Sebahagian besar masyarakat Islam lupa Masjid al-Aqsa pernah dibakar pada tahun 1969. – AFP.



Dipetik dari http://www.utusan.com.my

----------------------------------------------

FIRMAN Allah S.W.T.: ‘‘Dan kalaulah Allah tidak mendorong setengah manusia menentang pencerobohan setengahnya yang lain, nescaya runtuhlah tempat-tempat ibadat serta gereja-gereja (kaum Nasrani) dan juga tempat-tempat sembahyang (synagogue kaum Yahudi) dan juga masjid-masjid yang sentiasa disebut nama Allah sebanyak-banyaknya.” (Surah al-Haaj: ayat 40)

Jika dalam ayat di atas, umat Islam telah dilarang daripada menjadikan rumah-rumah ibadat sebagai sasaran mereka di kala peperangan dan di kala damai, sebaliknya pula yang sentiasa berlaku terhadap umat Islam.

Sering kali jika berlaku apa-apa peperangan ke atas umat Islam, pasti musuh-musuh mereka menjadikan masjid-masjid sebagai sasaran.

Lihatlah apa yang berlaku di Babri, India, masjid-masjid di Bosnia lewat konflik Serb-Bosnia, masjid-masjid di Iraq yang sentiasa terdedah kepada penghinaan dan serangan tentera-tentera “paling bertamadun” di dunia, iaitu tentera-tentera Amerika Syarikat (AS).

Di tanah Palestin, ada masjid yang dirobohkan, ada yang dijadikan muzium dan ada yang ditukarkan kepada kandang lembu.

Ada juga masjid yang ditukarkan menjadi kelab malam dan rumah pelacuran seperti mana yang dilaporkan oleh wartawan Palestine Return Centre, United Kingdom dalam filem dokumentari mereka The Cries of the Minarets.

Lebih malang lagi, Masjid al-Aqsa sendiri, yang merupakan masjid ketiga suci umat Islam dan juga kiblat pertama mereka sendiri tidak terlepas daripada ancaman dan juga aksi ganas pihak Zionis.

Dalam peperangan 1967 yang menyaksikan kemenangan rejim Israel dengan bantuan AS, pihak tentera Zionis telah memasuki Masjid al-Aqsa dan menawannya.

Dengan bertrak-trak tentera rejim, mereka telah menari-nari di sekeliling Masjid al-Aqsa sambil menyanyikan lagu:

“Letakkan apricot ke atas epal, agama Muhammad telah hancur dan musnah, Muhammad telah mati. ‘‘Yang ditinggalkan hanyalah anak-anak perempuan yang lemah.”

Lagu tersebut membawa makna bahawa dengan kemenangan mereka yang dianggap sebagai mukjizat itu merupakan berakhirnya agama Islam.

Ia juga menandakan kegagalan umat Islam mempertahankan masjid mereka itu menunjukkan bahawa umat Islam telah kehilangan orang-orang lelaki yang mampu mempertahankan masjid mereka!

Bermula tarikh itu, pihak rejim telah mengisytiharkan tembok sebelah barat Masjid al-Aqsa sebagai milik mereka.

Tembok sebelah barat masjid yang dikenali selama berkurun-kurun sebagai ‘Tembok Buraq’ (kerana dikatakan Rasulullah telah mengikat Buraq di tembok tersebut sewaktu peristiwa Israk dan Mikraj) itu telah ditukarkan namanya kepada ‘Tembok Meratap’.

Ia telah diisytiharkan secara rasmi juga melalui tarikh tersebut sebagai kiblat warga Yahudi untuk mereka menunaikan ibadat ‘meratap’ di atas kehilangan ‘Haykal’ yang pernah dibina oleh Nabi Sulaiman di atas tapak tersebut.

Sehingga kini, penganut agama Yahudi yang berfahaman Zionis dari serata dunia akan menunaikan ‘haji’ mereka di sana.

Bagi tentera mereka yang akan menjawat jawatan tertinggi dalam angkatan tentera rejim juga akan menunaikan ‘angkat sumpah’ di tembok tersebut untuk mempertahankan negara Israel (Erez Yizrael) dengan nyawa dan darah mereka.

Perlu diingat, penawanan ke atas tembok Buraq itu bukanlah satu tindakan yang terakhir mereka terhadap Masjid al-Aqsa, tetapi merupakan permulaan bagi mereka untuk merobohkan Masjid al-Aqsa dan membina semula kuil ibadat mereka yang dinamakan sebagai The Mount Temple ataupun Haykal Sulayman.

Sebagai bukti yang kukuh, pada 21 Ogos 1969, seorang penganut fahaman Zionis beragama Kristian dari Switzerland Dennis Micheal telah membakar sebahagian daripada ruang utama Masjid al-Aqsa.

Antara yang mengalami kemusnahan daripada tindakan keganasan tersebut ialah mimbar masjid yang telah dibina semenjak zaman Nuruddin al-Zinki dan pernah digunakan oleh Salahuddin al-Ayyubi di zaman pemerintahannya.

Sehari suntuk, umat Islam telah bertungkus lumus bersama-sama memadamkan api dan juga menyelamatkan kesan -kesan sejarah di masjid tersebut.

Hasil daripada peristiwa pembakaran Masjid al-Aqsa ini, Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) telah ditubuhkan untuk menyatukan negara-negara majoriti umat Islam agar menjadikan isu Palestin dan Masjid al-Aqsa sebagai isu utama umat Islam sedunia.

Bagi penjenayah yang telah bertanggungjawab membakar Masjid al-Aqsa pula, beliau telah dibebaskan oleh kerajaan rejim Zionis kerana didapati ‘tidak siuman’, walaupun dari segi profesionnya beliau merupakan seorang doktor perubatan!

Sebagai reaksi terhadap peristiwa pembakaran tersebut, negara-negara Islam telah bersetuju untuk menubuhkan OIC sebagai langkah menjadikan isu Palestin dan Masjid al-Aqsa sebagai isu utama umat Islam sedunia.

Sejak hari itu jugalah, 21 Ogos dianggap sebagai hari memperingati Masjid al-Aqsa sedunia.

Sayangnya, sehingga kini, bukan hanya sekadar isu Palestin tidak dapat diselesaikan oleh OIC, malah isu Masjid al-Aqsa yang sepatutnya diambil peduli oleh setiap umat Islam terpinggir dari agenda OIC.

Ratusan resolusi yang telah diluluskan oleh OIC, namun di peringkat praktikalnya, tiada satu pun yang dapat dilaksanakan.

Lebih malang lagi, dalam mengemukakan apa-apa penyelesaian terhadap isu Palestin, negara-negara OIC hanya menuruti sahaja apa-apa keputusan yang dibawa dari Washington dan Tel Aviv.

Sehingga detik ini, walaupun sudah hampir tiga ancaman yang diumumkan oleh golongan radikal Yahudi semenjak awal tahun 2005 untuk merempuh masuk dan menawan Masjid al-Aqsa, tiada apa-apa keputusan yang dikeluarkan oleh OIC dan mana-mana negara anggotanya berkaitan perkara tersebut.

Sepatutnya, negara-negara OIC menjadikan tarikh 21 Ogos sebagai tarikh untuk diingati oleh semua umat Islam di serata dunia setiap tahun.

Petikan dari http://tamanilmu.com/
-------------------------------------

Tentera Yahudi menggganas lagi,
Atas alasan bebaskan askar sendiri,
Tetapi bukan askar yang dicari,
Orang awam mangsa tragedi.

Gaza diceroboh mengikut nafsu,
Ahli Parlimen dan Menteri dibelenggu,
PBB, OIC hanya membisu,
Diam biarkan keganasan berlalu.

Sasaran bom di Selatan Lubnan,
Orang awam dan bangunan,
Hizbullah menentang dikata keganasan,
Israel mengganas dikata jaga keselamatan.

Ummah membisu seribu kata,
Hanya memandang dengan mata,
Pilu simpati, tindakan tiada,
Wa Mu’tasimah!! hanya nostalgia.

Umat Melayu sibuk peduli,
Bukan isu ummah sekali-kali,
Isu picisan yang dihayati,
Tahap berrfikir rendah sekali.

Darah mengalir nun di sana,
Di sini ummah bergelak sahaja,
Seolah-olah tiada apa-apa,
Hati mati ukhuwwah tiada,
Sedih melihat suasana semasa.

Umat tenggelam dalam dunia,
Diinjak, ditindas oleh siperkasa,
Ummah mengharap seorang pembela,
Moga munculnya tidak lama.

Janji Allah tetap percaya.