WAHAI PUTERIKU SAYANG!!!



Bulan Disember musim mengawan remaja Terengganu
 
Dr Azman Ibrahim   
Menggerunkan tapi tidak mengejutkan apabila kenyataan Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara Terengganu (JPN) Ghazali @ Suhaimi Muhammad menyebut sebagaimana yang dilaporkan oleh akhbar harian berbahasa Melayu hari ini (Rabu, 26 Januari 2011) bahawa seramai 623 anak tidak sah taraf dilahirkan di negeri ini tahun lalu sekali gus menunjukkan gejala kelahiran anak luar nikah berada pada tahap kronik.

Kelahirannya pula bagaikan bermusim. Daripada jumlah tersebut, kadar tertinggi dicatatkan pada Mei dengan 72 kelahiran dan September 60 kelahiran yang dikaitkan dengan kemunculan ‘produk’ yang dibuat sembilan bulan sebelum itu iaitu pada Ogos dan Disember.

Hasil kelahiran dicatatkan dua bulan itu juga dikaitkan sebagai ‘musim mengawan’ pasangan muda-mudi yang ‘berpesta seks tanpa ikatan sah’ pada malam sambutan hari kemerdekaan dan tahun baru.

Walaupun berterima kasih atas kenyataan terus terang Pengarah JPN Terengganu ini, tetapi mohon diteliti, kenapa beliau masih menggunakan istilah ‘berpesta seks tanpa nikah’?

Kenapa tidak digunakan saja istilah ‘berzina’ kalimah yang digunakan oleh Allah yang nyata bunyinya saja sudah mengambarkan kedahsyatannya belum lagi disebut hukuman yang menunggu pelakunya.

Sesiapa yang memerhatikan suasana menyambut tahun baru di Bandaraya Warisan Pesisir Air, Negeri Cantik Budaya Menarik memang sama sekali tidak meragui ketepatan kenyataan ini.

Ironinya, statistik yang mengerunkan ini tidak sama sekali mengubah agenda kerajaan negeri serta tidak pernah berubah dan tidak akan berubah melainkan diubah kerajaan Umno yang memerintah.

Dengan Datuk Bandar Kuala Terengganu, Azlan Dagang menunjukkan contoh terbaik kepada anak-anak muda dengan lagak ‘semakin tua semakin menjadi’, bergedik-gedik bersama orang-orang muda mengira 'final countdown' kononnya menutup tirai 2010 dan menyambut kedatangan 2011.

Malam yang bertukar menjadi malam pesta muda mudi, mat rempit bermaharajalela, pasangan kekasih memadu kasih, pondan dan khunsa berkeliaran, perzinaan lantas akhirnya lihatlah statistik yang ‘membanggakan’ ini. Negeriku, Terengganu Darul Iman.

Kenyataan Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Terengganu itu juga menyebut, jumlah kelahiran anak tidak sah taraf itu dicatatkan di sembilan pejabat JPN membabitkan bayi pelbagai agama daripada pasangan warganegara dan bukan warganegara, tetapi sebagaimana yang saya tegaskan, adalah tidak mengejutkan apabila dinyatakan bahawa majoritinya bayi tersebut dilahirkan daripada ibu beragama Islam. Sekali lagi, negeriku
Terengganu Darul Iman.

Sebelum ini agensi berita Bernama melaporkan Terengganu mencatatkan jumlah penagih dadah paling ramai di negara ini dengan 10,000 tangkapan dicatatkan sepanjang tahun 2009.

Kenyataan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik negeri, Supritendan Roslan Abd Wahid dipetik sebagai berkata, berdasarkan jumlah penduduk seramai 1.2 juta di negeri ini, nisbah penagih dadah ialah seorang daripada 100 penduduk.

10,000 tangkapan dilakukan di Terengganu sepanjang tahun 2009 adalah yang tertinggi di Malaysia kemudian diikuti dengan Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.

Saya tidak ingin mengulas lebih lanjut mengenai statistik dan angka tetapi ingin melontarkan suatu persoalan umum bahawa setelah meneliti semua ini, masih belum sampaikah lagi masanya untuk kita kembali kepada Islam setelah terpampang di hadapan mata kegagalan sistem manusia, ataupun kita ingin melihat berlakunya kerosakkan yang lebih parah dan lebih parah lagi...

Kenyataan yang tidak dapat disangkal bahawa Islam datangnya daripada Allah sekaligus bererti Islam adalah sempurna dan tidak dicemari sebarang unsur kecacatan, kejahilan, hawa nafsu dan kezaliman. Sebabnya cukup jelas iaitu sifat-sifat pencipta sentiasa membayangi hasil ciptaanNya. Allah memiliki sifat sempurna pada zatNya, sifatNya dan perbuatanNya.

Kesempurnaan ini akan mempengaruhi setiap undang-undang, dasar dan sistem yang diciptaNya. Jadi sudah tentu semua undang-undang, sistem dan dasar itu juga sempurna.

Berlainan sama sekali dengan manusia yang diciptakan kerana manusia tetap sebagai makhluk yang serba kekurangan dan kelemahan. Kesemua sifat ini sebati dengan manusia dan tidak mungkin dapat dipisahkan. Kesemua kekurangan dan kelemahan ini akan mempengaruhi setipa ciptaan manusia termasuklah undang-undang dan sistem hidup.

Kembali kepada Islam adalah jalan penyelesaian terbaik. ------------------
www.drazmanibrahim.com

Posted by Sulam Kaseh on 18:48. Filed under . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. You can leave a response or trackback to this entry

0 comments for "WAHAI PUTERIKU SAYANG!!!"

Leave a reply

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...