DAKWAH DARI HATI…
“Sudah berapa lama tuan memeluk Islam?”tanya saya pendek
“Dua puluh tahun,”jawab lelaki berbangsa India itu juga dengan pendek.
“Semua keluarga turut masuk Islam?”
“Semua, tetapi tidaklah berturut-turut. Termasuk ibu-bapa saya,” jawabnya sambil tersenyum. Wajahnya nampak sangat tenang. Jadi senang hati melihatnya.
“Yang paling akhir?”
“Ibu dan bapa saya. Baru sebulan yang lalu.”
“Alhamdulillah…”
“Tetapi ibu saya baru sahaja meninggal dunia. Kira-kira dua minggu yang lalu.”
Saya terkejut. Maksudnya, baru sangat. Tentu dia masih dalam kesedihan.
“Masih sedih…” kata saya perlahan sambil mengusap bahunya. Separuh bertanya, separuh simpati.
“Sedih sedikit sahaja. Gembira lebih banyak.”
Wah, jawapan itu sangat aneh. Tentu ada cerita di sebaliknya.
“Mengapa tuan rasa gembira?”
“Panjang ceritanya…”
Saya memberi isyarat yang sangat berminat mendengar. Mungkin kerana itu dia pun mula bercerita. Lancar dan lurus tanpa tersekat-sekat. Seolah-olah episod demi episod sudah tersusun kemas dalam minda dan perasaannya. Menurutnya, dia memeluk Islam hasil dakwah seorang wanita. Dengan cinta? Tidak. Hanya dengan akhlak seorang wanita ‘berniqab’ yang bekerja sebagai akauntan di pejabatnya.
“Saya tertarik kepada akhlaknya. Begitu sopan, begitu empati dengan kawan sekerja dan cekap pula melaksanakan tugas. Tanpa melihat wajahnya pun, hati saya sudah terpikat. Sungguh. Saya jatuh cinta pada kecantikan budinya.”
“Bagaimana menyatakannya?”
“Cinta sentiasa ada cara untuk dinyatakan. Melalui seorang kawan rapat saya menyatakan hasrat.”
“Masa tu belum Islam?”
“Belum. Itulah cinta. Buta. Saya akui, cinta kepada wanita itu lebih dulu datang, sebelum cinta kepada Islam. Itulah saya.”
“Subhanallah menarik. Bagaimana reaksinya?”
“Dia menjawab… bakal suami saya hanyalah seorang Muslim.”
“Saya tahu, itu ialah syaratnya. Lantas, saya katakan kepadanya, masih melalui orang tengah, beri saya masa secukupnya untuk memeluk Islam. Saya rasional, saya tidak akan ikut-ikutan. Saya perlu berfikir.”
“Dia beri cukup masa untuk berfikir?”
“Ya, bukan hanya untuk berfikir. Tetapi untuk belajar tentang Islam. Saya sememangnya sudah sekian lama menyimpan hasrat untuk memahami Islam. Bukan kerana hendak menganutnya, tetapi kerana minat saya yang mendalam pada ilmu. Bagi saya ilmu-ilmu dalam Islam sangat menarik untuk diterokai.”
“Jadi Islam hanya dipelajari untuk diketahui, bukan untuk diyakini?” tusuk saya.
“Mula-mula begitulah. Tetapi lama-kelamaan, ilmu-ilmu itu telah membentuk keyakinan saya. Mula-mula hanya kerana wanita, tetapi akhirnya jatuh cinta kepada Pencipta wanita.”
“Begitu mudah?”
“Tidak juga. Saya berfikir lama…. Hati saya selalu bertanya apa yang menyebabkan seorang wanita begitu ‘terbuka’ ketika wajahnya tertutup. Dia sangat terbuka dalam pemikiran, pergaulan dan pekerjaannya. Mudah didekati tetapi sangat menjaga diri. Bagi saya tentu ada sesuatu dari dalam dirinya yang menjadikan dia begitu.”
“Berapa lama?”
“Hampir dua tahun.”
“Dia sabar menunggu?”
“Bukankah saya katakan, dia wanita yang sangat setia dan patuh pada janji?”
“Wah. Itu cinta pertama?”
“Pertama pada dia. Tetapi tidak pada saya. Saya pernah jatuh cinta kepada wanita lain sebelumnya. Pada dia cinta pertama, pada saya cinta utama. Dalam banyak-banyak cinta, cinta itulah yang paling suci dan unik.”
“Perkahwinan meriah?”
“Meriah. Sangat meriah. Sederhana tetapi penuh makna. Ceria.”
Hampir saya terlupa pada cerita ibunya. Supaya tidak terlupa, saya terus bertanya, “itu cerita isteri, tadi kita bermula dengan cerita ibu.”
“Cerita ibu dan isteri saya sangat berkaitan.”
Saya minta dia bercerita terus. Saya mahu belajar daripadanya. Saya lihat di antara mereka yang mengikuti kursus kepimpinan Islam itu dialah yang paling bersungguh-sungguh dan fokus. Banyak pertanyaan yang diajukannya. Bagi saya dia seorang istimewa. Tentu sekali isteri atau ibu atau kedua-duanya sekali istimewa. Bukankah di sebalik seorang lelaki yang hebat, pasti ada seorang wanita yang hebat?
“Setelah bernikah, saya lebih mendalami agama. Saya dan isteri terus belajar dan belajar. Ada kalanya cuti tahunan kami dihabiskan untuk belajar ilmu agama. Kami kemudian mengerjakan umrah dan akhirnya dapat mengerjakan haji. Anak-anak kami dididik untuk mendalami agama sejak kecil. Alhamdulillah, dua daripada tiga orang anak kami hafaz Al Quran.”
“Bertuah. InsyaAllah, isteri tuan seorang isteri yang solehah. Boleh saya dan keluarga ziarah rumah tuan untuk bertemu dan berkongsi pengalaman dengannya?”
“Tidak boleh. Maaf, tidak boleh.”
Saya sangat terkejut. Ditolak mentah begitu sahaja? Lantas bertanya, “mengapa?”
“Kerana dia telah meninggal dunia dua tahun lalu. Sakit barah. Barah rahim. Sewaktu barah dikesan sudah tahap yang kritikal. Tidak dapat diubat lagi. Sebulan meninggal…”
Terkejut. Daripada rasa terkilan tadi, bertukar tiba-tiba kepada rasa sedih yang mendalam. Betul, jangan cepat buruk sangka, detik saya dalam hati. Sekarang saya seperti dapat merasakan sendiri rasa kehilangannya srikandi cintanya itu. Betapa hebatnya rasa kehilangan seorang isteri yang telah memberi cahaya mata dan cahaya hati.
Dia mengesat matanya yang mula berair. Sungguh, saya turut merasainya. Isteri ialah jantung hati kita. Dia pergi… separuh diri kita juga seolah-olah hilang. Cinta kepada isteri ialah cinta kerana Allah yang sangat besar impaknya dalam kehidupan. Hamka, seorang penulis yang tersohor pernah meluahkan isi hatinya ketika ditinggal mati oleh isterinya. Ketika ditanya oleh anaknya (irfan), beliau meluahkan :
“Kau tahu, Irfan. Ayah dan Ummi telah berpuluh-puluh tahun lamanya hidup bersama. Tidak mudah bagi Ayah melupakan kebaikan Ummi. Itulah sebabnya bila datang ingatan Ayah terhadap Ummi, Ayah mengenangnya dengan bersenandung. Namun, bila ingatan Ayah kepada Ummi itu muncul begitu kuat, Ayah lalu segera mengambil air wudhu’. Ayah solat Taubat dua rakaat. Kemudian Ayah mengaji. Ayah berupaya mengalihkannya dan memusatkan fikiran dan kecintaan Ayah semata-mata kepada Allah,” jawab Ayah
“Tetapi satu kematian yang indah…” tiba-tiba dia bersuara, memutuskan ingatan saya pada Allahyarham Pak Hamka.
“Kematian yang indah? Bagaimana dia meninggal dunia?”
“Saya masih ingat menjelang waktu Asar pada hari itu dia sangat tenat. Saya duduk menemani di sebelahnya. Dia merayu untuk solat berjemaah bersama. Selalunya saya solat berjemaah di masjid tetapi kali ini dia benar-benar tenat. Lalu saya baringkan dia di sebelah kiri di bahagian belakang saya. Dia begitu lemah. Matanya hampir terpejam. Habis solat sahaja, dia mengucap kalimah syahadah sebanyak tiga kali… lalu terus menghembus nafas yang terakhir.”
“Begitu mudah?”
“Begitulah tuan, macam sebuah drama. Sukar untuk mempercayainya jika sekadar mendengar cerita tetapi saya menyaksikannya. Itulah kematian yang indah.”
“Al Fatihah,” ujar saya. Kami sama-sama membaca surah al fatihah dan berdoa semoga rohnya diampuni dan dikasihani Allah. Seseorang akan mati mengikut cara hidupnya. Jika cara hidupnya baik, maka dia akan menemui kematian dengan sebaik-baiknya. Wanita itu telah mengislamkan suaminya, melahirkan anak-anak yang baik, bisik hati saya.
“Ustaz, sebenarnya bukan saya sahaja yang tertarik kepada Islam atas sebab dia tetapi juga adik-beradik saya. Seorang demi seorang adik-beradik saya memeluk Islam apabila mula dan lama bergaul dengannya.”
“Wah, mudahnya…”
“Tetapi ada juga yang susah. Ibu dan ayah saya sangat susah untuk menerima Islam. Mereka sangat keras hati. Kata-kata lembut dan akhlak isteri saya pun tidak cukup kuat untuk mencairkan kekufurannya. Namun, ajaibnya… masih isteri saya juga menjadi sebab keislaman ibu-bapa saya.”
“Macam mana tu?” tanya saya tidak sabar. Inilah persoalan awal dalam perbualan kami tadi. Daripada soal ibu-bapanya teralih pula kepada soal isterinya. Benar katanya tadi, soal ibu dan isteri sangat rapat dan Saling berkait.
“Kami cuba pelbagai cara untuk mengislamkannya, tetapi tidak berjaya. Akhirnya, isteri saya menyarankan satu cara…”
Saya benar-benar ‘suspen’. Menanti dengan penuh minat.
“Sayangnya, isteri saya pergi dulu sebelum sempat melihat hasil dakwahnya kepada ibu saya,” katanya tanpa memberi jawapan yang saya tunggu.
“Maksud tuan, isteri tuan meninggal dunia dahulu kemudian baru ibu tuan memeluk Islam?”
“Ya,”jawabnya pendek.
“Apa kaedah yang disarankan oleh isteri tuan itu?” tanya saya, mengulang pertanyaan yang sangat saya dambakan jawapannya sejak tadi.
“Begini, arwah isteri saya menyatakan bahawa doa anak kepada ibu-bapanya sangat mustajab. Bukan sahaja setelah ibu-bapanya meninggal dunia, bahkan semasa ibu-bapanya itu masih hidup lagi. Satu hari, dia sarankan saya berdoa setiap kali selepas solat dan setiap kali membaca Al Quran. Pohon kepada Allah agar diberi hidayah kepada ibu-bapa saya.”
Terpegun mendengar saranan itu, saya berfikir. Nasihat ini seperti serampang yang punya dua mata. Pertama, untuk yang berdoa agar sentiasa solat dan membaca Al Quran. Kedua, untuk yang didoakan agar mendapat hidayah Islam. Bijak sungguh arwah isteri beliau.
“Jadi tuan ikut saranan itu?”
“Ya. Saya ikut.”
“Berapa lama?”
“ Hampir 10 tahun. Selama itulah setiap kali selepas solat dan membaca Al Quran saya doakan ibu-bapa saya. Yakni, sejak hari Allahyarham isteri mencadangkannya pada saya… saya amalkan. Dia meninggal dua tahun yang lalu, ibu pula baru dua minggu yang lepas. Ertinya, dia sendiri tidak dapat melihat hasil kejayaan dakwahnya.”
“Dia akan melihatnya. Bahkan dia akan melihat lebih jelas daripada kita nanti. InsyaAllah. Mudah-mudahan dia dan ibu tuan ditempatkan di kalangan roh orang yang beriman. Sama-sama akan ke syurga nanti…”
Sungguh peristiwa itu sangat menyentuh jiwa. Dakwah yang berkesan itu dengan akhlak yang baik, kata-kata yang penuh hikmah dan doa yang istiqamah. Tanpa wajah dilihat, tetapi diri sudah mampu memikat. Itulah mesej di sebalik ‘sayonara’ seorang isteri yang berniqab…
Sumber : Gentarasa
Sumber : Gentarasa
Posted by SulamKaseh
on 18:15.
Filed under
Artikel Pilihan,
Cinta,
Muhasabah diri
.
You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0.
You can leave a response or trackback to this entry
www.bolavita.club Bandar Taruhan Bola Dan Casino Online Teraman dan Terpercaya !
Proses Deposit dan Withdraw 24 Jam Online !
Minimal Deposit Hanya Rp 50.000,- Saja !
Dan Nikmati Bonus Deposit Sebesar 10% dan Bonus Cashback sebesar 5% - 10% Setiap Minggu !
Informasi Selengkapnya hubungi :
WA Bolavita :+62812-2222-995
BBM : BOLAVITA
WeChat: BOLAVITA
Line : cs_bolavita