Kemanisan iman

Mengapa soal hati sangat penting? Hati adalah kuasa penggerak dalam diri manusia. Jika hati dikuasai kebenaran, nescaya ia akan menjana kebaikan. Sebaliknya, jika hati dipenuhi kebatilan, ia akan melahirkan kejahatan. Hati yang dipenuhi kebaikan dan kebenaran ialah hati yang berkualiti. Ia mampu menghadapi apa juga cabaran atau masalah dalam hidup. Manakala hati yang dikuasai kejahatan dan kebatilan ialah hati yang lemah. Ia akan goyah menghadapi masalah dan cabaran dalam hidup.
Apabila hati tidak berkualiti, segala yang dilihat, difikir, dirasa dan dibuat serba tidak kena dan tidak puas. Yang kaya, berkuasa dan ternama akan terus memburu kekayaan, keseronokan dan hiburan sehingga sanggup menempuh jalan yang salah untuk mencapai maksud yang tidak pernah puas. Mereka ini umpama meminum air laut, makin diminum semakin haus. Atau memburu fatamorgana – bahang yang sangat panas disangka air.
Lihat sahaja Presiden Hosni Mubarak (Mesir), Zainal Abidin bin Ali (Tunisia) dan terkini Muammar Gaddafi (Libya) yang tidak cukup-cukup dengan kuasa. Atau Tiger Woods yang tidak cukup-cukup dengan wanita. Hakikatnya, berjaya mencapai kekuasaan, kekayaan, kecantikan dan lain-lain tanpa kualiti hati (iman) hanya akan menjerumuskan manusia kepada rasa kekosongan, kemurungan dan kebosanan. Inilah yang menyebabkan berlakunya perzinaan, rasuah, ketagihan dadah, alkohol dan sakit jiwa dalam kalangan individu-individu yang kaya, jelita, berkuasa dan sebagainya.
Apabila kualiti hati rendah, nikmat yang banyak terasa tidak cukup. Akibat tidak bersyukur, bersabar, qanaah dan redha, diri akan diperhambakan oleh hawa nafsu dan syaitan ke arah kejahatan. Sebaliknya, hati yang kuat mampu mengawal nafsu (kehendak biologi, seksologi dan fisiologi) umpama burung yang menerbangkan sangkarnya. Manakala, hati yang lemah sentiasa terkurung oleh kehendak nafsu, ibarat burung yang terkurung di dalam sangkarnya.
Hati yang kuat akan memandang segala-galanya secara positif, mentafsirkannya secara positif dan bertindak secara positif. Inilah yang sering disebut oleh pakar motivasi sebagai berfikir secara positif. Dan apabila kita berfikiran positif, segala yang positif akan tertarik kepada kita. Inilah yang disebut sebagai hukum tarikan (law of attractions) dalam kehidupan.
Apa yang kita yakini dalam hati menentukan sudut pandang (world view) kita seterusnya mempengaruhi sistem nilai, sikap serta kelakukan kita. Orang yang memiliki hati yang tenang (hasil keimanannya kepada Allah) akan melihat segala yang berlaku dari sudut pandangan aqidah (tauhidic mindset), lantas sistem nilainya mengikut perspektif Allah dan Rasul-Nya. Nilai ini akan mempengaruhi sikapnya. Ia akan menjadi seorang Mukmin yang segala kelakukannya berpandukan syariat dan akhlak Islamiah.
Orang Mukmin itu memiliki keajaiban dalam kehidupan. Apabila mendapat nikmat, dia akan bersyukur. Apabila ditimpa musibah, dia mendapat hikmah. Semuanya dirasakan indah belaka kerana dia sudah mendapat “halawatul iman” (kemanisan iman). Kemanisan iman itulah yang akan mencukupkan segala macam bentuk keperluan manusia sama ada keperluan dalam bentuk kebendaan, pemikiran, perasaan dan kejiwaan.
Apa itu kemanisan iman? Ia adalah satu rasa tenang, bahagia dan aman dalam jiwa seseorang hasil keyakinannya yang tinggi kepada Allah, al-kitab, rasul dan lain-lain rukun iman. Ia adalah kemanisan yang bersifat maknawi yakni tidak dapat dirasai dengan pancaindera tetapi hanya dapat dirasai oleh hati. Orang yang telah merasai kemanisan iman akan merasai keindahan dalam melakukan ketaatan dan bahagia ketika meninggalkan kejahatan. Apabila musibah melanda, mampu sabar dan redha. Bahkan dia sanggup mati demi menemui kecintaan-Nya (Allah).
Tidak ada rasa sukar, penat, bosan, rugi dan lain-lain dalam diri orang yang telah merasai kemanisan iman. Ia sesungguhnya mengatasi segala kemanisan duniawi. Mereka yakin bahawa apa-apa jua yang ditakdirkan oleh Allah adalah baik belaka. Dan hasil keyakinan itu mereka mampu menukar segala yang buruk menjadi kebaikan, segala kekurangan menjadi kelebihan, segala yang pahit menjadi penawar dan segala yang kotor menjadi bersih dan jernih. Dalam jiwa mereka seolah-olah ada penapis yang mampu menapis segala yang negatif menjadi positif.
Jika iman (kalimah syahadah) itu diumpamakan oleh Allah sebagai pohon yang baik, maka kemanisan iman adalah rasa pada buah yang telah masak ranum, terhasil oleh kesuburan pohon yang telah berbatang, berdahan, berdaun dan berbuah itu. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud: “Tidakkah kamu perhatikan bagaimana Allah telah membuat perumpamaan kalimat yang baik seperti pohon yang baik.” (Surah Ibrahim 14: 24)
Kemanisan iman berkadar terus dengan kesempurnaan iman dalam hati sanubari seseorang. Semakin sempurna, teguh dan kukuh iman seseorang, maka semakin manislah iman itu dirasai olehnya. Oleh sebab itu, bukan semua orang yang mengakui beriman dapat merasai kemanisannya. Ini kerana iman itu bukan dengan kata-kata ataupun angan-angan tetapi ia diperkukuhkan dengan perbuatan dan pengorbanan.
Sudah menjadi kewajipan setiap orang Islam memburu kemanisan iman. Ia perlu dijadikan agenda utama dalam hidup mengatasi segala-galanya. Bahkan jika disedari, pemburuan untuk merasai kemanisan iman ini adalah agenda seumur hidup. Kita hidup dengan iman, kita mati dengan iman dan kita pinta masuk ke dalam syurga dengan iman. Namun, mana mungkin kita boleh melakukan segala-galanya itu jika iman terasa pahit, pedih dan perit. Hanya orang yang rasa manis dengan iman sahaja yang mampu hidup dan mati bersamanya!
Apabila seseorang mencintai Allah, maka Allah akan mencintainya. Dan apabila seseorang dicintai Allah, maka hidup dan matinya akan dipermudahkan oleh Allah. Seluruh energi alam akan
menyebelahinya. Dalam hadis qudsi, Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:
“Jika Allah mencintai seorang hamba, maka Allah akan berfirman: ‘Wahai Jibrail, Aku mencintai seorang hamba, maka cintailah dia.’ Kemudian Jibrail memanggil penduduk langit dan berkata: ‘Sesungguhnya Allah mencintai si polan, maka cintailah dia.’” (Riwayat Ahmad daripada Abu Hurairah)

Sumber : Genta-rasa.com

Posted by Sulam Kaseh on 00:39. Filed under , . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. You can leave a response or trackback to this entry

0 comments for "Kemanisan iman"

Leave a reply

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...