CINTA YANG MEMBUNUH JIWA
Cinta ialah fitrah. Untuk mengurus fitrah kita perlukan hidayah. Tanpa hidayah (petunjuk), fitrah cinta akan bertukar menjadi fitnah. Sejak dulu hingga kini, rasa cinta telah dieksploitasi dan dimanipulasikan oleh Yahudi dan Nasrani serta musuh Islam yang ‘sewaktu’ dengannya untuk menghancurkan para remaja.
Bukan sahaja remaja, malah ‘retua’ juga gagal menguruskan cintanya. Sudah mempunyai isteri dan anak-anak yang sah, tetapi gara-gara cinta ‘baru’nya dia terus memburu. Belum pun sempurna menguruskan tanggungjawabnya, nafkah lahiriah masih lintang pukang, kepimpinannya sebagai suami masih cacamarba namun ada hati untuk menambah isteri.
Banyak kali sudah terjadi, pada suami yang menduakan isteri, sama ada secara resmi atau tidak, menghancurkan hati isteri yang sedia ada… kemudian isteri keduanya seterusnya deretan anak-anaknya. Konon ‘membela’ untuk membela tetapi apa yang dibela sebenarnya adalah nafsu serakah yang dijustifikasikan atas nama cinta. Cinta untuk mengindahkan, tetapi dia memusnahkan.
Ramai yang ‘membunuh’ jiwa dan perasaan insan lain atas alasan cinta. Membina istana kebahagiaan atas penderitaan orang lain. Anak-anak ditinggalkan, makan-minum, didikan dan kasih sayangnya diabaikan… dia tega memburu bahagia dengan cinta pada isteri baru. Bukan kerana tanggung jawab atau menegakkan sunnah, itu hanya alasan di bibir. Tetapi semua angkara nafsu inginkan keseronokan semata-mata.
Gara-gara cinta yang meminggirkan hidayah, generasi menjadi musnah. Kerosakan sudah berlaku terlalu banyak, tetapi sangat sedikit yang mengambil iktibar agar tidak mengulangi kerosakan yang sama. Sungguh, kita seperti kelekatu yang tidak pernah melihat akibat buruk yang menimpa kawan-kawannya yang sudah menjadi korban akibat menerjah sumber cahaya.
Cinta seolah-olah telah dinobatkan sebagai Tuhan. Apa tidaknya? Nilai Tauhid, syariat dan akhlak diketepikan semasa menjalinkan hubungan cinta. Tuhan tidak pernah menghalang rasa cinta yang dikurniakan olehNya, tetapi Tuhan cuma ingin menyelamatkan agar cinta itu dijalinkan dengan selamat, penuh adab dan indah. Sungguh, kerana Allah cinta, maka Allah mengatur bagaimana kita seharusnya bercinta.
Cinta adalah satu kuasa yang sangat luar biasa. Jika tepat pada masa, ketika dan siapa, kuasa cinta tidak akan dapat ditandingi apalagi dikalahkan. Justeru, sangat penting untuk menghalakan kuasa cinta itu. Jika terarah kepada kebaikan, alhamdulillah, kebaikanlah yang akan tertegak.
Sebaliknya, jika salah arah, kejahatanlah yang akan bermaharalela. Kerana cinta yang benar, ramai para mujahid rela mati syahid. Kerana cinta yang palsu, ramai juga pemuda yang mati membunuh diri. Itulah kuasa luar biasa cinta, bukan hanya masa, harta, malah jiwa sanggup dikorbankan.
Rasulullah saw kerana cintanya kepada Allah, sanggup bermati-matian memperjuangkan Islam. Dia dicerca, diseksa dan diancam bunuh, namun baginda tetap tabah untuk membawa umatnya kepada Allah. Ya, Rasulullah sangat mencintai Allah dan sangat mencintai umatnya, dan dengan dua cinta itulah baginda seolah-olah tidak terasa beban kesusahan dalam menyampaikan ajaran Islam. Cinta mengecilkan derita, menguncupkan sengsara.
Kitaran cinta itu kemudiannya disambung oleh para sahabat – generasi yang sangat mencintai Allah dan rasulNya. Bayangkan, apakah rahsia di sebalik penyebaran agama Islam? Daripada satu agama yang diseru secara bersembunyi di rumah Arqam ibnu Arqam seribu empat ratus tahun yang lalu, kini telah tersebar secara meluas di seluruh pelosok dunia.
Apa yang menyebabkan para sahabat Rasulullah SAW sanggup merentasi lautan dan padang pasir untuk menyampaikan Islam? Ya, kerana cinta – cinta Allah dan Rasul adalah sumbu pada kegigihan para mujaddid, mujtahid, mujahid dan mubaligh memperjuangkan Islam, hingga dengan itu berbilion-bilion manusia mendapat hidayah. Itu wajah indah cinta.
Malangnya, cinta juga ada wajah yang hodoh. Akibat cinta nafsu para remaja Islam telah dibius oleh arus hedonisme. Budaya berseronok-seronok ini telah menyebabkan jiwa para remaja rosak, kotor dan hina. Bumbu atau ramuan hedonisme ini jika diteliti ialah cinta – lagu, filem, buku, majalah dan segala-galanya sedang mengeksploitasi dan memanupulasi soal cinta. Para kapitalis membuat untung berbilon dollar dengan cerita dan lagu cinta. Mereka bukan sahaja mengaut keuntungan, malah sekali gus membunuh roh perjuangan remaja Islam.
Justeru, Israel sangat gusar dengan kebangkitan Islam daripada pemuda-pemuda Islam di Gaza berbanding mereka yang berada di Tebing Barat. Ini kerana remaja Islam di Gaza begitu tinggi iltizamnya dengan Islam. Mereka terus melazimi bahkan membudayakan amalan membaca Al Quran. Ramai di antara mereka yang menghafaz Al Quran. Majlis pengajian masih subur. Dakwah, tarbiah dan jihad terus dikumandangkan oleh para ulama dan daie dikalangan mereka.
Sebaliknya, apa yang berlaku di Tebing Barat adalah berbeza sama sekali. Hedonisme dan nasionalisme digaul sekali menjadi umpama ‘candu’ yang mengkhayalkan para pemudanya. Oleh sebab itulah Israel sangat ketat dan sentiasa siap siaga menghadapi pemuda dari Gaza berbanding Tebing Barat.
Itulah penangan cinta palsu. Ia akan melemahkan jiwa. Lihat, bagaimana 90% lagu-lagu cinta sangat melemahan jiwa. Liriknya sahaja sudah sarat dengan harga diri yang rendah. “Aku umpama gagak di rimba, my life is so empty, I can’t live without you, oh Tuhan kau cabutlah nyawa ku…” adalah antara bait-bait kata yang sudah sinonim dengan lagu cinta. Ini sindrom ‘infriority complexs’ yang sangat tenat.
Nasi lemak buah bidara, sayang selasih hamba lurutkan, buang emak buang saudara, kerana kasih hamba turutkan. Inilah pantun cinta yang menerangkan tentang kegilaan cinta. Kerana kekasih yang baru 2 atau 3 bulan dicintai, ibu-bapa yang telah mendidik selama 20 tahun sanggup dipinggirkan? Inilah bahana cinta palsu yang membunuh kesucian jiwa dan kerasionalan akal. Ah, akan bangunkan semangat juang dengan wajah cinta yang sebegini?
Dalam filem dan lagu yang didominasi oleh Hollywood, Bollywood dan seumpamanya, cinta seolah-olah ‘dinobatkan’ sebagai Tuhan. Demi cinta, semuanya diturutkan. Digambarkan betapa bahagianya orang dapat memiliki cintanya. Itulah cinta yang suci dan abadi.
Sedangkan, dalam realitinya, cinta seumpama itulah yang banyak memporak-perandakan masyarakat dengan seribu satu masalah, seperti gejala sosial, seks bebas, anak luar nikah dan lain-lain. Keindahan cinta dalam layar perak itu tidak ubah seperti satu fata morgana yang memperdayakan manusia.
Akibatnya? Jiwa Islam kian reput, semangat Islam semakin luput. Kemudian, datanglah serangan dadah, seks bebas, jenayah ke dalamjiwa remaja. Inilah wajah hodoh cinta.
Paling malang, ada yang meninggalkan agama kerana cinta. Murtad kerana cinta. Ini bukan cerita yang sengaja diada-adakan, tetapi ia adalah suatu realiti yang telah dan sedang berlaku. Gadis-gadis Melayu termasuk yang berasal daripada keluarga yang berpegang teguh kepada nilai-nilai agamapun berjaya dimurtadkan gara-gara cinta.
Ya, cinta umpama bisa dan penawar yang bergabung di dalam cairan air liur ular tedung. Yang bijak, dapat ‘menyedut’ penawar manakala yang jahil akan teracun oleh bisanya. Remaja yang cintanya kerana Allah, akan jadi seperti Usamah RA – masih remaja tetapi sudah muncul sebagai jeneral perang Islam yang berwibawa. Orang tua seperti Abu Ayub Al Ansari sanggup mati ribuan batu dari tanah airnya juga kerana cinta.
Remaja yang cintanya palsu, akan hanyut oleh lagu, impian dan khayalan yang sia-sia dan berdosa. Orang tua dengan cinta palsunya, akan pulang ke kubur membawa sesalan berjuta, kosong amalan kerana tipu daya cintanya. Dwi wajah cinta… sinarnya sama-sama menerjah mata, cuma yang satu intan, yang satu hanya kaca!
Sumber : Gentarasa
Sumber : Gentarasa
Posted by SulamKaseh
on 18:06.
Filed under
Artikel Pilihan,
Muhasabah diri
.
You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0.
You can leave a response or trackback to this entry
0 comments for "CINTA YANG MEMBUNUH JIWA"