Doa Dhuha adalah doa wanita Arab Badwi, bukan dari Nabi Sallallahu 'alaihi wasallam


Sahabat-sahabat yang dikasihi, saya ingin berkongsi satu info bagi menambah ilmu dan pengetahuan kita agar ibadah yang kita lakukan lebih murni kepada-NYA, in shaa Allah, ALLAHUMMAAMMEEN, iaitu berkenaan doa Dhuha yang selalu terngiang-ngiang di telinga kita saat memandu kereta di pagi hari.

Doa ini tidak bersumber dari Nabi Sallallahu 'alaihi wasallam, tidak juga diriwayatkan dari perkataan salah seorang sahabat baginda radiyallahu'anhum mahupun dari para tabi’ien. Cuma, ia merupakan satu doa yang dibaca oleh seorang wanita Arab Badwi di ‘Arafah berdasarkan riwayat daripada al-Dainoori di dalam al-Majalisah wa Jauhar al-‘Ilmi dengan sanadnya dari al-Asma’ie. Inilah juga yang dinukilkan oleh al-Hafidz di dalam al-Bayan wa al-Tabyin dan al-Zamakhsyari di dalam Rabi’ al-Abrar serta selain mereka berdua.

سمعت أعرابية بعرفات وهي تقول : اللهم إن كان رزقي في السماء فأنزله ، وإن كان في الأرض فأخرجه ، وإن كان نائيا فقربه ، وإن كان قريباً فيسره


Maksudnya: “Saya telah mendengar seorang wanita badwi ketika berada di Arafah berdoa: Ya Allah sekiranya rezeki saya berada di langit, maka turunkanlah ia, jika ia berada di bumi, maka keluarkanlah ia, jika ia berada di tempat yang jauh, dekatkanlah ia, jika ia dekat, permudahkanlah ia.”

Doa ini secara keseluruhan merupakan permohonan agar dipermudahkan memperolehi rezeki dan ia termasuk dalam perkara atau permintaan yang diharuskan serta tiada masalah melakukannya.

Sungguhpun demikian, sebaik-baik perkataan untuk memohon doa kepada ALLAH Subhanahu wa Ta'ala sebagaimana petunjuk daripada Rasulullah Sallallahu 'alaihi wa sallam iaitu berdoa dengan menggunakan lafaz al-jawami', yang merangkumi kebaikan dunia dan akhirat seumpama lafaz doa ini :

رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَة وَفِي الْآخِرَة حَسَنَة وَقِنَا عَذَاب النَّار

Maksudnya : “Wahai tuhan kami kurniakanlah kepada kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhilah kami dari azab api neraka.”

Juga doa :

( اللَّهُمَّ اكْفِنِي بِحَلَالِكَ عَنْ حَرَامِكَ وَأَغْنِنِي بِفَضْلِكَ عَمَّنْ سِوَاكَ )

"Ya Allah cukupkanlah AKU dengan perkara-perkara halal dari yang haram, dan kayakan aku dengan kelebihanMu berbanding dari selainMu.” ( Hadis riwayat al-Tirmizi,dinilai Hasan oleh al-Albani )

Sudah pasti bila ALLAH SWT Yang Maha Kaya dan Rasulullah SAW yang merupakan kekasih-NYA menganjurkan doa-doa ini, maka sudah barang tentu juga itulah doa yang paling disukai di sisi-NYA, lantaran sesuatu kebaikan pada perhitungan kita tidak bermakna ia juga baik pada perkiraan Yang Maha Esa.

Dan semoga rezeki yang melimpah, turut menjadikan ketaatan dan kebajikan kita bertambah :)



Gambar : Dua orang kakak yang juga pembeli di #ElzarMart, gigih menyara kehidupan dengan berjualan keropok di kaki lima stesen minyak dan bangunan lain.

-------------------------------------------------------------------------------------------------

Tulisan : Ustazah Noraslina Jusin

Posted by SulamKaseh on 00:42. Filed under , , , . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. You can leave a response or trackback to this entry

0 comments for "Doa Dhuha adalah doa wanita Arab Badwi, bukan dari Nabi Sallallahu 'alaihi wasallam"

Leave a reply