'Sonki Yadam' ~ Masjid bernama "Seolah-olah Aku Telah Makan"



-Masjid kecil yang terletak di Fateh, Istambul ini mempunyai nama yang pelik iaitu 'Sonki Yadam' dalam sebutan bahasa Turki yang membawa maksud "seolah-olah aku telah makan".
-Namun di sebalik namanya yang pelik, ia mempunyai kisah tersendiri yang menarik.
-Dalam buku bertajuk "Perkara-perkara Yang Menakjubkan Dalam Sejarah Uthmaniah" karangan Aurkhan Mohd Ali, beliau mengisahkan :
Pada masa dahulu terdapat seorang lelaki yang wara' bernama Khairuddin Afandi yang tinggal di kawasan ini. Dikisahkan bahawa apabila setiap kali beliau melalui kawasan pasar dan ingin membeli buah-buahan, daging atau manisan, beliau akan berkata pada dirinya sendiri : 'Sonki Yadam' iaitu bermaksud "seolah-olah aku telah makan" lalu menyimpan wang dalam bakulnya dan berlalu tanpa membelinya.

Maka berlalulah masa bulan demi bulan hinggalah tahun demi tahun, beliau tetap melakukan sedemikian rupa setiap kali melalui kawasan pasar. Hal ini kerana beliau menahan dirinya daripada menikmati kelazatan makanan dan bercukup ala kadar dalam hidupnya. Akhirnya wang yang dikumpulkan dalam bakul itu cukup untuk membina sebuah masjid kecil di kawasan penempatannya.

Apabila penduduk di situ mengetahui kisah lelaki itu, maka mereka pun menamakan masjid itu sebagai 'Sonki Yadam'.

-Masjid ini hanya mempunyai 4 dinding dan 2 menara azan. Walaupun binaannya begitu, ia tidak pernah sunyi daripada solat berjemaah oleh penduduk di situ. Di sekeliling masjid ini juga terbentang rumput-rumput hijau yang segar hingga membolehkan orang untuk solat di mana sahaja. Inilah berkat dan rahmat dariNya Yang Maha Esa bagi sebuah masjid yang dibina atas dasar takwa.

~Sollu 'alan Nabi صلى الله عليه وسلم~

via : Muhammad Syafiq

Posted by SulamKaseh on 20:16. Filed under , , . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. You can leave a response or trackback to this entry

0 comments for "'Sonki Yadam' ~ Masjid bernama "Seolah-olah Aku Telah Makan""

Leave a reply