15 Pintu Syaitan Yang Ada Di Dalam Diri Kita

- pintu marah
- cinta dunia
- kebodohan (keengganan menghadiri majlis ilmu)
- panjang angan-angan
- rakus
- bakhil
- suka pada pujian
- riak
- ujub (merasa kagum)
- takut dan gelisah
- buruk sangka
- memandang rendah pada orang lain
- merasa suka pada dosa
- merasa aman daripada pembalasan "ALLAH"
- putus asa daripada rahmat "ALLAH"


15 Senjata Menghalang Syaitan

- Membaca Bismillah (menjadi kunci pada perbuatan baik)
- Banyakkan berzikir
- Banyakan Beristigfar
- Baca "la i' la ha illa anta subha naka inni kuntu minaz zoli min"
- Jangan tidur berseorangan
- Baca doa pagi dan petang
- Bersugi
- Melaksanakan solat jemaah
- Berwudhuk sebelum tidur
- menutup aurat
- Membaca doa masuk tandas.
- Banyak berselawat pada hati
- Bertaubat, beristighfar
- Banyakan baca Al-Quran
- Membaca surah Yassin setiap pagi


Rumah yang Tidak Dimasuki Syaitan


- Rumah yang bersih
- Penghuni membaca "Bismillah" ketika memasuki rumah
- Sentiasa berzikir (ahli rumah menegakkan solat)
- Penghuninya jujur dan memenuhi janji
- Penghuninya memakan makanan yang halal (dan cara mendapatkannya halal)
- Penghuninya mengekalkan silaturahim (sentiasa mesra)
- Rumah yang penghuninya berbakti kepada Ibu Bapa
Adalah seorang hamba Allah ni, dia pergilah bersiar-siar di tepi hutan. Sedang dia menghirup udara rimba yg segar tu, tetiba dia terdengar satu bunyi... jeng!jeng!jeng!... bunyi....aauuummmmm!!!
Bunyi harimau yg kelaparan dan hanya menunggu mangsanya saja. Jadi, si hamba Allah ni pun lari untuk menyelamatkan diri.
Harimau tu kejar hamba Allah ni. Sebab dia dah lapar sangat ni.
Harimau tu pun kejar, kejar, kejar dan kejar. Hamba Allah ni punyalah
takut, berlari lintang pukang. Sempat juga dia berdoa agar dia
diselamatkan daripada dibaham dek harimau tadi.
Dengan kuasa Allah diperlihatkan sebuah perigi di
depan mata nya. Jadi untuk menyelamatkan diri si hamba Allah ni pun
terjunlah ke dalam perigi. Perigi tu ada tali dan sebuah timba.
Si hamba Allah ni bergayut pada tali tu. Tali tu pendek jer. Jadi dia
bergantungan di tengah-tengah perigi. Di mulut perigi, harimau yg
lapar tu menunggunya. Si hamba Allah ni pun berfikirlah macam
mana nak menyelamatkan diri, sambil berdoa kepada Allah agar
dia diselamatkan. Tengah dok berfikir camner nak
selamat, tetiba dengar bunyi kocakan air di bawah perigi.

Aaaaa!!!!... Ya Allah..... lagilah seram dibuatnya.
Nak tahu ada apa kat bawah tu? Ada 2 ekor buaya yg kelaparan.
Apalah nasib. Dah jatuh ditimpa tangga. lagilah takut si hamba
Allah ni. Atas ada harimau bawah ada buaya. Semakin risau dan takut.

Tengah berfikir untuk mencari jalan keluar, tetiba keluar seekor
tikus putih dari lubang celah-celah perigi, naik ke atas ikut
tali yg hamba Allah tu bergayut. Sampai kat atas tikus tu gigit tali
tu pulak. Cis, kurang ajar punya tikus. Alahhhh.... cam ner ni. Pas
tu, keluar lagi seekor tikus yg berwarna hitam. Naik mengikut
tali tadi, cit!cit! cit!cit! sampai kat atas.Tikus hitam ni pun gigit
juga tali tu. Cis, lagi satu. Macam mana aku nak buat ni....
habislah jadi mangsa buaya .

Berfikir lagi. Kalau naik kat atas makan dek harimau. Kalau tunggu
tali putus dan jatuh ke bawah makan dek buaya. Macam mana nih...
Sedang hamba Allah tu berfikir cam ner nak selamatkan dirinya,
tetiba.... terdengar satu bunyi.... uuuuuuuuuuuuu... bunyi lebah
bawa madu. Si hamba Allah ni pun mendongak ke langit, melihat
lebah yg sedang bawa madu. Tetiba setitik madu terjatuh dan
terus masuk ke dalam mulut si hamba Allah ni tadi. Punyalah nikmat
sehingga tidak terkata. Hamba Allah tu kata, "Fuh manisnya madu
ni , tak pernah ku rasa manisnya ni. Sedapnya. Subhanallah sungguh
sedap ni." kerana setitik madu si hamba Allah tu lupa pada harimau
yg sedang menantinya di mulut perigi dan buaya yg menantinya di
bawah.

Kalau semua nak tahu , si Hamba Allah itu adalah kita semua.
Harimau yg mengejar tu adalah maut kita, ajal memang sentiasa
mengejar kita, so beringat-ingatlah. 2 ekor buaya itu adalah
malaikat Munkar Dan Nakir yg menanti kita di alam kubur nanti.
Tali yg tempat di hamba bergayut tadi adalah jangka hayat kita
kalau pendek talinya maka pendeklah umur kita dan kalau panjang
talinya maka panjanglah umur kita.
Tikus Putih dan Hitam tu adalah dunia kita siang dan juga malam
yang sentiasa menghakis umur kita.Kan tikus tu gigit tali tu.
Madu..., madu yg jatuh setitik ke dalam mulut hamba itu tadi
adalah nikmat dunia. Bayangkan setitik saja madu tu jatuh ke
dalam mulutnya,dia lupa pada harimau dan buaya tu. Macam kitalah bila
dapat nikmat sikit lupa pada Allah. Waktu susah baru la nak
ingat Allah. Astaghfirullah...
Petikan daripada Harian Metro : 15hb April 2007
.............................................................................................
Kembali ke pangkal jalan


SELAYANG: Sejak kali pertama diadakan pada 22 April 2003, Kem Smart Remaja yang dikhususkan kepada pelajar sekolah menengah bermasalah di Selangor sudah ‘mengeluarkan’ hampir 500 pelajar.

Daripada jumlah itu, ada yang berjaya dalam kehidupan masing-masing, malah tidak kurang juga menjadi tenaga penggerak dalam pertubuhan Gerakan Ehsan Selangor (GES), satu daripada penganjur program berkenaan.

Setiausaha Kehormat GES, Mahezan Baharom Shah, berkata program yang turut dianjurkan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dengan kerjasama Jabatan Pelajaran Selangor itu terbukti membantu pelajar bermasalah kembali ke pangkal jalan.

“Pelbagai masalah kami temui sepanjang mengendalikan kem ini. Antaranya remaja yang mengaku terbabit dalam kes jenayah seperti merompak, mencuri, bergaduh, seks bebas, lumba haram, gansterisme dan peras ugut.

“Menyedihkan kerana pada usia semuda 14 tahun, mereka terbabit dalam kes yang boleh dianggap berat atau serius. Begitupun, kami berusaha membantu mereka kembali ke pangkal jalan.

“Memang ada yang berjaya kerana selepas kem ini kita buat susulan di sekolah sehingga mereka selesai menduduki SPM (Sijil Peperiksaan Malaysia), malah selepas itu juga ada yang dibantu,” katanya.

Mahezan ditemui di Pusat Belia Bukit Lagong ketika mengendalikan kem Smart Remaja Siri Ke Lapan bermula 9 hingga 12 April lalu.

Katanya, sebelum ini iaitu dalam siri awal kem berkenaan, peserta membabitkan pelajar tingkatan empat, tetapi wujud masalah membuat tindakan susulan kerana selepas tingkatan lima mereka tamat belajar.

Namun, katanya, selepas diubah kepada pelajar tingkatan dua, baru kesannya diperoleh apabila pemantauan dan tindakan susulan boleh dibuat bagi memastikan golongan itu berubah menjadi manusia lebih baik.

Mahezan berkata, dalam program itu peserta dikehendaki mengikuti tiga kem membabitkan kursus asas, kursus sahsiah dan peningkatan jati diri.

“Kursus asas ini lebih kepada mengenali diri, keluarga terutama emak dan ayah, serta kelebihan diri. Selepas itu, baru mereka menghadiri kursus sahsiah yang berorientasikan agama mempelajari fardu ain dan kifayah.

“Untuk kem terakhir, mereka didedahkan dengan aspek peningkatan jati diri seperti mempunyai hala tujuan selepas SPM dan wawasan mereka untuk masa depan,” katanya.

Sepanjang mengendalikan kem berkenaan, Mahezan berkata, masalah utama yang kerap ditemui atau membelenggu peserta ialah pengetahuan agama mereka cetek.

Sebagai contoh, katanya, ada yang tidak tahu mengucap dan sembahyang dengan tertib, meskipun usia masuk 14 tahun.

“Memang sedih melihat keadaan peserta, terutama yang kurang ilmu agama. Jadi tugas kami di sini ialah mendidik mereka daripada segi psikologi dan rohani, sekurang-kurangnya selepas keluar nanti mereka ada asas,” katanya yang turut menggunakan modul daripada Lembaga Pembangunan Penduduk dan Keluarga Negara (LPPKN).

Mengenai pemilihan peserta, Mahezan berkata, pelajar dipilih pihak sekolah dan nama mereka dihantar ke Pejabat Pendidikan Daerah sebelum diserahkan kepada penganjur.

Dalam kem siri kelapan baru-baru ini, 53 pelajar membabitkan daerah Petaling dan Hulu Langat menyertainya dengan pecahan 34 lelaki dan 19 wanita.

Dalam pada itu, Mahezan berkata, pihaknya memerlukan sumbangan pelbagai pihak, sama ada swasta atau badan bukan kerajaan (NGO) untuk memastikan lebih ramai peserta dapat menyertai selain memantapkan lagi program berkenaan.

.......................................................................................................

semasa baca berita ni.. pelbagai perasaan timbul.. takut, risau, bimbang, sedih dan hati tak tenang bila fikirkan masa depan anak - anak akan datang..
yang ummi copy di atas ni, hanyalah sebahagian daripada berita yang dipaparkan dalam akhbar berkenaan, bukan lagi pengakuan anak - anak yang boleh digelar dengan nama 'setan cilik' tu.. entahlah.. menitis air mata ummi bila baca pengakuan mereka, yang mana teramat teruk dan tak pernah terfikir di fikiran ummi, yang mereka sanggup melakukan semua perbuatan tersebut.. Ya Allah .. Selamatkanlah keluarga kami dari semua ini.. hindarilah kami dari fitnah dunia Ya Allah.. kami takut dengan azabMu.. Ya Allah, bimbinglah kami.. Amin Ya Allah..
Tapi, yang pasti.. penyebab utama mereka terjebak dalam kes - kes sebegini kerana kurangnya didikan agama daripada their parents. Sebagaimana petikan berita di atas
" Sepanjang mengendalikan kem berkenaan, Mahezan berkata, masalah utama yang kerap ditemui atau membelenggu peserta ialah pengetahuan agama mereka cetek."
Betulla bagai yang dijangka, mereka ini tidak diberikan apa yang sepatutnya mereka dapat.. iaitu pendidikan agama.. apabila ibubapa tidak menitikberatkan amanah yang telah Allah letakkan pada mereka, maka inilah padahnya.. anak - anak akan terumbang ambing tanpa satu pegangan yang kukuh.. mereka tidak tahu arah mana yang perlu mereka ambil.. dan, mereka tidak pandai dan tidak bijak dalam membuat keputusan.. Ya Allah.. Na uzubilLah..
Jika diteliti, mereka sebenarnya teringin menjadi baik dan menjadi 'seorang' yang berguna.. mereka ini lahir dalam fitrah, suci dan bukan mereka yang berhak mencorak masa depan mereka.. tugas ini, amanah ini, ibubapa mereka yang sepatutnya pikul.. ya, memang ibubapa mereka yang bersalah..
Ya Allah.. takut bila difikirkan semua ini.. beratnya amanahMu ini Ya Allah.. bimbang dengan diri sendiri?? adakah aku ini sudah menjalankan amanahMu ini dengan betul??.. adakah hambaMu ini sudah mengajarkan apa yang sepatutnya anak - anak dapat?? Ya Allah, risau dengan kedhaifan diri ini, takut amanah yang diberikan, tak tertunai.. Na uzubillah.. Ya Allah, bimbinglah kami Ya Allah.. kami takut dengan siksaMu di akhirat nanti.. Bimbinglah kami ke jalanMu Ya Allah.. kasihanilah kami Ya Allah..

petikan dari http://ummsyuhada.blogs.friendster.com/bicara_hati/ ................................................................................

Kuliah Maghrib, Masjid Batu, 4 Mac 2007, Ustaz Sidek Noor

Sedikit perkongsian...

Akhlak yang elok dibentuk dari kecil lagi, dari awal kejadian lagi. Di sinilah ibu bapa memainkan peranan masing-masing untuk membentuk akhlak yang baik dalam diri anak-anak. Sebenarnya, nak didik anak-anak jadi seorang yang mempunyai akhlak yang baik bermula sebelum berkahwin lagi. Seorang lelaki mesti cari seorang calon isteri yang solehah, begitu juga sebaliknya. Asas agama yang baik pada suami dan isteri, insyaAllah akan terbentuklah keluarga yang diberkati Allah.

Isteri adalah amanah Allah kepada suami. Ustaz menceritakan satu kisah di zaman para sahabat. Ada seorang sahabat ni tak tahan dengan isterinya yang suka berleter. Dia ingin meminta nasihat daripada Saidina Umar berkenaan perkara tersebut. Sampai je dia di hadapan rumah Saidina Umar, dia terdengar isteri Saidina Umar duk berleter kat Saidina Umar. Lalu sahabat tersebut membatalkan hasratnya untuk bertemu dengan Saidina Umar sebab perkara yang sama turut berlaku pada Saidina Umar. Tapi Saidina Umar ternampak sahabat ni, dipanggilnya sahabat tersebut dan bertanyakan tujuan kedatangannya. Kata sahabat tersebut, "Sebenarnya wahai Amirul Mukminin, aku mahu meminta nasihat darimu tentang isteriku yang sangat suka berleter tapi apabila aku sampai ke rumahmu, aku dapati perkara yang sama berlaku ke atasmu. Lantas aku batalkan niatku untuk mendapatkan nasihatmu." Jawab Saidina Umar, "Wahai sahabat, isteri adalah amanah Allah. Isteriku terlalu banyak kelebihannya. Dia telah memasak makanan untukku, membasuhkan pakaian untukku dan dialah juga yang menyusukan anakku sedangkan itu semua bukanlah kewajipannya. Akulah yang sepatutnya memasak, membasuh, dan aku jugalah yang sepatutnya mencari orang untuk menyusukan anakku. Disebabkan kelebihannya yang banyak itulah, maka aku sabarkan diriku terhadap kelemahan dirinya yang satu itu (berleter)."

Urusan mendidik anak-anak adalah amanah Allah kepada ibu bapa. Ia adalah suatu tanggung jawab yang penting dan berat untuk dilaksanakan. Bak kata ustaz, menghasilkan berpuluh-puluh kereta lebih mudah daripada menghasilkan generasi soleh/ah dengan keadaan masyarakat yang haru-biru sekarang ni. Kadang-kadang, anak-anak rosak disebabkan masyarakat sekeliling. Sebab tu la setiap Muslim memainkan peranan dalam membentuk masyarakat yang baik seterusnya membentuk sebuah negara Islam.

Anak-anak harus dididik untuk memberi sumbangan pada Islam, biasakan mereka dengan pakaian-pakaian Islam (anak lelaki dibiasakan pakai seluar panjang dan berkopiah, anak perempuan dibiasakan dengan pemakaian tudung) agar mereka sinonim dengan pakaian-pakaian Islam, cenderungkan anak-anak ke arah membuat perkara kebaikan dan jangan biar mereka buat perkara-perkara jahat. Tapi, kalau pun hendak mendenda anak-anak atas kesalahan mereka, biarlah munasabah. Jangan terlalu berkasar dengan mereka samapai lebam-lebam, luka-luka di badan.

Dan jangan pula disayang secara berlebihan dan jangan diajar mereka hidup mewah. Ajar anak-anak jadi zuhud, jadikan mereka seorang yang berani, pemurah dan jadikan mereka seorang mujahideen. Kawal juga TV...pilih siaran yang bermanfaat untuk ditonton. Dan pastikan juga makanan yang diberi pada anak-anak dan isteri adalah halal dan daripada sumber yang halal. "We are what we eat..."


Proses sosialisasi sihat, kasih sayang bantu pertumbuhan minda kanak-kanak


ANAK adalah harta keluarga yang amat bernilai. Anak yang terbentuk wataknya dengan baik bakal menyumbang kepada keluarga dan negara. Apalagi kalau minatnya menuntut ilmu adalah tinggi, ia bakal menjadi anak cemerlang. Anak cemerlang adalah modal insan yang amat bernilai bagi negara. Anak seperti ini bermula pembentukan dirinya di rumah. Ibu bapalah guru yang terawal sebelum anak ke sekolah. Sekolah berperanan melanjutkan tradisi pembentukan watak dengan ilmu dan kemahiran di samping pemupukan nilai baik.

Sebagai ibu dan bapa, ilmu dan ketrampilan mendidik adalah perlu. Ilmu mengenai perkembangan minda, emosi, psikologi dan perkembangan psikomotor atau jasmaninya adalah penting bagi memahami pembesaran anak. Ketrampilan memberikan kasih sayang, belaian dan komunikasi amat dituntut kerana naluri yang subur di kalangan anak memerlukan pengisian.

Anak perlu dikenal bakat dan potensinya sejak kecil. Bakat ini perlu digilap dengan kegiatan dan suasana yang mendorong perkembangan naluri yang sihat dan contoh teladan baik. Anak sejak kecil lagi suka bertanya sesuatu yang dilihat dan hal yang dialami di persekitarannya. Anak juga suka bermain dan menonton cerita kartun di media elektronik. Malah, ada anak yang suka berkawan dengan rakan sebayanya.

Pada tahap ini ibu bapa perlu memberikan bimbingan dan pedoman supaya soalan daripada anak dijawab dengan bahasa mudah difahami, penjelasan yang tidak berupa leteran, di samping memuji yang tidak berlebihan sekiranya anak menunjukkan kejayaan dan kebolehan dalam sesuatu perkara. Ia akan memberi rangsangan kepada anak untuk membina sifat yakin diri.

Pertama yang harus dilakukan oleh ibu bapa ialah mewujudkan suasana rumah yang kondusif atau sesuai supaya proses pembelajaran boleh berlaku dengan baik. Anak akan menjadikan ibu bapanya teladan dan dapat belajar daripadanya dengan kasih sayang dan belaian. Sekiranya ibu bapa tidak mewujudkan suasana ceria di rumah, anak tidak akan berasakan ada suasana yang boleh dipelajari di rumah atau rumah yang menyediakan suasana yang tidak teratur di mana pertengkaran ibu bapa sering berlaku, cakap ibu bapa yang tidak serupa bikin, ketegangan sering tercetus dan akhirnya anak tidak berasakan rumah sebagai sekolah awal bagi mereka.

Kasih sayang bermakna ibu bapa melihat anaknya sebagai harta masa depan yang perlu dibentuk secara fitrah. Ibu bapa harus memiliki cara lembut dan bijaksana, tetapi terarah supaya naluri ingin tahu dan meniru disalurkan secara sihat dan mendidik. Kalau anak tersilap, teguran yang membina harus dilakukan. Maki-hamun, gertak bengis dan memukul anak bukan jalan keluar yang diperlukan. Ibu bapa harus mempunyai kesabaran tinggi kerana kerenah anak memerlukan daya komunikasi yang baik supaya ada hubungan dua hala antara ibu bapa dan anak untuk mewujudkan rasa percaya yang tinggi.

Kedua, daya komunikasi yang tinggi di kalangan ibu bapa membolehkan belaian, kasih sayang, tunjuk ajar, memahami gelagat dan tingkah laku mereka supaya tidak wujud jurang antara ibu bapa dengan anak. Jurang hubungan sering berlaku apabila ibu bapa tidak faham kerenah anak dan tidak memiliki pengetahuan dan ketrampilan bagaimana kenakalan dan kelasakan anak dapat diatasi. Jalan singkat selalunya dengan menghukum dan mendera mereka.

Komunikasi menjadi lebih penting apabila anak masuk ke alam remaja. Jadikan anak sebagai kawan dan teman setia. Pada tahap ini, anak sedang mencari identiti diri, suka berkawan, ingin menampilkan bakat dan kebolehan, suka diberikan apresiasi atau penghargaan dan mahukan perhatian terhadap masalah berfikir, emosi dan naluri yang dihadapi. Komunikasi berasaskan ilmu dan pengetahuan, nasihat dan teguran yang mendidik boleh membantu anak mengenal dirinya, tahu akan masalahnya dan diberikan pedoman bagaimana mengatasi.

Ketiga, ibu bapa harus memperuntukkan masa berkualiti bersama anak-anaknya. Ada hak anak terhadap ibu bapa yang mesti diberi dan diraikan. Pada hari ini, ramai ibu bapa yang bekerja dan sibuk di luar rumah.

Bayangkan anak kecil yang ditinggalkan oleh ibu bapa antara lapan hingga 10 jam pada hari kerja akan berasa sunyi, bosan dan kosong. Kalau ibu bapa balik lewat dan sampai di rumah dalam keadaan letih, di samping banyak hal rumah yang tidak terurus, anak akan berasa terpinggir dan tersingkir.

Sekiranya hal ini berlaku berulang ia boleh mendatangkan masalah kepada anak. Masa yang berbaki harus mampu diberikan kepada mereka supaya kebosanan yang terjadi, kesunyian yang berlaku dapat diisi kembali dengan belaian, kasih sayang, malah kegiatan yang merangsang minat dan bakat mereka.

Bagi anak yang sudah menyertai program taska dan tadika sudah tentu mereka mempunyai suasana baru, kawan baru dan juga pengalaman belajar baru. Pada tahap ini kecenderungan anak melakukan sosialisasi adalah tinggi. Dengan kawan baru dan kegiatan baru ia boleh memberikan rasa ceria dan seronok kepada anak. Pada masa sama ibu bapa harus terus memandunya di rumah supaya apa yang dialami di taska dan tadika dapat disuburkan di rumah. Ibu bapa harus sering berkongsi pengalaman anak dan mengukuhkan lagi aspek positif yang dipelajari di sekolah.

Bagi anak yang memasuki program di sekolah rendah, kecergasan mereka dalam bertanya, berkawan, mencontohi, menuntut perhatian dan keraian adalah tinggi. Hasil bertemu dan bergaul dengan rakan sebaya di sekolah, menerusi proses pembelajaran yang lebih terarah, ibu bapa harus membantunya apabila anak kembali ke rumah. Ada ketikanya wujud gelagat baru mempengaruhi anak dari sudut tingkah laku, cara bercakap, adab sopan yang terjadi kepada mereka. Ibu bapa harus peka dan bersedia dengan bijaksana membimbing dan memperbetulkan keadaan. Kalau tidak, gelagat itu boleh membentuk sikap dan cara berfikir anak. Harus diinsafi pengaruh rakan sebaya amat besar kesannya terhadap anak kita.

Apabila anak berada di sekolah menengah, umumnya mereka sudah berada pada tahap akil baligh. Tidak saja jasmaninya berubah, minda, emosi, jiwa dan tingkah lakunya turut berubah. Inilah tahap yang kritikal bagi ibu bapa membuat pemerhatian dan pengesanan supaya perubahan watak dan gelagat itu berlaku secara baik dan terbimbing. Anak pada tahap ini kadang-kadang suka menyendiri dan sebahagiannya suka berkawan. Isikan masa mereka dengan kecenderungan yang sihat dan mendapat kawan baik.

Kealpaan memerhati, mengenal pasti dan mengesan perubahan boleh menyebabkan anak membentuk wataknya secara sendiri dan akhirnya boleh menyebabkan masalah baru berbangkit, adanya jurang pengertian antara ibu dan bapa dan akhirnya wujud ketegangan antara kedua-dua pihak.

Pada tahap kritikal ini, ia menuntut pengertian ibu bapa yang tinggi, mendekati anak dengan sabar dan suburkan perbincangan, pertukaran pendapat yang logik dan meyakinkan dan suburkan diri anak dengan nilai agama yang baik supaya anak pada tahap ini tidak kehilangan pedoman dan arah. Pada tahap ini jiwa memberontak tetap ada dan perubahan anak sekiranya didekati dengan bijaksana, membimbing mereka menjadi orang dewasa yang matang.





Sebahagian besar masyarakat Islam lupa Masjid al-Aqsa pernah dibakar pada tahun 1969. – AFP.



Dipetik dari http://www.utusan.com.my

----------------------------------------------

FIRMAN Allah S.W.T.: ‘‘Dan kalaulah Allah tidak mendorong setengah manusia menentang pencerobohan setengahnya yang lain, nescaya runtuhlah tempat-tempat ibadat serta gereja-gereja (kaum Nasrani) dan juga tempat-tempat sembahyang (synagogue kaum Yahudi) dan juga masjid-masjid yang sentiasa disebut nama Allah sebanyak-banyaknya.” (Surah al-Haaj: ayat 40)

Jika dalam ayat di atas, umat Islam telah dilarang daripada menjadikan rumah-rumah ibadat sebagai sasaran mereka di kala peperangan dan di kala damai, sebaliknya pula yang sentiasa berlaku terhadap umat Islam.

Sering kali jika berlaku apa-apa peperangan ke atas umat Islam, pasti musuh-musuh mereka menjadikan masjid-masjid sebagai sasaran.

Lihatlah apa yang berlaku di Babri, India, masjid-masjid di Bosnia lewat konflik Serb-Bosnia, masjid-masjid di Iraq yang sentiasa terdedah kepada penghinaan dan serangan tentera-tentera “paling bertamadun” di dunia, iaitu tentera-tentera Amerika Syarikat (AS).

Di tanah Palestin, ada masjid yang dirobohkan, ada yang dijadikan muzium dan ada yang ditukarkan kepada kandang lembu.

Ada juga masjid yang ditukarkan menjadi kelab malam dan rumah pelacuran seperti mana yang dilaporkan oleh wartawan Palestine Return Centre, United Kingdom dalam filem dokumentari mereka The Cries of the Minarets.

Lebih malang lagi, Masjid al-Aqsa sendiri, yang merupakan masjid ketiga suci umat Islam dan juga kiblat pertama mereka sendiri tidak terlepas daripada ancaman dan juga aksi ganas pihak Zionis.

Dalam peperangan 1967 yang menyaksikan kemenangan rejim Israel dengan bantuan AS, pihak tentera Zionis telah memasuki Masjid al-Aqsa dan menawannya.

Dengan bertrak-trak tentera rejim, mereka telah menari-nari di sekeliling Masjid al-Aqsa sambil menyanyikan lagu:

“Letakkan apricot ke atas epal, agama Muhammad telah hancur dan musnah, Muhammad telah mati. ‘‘Yang ditinggalkan hanyalah anak-anak perempuan yang lemah.”

Lagu tersebut membawa makna bahawa dengan kemenangan mereka yang dianggap sebagai mukjizat itu merupakan berakhirnya agama Islam.

Ia juga menandakan kegagalan umat Islam mempertahankan masjid mereka itu menunjukkan bahawa umat Islam telah kehilangan orang-orang lelaki yang mampu mempertahankan masjid mereka!

Bermula tarikh itu, pihak rejim telah mengisytiharkan tembok sebelah barat Masjid al-Aqsa sebagai milik mereka.

Tembok sebelah barat masjid yang dikenali selama berkurun-kurun sebagai ‘Tembok Buraq’ (kerana dikatakan Rasulullah telah mengikat Buraq di tembok tersebut sewaktu peristiwa Israk dan Mikraj) itu telah ditukarkan namanya kepada ‘Tembok Meratap’.

Ia telah diisytiharkan secara rasmi juga melalui tarikh tersebut sebagai kiblat warga Yahudi untuk mereka menunaikan ibadat ‘meratap’ di atas kehilangan ‘Haykal’ yang pernah dibina oleh Nabi Sulaiman di atas tapak tersebut.

Sehingga kini, penganut agama Yahudi yang berfahaman Zionis dari serata dunia akan menunaikan ‘haji’ mereka di sana.

Bagi tentera mereka yang akan menjawat jawatan tertinggi dalam angkatan tentera rejim juga akan menunaikan ‘angkat sumpah’ di tembok tersebut untuk mempertahankan negara Israel (Erez Yizrael) dengan nyawa dan darah mereka.

Perlu diingat, penawanan ke atas tembok Buraq itu bukanlah satu tindakan yang terakhir mereka terhadap Masjid al-Aqsa, tetapi merupakan permulaan bagi mereka untuk merobohkan Masjid al-Aqsa dan membina semula kuil ibadat mereka yang dinamakan sebagai The Mount Temple ataupun Haykal Sulayman.

Sebagai bukti yang kukuh, pada 21 Ogos 1969, seorang penganut fahaman Zionis beragama Kristian dari Switzerland Dennis Micheal telah membakar sebahagian daripada ruang utama Masjid al-Aqsa.

Antara yang mengalami kemusnahan daripada tindakan keganasan tersebut ialah mimbar masjid yang telah dibina semenjak zaman Nuruddin al-Zinki dan pernah digunakan oleh Salahuddin al-Ayyubi di zaman pemerintahannya.

Sehari suntuk, umat Islam telah bertungkus lumus bersama-sama memadamkan api dan juga menyelamatkan kesan -kesan sejarah di masjid tersebut.

Hasil daripada peristiwa pembakaran Masjid al-Aqsa ini, Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) telah ditubuhkan untuk menyatukan negara-negara majoriti umat Islam agar menjadikan isu Palestin dan Masjid al-Aqsa sebagai isu utama umat Islam sedunia.

Bagi penjenayah yang telah bertanggungjawab membakar Masjid al-Aqsa pula, beliau telah dibebaskan oleh kerajaan rejim Zionis kerana didapati ‘tidak siuman’, walaupun dari segi profesionnya beliau merupakan seorang doktor perubatan!

Sebagai reaksi terhadap peristiwa pembakaran tersebut, negara-negara Islam telah bersetuju untuk menubuhkan OIC sebagai langkah menjadikan isu Palestin dan Masjid al-Aqsa sebagai isu utama umat Islam sedunia.

Sejak hari itu jugalah, 21 Ogos dianggap sebagai hari memperingati Masjid al-Aqsa sedunia.

Sayangnya, sehingga kini, bukan hanya sekadar isu Palestin tidak dapat diselesaikan oleh OIC, malah isu Masjid al-Aqsa yang sepatutnya diambil peduli oleh setiap umat Islam terpinggir dari agenda OIC.

Ratusan resolusi yang telah diluluskan oleh OIC, namun di peringkat praktikalnya, tiada satu pun yang dapat dilaksanakan.

Lebih malang lagi, dalam mengemukakan apa-apa penyelesaian terhadap isu Palestin, negara-negara OIC hanya menuruti sahaja apa-apa keputusan yang dibawa dari Washington dan Tel Aviv.

Sehingga detik ini, walaupun sudah hampir tiga ancaman yang diumumkan oleh golongan radikal Yahudi semenjak awal tahun 2005 untuk merempuh masuk dan menawan Masjid al-Aqsa, tiada apa-apa keputusan yang dikeluarkan oleh OIC dan mana-mana negara anggotanya berkaitan perkara tersebut.

Sepatutnya, negara-negara OIC menjadikan tarikh 21 Ogos sebagai tarikh untuk diingati oleh semua umat Islam di serata dunia setiap tahun.

Petikan dari http://tamanilmu.com/
-------------------------------------

Tentera Yahudi menggganas lagi,
Atas alasan bebaskan askar sendiri,
Tetapi bukan askar yang dicari,
Orang awam mangsa tragedi.

Gaza diceroboh mengikut nafsu,
Ahli Parlimen dan Menteri dibelenggu,
PBB, OIC hanya membisu,
Diam biarkan keganasan berlalu.

Sasaran bom di Selatan Lubnan,
Orang awam dan bangunan,
Hizbullah menentang dikata keganasan,
Israel mengganas dikata jaga keselamatan.

Ummah membisu seribu kata,
Hanya memandang dengan mata,
Pilu simpati, tindakan tiada,
Wa Mu’tasimah!! hanya nostalgia.

Umat Melayu sibuk peduli,
Bukan isu ummah sekali-kali,
Isu picisan yang dihayati,
Tahap berrfikir rendah sekali.

Darah mengalir nun di sana,
Di sini ummah bergelak sahaja,
Seolah-olah tiada apa-apa,
Hati mati ukhuwwah tiada,
Sedih melihat suasana semasa.

Umat tenggelam dalam dunia,
Diinjak, ditindas oleh siperkasa,
Ummah mengharap seorang pembela,
Moga munculnya tidak lama.

Janji Allah tetap percaya.