Bagi meraikan Ramadhan yang mulia, ada baiknya saya mengulas ringkas berkenaan Ramadhan. Bulan ini bolehlah dianggap sebagai bulan ‘bonus' dari Allah SWT sebagai rahmat bagi hamba-hambaNya. Gandaan pahala di bulan dan ketika puasa adalah amat hebat. Ia berdasarkan hadith Qudsi yang menyebut : "Setiap amalan anak Adam adalah digandakan pahalanya kepada sepuluh hingga 700 kali ganda, maka berkata Allah SWT : Kecuali puasa, sesungguhnya ia adalah khas untukKu dan Akulah yang akan membalas kebaikannya, mereka meninggalkan makanan, minuman dan syahwat mereka (di siang hari) hanya keranaKu" (Riwayat Al-Bukhari & Muslim) .


Bonus & Belanjawan

Cuba kita renungkan kembali, kerap kali kita akan merasa gembira apabila tiba hujung tahun bagi mendapat bonus dari majikan kita
Mengapa kita gembira bila mendapat bonus, gaji dan insentif?
Sudah tentu jawabnya kerana ; "dapat duit " .
Mengapa kita seronok mendapat duit ?
Jawabnya ; kerana boleh membeli itu dan ini, bergaya dan lain-lain.
Lalu berapa lamakah keseronokan barang dan perkara yang dibeli tadi ?
Sudah tentu jawabnya, bergantung kepada apa yang dibeli, ada yang rosak cepat dan ada yang lambat.
Jika demikian, jika barang itu lambat rosak, berapa lamakah keseronokan itu akan berterusan?
Jawabnya, paling panjang adalah sekadar kita masih hidup sahaja.
Baiklah, selepas kematian adakah masih ada seronok?
Jika tidak, maka apakah yang boleh menyeronokkan kita selepas mati ?
Jawabnya ; tidak lain tidak bukan adalah pahala dan amalan yang dikumpul. Jika banyak dan berkualiti, semua matawang pahala itu akan memberi seribu satu macam keseronokan berpanjangan sehingga satu tarikh yang hanya diketahui Allah s.w.t dan ia pastinya amat panjang.
Jika demikian, mengapa tidak tercetus perasaan seronok menerima kehadiran Ramadhan sebagaimana seronoknya kita menerima bonus duit? Sedangkan ramadhan adalah bulan bonus untuk meraih pahala sebanyaknya, bulan dipermudahkan peluang untuk ke syurga Allah s.w.t dan TENTUNYA REDHA ILAHI.
Tapi bezanya, ramai yang kelihatan lebih seronok kerana di permudahkan untuk meraih rumah kediaman di dunia dan mungkin akan dapat 'save' lebih banyak duit. Ini kerana belanjawan baru-baru ini (untuk tahun 2008) akan mewujudkan lebih banyak rumah kos rendah, kos 'stamp duty' bagi rumah RM 250,000 ke bawah dikurangkan 50 %, boleh menggunakan wang akaun kedua dari KWSP untuk pembayaran rumah, yuran sekolah dan peperiksaan anak ditiadakan, buku teks percuma dan lain-lain. Semua ini disambut dengan gembira kerana memberi ruang untuk mengumpul duit dan digunakan untuk perkara lain.
Manakala pada  belanjawan 2009 pula pastinya memberikan sedikit kelegaan buat individu berpendapatan rendah dan sederhana. Antara yang dikira menggembirakan adalah seperti :-
bullet buttonRebat cukai pendapatan dinaikkan dari RM350 kepada RM400 bagi pendapatan bercukai RM35,000. Ekoran itu 100,000 pembayar cukai dari golongan berpendapatan rendah, tidak lagi dikenakan cukai.

bullet buttonCukai jalan bagi kenderaan penumpang bersendirian berenjin diesel milik individu dan syarikat, dikurangkan mengikut kadar cukai jalan kenderaan berenjin petrol, mulai 1 September 2008.

bullet buttonBayaran bonus sebulan gaji bagi 2008 atau minimum RM1,000 dalam dua bayaran pada September dan Disember ini.

bullet buttonKemudahan pinjaman perumahan bagi kerja ubahsuai rumah yang tidak dibeli melalui pinjaman perumahan kerajaan
bullet buttonKelayakan pendapatan isirumah untuk mendapat subsidi yuran Taska bulanan RM180, dinaikkan dari RM2,000 kepada RM3,000 mulai 1 Januari 2009.
   
bullet buttonKemudahan tambang pergi-balik percuma sekali dalam tempoh dua tahun untuk mengunjungi wilayah asal iaitu antara Semenanjung dan Sabah serta Sarawak ditambah daripada sekali bagi setiap dua tahun, kepada setiap tahun mulai 1 Januari 2009. 
bullet button
Pengurangan 50 peratus bayarn tol bagi semua bas, kecuali di pintu masuk sempadan iaitu Tambak Johor, Link Kedua dan Bukit Kayu Hitam untuk tempoh du atahun mulai 15 September 2008.
SERONOK HAKIKI DAN SEMENTARA
Keseronokan jiwa yang hadir kerana dipermudahkan cara untuk memiliki rumah dalam belanjawan baru-baru ini lebih didapat dilihat dan dihayati oleh ramai daripada keseronokan untuk memasuki bulan yang dipermudahkan jalan pemilikan rumah syurga di akhirat yang kekal abadi.
Mengapa ini boleh berlaku kepada hati kita?. Apakah silapnya? Mengapa dan mengapa?. Pernahkah kita memikirkan mengapa gembira berpeluang dapat harta akhirat sebagaimana kita gembira mendapat harta dunia.
"Ya Allah, bantulah kami yang telah menzalimi diri kami, tiada tuhan melainkanMu dan engkaulah yang maha pengampun" 
TAWARAN BONUS LUAR BIASA
Justeru, niat yang ikhlas dan benar ketika melaksanakan kewajiban Ramadhan adalah kunci kepada ‘bonus' yang ditawarkan oleh Allah. Bermakna, barangsiapa yang berpuasa Ramadhan bukan kerana Allah tetapi disebabkan oleh rasa malu kepada rakan-rakan, atau ter'paksa' menuruti suasana atau hanya ingin menunjuk-menunjuk dan lain-lain sebab keduniaan, tiadalah orang seperti ini layak mendapatkan ‘bonus' dan tawaran istimewa ‘pahala luar biasa' yang ditawarkan oleh Allah.
Selain itu, pahala ‘bonus' ini juga boleh tergugat dengan amalan-amalan keji bercakap buruk seperti maki, mencarut, mengeji orang, mengumpat, memfitnah dan apa-apa yang berkaitan dengan dosa lidah dan anggota juga akan menipiskan lagi ganjaran pahala seseorang walaupun ia berniat benar ketika berpuasa. Ini ditegaskan oleh Nabi SAW dalam sebuah hadith ertinya
"Barangsiapa yang tidak meninggalkan perkataan buruk dan perbuatannya tatkala puasa, maka tiada hajat Allah baginya (kerana pahala akan terhapus) walaupun meninggalkan makanan dan minumannya" (Riwayat Al-Bukhari, 4/1903 - Fath al-Bari).
Beberapa ulama seperti Abu Gharib Al-Asfahani, Syeikh Dr Yusof Al-Qaradawi, Prof. Dr Muhd Uqlah Ibrahim (Ulama Fiqh di Jordan) serta lain-lainnya berpandangan bahawa di samping pahala yang berganda. Perlakuan dosa juga bertambah serius di bulan mulia ini. Beliau ada mengutarakan beberapa dalil, bagaimanapun sukar untuk saya muatkan di ruangan terhad ini. Sebagai jalan terbaik, jauhilah dosa sejauh-jauhnya di bulan ini kerana perlakuan dosa didalamnya adalah sesuatu yang serius.


SYAITAN KENA GARI?
Umat Islam perlu lebih fokus untuk mencapai kebaikan di bulan ini. Nabi SAW telah menyebut juga bahawa pintu syurga dibuka, ditutup pintu neraka serta dibelenggu para syaitan (Riwayat Al-Bukhari, 1/18 ; Muslim, 1/41) ; terdapat juga ulama yang mengatakan bahawa bulan ini dinamakan ‘Ramadhan' (yang bermaksud panas) oleh Allah SWT kerana bulan ini adalah bulan menghanguskan dosa. (Mughni, Ibn Quddamah, 4/116).
Ada pula yang bertanya berkenaan erti Syaitan di belenggu dalam hadith di atas. Sebahagian ulama berpandangan bahawa ia membawa maksud ketidakmampuan Syaitan menguasai orang yang berpuasa sebagaimana penguasaannya di luar bulan ramadhan. ( Al-Muntaqa Min At-Targhib Wa at-Tarhib, Al-Munziri dan Al-Qaradawi, 1/313 )
Ada juga yang menyebut sebahagian jenis Syaitan yang utama sahaja di belenggu, manakala yang lain masih bebas lalu kerana itu masih terdapat yang membuat maksiat di bulan ini. Walaubagaimanapun, sebenarnya ia adalah akibat dorongan nafsu jahat yang telah lama terdidik dan terbiasa dengan ajakan Syaitan. Kebiasaan buruk ini mampu mendorong seseorang kearah kejahatan walau di ketika Syaitan utama di belenggu. (Min Ahsanil Kalam Fil Fatawa, Syeikh Atiyyah Saqar, 2/13).
MARI MAKSIMUMKAN BONUS RAMADHAN
Bagi memastikan kesohihan puasa serta mampu memaksimakan pahala dan keuntungan dari Ramadhan, amalan yang berdasarkan nas yang kuat berikut perlu dilakukan:-
1) Berniat dalam hati untuk berpuasa di malam hari.

2) Besahur di akhir malam (yang terbaik adalah jaraknya dengan azan subuh selama bacaan 50 ayat al-Quran secara sederhana). Nabi SAW bersabda :
" Perbezaan di antara puasa kami (umat Islam) dan puasa ahli kitab adalah makan sahur" (Muslim, 2/770).
Selain itu, Nabi juga bersabda : "Bersahurlah kamu, kerana pada sahur itu ada barakahnya" ( Al-Bukhari, 4/1923 ; Muslim).
Baginda SAW juga menyebutkan bahawa Malaikat sentiasa meminta ampun bagi orang yang bersahur. (Riwayat Ahmad, 3/12 ; Hadith Hasan).
Selain makan tatkala itu adalah amat digalakkan kita untuk mendirikan solat sunat tahajjud, witr dan beristifghar dan lain-lain amalan sebelum menunaikan solat subuh berjemaah(bagi lelaki).
Adalah amat tidak digalakkan bagi seseorang yang bersahur dengan hanya makan di sekitar jam 12 malam sebelum  tidur. Kebanyakan individu yang melakukan amalan ini sebenarnya amat merasa berat dan malas untuk bangun di tengah malam. Ia pada hakikatnya adalah tidak menepati sunnah yang diajarkan oleh Baginda SAW.

3) Memperbanyakkan bacaan Al-Quran dengan tenang dan tidak tergesa-gesa.
Terdapat ramai ulama silam menyebut tentang kepentingan mendahulukan membaca al-quran di atas amalan sunat seperti menelaah kitab, membaca hadith dan lain-lain. Ia adalah salah satu amalan yang paling diambil berat oleh Nabi SAW ketika baginda membacanya bersama Malaikat Jibrail as. Hal ini disebut di dalam hadith al-Bukhari.

4) Memperbanyakkan doa semasa berpuasa.
Sepanjang waktu kita sedang menjalani ibadah puasa, ia adalah sentiasa merupakan waktu yang sesuai dan maqbul untuk kita berdoa, sebagaimana di tegaskan oleh Nabi S.a.w :-
ثلاثة حق على الله أن لا يرد لهم دعوة : الصائم حتى يفطر والمظلوم حتى ينتصر والمسافر حتى يرجع
Ertinya : Tiga yang menjadi hak Allah untuk tidak menolak doa mereka, orang berpuasa sehingga bebruka, orang yang dizalimi sehingga dibantu, dan orang bermusafir sehinggalah ia pulang" (Riwayat Al-Bazaar,
Sebuah hadis lain yang hampir sama maksudnya menyebutkan :-
ثلاثة لا ترد دعوتهم : الصائم حتى يفطر والإمام العادل ودعوة المظلوم
Ertinya : Tiga yang tidak ditolak doa mereka, orang berpuasa sehingga berbuka, pemerintah yang adil dan doa orang yang dizalimi" ( Riwayat At-Tirmizi, Ibn Majah, Ibn Hibban dan Ibn Khuzaimah ; Hadis Hasan menurut Imam At-Tirmidzi dan Ibn Hajar, sohih menurut Syeikh Ahmad Syakir)

5) Memperbanyakkan doa ketika hampir berbuka
Ini kerana tahap maqbul tatkala itu semakin hebat berdasarkan hadith Nabi s.a.w :
إن للصائم عند فطره لدعوة ما ترد
Ertinya : Sesungguhnya bagi orang yang berpuasa itu tatkala wkatu berbukanya,adalah waktu doa yang tidak ditolak ( Riwayat Ibn Majah ; Sohih)

6) Menyegerakan berbuka puasa selepas kepastian masuk waktu maghrib.
Berdasarkan hadith Nabi SAW :
لا يزال الناس بخير ما عجلوا الفطر
Ertinya : "Sentiasalah umatku berada dalam kebaikan sepannjang kamu menyegerakan berbuka" ( Riwayat Al-Bukhari, 4/1957).
Berbuka juga perlu didahulukan sebelum menunaikan solat maghrib, malah jika pada hari tersebut tahap kelaparan kita agak luar biasa, lebih baik kita berbuka dan makan sekadar kelaparan tidak mengganggu solat Magrhib kita.
Disebutkan bahawa tidaklah Nabi SAW menunaikan solat Maghrib kecuali setelah berbuka walaupun hanya dengan segelas air. (Abu Ya'la dan al-Bazzar : hadith Hasan).

7) Adalah digalakkan pula untuk berbuka dengan beberapa biji rutab ( kurma basah) atau tamar (kurma kering) sebagai mengikuti sunnah, dan jika tiada keduanya mulakan dengan meneguk air.
كان رسول الله ‏ ‏صلى الله عليه وسلم ‏ ‏يفطر على رطبات قبل أن يصلي فإن لم تكن رطبات فعلى تمرات فإن لم تكن ‏ ‏حسا ‏ ‏حسوات ‏ ‏من ماء
Ertinya : Rasulullah s.a.w berbuka dengan kurma basah (rutab) sebelum solat dan sekiranya tiada rotab, maka tamar dan jika tiada, baginda meminum beberapa teguk air" ( Riwayat Abu Daud, Ahmad & At-Tirmidzi)
Sambil memboca doa berbuka yang sohih dari nabi iaitu
ذهب الظمأ وابتلت العروق وثبت الأجر إن شاء الله
" Zahaba az-Zama u wabtallatil ‘uruq wathabatal ajru InsyaAllah"
Ertinya : "Telah hilanglah dahaga, telah basah urat leher dan telah tetap mendapat pahalanya InshaAllah " Riwayat Abu Daud, 2/2357 : Hadith Hasan menurut Albani). Atau doa-doa makan yang biasa.

8) Amat disunatkan untuk menyedeqahkan harta bagi mempersiapkan juadah berbuka untuk orang ramai terutamanya orang miskin. Nabi SAW bersabda :
‏من فطر صائما كان له مثل أجره غير أنه لا ينقص من أجر الصائم شيئا
Ertinya : Barangsiapa yang memberikan juadah berbuka buat orang yang berpuasa maka baginya pahala seperti orang yang berpuasa itu tanpa kurang sedikit pun" ( Riwayat At-Tirmidzi, 3/807; Hadith Hasan menurut Imam At-Tirmidzi).
Disebut dalam sebuah hadis lain
ومن أشبع صائما سقاه الله من حوضي شربة لا يظمأ حتى يدخل الجنة
Ertinya : Barangsiapa yang mengenyangkan seorang yang berpuasa ( berbuka), Allah akan memberinya minum dari telagaku ini dengan satu minuman yang tidak akan haus sehinggalah ia memasuki syurga " (Riwayat Al-Baihaqi ; Ibn Khuzaymah dalam Sohihnya : rujuk juga Tuhaftul Ahwazi, )

9)  Menunaikan solat sunat terawih pada malam hari secara berjemaah buat lelaki dan wanita atau boleh juga dilakukan secara bersendirian. Ia berdasarkan hadith riwayat An-Nasaie yang sohih. Boleh juga untuk menunaikannya separuh di masjid dan separuh lagi di rumah, terutamanya bagi sesiapa yang ingin melengkapkan kepada 20 rakaat.

10) Bersiwak (iaitu menggunakan kayu sugi tanpa air dan ubat gigi). Ia juga sohih dari Nabi SAW dari riwayat al-Bukhari.

11) Amaran bagi berbuka di siang ramadhan tanpa uzur :
Nabi SAW bersabda dalam hadith sohih ancaman berat dengan digantung di dagunya dengan terbalik hingga darah mengalir bagi individu cuai. (lihat Al-Muntaqa min At-Tarhib wa targhib).
Selain itu, Nabi juga menyebut bahawa : "Barangsiapa yang berbuka tanpa uzur pada Ramadhan, maka ia tidak mampu mengantikan kerugian dari puasa yang ditinggalkan itu, walaupun ia berpuasa selama-lamanya" ( Riwayat Abu Daud, Ibn Majah)

Sekian dan Ramadhan Kareem..

Dr. Zaharuddin Abd Rahman
28 Syaaban 1428 H
10 September 2007

“Sudah berapa lama tuan memeluk Islam?”tanya saya pendek
“Dua puluh tahun,”jawab lelaki berbangsa India itu juga dengan pendek.
“Semua keluarga turut masuk Islam?”
“Semua, tetapi tidaklah berturut-turut. Termasuk ibu-bapa saya,” jawabnya sambil tersenyum. Wajahnya nampak sangat tenang. Jadi senang hati melihatnya.
“Yang paling akhir?”
“Ibu dan bapa saya. Baru sebulan yang lalu.”
“Alhamdulillah…”
“Tetapi ibu saya baru sahaja meninggal dunia. Kira-kira dua minggu yang lalu.”
Saya terkejut. Maksudnya, baru sangat. Tentu dia masih dalam kesedihan.
“Masih sedih…” kata saya perlahan sambil mengusap bahunya. Separuh bertanya, separuh simpati.
“Sedih sedikit sahaja. Gembira lebih banyak.”
Wah, jawapan itu sangat aneh. Tentu ada cerita di sebaliknya.
“Mengapa tuan rasa gembira?”
“Panjang ceritanya…”
Saya memberi isyarat yang sangat berminat mendengar. Mungkin kerana itu dia pun mula bercerita. Lancar dan lurus tanpa tersekat-sekat. Seolah-olah episod demi episod sudah tersusun kemas dalam minda dan perasaannya. Menurutnya, dia memeluk Islam hasil dakwah seorang wanita. Dengan cinta? Tidak. Hanya dengan akhlak seorang wanita ‘berniqab’ yang bekerja sebagai akauntan di pejabatnya.
“Saya tertarik kepada akhlaknya. Begitu sopan, begitu empati dengan kawan sekerja dan cekap pula melaksanakan tugas. Tanpa melihat wajahnya pun, hati saya sudah terpikat. Sungguh. Saya jatuh cinta pada kecantikan budinya.”
“Bagaimana menyatakannya?”
“Cinta sentiasa ada cara untuk dinyatakan. Melalui seorang kawan rapat saya menyatakan hasrat.”
“Masa tu belum Islam?”
“Belum. Itulah cinta. Buta. Saya akui, cinta kepada wanita itu lebih dulu datang, sebelum cinta kepada Islam. Itulah saya.”
“Subhanallah menarik. Bagaimana reaksinya?”
“Dia menjawab… bakal suami saya hanyalah seorang Muslim.”
“Saya tahu, itu ialah syaratnya. Lantas, saya katakan kepadanya, masih melalui orang tengah,  beri saya masa secukupnya untuk memeluk Islam. Saya rasional, saya tidak akan ikut-ikutan. Saya perlu berfikir.”
“Dia beri cukup masa untuk berfikir?”
“Ya, bukan hanya untuk berfikir. Tetapi untuk belajar tentang Islam. Saya sememangnya sudah sekian lama menyimpan hasrat untuk memahami Islam. Bukan kerana hendak menganutnya, tetapi kerana minat saya yang mendalam pada ilmu. Bagi saya ilmu-ilmu dalam Islam sangat menarik untuk diterokai.”
“Jadi Islam hanya dipelajari untuk diketahui, bukan untuk diyakini?” tusuk saya.
“Mula-mula begitulah. Tetapi lama-kelamaan, ilmu-ilmu itu telah membentuk keyakinan saya. Mula-mula hanya kerana wanita, tetapi akhirnya jatuh cinta kepada Pencipta wanita.”
“Begitu mudah?”
“Tidak juga. Saya berfikir lama…. Hati saya selalu bertanya apa yang menyebabkan seorang wanita begitu ‘terbuka’ ketika wajahnya tertutup. Dia sangat terbuka dalam pemikiran, pergaulan dan pekerjaannya.  Mudah didekati tetapi sangat menjaga diri. Bagi saya tentu ada sesuatu dari dalam dirinya yang menjadikan dia begitu.”
“Berapa lama?”
“Hampir dua tahun.”
“Dia sabar menunggu?”
“Bukankah saya katakan, dia wanita yang sangat setia dan patuh pada janji?”
“Wah. Itu cinta pertama?”
“Pertama pada dia. Tetapi tidak pada saya. Saya pernah jatuh cinta kepada wanita lain sebelumnya.  Pada dia cinta pertama, pada saya cinta utama. Dalam banyak-banyak cinta, cinta itulah yang paling suci dan unik.”
“Perkahwinan meriah?”
“Meriah. Sangat meriah. Sederhana tetapi penuh makna. Ceria.”
Hampir saya terlupa pada cerita ibunya. Supaya tidak terlupa, saya terus bertanya, “itu cerita isteri, tadi kita bermula dengan cerita ibu.”
“Cerita ibu dan isteri saya sangat berkaitan.”
Saya minta dia bercerita terus. Saya mahu belajar daripadanya. Saya lihat di antara mereka yang mengikuti kursus kepimpinan Islam itu dialah yang paling bersungguh-sungguh dan fokus. Banyak pertanyaan yang diajukannya. Bagi saya dia seorang istimewa. Tentu sekali isteri atau ibu atau kedua-duanya sekali istimewa. Bukankah di sebalik seorang lelaki yang hebat, pasti ada seorang wanita yang hebat?
“Setelah bernikah, saya lebih mendalami agama. Saya dan isteri terus belajar dan belajar. Ada kalanya cuti tahunan kami dihabiskan untuk belajar ilmu agama. Kami kemudian mengerjakan umrah dan akhirnya dapat mengerjakan haji. Anak-anak kami dididik untuk mendalami agama sejak kecil. Alhamdulillah, dua daripada tiga orang anak kami hafaz Al Quran.”
“Bertuah. InsyaAllah, isteri tuan seorang isteri yang solehah. Boleh saya dan keluarga ziarah rumah tuan untuk bertemu dan berkongsi pengalaman dengannya?”
“Tidak boleh. Maaf, tidak boleh.”
Saya sangat terkejut. Ditolak mentah begitu sahaja? Lantas bertanya, “mengapa?”
“Kerana dia telah meninggal dunia dua tahun lalu. Sakit barah. Barah rahim. Sewaktu barah dikesan sudah tahap yang kritikal. Tidak dapat diubat lagi. Sebulan meninggal…”
Terkejut. Daripada rasa terkilan tadi, bertukar tiba-tiba kepada rasa sedih yang mendalam. Betul, jangan cepat buruk sangka, detik saya dalam hati. Sekarang saya seperti dapat merasakan sendiri rasa kehilangannya srikandi cintanya itu. Betapa hebatnya rasa kehilangan seorang isteri yang telah memberi cahaya mata dan cahaya hati.
Dia mengesat matanya yang mula berair. Sungguh, saya turut merasainya. Isteri ialah jantung hati kita. Dia pergi… separuh diri kita juga seolah-olah hilang. Cinta kepada isteri ialah cinta kerana Allah yang sangat besar impaknya dalam kehidupan. Hamka, seorang penulis yang tersohor pernah meluahkan isi hatinya ketika ditinggal mati oleh isterinya. Ketika ditanya oleh anaknya (irfan), beliau meluahkan :
“Kau tahu, Irfan. Ayah dan Ummi telah berpuluh-puluh tahun lamanya hidup bersama. Tidak mudah bagi Ayah melupakan kebaikan Ummi. Itulah sebabnya bila datang ingatan Ayah terhadap Ummi, Ayah mengenangnya dengan bersenandung. Namun, bila ingatan Ayah kepada Ummi itu muncul begitu kuat, Ayah lalu segera mengambil air wudhu’. Ayah solat Taubat dua rakaat. Kemudian Ayah mengaji. Ayah berupaya mengalihkannya dan memusatkan fikiran dan kecintaan Ayah semata-mata kepada Allah,” jawab Ayah
“Tetapi satu kematian yang indah…” tiba-tiba dia bersuara, memutuskan ingatan saya pada Allahyarham Pak Hamka.
“Kematian yang indah? Bagaimana dia meninggal dunia?”
“Saya masih ingat menjelang waktu Asar pada hari itu dia sangat tenat. Saya duduk menemani di sebelahnya. Dia merayu untuk solat berjemaah bersama. Selalunya saya solat berjemaah di masjid tetapi kali ini dia benar-benar tenat. Lalu saya baringkan dia di sebelah kiri di bahagian belakang saya. Dia begitu lemah. Matanya hampir terpejam. Habis solat sahaja, dia mengucap kalimah syahadah sebanyak tiga kali… lalu terus menghembus nafas yang terakhir.”
“Begitu mudah?”
“Begitulah tuan, macam sebuah drama. Sukar untuk mempercayainya jika sekadar mendengar cerita tetapi saya menyaksikannya. Itulah kematian yang indah.”
“Al Fatihah,” ujar saya. Kami sama-sama membaca surah al fatihah dan berdoa semoga rohnya diampuni dan dikasihani Allah. Seseorang akan mati mengikut cara hidupnya. Jika cara hidupnya baik, maka dia akan menemui kematian dengan sebaik-baiknya. Wanita itu telah mengislamkan suaminya, melahirkan anak-anak yang baik,  bisik hati saya.
“Ustaz, sebenarnya bukan saya sahaja yang tertarik kepada Islam atas sebab dia tetapi juga adik-beradik saya. Seorang demi seorang adik-beradik saya memeluk Islam apabila mula dan  lama bergaul dengannya.”
“Wah, mudahnya…”
“Tetapi ada  juga yang susah. Ibu dan ayah saya sangat susah untuk menerima Islam. Mereka sangat keras hati. Kata-kata lembut dan akhlak isteri saya pun tidak cukup kuat untuk mencairkan kekufurannya. Namun, ajaibnya… masih isteri saya juga menjadi sebab keislaman ibu-bapa saya.”
“Macam mana tu?” tanya saya tidak sabar. Inilah persoalan awal dalam perbualan kami tadi. Daripada soal ibu-bapanya teralih pula kepada soal isterinya. Benar katanya tadi, soal ibu dan isteri sangat rapat dan Saling berkait.
“Kami cuba pelbagai cara untuk mengislamkannya, tetapi tidak berjaya. Akhirnya, isteri saya menyarankan satu cara…”
Saya benar-benar ‘suspen’. Menanti dengan penuh minat.
“Sayangnya, isteri saya pergi dulu sebelum sempat melihat hasil dakwahnya kepada ibu saya,” katanya tanpa memberi jawapan yang saya tunggu.
“Maksud tuan, isteri tuan meninggal dunia dahulu kemudian baru ibu tuan memeluk Islam?”
“Ya,”jawabnya pendek.
“Apa kaedah yang disarankan oleh isteri tuan itu?” tanya saya, mengulang pertanyaan yang sangat saya dambakan jawapannya sejak tadi.
“Begini, arwah isteri saya menyatakan bahawa doa anak kepada ibu-bapanya sangat mustajab. Bukan sahaja setelah ibu-bapanya meninggal dunia, bahkan semasa ibu-bapanya itu masih hidup lagi.   Satu hari, dia sarankan saya berdoa setiap kali selepas solat dan setiap kali membaca Al Quran. Pohon kepada Allah agar diberi hidayah kepada ibu-bapa saya.”
Terpegun mendengar saranan itu, saya berfikir. Nasihat ini seperti serampang yang punya dua mata. Pertama, untuk yang berdoa agar sentiasa solat dan membaca Al Quran. Kedua, untuk yang didoakan agar mendapat hidayah Islam. Bijak sungguh arwah isteri beliau.
“Jadi tuan ikut saranan itu?”
“Ya. Saya ikut.”
“Berapa lama?”
“ Hampir 10 tahun. Selama itulah setiap kali selepas solat dan membaca Al Quran saya doakan ibu-bapa saya. Yakni, sejak hari Allahyarham isteri mencadangkannya pada saya… saya amalkan. Dia meninggal dua tahun yang lalu, ibu pula baru dua minggu yang lepas. Ertinya, dia sendiri tidak dapat melihat hasil kejayaan dakwahnya.”
“Dia akan melihatnya. Bahkan dia akan melihat lebih jelas daripada kita nanti. InsyaAllah. Mudah-mudahan dia dan ibu tuan ditempatkan di kalangan roh orang yang beriman. Sama-sama akan ke syurga nanti…”
Sungguh peristiwa itu sangat menyentuh jiwa. Dakwah yang berkesan itu dengan akhlak yang baik, kata-kata yang penuh hikmah dan doa yang istiqamah. Tanpa wajah dilihat, tetapi diri  sudah mampu memikat. Itulah mesej di sebalik ‘sayonara’ seorang isteri yang berniqab…

Sumber : Gentarasa


Hidup adalah untuk diuji. Ujian itu tidak akan ada hentinya. Selagi kita diuji, selagi itulah kita masih hidup. Jadi bersyukurlah… Ujian itulah jalan untuk kita mengenal Allah. Allah ‘memperkenalkan’ Dirinya di sebalik semua ujianNya. Pada ujian sakit, Allah kenalkan Dirinya yang Maha Penyembuh. Pada ujian miskin, Allah perkenalkan diriNya yang Maha Kaya. Pada ujian fitnah, Allah sedang memperkenalkan diriNya yang Maha Penyabar…
Tidak ada hari tanpa diuji, kerana atas hukum itulah kita hidup dan mati. Semoga dengan itu kenal kita kepada Allah makin tinggi… dan akhirnya, cinta kita kepadaNya pun semakin meningkat. Hakikatnya, apabila kita belum cinta, itu petanda kenal kita belum sempurna. 
Ujian, membuktikan bahawa di sebalik kuasa diri yang sering kita fokuskan ini, ada kuasa Allah yang Maha Berkuasa di atas segala kuasa. Ke situlah perjalanan hati ini sewajarnya dipacu. Sentiasa bersangka baik bukan hanya bermakna yang baik-baik akan berlaku dalam hidup ini, tetapi hati kita diberi kekuatan untuk menghadapi ‘sesuatu yang tidak baik’ dengan hati yang baik.
Apabila berlaku sesuatu yang tidak diduga, tidak disangka, tidak dipinta… jangan kecewa, marah apalagi mencela. Tetapi tanyakanlah diri, apakah maksud baik Allah di sebalik semua itu. Dengarlah ‘bisikan’ tarbiah Allah di sebalik segala mehnah (ujian). Allah tidak akan menzalimi kita. Ujian itu penting, tetapi bagaimana kita menghadapinya jauh lebih penting.
Dalam hidup, peganglah prinsip ini untuk bahagia. Prinsip yang dipegang oleh Nabi Muhammad SAW dalam apa jua ujian yang melanda… “aku hamba Allah, Dia tidak akan mengecewakanku!”
Saudara/i, pembaca… maafkan aku, ketika terlalu sibuk ‘menguruskan’ diri sendiri, aku kehilangan daya untuk terus berkongsi. Bukan kerana mementingkan diri, tetapi begitulah sunnatullah dalam perjalanan hidup… apa yang bergolak di dalam kadangkala menyebabkan segala yang di luar menjadi bungkam.
Namun, mana mungkin kita lari daripada tanggung jawab dan peranan? Lalu, kugagahi juga untuk berbicara… Bicara tentang ujian. Bicara tentang bahagia. Bicara tentang iman… 
SEORANG ISTERI YANG DIUJI
Suaranya sungguh tenang. Walaupun masalahnya agak berat juga tetapi segala-galanya disuarakan begitu teratur.
“Ustaz, semuanya bermula apabila suami saya berpoligami,” luahnya perlahan.
“Sudah lama?”
“Baru sahaja… Sejak dua bulan yang lalu,” katanya.
“Puan rasa kecewa, marah?”
“Tidak. Insya-Allah, tidak. Saya boleh menerima segala-galanya dengan baik.”
“Jadi apa masalahnya?” tanya saya terkejut. Selalunya, punca masalah berlaku apabila isteri pertama tidak boleh menerima hakikat dia telah dimadukan.
“Masalahnya ialah ibu-bapa saya dan ipar-duai saya. Semuanya menentang. Mereka beranggapan saya telah dizalimi oleh suami. Mereka desak saya bertindak.”
“Puan bertindak?”
“Tidak. Saya tetap dengan pendirian saya. Saya ingin hadapi semua ini dengan tabah.”
“Alhamdulillah, kalau begitu… Jadi, apa masalahnya lagi?”
“Bila saya tidak mahu bertindak, mereka tuduh saya pula turut bersyubahat dengan suami. Mereka marahkan saya. Akibatnya hubungan saya dengan mereka renggang. Tegur sapa dan ziarah menziarahi tidak semeriah dulu lagi. Saya sedih diperlakukan begini.”
Saya diam. InsyaAllah itu akan memberi ruang untuknya menarik nafas dan mengatur semula perasaan. Percayalah, acap kali mereka yang mengadu bermasalah… kekadang tidak bermasalah langsung. Mereka hanya ingin ‘didengari’. Teringat apa yang sering ditegaskan oleh pakar psikologi, manusia peru didengar luahan dan rintihannya sama seperti mereka perlukan makanan.
“Puan, kunci keharmonian dalam poligami ini, insya-Allah, terletak di tangan puan dan suami, bukan di tangan ibu-bapa puan, ibu-bapa suami, apalagi oleh ipar-duai puan,” akhirnya saya bersuara. Perlahan-lahan. Satu-satu. Mengikut rentak suaranya.
Di hujung talian, saya dapat rasakan dia sedang sayu. Lalu saya teruskan,”Jika puan tabah, tenang dan kelihatan ‘steady’, orang lain tidak akan berani berbuat apa-apa. Mereka hanya akan ‘bising’ seketika sahaja. Kemudian, ketabahan puan itulah yang akan memadamkan segala-galanya. Apa rasa puan berpoligami?”
“Saya telah bersedia sejak suami menyatakan hasratnya. Ini sudah rezeki saya,” ujarnya.
Dalam diam, saya menyanjung sikap wanita ini. Dia menggunakan istilah ‘rezeki’. Ya, rezeki itu sinonim dengan kebaikan dan keberkatan. Ertinya, dia telah bersedia untuk menerima segala-galanya dengan tabah sejak awal lagi.
“Apa yang mendorong puan bertindak begitu?” tanya saya mendorong dia meluahkan segala isi hatinya. Dengan meluahkan segala niat, azam dan segala yang terpendam dalam jiwanya, insya-Allah dia akan lebih tabah dan yakin.
“Ustaz, suami saya baik. Bertanggung jawab. Saya yakin dia tidak bertindak sembarangan. Bukan kerana suka-suka. Saya yakin dia boleh bertanggung jawab dengan baik terhadap dua orang wanita.”
Sekarang giliran saya pula terdiam. Saya ingin belajar… Ingin belajar erti tabah daripada seorang isteri untuk menghargai isteri sendiri.
“Sejak awal lagi rumah tangga kami dibena atas cita-cita ingin mencari keredaan Allah. Dia jawapan istikharah saya, dan saya jawapan istiharah dia. Sebelas tahun berlalu, telah bermacam-macam-macam ujian kami lalui. Istikharah itu pun diujikan? Begitu yang saya baca dalam tulisan ustaz. Istikharah itu pun perlukan mujahadah. Alhamdulillah, segala-galanya dapat kami harungi bersama. Sekarang… ujian poligami.”
“Puan tidak rasa dieksploitasi?”
“Oh, tidak, “jawabnya dengan tegas, “ tidak sekali-kali ustaz. Memang ada lelaki yang ditakdirkan untuk memimpin lebih daripada seorang isteri…”
“Dan ada wanita yang ditakdirkan mampu menerima wanita lain berkongsi kebahagiaan bersama dengan suaminya,” pintas saya.
“Mengapa ibu-bapa dan ipar-duai saya bersikap begitu? Sedangkan saya yang menanggung segala-galanya?” Dia kembali kepada permasalahan asalnya.
“Itulah trauma masyarakat Melayu kita. Persepsi terhadap poligami terlalu negatif. Poligami disinonimkan dengan penzaliman dan penganiyaan. Padahal, poligami itu adalah satu perkongsian dan pembelaan.”
“Mungkin kerana pelaksanaan poligami yang begitu pincang selama ini,” balasnya.
“Kalau begitu, perkahwinan yang monogami pun bermasalah. Statistik terkini menunjukkan setiap 15 minit penceraian terjadi… apakah penyebabnya poligami?”
“Masyarakat kita hanya mengikut sentimen. Bukan berdasarkan ilmu dan fakta, ustaz.”
“Saya tidak nafikan, ada juga yang lelaki zalim yang berpoligami hanya untuk berseronok-seronok, mengikis harta, berbangga-bangga, hanya cuba-cuba,  dan sebab-sebab lain yang tidak syar’ie. Mereka ini bukan sahaja menzalimi isteri-isteri mereka  tetapi turut mencemarkan kesucian hukum Islam!”
“Jadi saya perlu biarkan sahaja sikap negatif ibu-bapa, mertua dan ipar-duai saya?”
“Selagi puan tabah, selagi suami puan berlaku adil dan bijak mengemudikan rumah tangga, insyaAllah semuanya akan reda dengan sendirinya.”
“Sunyi juga. Terasa kehilangan.”
“Inilah hikmah besar poligami puan. Supaya kita kukuh dan teguh meletakkan cinta pertama dan utama kita kepada Allah. Ini jalan yang ditakdirkan untuk puan untuk akrab dengan Allah. Kadangkala kehilangan akan menemukan kita kepada suatu yang lebih mulia dan berharga!”
“Saya akan kehilangan cinta suami?”
“Tidak. Dengan mencintai Allah, puan akan lebih mencintai kerana Allah dan dicintai oleh orang yang mencintai Allah. Doakan agar suami puan mencintai Allah.”
“Saya tidak pandai ustaz. Saya bukan ustazah. Hanya seorang suri rumah biasa. Tapi saya terus belajar dan mendengar. Saya ‘pelajar’ yang sedang bermujahadah!”
Itulah kunci segala-galanya. Cinta Allah itu diraih dengan mujahadah. Jangan cepat mendakwa bahagia jika usia perkahwinan baru memasuki tahun ke lima, ke enam atau kurang daripada itu. Tabah itu tidak dicapai hanya dengan kata-kata yang disulam oleh al Quran dan Al Hadis. Atau oleh sajak dan ungkapan yang indah dan puitis. Bukan. Tabah itu ditempa oleh keperitan mujahadah, pengorbanan perasaan dan sikap memberi yang tiada batasan… Jangan mengaku beriman jika belum diuji. Jangan mendakwa bahagia, jika belum banyak menderita… kerana bahagia itu ditempa oleh derita!
“Kekadang datang juga rasa cemburu… bagaimana?” kembali suara itu mengocak lamunan saya.
“Cemburu itu fitrah. Itu tanda ada cinta. Selagi dalam batas-batas syariat, selagi itulah cemburu itu selamat. Puan punya banyak masa sekarang?”
“Begitulah ustaz. Ketika bukan giliran saya, ada banyak masa untuk melaksanakan amalan-amalan sunat, membaca Quran,  dan buku-buku yang tangguhkan membacanya sejak dulu.”
“Itulah hikmahnya. Ada masa untuk membina dan memperbaiki diri sendiri kerana walau bagaimana baik sekalipun pendidikan yang diberikan oleh suami, isteri tetap perlu mendidik dirinya sendiri,” dorong saya.
“Seperti mana perkahwinan pertama dahulu diuji, begitulah perkahwinan kedua ini, pasti diuji. Iman itu bahagia. Iman itu diuji. Justeru, bahagia itu bila diuji,” ujar saya perlahan.
“InsyaAllah ustaz, doakan saya tabah. Bukankah selalu ustaz pesankan… jangan pinta hidup yang mudah, tapi pintalah hati yang tabah untuk menghadapinya!”
Saya sebak. Kata-kata yang selalu saya luahkan itu menusuk hati sendiri. Seolah-olah buat pertama kali mendengarnya. Ya, hakikatnya Allah sedang mengingatkan saya ketika mengingatkan orang lain. Tabahkah hati menempuh kehidupan yang tidak akan pernah mudah ini?

Sumber : Gentarasa






Cinta ialah fitrah. Untuk mengurus fitrah kita perlukan hidayah. Tanpa hidayah (petunjuk), fitrah cinta akan bertukar menjadi fitnah. Sejak  dulu hingga kini, rasa cinta telah dieksploitasi dan dimanipulasikan oleh Yahudi dan Nasrani serta musuh Islam yang ‘sewaktu’ dengannya untuk menghancurkan para remaja.

Bukan sahaja remaja, malah ‘retua’ juga gagal menguruskan cintanya. Sudah mempunyai isteri dan anak-anak yang sah, tetapi gara-gara cinta ‘baru’nya dia terus memburu. Belum pun sempurna menguruskan tanggungjawabnya, nafkah lahiriah masih lintang pukang, kepimpinannya sebagai suami masih cacamarba namun ada hati untuk menambah isteri.

Banyak kali sudah terjadi, pada suami yang menduakan isteri, sama ada secara resmi atau tidak, menghancurkan hati isteri yang sedia ada… kemudian isteri keduanya seterusnya deretan anak-anaknya. Konon ‘membela’ untuk membela tetapi apa yang dibela sebenarnya adalah nafsu serakah yang dijustifikasikan atas nama cinta. Cinta untuk mengindahkan, tetapi dia memusnahkan.

Ramai yang ‘membunuh’ jiwa dan perasaan insan lain atas alasan cinta. Membina istana kebahagiaan atas penderitaan orang lain. Anak-anak ditinggalkan, makan-minum, didikan dan kasih sayangnya diabaikan… dia tega memburu bahagia dengan cinta pada isteri baru. Bukan kerana tanggung jawab atau menegakkan sunnah, itu hanya alasan di bibir. Tetapi semua angkara nafsu inginkan keseronokan semata-mata.

Gara-gara cinta yang meminggirkan hidayah, generasi menjadi musnah. Kerosakan sudah berlaku terlalu banyak, tetapi sangat sedikit yang mengambil iktibar agar tidak mengulangi kerosakan yang sama. Sungguh, kita seperti kelekatu yang tidak pernah melihat akibat buruk yang menimpa kawan-kawannya yang sudah menjadi korban akibat menerjah sumber cahaya.

Cinta seolah-olah telah dinobatkan sebagai Tuhan. Apa tidaknya? Nilai Tauhid, syariat dan akhlak diketepikan  semasa menjalinkan hubungan cinta. Tuhan tidak pernah menghalang rasa cinta yang dikurniakan olehNya, tetapi Tuhan cuma ingin menyelamatkan agar cinta itu dijalinkan dengan selamat, penuh adab dan  indah. Sungguh, kerana Allah cinta, maka Allah mengatur bagaimana kita seharusnya bercinta.

Cinta adalah satu kuasa yang sangat luar biasa. Jika tepat pada masa, ketika dan siapa, kuasa cinta tidak akan dapat ditandingi apalagi dikalahkan. Justeru, sangat penting untuk menghalakan kuasa cinta itu.  Jika terarah kepada kebaikan, alhamdulillah, kebaikanlah yang akan tertegak.

Sebaliknya, jika salah arah, kejahatanlah yang akan bermaharalela. Kerana cinta yang benar, ramai para mujahid rela mati syahid. Kerana cinta yang palsu, ramai juga pemuda yang mati membunuh diri. Itulah kuasa luar biasa cinta, bukan hanya masa, harta, malah jiwa sanggup dikorbankan.

Rasulullah saw kerana cintanya kepada Allah, sanggup bermati-matian memperjuangkan Islam. Dia dicerca, diseksa dan diancam bunuh, namun baginda tetap tabah untuk membawa umatnya kepada Allah. Ya, Rasulullah sangat mencintai Allah dan sangat mencintai umatnya, dan dengan dua cinta itulah baginda seolah-olah tidak terasa beban kesusahan dalam menyampaikan ajaran Islam. Cinta mengecilkan derita, menguncupkan sengsara.

Kitaran cinta itu kemudiannya disambung oleh para sahabat – generasi yang sangat mencintai Allah dan rasulNya.  Bayangkan, apakah rahsia di sebalik penyebaran agama Islam? Daripada satu agama yang diseru secara bersembunyi di rumah Arqam ibnu Arqam seribu empat ratus tahun yang lalu, kini telah tersebar secara meluas di seluruh pelosok dunia.

Apa yang menyebabkan para sahabat Rasulullah SAW sanggup merentasi lautan dan padang pasir untuk menyampaikan Islam? Ya, kerana cinta – cinta Allah dan Rasul adalah sumbu pada kegigihan para mujaddid, mujtahid, mujahid dan mubaligh memperjuangkan Islam, hingga dengan itu berbilion-bilion manusia mendapat hidayah. Itu wajah indah cinta.

Malangnya, cinta juga ada wajah yang hodoh. Akibat cinta nafsu para remaja Islam telah dibius oleh arus hedonisme. Budaya berseronok-seronok ini telah menyebabkan jiwa para remaja rosak, kotor dan hina. Bumbu atau ramuan hedonisme ini jika diteliti ialah cinta – lagu, filem, buku, majalah dan segala-galanya sedang mengeksploitasi dan memanupulasi soal cinta. Para kapitalis membuat untung berbilon dollar dengan cerita dan lagu cinta. Mereka bukan sahaja mengaut keuntungan, malah sekali gus membunuh roh perjuangan remaja Islam.

Justeru, Israel sangat gusar dengan kebangkitan Islam daripada pemuda-pemuda Islam di Gaza berbanding mereka yang berada di Tebing Barat. Ini kerana remaja Islam di Gaza begitu tinggi iltizamnya dengan Islam. Mereka terus melazimi bahkan membudayakan amalan membaca Al Quran. Ramai di antara mereka yang menghafaz Al Quran. Majlis pengajian masih subur. Dakwah, tarbiah dan jihad terus dikumandangkan oleh para ulama dan daie dikalangan mereka.

Sebaliknya, apa yang berlaku di Tebing Barat adalah berbeza sama sekali.  Hedonisme dan nasionalisme digaul sekali menjadi umpama ‘candu’ yang mengkhayalkan para pemudanya. Oleh sebab itulah Israel sangat ketat dan sentiasa siap siaga menghadapi pemuda dari Gaza berbanding Tebing Barat.

Itulah penangan cinta palsu. Ia akan melemahkan jiwa. Lihat, bagaimana 90% lagu-lagu cinta sangat melemahan jiwa. Liriknya sahaja sudah sarat dengan harga diri yang rendah.  “Aku umpama gagak di rimba, my life is so empty, I can’t live without you, oh Tuhan kau cabutlah nyawa ku…” adalah antara bait-bait kata yang sudah sinonim dengan lagu cinta. Ini sindrom ‘infriority complexs’ yang sangat tenat.

Nasi lemak buah bidara, sayang selasih hamba lurutkan, buang emak buang saudara, kerana kasih hamba turutkan. Inilah pantun cinta yang menerangkan tentang  kegilaan cinta. Kerana kekasih yang baru 2 atau 3 bulan dicintai, ibu-bapa yang telah mendidik selama 20 tahun sanggup dipinggirkan? Inilah bahana cinta palsu yang membunuh kesucian jiwa dan kerasionalan akal. Ah, akan bangunkan semangat juang dengan wajah cinta yang sebegini?

Dalam filem dan lagu yang didominasi oleh Hollywood, Bollywood dan seumpamanya, cinta seolah-olah ‘dinobatkan’ sebagai Tuhan. Demi cinta, semuanya diturutkan. Digambarkan betapa bahagianya orang dapat memiliki cintanya. Itulah cinta yang suci dan abadi.

Sedangkan, dalam realitinya, cinta seumpama itulah yang banyak memporak-perandakan masyarakat dengan seribu satu masalah, seperti gejala sosial, seks bebas, anak luar nikah dan lain-lain. Keindahan cinta dalam layar perak itu tidak ubah seperti satu fata morgana yang memperdayakan manusia.

Akibatnya? Jiwa Islam kian reput, semangat Islam semakin luput. Kemudian, datanglah serangan dadah, seks bebas, jenayah ke dalamjiwa remaja. Inilah wajah hodoh cinta.
Paling malang, ada yang meninggalkan agama kerana cinta. Murtad kerana cinta. Ini bukan cerita yang sengaja diada-adakan, tetapi ia adalah suatu realiti yang telah dan sedang berlaku. Gadis-gadis Melayu termasuk yang berasal daripada keluarga yang berpegang teguh kepada nilai-nilai agamapun berjaya dimurtadkan gara-gara cinta.

Ya, cinta umpama bisa dan penawar yang bergabung di dalam cairan air liur ular tedung. Yang bijak, dapat ‘menyedut’ penawar manakala yang jahil akan teracun oleh bisanya. Remaja yang cintanya kerana Allah, akan jadi seperti Usamah RA – masih remaja tetapi sudah muncul sebagai jeneral perang Islam yang berwibawa. Orang tua seperti Abu Ayub Al Ansari sanggup mati ribuan batu dari tanah airnya juga kerana cinta.

Remaja yang cintanya palsu, akan hanyut oleh lagu, impian dan khayalan yang sia-sia dan berdosa. Orang tua dengan cinta palsunya, akan pulang ke kubur membawa sesalan berjuta, kosong amalan kerana tipu daya cintanya. Dwi wajah cinta… sinarnya sama-sama menerjah mata, cuma yang satu intan, yang satu hanya kaca!

Sumber : Gentarasa

Assalamualaikum.

Dedikasi untuk ahli usrah online.

MENCARI DAN MENJADI GURU-GURU YANG JUJUR

🔹Nabi Nuh as
🔶 Siapakah guru yang menunjukkan jalan kebenaran pada zaman Nabi Nuh alaihissalam? Tentulah Nabi Nuh alaihissalam sendiri.

Susah sangatkah silibus yang diajarkannya?Sangat mudah :
Tauhidkan Allah, jangan syirikkan Allah.

Adakah semua umatnya menerima Nabi Nuh sebagai 'guru' yang menunjukkan jalan kebenaran? Tentu tidak. Malahan ketika Nabi Nuh 'mengajar', mereka sumbat lubang telinga dengan jari, dan mereka selubungkan kepala dengan pakaian, sebagai isyarat penolakan dan penentangan.

Selama 950 tahun Nabi Nuh alaihissalam 'mengajar', tidak ramai yang mengikutnya.

🔹Nabi Muhammad saw
🔶 Siapakah guru yang menunjukkan jalan kebenaran pada zaman Nabi Muhammad saw? Tentulah Nabi Muhammad saw. Adakah mereka yang ada di sekelilingnya dengan mudah menerima baginda sebagai seorang guru?

Nabi Muhammad saw 'mengajar' umat dari 'silibus' terbaik, iaitu wahyu yang diturunkan oleh Jibril as. Baginda tidak mengajar sembarangan, sebagaimana yang dijelaskan dalam ayat :
وما ينطق عن الهوى.
إن هو إلا وحي يوحى.

Dengan sukatan yang  terbaik diturunkan dari langit oleh Allah Yang Maha Mengetahui, dengan akhlak terbaik seorang Nabi, baginda saw pernah dituduh gila, dilempar batu, dikejar dan diancam supaya tidak meyampaikan.

🔶 Para ulama' adalah guru sebenar kepada umat, kerana mereka menyambung tugas Nabi Muhammad saw.

Menunjukkan jalan benar yang membawa ke syurga, dan  menunjukkan jalan salah yang membawa ke neraka.

Menjelaskan tauhid supaya ditanam di dalam jiwa, menjelaskan syirik supaya dikikis sedaya upaya.

Menjelaskan sunnah supaya diikuti, menjelaskan bid'ah supaya dijauhi.

🔹Pentingnya ilmu bagi seorang guru
🔶 Dalam Fiqh al-Awlawiyyat, Dr Yusuf al-Qaradawi menyebut tentang berilmu lebih utama daripada beramal. Imam Bukhari dalam Sahih Bukhari Kitab Ilmu, menamakan salah satu judul babnya sebagai 'al-Ilm Qabla al-Qaul wa al-Amal.  Berilmu sebelum mengajar dan beramal.

Mengapa mereka menyebut tentang perkara ini? Kerana sudah banyak kerosakan berlaku kerana mengajar tanpa ilmu, dan beramal tanpa ilmu.

Pendakwah adalah guru. Berdakwah dan menyampaikan ilmu perlukan ilmu yang benar. Kelak kita akan ditanya, apakah yang kamu ajarkan kepada orang, kebaikan ataupun keburukan?

Di luar sana, kalau ada guru yang tidak benarkan tawassul dengan roh orang mati, ada pula orang yang mendakwa dirinya sebagai guru, mengatakan tidak mengapa kita meminta di kubur dengan roh orang mati, sebab yang memberikan sebenarnya - Allah!

Di luar sana, kalau ada guru yang melarang sujud kepada manusia, ada pula orang yang mendakwa dirinya sebagai guru, mengatakan itu bukan sujud, itu sekadar cium kaki, jadi jangan tuduh sembarangan jika tidak tahu soal2 ilmu hakikat!

Demikian nilai ditunjukkan jalan yang lurus, nilai diberikan kefahaman menilai antara yang haq dengan yang batil.

Pilihlah guru yang jujur, dan jadilah guru yang jujur.

Jika manusia tidak tahu, Allah Maha Mengetahui.