, bermula dari Rasulullah saw sampai kepada ulama' yang menyusunnya, memang ada didalamnya. Guru boleh mengajar, apabila dia berilmu dan tahu disiplinnya, tanpa perlu cara bersanad.

Seringkali juga orang yang belajar tidak bersanad lebih memahami dan menghayati maksud sesuatu hadith, berbanding orang yang menerima hadith secara bersanad.

🍀 Ilmu tentang sanad dan maklumat tentang para perawinya, semuanya telah termaktub dalam senarai kitab-kitab yang ada dalam disiplin ilmu hadith. Demikian caranya hadith terpelihara daripada sebarang penipuan insan terdahulu, mahupun tokok tambah insan sekarang.

🌐 TRADISI PENGAJIAN HADITH SECARA KHUSUS

🍀  Ada guru yang menerima/belajar hadith secara bersanad. Namun ia sekadar meneruskan tradisi pengajian hadith, dan nilai sanad itu tidak sama seperti zaman hadith sebelum dibukukan.

Mungkin juga boleh diumpamakan sijil tambahan bagi mereka yang benar-benar mendalami bidang ilmu hadith. Ia dimaklumi oleh mereka yang menekuni bidang hadith.

🍀 Namun, ia bukan boleh didapati ataupun diberikan sewenang2nya. Bagi orang awam, tiada erti dia memilki sanad, seperti menggenggam segulung sijil,  tetapi tidak tahu selok belok sesuatu disiplin ilmu.

Malah untuk mendapat sijil asas sekalipun, seseorang itu mesti bertanya kepada mereka yang ahli dalam bidangnya. Jika tidak, dia boleh menjadi mangsa penipuan yang ada di mana-mana.

🌐 SALAH FAHAM TERHADAP SANAD DAN BERKAT

🍀 Ada juga sanad diberi dengan cara yang aneh dan meragukan. Seperti guru tertentu mendakwa boleh beri sanad, lalu orang awam pun meminta sanad daripadanya, tanpa belajar apa-apa, dengan alasan untuk mengambil berkat. Orang yang mendakwa guru itu pula didapati menyebarkan hadith2 palsu yang disandarkan atas nama nabi saw.

Jika demikian, bagaimana mungkin ia boleh mendatangkan keberkatan ilmu, ataupun membentuk jatidiri, dan apa ertinya dakwaan bersambung sanad kepada Rasulullah saw?

Orang awam tidak mampu menilai apabila seseorang mendakwa dia memiliki sanad yang sampai kepada nabi saw.

Persoalannya, sejauh mana pengajian bersanad boleh dikawal kualitinya daripada perkara seumpama ini. Sedangkan tujuan asal sanad adalah bagi menjaga kualiti.

🍀Ada juga pengajian bersanad dibuat untuk mempelajari kitab2 yang tiada kaitan dengan kitab2 hadith primer tadi. Didapati bahawa kitab yang mengandungi banyak hadith2 palsu juga diajar kepada orang awam secara bersanad. 

Apa yang berlaku bertentangan dengan dakwaan bahawa pengajian bersanad yang dibuat itu, ada yang khusus untuk peringkat tinggi dan ada yang khusus untuk peringkat awam. Sebab ramai orang menyangka, apa yang ada dalam kitab yang mereka pelajari itu mesti diterima sepenuhnya, walaupun dalam kitab itu ada hadith palsu, suatu pendustaan yang dibuat atas nama seorang utusan Allah.

Dalam hal ini, orang awam menjadi mangsa apabila mereka tidak faham erti dan tujuan sanad. Ada juga yang ingin meraih kelebihan tanpa melalui susah payah dan pahit maung usaha dalam menuntut ilmu. Tanpa perlu mendalami asas dan disiplin yang sepatutnya.

🌐BERKAT ITU JIKA SESUAI KITABNYA, JUJUR GURUNYA, IKHLAS MURIDNYA

Ada hadith nabi saw yang menyebut tentang ghibtah, iaitu irihati yang dibolehkan. Antara lain ia mengajar kita secara tersirat, agar berusaha gigih untuk mendapat kelebihan berilmu dalam Islam, dan mengikhlaskan niat kerana Allah.

Niat yang baik akan melorongkan jalan yang baik dan menghasilkan natijah yang baik. Jika hasilnya tidak diraih di dunia, Allah kurniakan di akhirat. Niat yang buruk akan menatijahkan yang buruk, jika tak nampak di dunia oleh manusia, hasilnya akan nampak di akhirat, apabila amalan yang disangka banyak dan baik menjadi debu berterbangan yang tiada nilai di sisiNya.

Tiada siapapun yang boleh melepaskan diri daripada ketetapan ini.

Maka, para ulama' kita selalu mengingatkan tentang kepentingan niat, lebih-lebih lagi niat dalam menuntut ilmu, yang merupakan gerbang pintu masuk agama seseorang. Mereka, selain membawakan ayat2 al-Quran dan hadith2 nabi saw, juga sering membawakan doa Umar al-Khattab ra sebagai panduan amalan dari sahabat nabi, iaitu :

اللهم اجعل عملي كله صالحاً،
ولوجهك خالصاً،
ولا تجعل فيه لأحد شيئاً

Maksudnya :
Ya Allah, jadikanlah amalanku ini semuanya menjadi amal soleh, ikhlas semata2 kerana-Mu, dan jangan jadikan pada amalan itu (kulakukan) kerana orang lain sedikitpun."

🍀 Bagi orang awam, malah semua orang sebenarnya, yang menjadi matlamat bukan sanad. Yang menjadi matlamat ialah :
kesahihan sesuatu ilmu yang diperolehi, agar hidup diredai Allah, agar amalan yang dilaksanakan diterima oleh Allah swt.

Itulah keberkatan, walaupun guru tidak mempunyai, ataupun tidak memberikan sanad.

🍀 Guru yang 'alim dan jujur akan memandu para pelajar mengikut kebenaran, bukan menjadi pengikutnya.

Sanad yang diberi kepada awam boleh menimbulkan salah faham yang besar terhadap disiplin ilmu dan ilmu itu sendiri.

Oleh yang demikian, sekalipun guru itu betul2 memang ada autoriti untuk mengajar secara bersanad, namun, seperti sijil akademik, ia hanya layak dan bererti kepada pelajar yang memenuhi syarat sahaja, yang telah menguasai ilmu alat yang wajib seperti nahu sarafnya, asas ilmu hadith dan tafsir, dan banyak lagi.

Guru yang cermat, didapati tidak akan memberikan sanad dengan sewenangnya. Walaupun ramai orang awam dan juga terpelajar belajar dengannya.

📝KESIMPULAN

🍀Justeru, pada pandangan kita, bagi memelihara disiplin ilmu agar tidak disalahfahami serta tidak disalahgunakan oleh orang yang tidak amanah, kita dapati fatwa berikut, yang dikeluarkan oleh
اللجنة الدائمة للبحوث العلمية والإفتاء
dibuat atas dasar dan alasan yang kukuh ;

📜📜📜📜📜

Soalan :
Apakah masih ada ulama' yang bersambung sanad pengajian mereka sampai kepada Rasulullah saw dan kepada kitab2 ulama' Islam? Tunjukkan kami nama dan alamat mereka, agar kami boleh belajar hadith serta ilmu daripada mereka.

Jawapan :

"Ada sebahagian ulama' yang mempunyai sanad pengajian yang
menyambung mereka kepada kitab-kitab sunnah. Namun ia tiada nilai kerana panjangnya sanad itu, serta ramai perawinya tidak diketahui (sejauh mana) sifat adil dan dabit mereka itu..."

اللجنة الدائمة للبحوث العلمية والإفتاء

📜📜📜📜📜

🍀 Fatwa tersebut membawa orang ramai kepada perkara yang lebih utama, iaitu kesahihan ilmu yang dipelajari dan diperolehi, supaya amalan diterima oleh Allah swt.

اللهُمَّ عَلِّمْنَا ما يَنْفَعُنا، وَانْفَعْنَا بِمَا عَلَّمْتَنَا، وَزِدْنَا عِلْمًا.

"Ya Allah, ajarkan kepada kami apa yang bermanfaat bagi kami,
berilah manfaat dengan apa yang telah Engkau ajarkan kepada kami, dan tambahkanlah ilmu kepada kami."

والله اعلم

Ustazah Nabilah Hasan 
29 December 2014

Assalamualaikum. 

Persoalan tentang seruan Ya Madad Ya Rasulullah itu, elok kita semua ambil perhatian.

  • Pertama kerana ia soal akidah, perkara paling tunjang dalam Islam. Ia bukan soal fiqh yg boleh kita pilih dan raikan pendapat mazhab. Adakalanya kita memandang remeh, walhal ia persoalan besar.
  • Kedua, kerana sudah ramai muslimah bertanya tentang soal tawassul, soal qasidah dan soal menyeru Ya Rasulallah ini.
Ada seorang muslimah pernah bertanya : Jika kita dalam kesusahan, bolehkah kita seru 'Ya Rasulallah!'
Jawapannya, "Tidak boleh." Kerana orang yang menyeru ketika itu memang hendak mohon pertolongan.
Walaupun tiada perkataan 'madad', hal ini tetap sama dengan sebut Ya Madad Ya Rasulallah.
  • Perkataan 'Madad' itu sendiri bermaksud bantuan, pertolongan. Bila sebut Ya Madad Ya Rasulallah, seolahnya disebut "Wahai Rasulullah, aku mohon pertolongan!"
Bukankah ia bercanggah dengan ayat yang selalu kita ulangkan dalam solat :
اياك نعبد واياك نستعين
Seruan memohon pertolongan mesti kepada Allah. Sepatutnya kita seru "Ya Allah! "


  • SERUAN UNTUK MOHON PERTOLONGAN DALAM KESUSAHAN INILAH YANG DINAMAKAN SEBAGAI 'ISTIGHATHAH', DAN ISTIGHATHAH HANYA BOLEH KITA POHON KEPADA ALLAH.
  • Kepada Nabi Muhammad saw, yang dianjurkan kepada kita ialah SELAWAT, bukan istighathah, dan selawat terbaik yang diajarkan sendiri oleh baginda kepada para sahabatnya ialah selawat. Ibrahimiyyah, yang kita baca dalam tahiyyat/tasayahhud akhir itu.
  •  Hal berseru dengan Ya Madad Ya Rasulullah berkait rapat dengan 3 perkara :
          1. Apa maksud kita bersyahadah
لا اله الا الله  
         Apa kandungan, apa tuntutannya. Mengapa orang musyrikin Mekah enggan menyebutnya, 
         walaupun lafaz itu mudah?
        
         2. Antara tuntutan syahadah ialah ibadat kepada Allah, dan doa itu adalah ibadat, 
         justeru ia mesti dipohon hanya kepada Allah. Allah itu dekat, tidak perlu kepada perantaraan.
تَعَالَى ( وَإِذَا سَأَلَكَ عِبَادِي عَنِّي فَإِنِّي قَرِيبٌ أُجِيبُ دَعْوَةَ الدَّاعِ إِذَا دَعَانِ فَلْيَسْتَجِيبُوا لِي وَلْيُؤْمِنُوا بِي لَعَلَّهُمْ يَرْشُدُونَ
Surah al-Baqarah, ayat 186.
Sebutlah 'Ya Allah' bila perlukan pertolongan. Nyatakan bentuk pertolongan yang kita minta itu kepada Allah. Dimakbul atau belum, kita sudahpun mendapat pahala beribadah.
          3. Lihatlah kitab2 ulama' yang mu'tabar. Seperti Sahih Bukhari dan lain2, ada dihimpunkan 
          doa-doa yang diajar oleh nabi saw. Nabi selalu ajar para sahabatnya, dan baginda sendiri berdoa,  
          dengan dimulakan dengan :
اللهم /Ya Allah!
 Perkara begini, pada kita, tidak perlu diperdebatkan. Jelas dalam al-Quran, Allah suruh kita berdoa kepadaNya. Doa itu ibadat, dan Nabi Muhammad saw sendiri berdoa dan mengajar doa dengan lafaz اللهم / Ya Allah!
  • Apabila kita renungkan dengan mendalam, apa perlunya kita ajarkan umat Islam perkara yang tidak jelas, perkara yang ada unsur syubhah aqidah? Mengapa kita tidak mengamalkan hadith2 sahih yang banyak dan jelas dalam perkara ini?
Lebih mudah kita bawa ajaran nabi saw. Berdoa terus kepada Allah. Jika kita hendak ajarkan doa kepada orang baru masuk Islam pun, mereka akan nampak mudahnya Islam. Tulus. Direct kepada Allah yang Maha Mendengar. Inilah keistimewaan Islam berbanding agama2 lain, iaitu tiada perantaraan, baik dia orang soleh, wali ataupun nabi.
  •  Tawassul yang diterima oleh para ulama' ialah 3 :
           1. Berdoa dengan nama2 Allah yg baik -Asmaul Husna.
           2. Berdoa dengan menyebut amalan soleh (ikhlas) yg pernah kita lakukan. 
               Dalilnya hadith sahih, yang dilakukan oleh 3 pemuda yg terperangkap dalam gua.
           3. Saling mendoakan sesama muslim. 
               Termasuklah dalam kategori ini jika kita minta sahabat kita doakan untuk kita, 
               ataupun mohon doa orang soleh doakan kpd kita. Tapi dengan syarat, sahabat kita 
               ataupun ustaz itu masih hidup. Jika tidak, ia termasuk dalam kategori dilarang, 
               iaitu memohon dengan manusia yang sudah meninggal dunia.
  •  Tawassul SELAIN  drpd 3 perkara ini, akan membuka pintu kepada 1001 jenis amalan yang bertentangan dengan sunnah/syariat/akidah. Seperti berdoa di kubur2, memohon dengan orang yang sudah meninggal, baik dia adalah nabi dll, membina binaan di kubur orang yg dianggap wali dsb.
Nabi saw jelas melarang perkara2 seumpama itu.
Sekarang, kita teliti dan cuba menilai 5 hujah yang dikemukakan dalam respon tersebut.

➡️ Hujah 1 : 
Jawapan A : Memohon kepada Rasulullah saw boleh semasa baginda masih hidup, itupun mohon baginda doakan, bukan mohon seperti mohon kepada Allah. Tetapi hakikatnya baginda sudah wafat. Haram memohon pertolongan dengan orang yang sudah mati.
Jawapan B : Tidak benar perumpamaan itu. Minta ibu ayah doakan itu termasuk dalam jenis tawassul ketiga yg kita sebut di atas tadi. Kategori saling mendoakan sesama mukmin. Syaratnya yang masih hidup. Kita tidak mohon ibubapa yang sudah meninggal untuk doakan kita, kerana kita tahu, mereka berada di alam lain, dengan ujian-ujian mereka sendiri. Merekalah yang sebenarnya lebih mengharapkan pahala amal jariah yg pernah dilakukan, ilmu yg pernah dicurahkan, dan doa anak2 yg masih hidup.
Jawapan C : Tidak benar juga menyamakan seruan Ya Madad dengan mohon pertolongan doktor. Minta tolong doktor rawat penyakit itu kategori minta tolong kepada makhluk yang MASIH HIDUP dan BERUPAYA membantu dengan kepandaiannya, maka ia bukan istighathah.

➡️ Hujah 2 :
Jawapan : Kita selalu sebutkan, setiap ilmu ada disiplinnya. Mengaji al-Quran, kita perlu kepada tafsir yang mu'tabar. Ikhlas mencari kebenaran.
'Wasilah' dalam ayat 35 Surah al-Maidah itu bukan bermaksud tawassul.
Tetapi ia bermaksud :
☑️mendekatkan diri kepadaNya mematuhi perintahNya dan meninggalkan laranganNya.'☑️
Itulah maksud wasilah yg disepakati oleh ulama' tafsir.
Bukan bertawassul.
Antara perintah Allah ialah :
"Berdoalah kamu kepadaKu, nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu."
(Surah Ghafir ayat 60)
Berdoa kepada Allah adalah salah satu cara kita mendekatkan diri kepada Allah. Bukan memohon kepada selain daripada Allah. Mengapa hendak memohon dengan Rasulullah yang sudah wafat? Rasululkah saw sendiri tidak ajar begitu kepada umatnya.

➡️ Hujah 3 :
Jawapan : Dalam Surah al-Isra' ayat 57, perkataan wasilah itu, sekali lagi, bukan bermakna tawassul. Wasilah dalam ayat ini, ialah mendekatkan diri dengan ketaatan kepada Allah.
Malah ayat ini, dan ayat sebelumnya (56-57) menjadi hujah bagi menafikan amalan golongan terdahulu yang meminta pertolongan daripada nabi-nabi/mempertuhankan para anbiya', kerana para anbiya' tidak dapat menghapuskan bahaya, malah mereka sendiri mencari jalan untuk mendekatkan diri mereka kepada Allah swt dengan melakukan KETAATAN, walaupun dari sudut kedudukan, mereka memang sudah dekat dengan Allah Taala.
Jika tidak berkesempatan membaca tafsir sekalipun, kita boleh baca 2 ayat ini dengan terjemahannya. Jelas. Jika orang bukan Islam membacanya, dia akan melihat kemurnian pengabdian diri dalam agama Islam. Hanya kepada Allah kita bermohon, bukan selainNya.

➡️ Hujah 4 :
Jawapan : Tidak benar juga berhujah dengan hadith tersebut untuk beristighathah dengan nabi saw.
Ia bukan daripada nabi saw, tetapi kata2 Ibn Abbas.
Kalaupun ia diterima, ia bukan dalil boleh memohon pertolongan dengan nabi saw yg sudah wafat, tetapi termasuk dalam kategori meminta tolong kepada makhluk Allah yang masih hidup iaitu malaikat.
Namun, adalah lebih baik dan selamat kita gunakan hadith2 sahih, yang disebutkan sendiri oleh nabi saw dalam bab berdoa, seperti yang kita sebutkan sebelum ini.
Berdoa terus kepada Allah, lebih utama berbanding meminta tolong kepada makhluk ghaib, walaupun mereka masih hidup. Kerana ia membuka banyak pintu kerosakan dan tipudaya syaitan.
Jika kita berdoa terus kepada Allah, ia sudah pasti menjadi ibadat.

➡️ Hujah 5 :
Jawapan : Hadith yang disebutkan oleh ulama'
sebagai 'sanad sahih' belum tentu hadith itu sahih. Adakalanya sanad sahih, tetapi matannya bertentangan dengan hadith lain yang lebih kuato, ataupun ayat al-Quran, maka hadith itu tidak sahih juga.
Malah yang disebut sebagai 'hadith' itu sebenarnya bukan hadith nabi saw, tetapi athar sahabat. Kesahihan athar ini mendapat kritikan para ulama, termasuk Ibn Kathir, dengan hujah yang kemas. Antaranya, ia bertentangan dengan amalan para sahabat sendiri yang sampai kepada kita melalui sanad yang lebih sahih. Para sahabat hanya meminta orang yang lebih dekat dengan nabi saw, seperti al- 'Abbas, agar mendoakan mereka. Ini termasuk dalam kategori tawassul yang ketiga di atas tadi.
Mereka, radiyallahu anhum, TIDAK bertawassul di kubur nabi saw memohon sesuatu, tidak juga menyeru nabi saw semasa dalam kesusahan.


Penutup :
  • Persoalan ini membawa kita memahami, fardhu kifayah bukan hanya dalam bab menguruskan jenazah sahaja. Mendalami disiplin2 ilmu agama yang pelbagai itu juga fardu kifayah. Mendalami bahasa Arab fardhu kifayah. Nahu, balaghah dan selainnya. Mendalami ilmu tafsir fardhu kifayah. Mendalam ilmu hadith fardhu kifayah. Mendalami ilmu fiqh fardhu kifayah. Fardhu kifayah itu sangat penting, walaupun hanya segelintir yang menunaikannya, kelak semua orang akan memerlukannya.
  •  Sabda nabi saw :
"يَحْمِلُ هَذَا الْعِلْمَ مِنْ كُلِّ خَلَفٍ عُدُولُهُ، يَنْفُونَ عَنْهُ تَحْرِيفَ الْغَالِينَ ، وَانْتِحَالِ الْمُبْطِلِينَ ، وَتَأْوِيلِ الْجَاهِلِينَ "
Sabda Nabi saw : "Ilmu ini akan dibawa bagi setiap generasi oleh orang-orang yang amanah, mereka membersihkan ilmu daripada penyelewengan orang2 yg melampau, daripada tokok tambah golongan ahli batil, dan ta'wil golongan orang2 yg tidak mengetahui."
  •  Tiada siapa yang akan tahu, menyemak dan mencatat seruan insan semasa dalam kesusahan, melainkan Allah dan para malaikat. Sama ada dia seru nama Allah, ataupun selain daripada Allah. Yang pasti, syaitan akan selalu berusaha agar manusia jauh daripada Allah, dan tersasar daripada jalan yang lurus.
  •  Fatwa itu dikeluarkan bagi membantu orang ramai, lebih-lebih lagi dalam soal akidah. Di akhirat nanti, orang berilmu boleh menjawab di hadapan Allah, bahawa mereka sudah menyampaikan.
Tulisan ini juga diharapkan dapat melunaskan tanggungjawab menyampaikan, walaupun hanya sedikit, sekadar kutipan2 daripada rujukan.
  •  Adapun kita semua, menjadi kewajipan kita menuntut ilmu dan memilih ajakan yang benar. Sebagaimana firman Allah swt dalam ayat 18 Surah al-Zumar :

Inilah yang kita pohonkan secara tulus kepada Allah, agar ditunjukkan jalan yang lurus.
اللهم اهدنا وسددنا
Ya Allah, tunjuki kami jalan yang lurus,dan tetapkan kami pada jalan yang lurus itu.

واالله اعلم

.: Ustazah Nabilah Hasan :.
   25 November 2014


Israiliyyat ialah 'kumpulan kisah-kisah dari Bani Israil yang dibawa oleh ahli kitab - yahudi dan nasrani.'

Biasanya dibawa semasa mentafsirkan ayat al-Quran, khususnya bagi mendetailkan kisah dalam al-Quran. Dinamakan israiliyyat, antara lain, pertama kerana berita/kisah2 begini banyak diambil daripada orang2 Yahudi, dan kedua, kerana orang2 Nasrani pun berasal daripada Bani Israil juga.

Cerita2 ini,
1. Jika bertentangan dengan al-Quran dan hadith nabi saw, wajib kita tolak.
2. Jika tidak bertentangan, kita diamkan sahaja. Maksudnya, tak mengatakannya betul, tak kata juga salah.
3. Tetapi jika kisah itu disebut dalam hadith yang sahih, maka wajiblah kita menerima dan percaya.

Kata Ibn Taymiyyah :

"Memang dimaklumi bahawa kisah2 israiliyyat ini tidak ada sanad, tidak dijadikan hujah dalam agama, kecuali apabila memang dibawa kepada kita dengan cara yang betul seperti apa yang nabi saw ceritakan kepada kita dalam hadith2 baginda."

Seperti kisah Juraij dan kisah 3 pemuda yang terperangkap di dalam gua. (Lalu ia tidak lagi dinamakan kisah israiliyyat, tapi kisah dari hadith nabi saw)

Buku ttg israiliyyat yg ada di pasaran ialah Israiliyyat Dalam Tafsir Dan Hadith oleh Syeikh Muhammad Husin al-Dhahabi.

Kisah Tha'labah melihat aurat wanita itu bukan israiliyyat. Ia kisah palsu tentang sahabat nabi. Mmg ada banyak juga hadith2 palsu ttg sahabat nabi.

Yg melawan syaitan untuk menebang pokok sembahan itu bukan tha'labah. Itu kisah israiliyyat, tidak disebut namanya. Disebut 'abid/ahli ibadat sahaja.

Ada 3 cerita 'abid yang masyhur.

1. Kisah Juraij - ini disebut dalam hadith sahih. Wajib kita percaya. Dan ulama' mengeluarkan pelbagai pengajaran drpd hadith ini.

2. Kisah Bursisa. برصيصا
Ini kisah israiliyyat, tapi tak bertentangan dgn ajaran al-Quran dan sunnah. Mungkin benar, mungkin tidak. Jika mahu, boleh diambil iktibar drpdnya.

3. Kisah 'abid dengan pokok sembahan dan syaitan. Ini kisah israiliyyat, juga tak bertentangan dgn al-Quran dan sunnah. Mungkin benar, mungkin tidak. Jika mahu, boleh diambil iktibar drpdnya.

No 2 dan 3 seperti kisah2 lain dalam kehidupan manusia di dunia ini, yang boleh dijadikan pengajaran.

Kisah Tha'labah itu berbeza pula. Ia bukan israiliyyat, bukan kisah figure dalam umat terdahulu di kalangan Bani Israil.

Ia kisah sahabat dan nabi saw sendiri, yg didakwa sebagai hadith. Maka mesti diteliti sebagai hadith, sama ada diterima atau ditolak. Ibn al-Jauzi mengatakannya palsu. Bila palsu, kita tidak boleh menyebarkannya. Nanti kita bincangkan, bahaya hadith palsu kepada umat Islam.

Adapun kisah israiliyyat yg membahayakan ialah khurafat dan kepalsuan yg berasal drpd ahli kitab, serta kisah2 yg direka oleh musuh2 Islam, khususnya yahudi yg sgt dengki kpd Islam sejak zaman awal Islam lagi. Seperti yang kita tahu, kitab2 Taurat dan Injil telah diubah oleh tangan2 manusia, jadi kisah2 yg berasal dari situ terdedah kepada kepalsuan.

Antara contoh israiliyyat dalam tafsir ayat al-Quran ialah kisah dua anak Nabi Adam. Al-Quran dengan terang menyebut bahawa sebab dengki yg membawa kepada pembunuhan itu ialah kerana KORBAN TIDAK DITERIMA. Sedangkan kita, sejak dari kecil lebih mengingati kisah israiliyyat iaitu dengki itu timbul kerana inginkan isteri yg lebih cantik. Sedangkan kisah itu bukan dari hadith, dan tidak boleh kita terima cerita itu sebagai suatu yang pasti.

Bacalah ayat 27 - 31 surah al-Maidah dengan terjemahannya. Malah nama Qabil dan Habil pun tidak disebut dalam ayat al-Quran, kerana yang lebih penting ialah pengajarannya, iaitu Allah hanya menerima amalan orang yg bertaqwa, dan tidak boleh dengki kepada kelebihan yang Allah kurniakan kepada seseorang.

Surah Al-Maeda, Verse 27:
وَاتْلُ عَلَيْهِمْ نَبَأَ ابْنَيْ آدَمَ بِالْحَقِّ إِذْ قَرَّبَا قُرْبَانًا فَتُقُبِّلَ مِنْ أَحَدِهِمَا وَلَمْ يُتَقَبَّلْ مِنَ الْآخَرِ قَالَ لَأَقْتُلَنَّكَ قَالَ إِنَّمَا يَتَقَبَّلُ اللَّهُ مِنَ الْمُتَّقِينَ

Dan bacakanlah (wahai Muhammad) kepada mereka kisah (mengenai) dua orang anak Adam (Habil dan Qabil) yang berlaku dengan sebenarnya, iaitu ketika mereka berdua mempersembahkan satu persembahan korban (untuk mendampingkan diri kepada Allah). Lalu diterima korban salah seorang di antaranya (Habil), dan tidak diterima (korban) dari yang lain (Qabil). Berkata (Qabil):" Sesungguhnya aku akan membunuhmu!". (Habil) menjawab: "Hanyasanya Allah menerima (korban) dari orang-orang yang bertaqwa;

Surah Al-Maeda, Verse 30:
فَطَوَّعَتْ لَهُ نَفْسُهُ قَتْلَ أَخِيهِ فَقَتَلَهُ فَأَصْبَحَ مِنَ الْخَاسِرِينَ

Maka nafsu jahat (Qabil) mendorongnya (sehingga ia tergamak) membunuh saudaranya, lalu ia membunuhnya. Oleh itu menjadilah dia dari golongan orang-orang yang rugi.

Surah Al-Maeda, Verse 31:
فَبَعَثَ اللَّهُ غُرَابًا يَبْحَثُ فِي الْأَرْضِ لِيُرِيَهُ كَيْفَ يُوَارِي سَوْءَةَ أَخِيهِ قَالَ يَا وَيْلَتَا أَعَجَزْتُ أَنْ أَكُونَ مِثْلَ هَٰذَا الْغُرَابِ فَأُوَارِيَ سَوْءَةَ أَخِي فَأَصْبَحَ مِنَ النَّادِمِينَ

Kemudian Allah hantarkan seekor burung gagak (menyuruhnya) mengorek-ngorek di bumi supaya, diperlihatkan kepada (Qabil) bagaimana cara menimbus mayat saudaranya. (Qabil) berkata: "Wahai celakanya aku! Alangkah lemah serta bodohnya aku, aku tidak tahu berbuat seperti burung gagak ini, supaya aku dapat menimbuskan mayat saudaraku?". Kerana itu menjadilah ia dari golongan orang-orang yang menyesal.

Wallahua'lam 
~ Ustazah  Nabilah  Hasan  ~ 

Tentang persoalan 'perlukah disebarkan berita yang tidak pasti sebagai tazkirah?'

Soalan :

Assalamualaikum.
Mohon penjelasan ustazah naqibah dan ahli uol. Baru2 ni kita dikejutkan dengan fenomena langit merah dan gelap menyelubungi makkah. Ada yg mengatakan ia antara petanda kiamat. Ada juga yg mengatakan bahawa ia sekadar fenomena alam. Saya faham bahawa walau apapun yg berlaku, kita tetap kena bertaubat setiap hari. Bukan tunggu datang petanda baru nk bertaubat.
Persoalannya bagaimana kita nak menghadapi situasi video yg tersebar ini? Adakah perlu kita fwdkan agar semua org mengambil iktibar dan bertaubat. atau macam mana?

Jawapan Ustazah :
  • Allah lebih mengetahui. Pandangan kita ialah, tazkirah mesti dari perkara yang pasti, perkara yang betul. Datang dengan jelas dari sumber yang berautoriti. Yang viral dalam whatssapp dah banyak dinafikan oleh sumber. Bukan tidak boleh, tapi pastikan sahih dulu.
  • Berita tak sama dengan cerita.
  • Orang bukan Islam pun percaya dunia akan kiamat. Dulu, gempar bila tersebar tentang teori kiamat akan berlaku tahun 2012. Tapi bila 'tazkirah' itu bukan dari Allah dan Rasul-Nya, ia sekadar gempar tiada isi. Manusia tidak membuat persediaan yang sepatutnya.
  • Bagaimana mungkin kita hendak menyuruh orang buat perkara betul, seperti insaf, bertaubat, kembali kepada Allah, dengan perkara yang tidak pasti. Pada kita, lebih baik ingatkan orang dan diri kita sendiri tentang perkara yang lebih dekat dan lebih pasti, iaitu mati. Itu sebenarnya yang lebih menginsaf dan menakutkan.
  • Sebarkanlah hadith2 sahih ttg tanda kiamat dan suasana hari akhirat itu sendiri. Itulah yang sebenarnya lebih mendatangkan pahala dan juga keinsafan. Seperti gambaran manusia berdiri di padang mahsyar dan menyemberangi sirat. Syurga dan neraka.
  • Para ulama' sangat berhati2 untuk memadankan hadith2 tanda kiamat dengan fenomena alam semasa. Mereka bimbang berlaku 'jenayah' terhadap nas hadith. Perkara yg sudah banyak kali berlaku sejak dulu.
  • Dulu, ada seorang pembuat hadith palsu. Namanya Nuh Bin Abi Maryam. Dia mengaku dia telah mencipta hadith palsu tentang kelebihan surah-surah dalam al-Quran, kemudian menyandarkan hadith itu kpd Ibn Abbas. Bila ditanya, dia menjawab,"Saya lihat orang ramai telah meninggalkan al-Quran, tapi sibuk dengan Fiqh Abu Hanifah dan maghazi Ibn Ishaq. Sebab itu saya cipta hadith palsu, untuk mengembalikan orang ramai kepada al-Quran."
  • Inilah antara punca mengapa tersebar hadith palsu. Selain tipudaya jahat musuh Islam, ia juga berpunca dari kejahilan individu yang mahu buat perkara baik tetapi tidak dibuat atas dasar ilmu dan iman.

Pengakuan ini memberi pengajaran kepada kita :

1. Ada orang yang menyangka dia boleh buat kebaikan dengan menyebarkan berita palsu. Sangkaan ini salah. Apatah lagi menyebarkan hadith palsu, dosa besar yang diancam dengan balasan neraka.

2. Nasihat dalam agama mesti dibuat atas kebenaran.

3. Islam mengajar kita berdisiplin dalam menerima dan menyampaikan maklumat. Disiplin ini menjaga kita dalam bermasyarakat dan bernegara. Jangan gosip. Bawa bukti yang benar.


Paling kurang, ada dua ayat al-Quran yang mengingatkan kita dan menjadi panduan kepada kita dalam hal ini.

Pertama, Surah al-Hujurat ayat 6.
Surah Al-Hujraat, Verse 6:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِن جَاءَكُمْ فَاسِقٌ بِنَبَإٍ فَتَبَيَّنُوا أَن تُصِيبُوا قَوْمًا بِجَهَالَةٍ فَتُصْبِحُوا عَلَىٰ مَا فَعَلْتُمْ نَادِمِينَ
Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini - dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) - sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.

Surah al-Hujurat ayat 6

Kedua, Surah al-Isra' ayat 36.

Surah Al-Isra, Verse 36:
وَلَا تَقْفُ مَا لَيْسَ لَكَ بِهِ عِلْمٌ إِنَّ السَّمْعَ وَالْبَصَرَ وَالْفُؤَادَ كُلُّ أُولَٰئِكَ كَانَ عَنْهُ مَسْئُولًا

Dan janganlah engkau mengikut apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semua anggota-anggota itu tetap akan ditanya tentang apa yang dilakukannya.
Surah al-Isra' ayat 36

 Wallahua'lam.

.: Ustazah Nabilah Hasan :.
   20 November 2014
Beberapa hari yang lepas, ada dapat satu forwarded artikel dari seorang sahabat dalam satu group whatsapp.. 

Sumber gambar
Ianya mengenai Syafaat dari seorang sahabat yang beriman kepada sahabat mereka yang lain..
Persoalan nya, adakah benar sahabat yang menjadi kawan kita itu mampu memberikan syafaat kepada kita??

Ikuti kupasan dari Ustazah Nabilah Hasan berkenaan hal ini.

----------------------------------------------------------------
Artikel Yang Di Kongsikan
----------------------------------------------------------------

Share tazkirah Sabtu..

Pesanan Buat Sahabat...
Imam Al Syafi'ie berpesan :
“Jika engkau punyai sahabat yang selalu membantumu dalam rangka ketaatan kepada Allah; maka peganglah dia erat-erat; dan jangan sesekali kau lepaskannya. Kerana mencari teman baik itu susah. Tetapi melepaskannya sangat mudah sekali”
Diriwayatkan bahwa :
Apabila penghuni Syurga telah masuk ke dalam Syurga, lalu mereka tidak menemukan sahabat-sahabat mereka yang selalu bersama mereka dahulu di dunia. Mereka akan bertanya tentang sahabat mereka kepada Allah SWT
“Yaa Rabb...Kami tidak melihat sahabat-sahabat kami yang sewaktu di dunia, shalat bersama kami, puasa bersama kami dan berjuang bersama kami...?”
Maka Allah SWT berfirman :
“Pergilah ke neraka, lalu keluarkan sahabat-sahabatmu yang di hatinya ada Iman walaupun hanya sebesar zarrah.”
(HR. Ibnul Mubarak dalam kitab "Az-Zuhd").
Al-Hasan Al-Bashri berkata : 
“Perbanyaklah sahabat-sahabat mu'min mu, kerana mereka memiliki Syafa'at pada hari kiamat
Wahai sahabatku sekalian..
Jika kalian tidak menemukan diriku di Syurga, sudilah kiranya sahabat sekalian memanggil namaku dan bertanya pada Allah tentang diriku, dan semoga Allah redha menyelamatkan diriku dan keluargaku dari siksa api neraka..!!!
Aamiin...Aamiin...Ya Rabbal 'Alamin.

----------------------------------------------------------------
Jawapan Ustazah Nabilah Hasan mengenai persoalan di atas.
----------------------------------------------------------------
 
Assalamualaikum.
  • Hadith dalam sebaran/text (syafaat) itu benar. Ia sebahagian daripada hadith sahih yang panjang, dari Abu Sa'id al-Khudri.
وَإِذَا رَأَوْا أَنَّهُمْ قَدْ نَجَوْا فِي إِخْوَانِهِمْ يَقُولُونَ رَبَّنَا إِخْوَانُنَا كَانُوا يُصَلُّونَ مَعَنَا وَيَصُومُونَ مَعَنَا وَيَعْمَلُونَ مَعَنَا‏.‏ فَيَقُولُ اللَّهُ تَعَالَى اذْهَبُوا فَمَنْ وَجَدْتُمْ فِي قَلْبِهِ مِثْقَالَ دِينَارٍ مِنْ إِيمَانٍ فَأَخْرِجُوهُ‏.‏...
Diriwayatkan oleh Imam Bukhari dalam Sahih Bukhari, Kitab Tauhid, Bab Firman Allah (Yg Bermaksud) :   Banyak Muka Pada Hari Itu
Berseri-Seri Memandang Kepada Tuhannya
.
  • Adakah orang beriman akan mengeluarkan sendiri sahabatnya dari neraka? Ulama' memadankan hadith ini dengan hadith sahih lain dari Abu Hurairah.

  • Dalam hadith tersebut, Nabi saw berkata, 
"...Sehinggalah apabila Allah telah selesaikan penghakiman di kalangan para hambaNya, dan Dia ingin keluarkan dari neraka orang yg Dia inginkan dari kalangan mereka yg mengucap لا اله الا الله , Dia memerintahkan malaikat supaya mengeluarkan mereka. Malaikat mengenali mereka (yg ingin dikeluarkan itu) dari tanda sujud.."
  • Diriwayatkan oleh Imam Bukhari dalam Sahih Bukhari, Kitab Melembutkan Hati, Bab Titian Sirat Jambatan Merentasi Neraka.
  •   Maksudnya, syafaat dapat diberi hanya dengan izin Allah. Apabila Allah izinkan nabi dan orang beriman beri syafaat, maka Allah dengan segera memerintahkan malaikat mengeluarkan mereka yg diberi syafaat itu dari neraka.
  • Syafaat ada pelbagai jenis. Antaranya :
1. Syafaat agung. Iaitu syafaat oleh Nabi Muhammad saw yg diharapkan oleh seluruh manusia supaya lepas drpd sengsaranya berdiri di padang mahsyar.
2. Syafaat para nabi selain Nabi Muhammad saw.
3. Syafaat para malaikat.
4. Syafaat para syuhada'.
5. Syafaat anak kecil (yg meninggal di dunia) buat ibubapanya.
6. Syafaat orang beriman kepada orang beriman yg lain.
7. Syafaat al-Quran

  • Syafaat itu, dalam bahasa mudahnya, menyalurkan bantuan. Pemberi syafaat berdoa memohon kepada Allah agar yang diberi syafaat dilepaskan dari kesusahan, diringankan siksaan, keluar dari neraka, ataupun dinaikkan darjat dalam syurga. Ia diberi dengan izin Allah.
  • Syafaat tak akan berlaku, kecuali apabila Allah reda kepada orang yg memberi syafaat, dan reda juga kepada orang yg hendak diberi syafaat.
Wallahua'lam.

~ Ustazah Nabilah Hasan ~