Impikan rumahtangga Syurga tanpa kehilangan CINTA..

Sekiranya di minta untuk memilih antara dua, ummi tetap dengan pendirian ummi!.. inginkan kedua - duanya tanpa kehilangan salah satu.. antara kemewahan dan keselesaan hidup dengan kemesraan dan keharmonian dalam rumahtangga?.. Sudah pasti anda juga ingin kan kedua - duanya kan?.. tidak ingin melepas kan salah satu darinya, bukan kerana tamak.. tetapi itulah hakikatnya manusia.. sentiasa ingin kan yang terbaik untuk dirinya dan kehidupannya..

Ingin ummi kongsikan di sini, satu garapan yang menarik dari Ust Pahrol agar kita berfikir dan muhasabah kembali mengenai kehidupan yang sedang kita lalui sekarang. Di pihak manakah kita?.. adakah tergolong di kalangan mereka yang terlalu mengejarkan kemewahan dan keselesaan hidup, tanpa menghiraukan rumahtangga yang telah terbina sekian lama, ataupun mereka yang hanya selesa dengan kehidupan yang sederhana tanpa kehilangan Cinta di dalam rumahtangga, ataupun berada di dalam golongan yang sentiasa untuk memenuhi kedua - dua tuntutan tersebut?..

Hanya mereka yang sudah berumahtangga sahaja yang mampu menilai kembali corak kehidupan yang sedang mereka lalui sekarang, dan hanya diri kita sendiri yang mampu memberikan jawapan kepada soalan yang ditujukan..

Apapun, ummi sentiasa berharap sekiranya kita terkurang di mana - mana, perlulah kita kembali kepadaNya.. kerana hanya dariNya kita datang, dan kepadaNya juga kita akan kembali untuk selamanya. Hakikat hidup di dunia ini hanyalah sementara dan keluarga dan kehidupan yang kita punya sekarang ini, adalah salah satu mehnah yang Allah berikan agar dapat di jadikan penilaian kepada diri kita supaya sentiasa bertakwa kepadaNya Yang Esa..

Doa yang tidak pernah pudar, agar Allah mengampunkan segala silap dan salah kami, dan menempatkan kami di kalangan orang - orang yang senantiasa beriman dan bertakwa kepadaNya.. dan, kembali kepadaNya dalam keadaan yang husnul khotimah.. kami sentiasa mengimpikan rumahtangga Syurga, dan ianya nya akan berkekalan hingga ke Syurga.. tanpa kami perlu menggadaikan sebuah cinta.. Ameen Ya Rabbal Alamin..

Wallahua'lam.
Ummi ~ 03 March 2011

-----------------------------

Ketika kedua suami isteri itu baru berpindah ke bandar, hidup mereka penuh ceria. Penuh dengan gurau mesra. Ada masa makan bersama, ada masa solat berjemaah bersama. Walaupun pendapatan masih kecil kerana perniagaan yang mereka usahakan belum menjadi, tetapi mereka mengharungi kehidupan dengan seadanya. Sikap saling memahami dan bertimbang rasa jelas terpancar. Di kejauhan malam atau pada awal pagi sudah kedengaran suara mereka berdua bergurau dan berbual dengan mesranya.


Minggu demi minggu, bulan demi bulan dan akhirnya beberapa tahun mula berlalu. Perniagaan kecil-kecilan yang diusahakan dahulu semakin maju. Untuk menguruskan perniagaan yang semakin berkembang, suami adakalanya pulang lewat petang. Manakala siisteri yang juga memulakan pernigaannya sendiri pun semakin sibuk.


Anak-anak pun semakin jarang bertemu dan berbual mesra dengan mereka berdua. Namun, alhamdulillah keadaan ekonomi keluarga bertambah baik. Mereka telah berpindah dari rumah yang sempit ke rumah yang lebih luas. Sekarang keluarga itu telah memiliki kereta yang besar. Bukan sebuah, tetapi dua buah – sebuah untuk suami, sebuah lagi untuk isteri.


Entah kenapa, kemesraan yang dahulu semakin hilang. Suami semakin leka dengan kawan-kawan seperniagaan dan pelanggannya. Manakala siisteri juga sibuk mempromosi produk jualannya. Solat berjemaah, makan berjemaah yang dulunya menjadi tradisi semakin jarang dilakukan. Apatah lagi untuk melihat suami memberi sedikit tazkirah untuk anak-anak dan kemudian keluarga itu saling bermaafan bersama seperti dahulu… hampir tidak pernah lagi.


Benarlah kata bijak pandai, apabila kita mendapat sesuatu, maka pada masa yang sama kita akan kehilangan sesuatu. Kita tidak akan dapat kedua-duanya pada satu masa. Justeru, pesan bijak pandai lagi, pastikan apa yang kita dapat lebih berharga daripada apa yang kita hilang.


Keluarga tadi mendapat apa yang mereka cari – kemewahan dan keselesaan hidup, tetapi pada masa yang sama mereka sudah hilang kemesraan dan keharmonian dalam kehidupan berumah tangga.

Jika ditanyakan kepada hati nurani kita yang paling dalam, antara keduanya yang mana lebih berharga? Kemewahan hidup atau kerukunan rumahtanga? Tentu kita akan menjawab, kerukunan rumahtangga. Bukankah kita mencari rezeki dan segala kemewahan hidup untuk membina sebuah keluarga yang bahagia?


Jika sisuami ditanya, untuk apa kamu bertungkus lumus bekerja siang dan malam? Tentu jawabnya, kerana isteri ku! Begitulah juga jika ditanyakan kepada siisteri, tentu jawabnya kerana suami. Dan jika ditanya kepada kedua ibu-bapa itu, untuk apa mereka berusaha, nescaya kita akan dapat jawapannya… demi anak-anak.


Malangnya, mereka dan kita sering tertipu, betapa ramai yang melupakan isteri, meminggirkan suami dan mengabaikan anak-anak semasa mencari kemewahan dan keselesaan hidup? Kita sering terlupa yang kemewahan hidup – harta, rumah, kereta dan sebagainya bukan matlamat tetapi hanya alat dalam kehidupan ini. Kita memburu alat untuk mencapai matlamat. Ertinya, harta dan segalanya itu adalah untuk membahagiakan rumahtangga kita. Begitulah sewajarnya.


Namun, apa yang sering berlaku adalah kita sering tertukar. Alat jadi matlamat, matlamat menjadi alat. Kebahagian rumahtangga sering jadi pertaruhan dan acapkali tergadai dalam keghairahan kita memburu kemewahan hidup. Kita berkerja demi anak-anak, anehnya anak-anak kita abaikan semasa bertungkus lumus bekerja. Kita tidak sedar. Kita terus memburu dan memburu.


Bangun dari tidur, berkemas dan terus bekerja. Hampir senja baru pulang. Tidak cukup dengan itu ada lagi kerja yang kita bawa pulang ke rumah. Tidak cukup lagi, kita keluar pula bertemu pelanggan dalam kerja-kerja ‘part time’. Begitulah kita hari demi hari, minggu demi minggu, bulan demi bulan dan akhir bertahun-tahun.

Tiba-tiba kita tersentak, mengapa kita sudah jarang menikmati senyum dan gurauan isteri? Mengapa kita sudah jarang mendapat sentuhan dan belaian suami? Mengapa ketawa dan gurau senda sudah semakin hilang dalam rumah tangga?


Pada ketika itu, hati yang degil masih mampu memberi alasan. Aku sibuk. Aku sedang mengejar kejayaan dalam profesionalisme. Sedikit masa lagi, perniagaan ku semakin menjadi. Nantilah, bila segalanya sudah stabil aku akan kembali serius membina keharmonian keluarga. Nantilah, aku akan ini, aku akan ini…

Begitulah selalunya diri kita memberi alasan. Hati memberi justifikasi yang bukan-bukan. Dan kita terus selesa dengan alasan, biarlah suami, isteri atau anak-anak berkorban sementara, nantilah kita akan bahagia!


Jangan keliru. Bahagia itu bukan hanya di hujung jalan tetapi bahagia itu ada di sepanjang jalan. Temuilah bahagia ketika kita mencarinya. Carilah bahagia yang di sepanjang jalan itu dengan menggenggam rasa cinta sentiasa dan selamanya.


Carilah harta, tetapi genggamlah cinta. Carilah kemewahan hidup tetapi peluklah cinta itu sekuat-kuatnya. Jangan diabaikan cinta itu walau sekelip pun. Maknanya, tunaikanlah hukum-hukum cinta dalam apa jua pun keadaan.


Antara hukum cinta yang paling diutamakan adalah: Cinta itu memberi, cinta itu mendengar, cinta itu berkorban, cinta itu tanggungjawab, cinta itu mendoakan dan cinta itu memaafkan. Contohnya, jangan kesibukan menyebabkan kita jarang lagi memberi masa, perhatian, senyuman, nasihat dan doa kepada pasangan kita. Jangan hanya mengucapkan kalimah-kalimah cinta yang bersifat ‘kosmetik’ semata-mata. Tetapi luahkan dalam bentuk perbuatan dan tindakan yang dapat dilihat dan dirasakan.


Dan paling penting, jangan sekali-kali diabaikan cinta suci yang menghubungkan cinta antara suami dan isteri. Cinta itu adalah cinta Allah! Jagalah cinta kita kepada Allah, insya-Allah, Allah akan terus menyuburkan cinta kita suami isteri. Allah akan berikan hidayah dan taufik ke dalam hati kita untuk terus berpegang pada matlamat.


Kita akan sentiasa beringat bahawa dunia dan segala isinya ini hanya alat untuk memburu cinta Allah. Dan hanya dengan memburu cinta Allah maka cinta kita sesama suami isteri akan dikekalkan-Nya.


Dunia ini umpama lautan, ramai orang yang memburunya ditenggelamkan. Dunia ini menipu daya, ramai pula manusia yang ditipunya. Betapa ramai orang yang memburu dunia dengan menggadaikan sesuatu yang menjadi miliknya yang sangat berharga. Iman, kasih saying, cinta sering dilemparkan orang dilitar perlumbaan memburu dunia.


Dunia tidak salah, selagi kita memburunya dengan niat untuk beribadah. Kita jadikan dia alat untuk memburu kebahagiaan akhirat. Jadilah dunia umpama kebun yang kita pugar, kita bersihkan dan kita tanam dengan pohon-pohon kebaikan yang hasilnya kita tuai di akhirat. Jadilah dunia umpama jambatan yang kita lalui. Pastikan ia teguh, kukuh tetapi kita tidak akan berlama-lama di situ… ia hanya jambatan. Tidak ada orang yang membina rumah di atas jambatan. Rumah kita yang hakiki ialah di syurga.


Jika ada rasa-rasa itu di dalam jiwa ketika kita memburu karier, kejayaan dalam perniagaan dan apa jua aktiviti keduaniaan, insya-Allah cinta dan kasih sayang tidak akan diabaikan. Orang yang ada di dalam hatinya cinta Allah, sentiasa ada ruang yang lapang untuk mencintai sesama manusia lebih-lebih lagi suami, isteri dan anak-anaknya.


Dengan cinta itu kita akan menyelamatkan semua keluarga kita daripada neraka akhirat. Dan neraka di akhirat itu hanya akan dapat kita hindari jika kita berjaya menyelamatkan diri dan keluarga kita daripada neraka dunia.


Apakah neraka dunia itu? Nereka dunia itu ialah hilangnya kasih sayang di tengah-tengah rumah yang besar. Pudarnya cahaya wajah dan ketenangan hati di tengah sinar lampu yang beribu-ribu ringgit harganya di tengah ruang tamu rumah yang besar itu. Dan hambarnya perbualan di dalam kereta mewah yang sering bertukar ganti. Yang ketawa ria ialah pelakon-pelakon di dalam filem yang kita tonton, tetapi hati kita semakin kosong, gersang dan sayu entah apa puncanya!


Lihatlah Rasulullah saw. Betapa sibuknya bagainda… tetapi masih ada masa berlumba lari bersama Aisyah isterinya. Betapa besar perjuangannya… tetapi masih mampu meluangkan masa bersama isteri yang hendak melihat tarian dan permainan pedang di suatu Hari Raya. Ketika baginda kaya, dikorbankannya harta… kerana baginda tidak kehilangan cinta. Ketika baginda miskin… dihadapinya dengan sabar kerana di dalam hatinya tetap ada cinta. Baginda tidak pernah kehilangan cinta kerana di dalam hatinya ada cinta yang lebih besar… cinta Allah!


Justeru, intai-intailah semula cinta di dalam rumah tangga kita. Masih bersinar atau sudah pudar? Jika sudah pudar, ayuh muhasabah kembali di mana puncanya? Apakah yang kita garap hingga kita sanggup menggadaikannya?


Ayuh, lihat kembali ‘di mana Allah’ dalam rumah tangga kita? Di mana solat jemaah, di mana zikir, di mana tazkirah, di mana sadakah, di mana bacaan Al Quran… Di manakah semua ‘ayat-ayat cinta’ itu dalam rumah yang mungkin sudah semakin luas, kereta yang semakin mahal, makanan yang semakin lazat, tabungan kewangan yang semakin banyak?


Dan pandang wajah isteri, renung wajah suami… tatap lama-lama. Bila kita terakhir kita bertentangan mata dalam keadaan yang paling tenang, harmoni dan syahdu? Sekali lagi bila? Bukankah mata itu jendela bagi hati. Pertautan mata petanda pertautan hati?


Atau kita hanya melihat sekadar imbasan, tolehan dan pandangan, tanpa ada rasa cinta, kasih, mesra, kasihan, simpati, empati dan lain-lain perisa hati? Apakah kita secara tidak sedar telah bertukar menjadi ‘haiwan berteknologi’ dalam belantara dunia meterialisma yang semakin ketandusan cinta?


Lalu, di kejauhan destinasi ketika sibuk menguruskan kerja atau perniagaan, sudi apalah kiranya suami atau isteri menghulurkan gugusan doa-doa yang paling kudus untuk pasangannya? Atau ketika dia pulang nanti, kita sapa tangannya dan bersalam penuh mesra lantas berdakapan dengan hati yang terus berkata-kata, “inilah teman ku di dunia untuk menuju syurga!” Inilah yang semakin hilang dalam rumah tangga kini.


Kita memburu tanpa sedar bahawa kitalah yang sebenarnya diburu. Diburu oleh kesibukan yang tiada penghujung, keresahan yang tiada penawar. Kekosongan yang tidak dapat di isi. Kerana hati tanpa cinta… adalah hati yang mati!


Carilah cinta kita yang hilang. Insya-Allah kita akan temuinya semula cinta itu di tempat, suasana dan masa ketika kita mula-mula menemuinya dahulu. Bukankah kita bertemu kerana Allah? Bukankah yang menyatukan kita kalimah-Nya? Bukankah tempat termaktubnya lafaz akad dan nikah di rumah Allah? Kembalilah ke sana.

Carilah kekuatan itu semula. Tidak ada manusia yang terlalu gagah untuk hidup tanpa-Nya. Dan tidak ada hati yang paling waja hingga mampu bertahan terhadap tipuan dunia tanpa cinta. Renunglah mata isteri atau suami mu, carilah cinta itu di situ. Masih ada? Atau telah tiada?


Dan kemudian genggam erat tangannya. Mari kita cari semula cinta yang hilang itu bersama-sama!


DIKEJAUHAN INI

Sayang… di kejauhan ini

Ku sentuh hatimu dengan rasaku

Debarnya debar cinta

Denyutnya denyut setia

Ku usap air matamu yang jernih

Dengannya ku sulamrasa kasih

Kutatap matamu yang duka

Di situ kutemui makna rela

Sayang.. dikejauhan ini

Ku sapa salam setiamu

Ku sambut senyum mesramu

Onak, duri dan jeriji besi ini

Tak kan menghalang bicara

… rasa kita berdua

Sayang, sayang, sayang,

Semakin terpisah…

cinta kita semakin indah

Semakin jauh…


kasih kita semakin kukuh

Kita boleh hilang segalanya

Namun kita tidak mampu kehilangan cinta!
-----------------------------------------
Genta Rasa



Satu impian


Semua orang impikan sebuah keluarga dan rumahtangga yang bagaikan Syurga. Alangkah indah dan bahagianya jika ia terjadi di dalam realiti hidup.


Ada hiburan


Di dalam rumahtangga Syurga ada segala-galanya. Di sana ada iman, ada akhlak mulia yang menceria dan mencahayakan rumahtangga bak bunga yang kembang di taman di waktu pagi.


Melihat isteri tenang hati kerana kesetiaannya. Melihat suami terasa senang hati kerana sifat bertanggungjawabnya. Melihat ibu ayah terasa kenyang, jiwa yang kosong terasa terisi. Ketiadaan seseorang dari anggota keluarga terasa kehilangan dan kekosongan.


Rindu merindui satu sama lain, kerana adanya mereka di tengah keluarga menyelesaikan masalah. Melihat anak-anak terasa sejuk hati, kerana mereka mendengar kata dan hormat ibu bapa.


Tiada krisis


Di Rumahtangga Syurga itu, tiada kata nista, tiada cakap-cakap yang menyakitkan hati, tiada bertekak, bertegang urat atau kata mengata, tiada tuduh menuduh, maki hamun, cerca mencerca dan cakap lucah. Tiada gaduh dan sengketa, pukul memukul, tumbuk menumbuk, terajang menerajang.


Membesarkan Allah


Yang ada di Rumahtangga Syurga itu, terserlah kebesaran Allah Taala, hasil mereka membesarkan Allah melalui solat berjemaah, qiamulail, membaca Al Quran, tasbih, Tahmid, kuliah-kuliah Islam untuk keluarga. Makan bersama, bekerjasama, ingat mengingat satu sama lain. Inilah rumahtangga Islam.


Hasil perjuangan


Rumahtangga Syurga adalah hasil perjuangan dua insan yang berkahwin kerana cita-cita menegakkan Islam. Demi kemegahan Islam bukan kemegahan peribadi. Inilah Syurga waktu sebelum Syurga yang menunggu. Inilah Syurga yang disegerakan sebelum Syurga yang kekal abadi.
Sumber : Nota Hamba Allah

Posted by Sulam Kaseh on 23:07. Filed under . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. You can leave a response or trackback to this entry

0 comments for "Impikan rumahtangga Syurga tanpa kehilangan CINTA.."

Leave a reply

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...