Kesinambungan Iktibar banjir dan belajar bersanad

بسم الله الرحمن الرحيم

📓PERLUKAH BELAJAR CARA BERSANAD?📓

🌐MUQADDIMAH

🍀Sepanjang peristiwa banjir ini, banyak pengajaran yang boleh kita ambil, sementelah banyak berita dan maklumat palsu yang diterima, kemudian terus disebarkan.

Dari Kelantan diisytihar darurat, orang hilang belum ditemui dikatakan sudah diuruskan jenazahnya, sehinggalah tersebar nombor ahli penyelamat, yang rupa2nya mereka adalah mangsa banjir. Begitu pantas sampai ke pengetahuan orang ramai. Sekali butang 'send' ditekan, ia umpama arus banjir yang deras, tak dapat ditahan2 lagi.

Asalnya perlu berhati-hati ; menyaring mana yang betul, mana yang palsu. Namun hal ini dilupakan, kerana masing-masing merasakan dia sedang membantu dengan menyebarkan.

Walhal, kepalsuan maklumat yang tersebar itu, sebenarnya semakin menambahkan beban. Paling kurang, orang berpusu kepada maklumat palsu, dan meninggalkan maklumat yang benar.

Tidak kurang ada yang menyebarkan dalam keadaan tidak pasti, dengan harapan orang yang menerima nanti dapat menyemaknya sendiri.

🍀Begitulah juga situasi dan sebab timbulnya hadith palsu. Ada yang suka-suka, ada yang berkepentingan, ada juga yang tidak tahu menahu, tetapi ingin berbuat kebajikan tanpa dipandu ilmu.

Yang penting, kita tahu, ada orang yang memulakannya. Jika ada orang sanggup menipu atas nama nabi saw, tentulah ada orang yang sanggup buat perkara yang sama atas nama orang lain.

Namun, menipu atas nama nabi saw tidak sama dengan menipu orang lain. Menipu atas nama nabi saw boleh merosakkan agama, maka perbuatan itu bererti menempah awal-awal tempat duduk dalam neraka.

Demi mempertahankan agama, amanah terhadap maklumat dan ilmu, maka ulama' dahulu menapis dengan segala daya upaya setiap satu hadith yang diterima. Bermusafir ribuan batu, adakalanya, hanya kerana ingin mendapatkan satu hadith sahaja, daripada orang yang betul-betul mendengarnya, yang juga menerimanya daripada orang yang betul-betul amanah.

🌐HIKMAH SANAD

🍀Itulah hikmahnya hadith2 nabi saw sampai kepada kita dengan sistem sanad.

Maksudnya, ada rantaian lengkap perawi ataupun pelapornya, hingga sampai kepada Nabi saw. Tujuannya ialah memastikan hadith-hadith nabi saw disampaikan oleh orang yang amanah dan cukup syarat, bagi memastikan hadith benar2 berlaku, ataupun nabi saw benar2 menyebut hadith itu.

Ulama' mencatat dengan lengkap maklumat peribadi yang berkaitan bagi setiap perawi dalam sanad itu, malah membukukannya.

Keperibadian seseorang perawi mempengaruhi rantaian sanad.
Hadith, jika diambil daripada orang yang tidak dikenali, ataupun yang ada kecacatan peribadi, ia sudah dikira sebagai hadith yang daif.
Sanad menjadi lemah apabila perawinya tidak cukup syarat, ataupun tidak dikenali (Sekadar menyebut secara ringkas sebagai contoh)

🍀Namun, sanad juga boleh dicipta oleh orang yang tidak bertanggungjawab. Seperti situasi banjir tadi ; reka sesuatu berita, kemudian sandarkan kepada sumber yang berautoriti.
Bermakna, belum tentu sanad sahih, hadith pun sahih. Ada penilaian lain pula bagi menentukan dan menyaringnya.

🍀Adakalanya juga seseorang perawi/pelapor itu jujur, tetapi dia mungkin keliru. Mungkin juga laporannya agak janggal, berbanding laporan perawi2 yang lebih baik daripadanya.

Semua itu diambil kira oleh para ulama' hadith dalam menentukan kedudukan sesuatu hadith. Mereka sangat teliti dalam disiplinnya, dan kerja itu rumit, memerlukan taqwa dan kepakaran yang tinggi.

Itulah antara warna-warni disiplin ilmu hadith, yang telah Allah tentukan bagi menjaga sumber syariat Islam kedua itu.

🍀Adapun al-Quran, ia tidak lagi memerlukan sistem sanad agar terpelihara, kerana Allah swt telah menjaminnya menerusi ayat :

( إِنَّا نَحْنُ نَزَّلْنَا الذِّكْرَ وَإِنَّا لَهُ لَحَافِظُونَ )

Maksudnya : "Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan al-Quran, dan Kamilah yang memelihara dan menjaganya."
Surah al-Hijr, ayat 9.

🌐APABILA HADITH SUDAH DIKUMPUL DAN DIBUKUKAN

🍀Katakan begini :

Apabila sesuatu berita/kenyataan sudah terpampang pada 'official website', ataupun website rasmi sesebuah agensi/pertubuhan, maka ia tidak dipertikaikan lagi. Itulah rujukan utama dan terpenting. Tidak perlu lagi kita persoalkan, siapakah yang menyebarkannya.

Kalau ada kritikan ataupun pembetulan sekalipun, ia berada di sekitar maklumat dalam website itu sahaja. Jelas dan telus.

Setelah hadith2 nabi saw (beserta dengan sanadnya) dibukukan secara sistematik oleh para ulama', maka ia umpama website rasmi (sekadar memudahkan pemahaman) yang menjadi rujukan. Boleh dikaji, dipelajari, dan boleh mengajarkannya, oleh guru yang cukup syarat2nya, dengan disiplinnya.

🍀 Sanad, dari sudut hikmahnya, telah terhenti pada kitab2 hadith primer seperti Sahih Bukhari, Sahih Muslim, Sunan Abi Daud, Jami' al-Tirmidhi dan lain2. Kita boleh belajar daripada kitab2 itu tanpa cara bersanad, walaupun rantaian sanad, bermula dari Rasulullah saw sampai kepada ulama' yang menyusunnya, memang ada didalamnya. Guru boleh mengajar, apabila dia berilmu dan tahu disiplinnya, tanpa perlu cara bersanad.

Seringkali juga orang yang belajar tidak bersanad lebih memahami dan menghayati maksud sesuatu hadith, berbanding orang yang menerima hadith secara bersanad.

🍀 Ilmu tentang sanad dan maklumat tentang para perawinya, semuanya telah termaktub dalam senarai kitab-kitab yang ada dalam disiplin ilmu hadith. Demikian caranya hadith terpelihara daripada sebarang penipuan insan terdahulu, mahupun tokok tambah insan sekarang.

🌐 TRADISI PENGAJIAN HADITH SECARA KHUSUS

🍀  Ada guru yang menerima/belajar hadith secara bersanad. Namun ia sekadar meneruskan tradisi pengajian hadith, dan nilai sanad itu tidak sama seperti zaman hadith sebelum dibukukan.

Mungkin juga boleh diumpamakan sijil tambahan bagi mereka yang benar-benar mendalami bidang ilmu hadith. Ia dimaklumi oleh mereka yang menekuni bidang hadith.

🍀 Namun, ia bukan boleh didapati ataupun diberikan sewenang2nya. Bagi orang awam, tiada erti dia memilki sanad, seperti menggenggam segulung sijil,  tetapi tidak tahu selok belok sesuatu disiplin ilmu.

Malah untuk mendapat sijil asas sekalipun, seseorang itu mesti bertanya kepada mereka yang ahli dalam bidangnya. Jika tidak, dia boleh menjadi mangsa penipuan yang ada di mana-mana.

🌐 SALAH FAHAM TERHADAP SANAD DAN BERKAT

🍀 Ada juga sanad diberi dengan cara yang aneh dan meragukan. Seperti guru tertentu mendakwa boleh beri sanad, lalu orang awam pun meminta sanad daripadanya, tanpa belajar apa-apa, dengan alasan untuk mengambil berkat. Orang yang mendakwa guru itu pula didapati menyebarkan hadith2 palsu yang disandarkan atas nama nabi saw.

Jika demikian, bagaimana mungkin ia boleh mendatangkan keberkatan ilmu, ataupun membentuk jatidiri, dan apa ertinya dakwaan bersambung sanad kepada Rasulullah saw?

Orang awam tidak mampu menilai apabila seseorang mendakwa dia memiliki sanad yang sampai kepada nabi saw.

Persoalannya, sejauh mana pengajian bersanad boleh dikawal kualitinya daripada perkara seumpama ini. Sedangkan tujuan asal sanad adalah bagi menjaga kualiti.

🍀Ada juga pengajian bersanad dibuat untuk mempelajari kitab2 yang tiada kaitan dengan kitab2 hadith primer tadi. Didapati bahawa kitab yang mengandungi banyak hadith2 palsu juga diajar kepada orang awam secara bersanad. 

Apa yang berlaku bertentangan dengan dakwaan bahawa pengajian bersanad yang dibuat itu, ada yang khusus untuk peringkat tinggi dan ada yang khusus untuk peringkat awam. Sebab ramai orang menyangka, apa yang ada dalam kitab yang mereka pelajari itu mesti diterima sepenuhnya, walaupun dalam kitab itu ada hadith palsu, suatu pendustaan yang dibuat atas nama seorang utusan Allah.

Dalam hal ini, orang awam menjadi mangsa apabila mereka tidak faham erti dan tujuan sanad. Ada juga yang ingin meraih kelebihan tanpa melalui susah payah dan pahit maung usaha dalam menuntut ilmu. Tanpa perlu mendalami asas dan disiplin yang sepatutnya.

🌐BERKAT ITU JIKA SESUAI KITABNYA, JUJUR GURUNYA, IKHLAS MURIDNYA

Ada hadith nabi saw yang menyebut tentang ghibtah, iaitu irihati yang dibolehkan. Antara lain ia mengajar kita secara tersirat, agar berusaha gigih untuk mendapat kelebihan berilmu dalam Islam, dan mengikhlaskan niat kerana Allah.

Niat yang baik akan melorongkan jalan yang baik dan menghasilkan natijah yang baik. Jika hasilnya tidak diraih di dunia, Allah kurniakan di akhirat. Niat yang buruk akan menatijahkan yang buruk, jika tak nampak di dunia oleh manusia, hasilnya akan nampak di akhirat, apabila amalan yang disangka banyak dan baik menjadi debu berterbangan yang tiada nilai di sisiNya.

Tiada siapapun yang boleh melepaskan diri daripada ketetapan ini.

Maka, para ulama' kita selalu mengingatkan tentang kepentingan niat, lebih-lebih lagi niat dalam menuntut ilmu, yang merupakan gerbang pintu masuk agama seseorang. Mereka, selain membawakan ayat2 al-Quran dan hadith2 nabi saw, juga sering membawakan doa Umar al-Khattab ra sebagai panduan amalan dari sahabat nabi, iaitu :

اللهم اجعل عملي كله صالحاً،
ولوجهك خالصاً،
ولا تجعل فيه لأحد شيئاً

Maksudnya :
Ya Allah, jadikanlah amalanku ini semuanya menjadi amal soleh, ikhlas semata2 kerana-Mu, dan jangan jadikan pada amalan itu (kulakukan) kerana orang lain sedikitpun."

🍀 Bagi orang awam, malah semua orang sebenarnya, yang menjadi matlamat bukan sanad. Yang menjadi matlamat ialah :
kesahihan sesuatu ilmu yang diperolehi, agar hidup diredai Allah, agar amalan yang dilaksanakan diterima oleh Allah swt.

Itulah keberkatan, walaupun guru tidak mempunyai, ataupun tidak memberikan sanad.

🍀 Guru yang 'alim dan jujur akan memandu para pelajar mengikut kebenaran, bukan menjadi pengikutnya.

Sanad yang diberi kepada awam boleh menimbulkan salah faham yang besar terhadap disiplin ilmu dan ilmu itu sendiri.

Oleh yang demikian, sekalipun guru itu betul2 memang ada autoriti untuk mengajar secara bersanad, namun, seperti sijil akademik, ia hanya layak dan bererti kepada pelajar yang memenuhi syarat sahaja, yang telah menguasai ilmu alat yang wajib seperti nahu sarafnya, asas ilmu hadith dan tafsir, dan banyak lagi.

Guru yang cermat, didapati tidak akan memberikan sanad dengan sewenangnya. Walaupun ramai orang awam dan juga terpelajar belajar dengannya.

📝KESIMPULAN

🍀Justeru, pada pandangan kita, bagi memelihara disiplin ilmu agar tidak disalahfahami serta tidak disalahgunakan oleh orang yang tidak amanah, kita dapati fatwa berikut, yang dikeluarkan oleh
اللجنة الدائمة للبحوث العلمية والإفتاء
dibuat atas dasar dan alasan yang kukuh ;

📜📜📜📜📜

Soalan :
Apakah masih ada ulama' yang bersambung sanad pengajian mereka sampai kepada Rasulullah saw dan kepada kitab2 ulama' Islam? Tunjukkan kami nama dan alamat mereka, agar kami boleh belajar hadith serta ilmu daripada mereka.

Jawapan :

"Ada sebahagian ulama' yang mempunyai sanad pengajian yang
menyambung mereka kepada kitab-kitab sunnah. Namun ia tiada nilai kerana panjangnya sanad itu, serta ramai perawinya tidak diketahui (sejauh mana) sifat adil dan dabit mereka itu..."

اللجنة الدائمة للبحوث العلمية والإفتاء

📜📜📜📜📜

🍀 Fatwa tersebut membawa orang ramai kepada perkara yang lebih utama, iaitu kesahihan ilmu yang dipelajari dan diperolehi, supaya amalan diterima oleh Allah swt.

اللهُمَّ عَلِّمْنَا ما يَنْفَعُنا، وَانْفَعْنَا بِمَا عَلَّمْتَنَا، وَزِدْنَا عِلْمًا.

"Ya Allah, ajarkan kepada kami apa yang bermanfaat bagi kami,
berilah manfaat dengan apa yang telah Engkau ajarkan kepada kami, dan tambahkanlah ilmu kepada kami."

والله اعلم

Ustazah Nabilah Hasan 
29 December 2014

Posted by Sulam Kaseh on 22:24. Filed under , , . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. You can leave a response or trackback to this entry

0 comments for "Kesinambungan Iktibar banjir dan belajar bersanad"

Leave a reply