BENARKAH ROH IBUBAPA MENUNGGU ANAK DI KUBUR?

Assalamualaikum.
Soalan : 
Dalam satu pengajian kitab Riyadussolihin, dinyatakan tentang adab menziarahi kubur ibubapa.
a. Benarkah roh ibubapa menunggu di kubur pada petang Khamis, hari Jumaat dan pagi Sabtu?
b. Benarkah anak derhaka akan dicatat sebagai anak yang taat apabila menziarahi kubur ibubapa pada hari tersebut?

c. Apakah pahala membaca Surah Yasin di kubur mereka?

Jawapan :

1.  Kitab yang baik perlu dihurai dengan penuh disiplin ilmu.

Kitab Riyad al-Salihin sangat baik dibuat pengajian. Namun yang lebih penting ialah pengajar ataupun guru mesti ada kelayakan dan amanah terhadap ilmu, kerana hadith tidak boleh dihurai sesuka hati. 
Tidak boleh pula hadith yang sahih dihurai dengan menggunakan hadith yang palsu.
Ada disiplin ilmu yang mesti dipatuhi.
2. Riwayat Tidak Thabit
Semua dakwaan di atas sebenarnya berpunca daripada beberapa riwayat yang TIDAK THABIT, iaitu riwayat daif jiddan dan juga riwayat palsu.
Antaranya :
من زار قبر والديه أو أحدهما كل جمعة غفر له وكتب بارًا
Dakwaan bahawa hadith-hadith seumpama ini terdapat dalam Sahih Bukhari adalah suatu bentuk pembohongan atas nama Sahih Bukhari. Tiada hadith begini dalam Sahih Bukhari.
Hadith daif jiddan tidak boleh dijadikan hujah, dan tidak dijadikan hujah oleh para ulama'. Apatah lagi riwayat palsu.
Begitu juga amalan membaca Yasin di kubur ibubapa pada hari Jumaat, ia berpunca daripada hadith palsu.

3. Roh Tidak Kembali Ke Alam Dunia
Tidak ada sebarang nas yang thabit menunjukkan roh ibubapa kembali ke jasad pada waktu tertentu seperti Khamis selepas Asar dan sebagainya.
Roh berada dalam alam barzakh, bukan alam dunia. Semasa disoal di dalam kubur, roh (ataupun yang lebih tepat ialah nafs) bukan kembali ke alam dunia, tetapi berada di alam barzakh. Apabila kita memberi salam kepada penghuni kubur sebagaimana yang diajarkan oleh Rasulullah saw, roh/nafs juga mendengarnya di alam barzakh, bukan kerana mereka pulang ke alam dunia.
Kepercayaan roh dapat kembali semula ke alam dunia telah menimbulkan pelbagai salah faham agama yang lain, seperti memohon hajat di kubur, memuja roh dan lain-lain. 
Antara karya dan kajian ilmiah yang penting dirujuk dalam hal ini ialah karya Dr Ahmad Karrar Ahmad al-Syanqiti, iaitu Mahiyah al-Nafs. Kajian ini sangat bermanfaat untuk diteliti bagi memahami  perbezaan di antara al-ruh dengan al-nafs. 
Berdasarkan dalil al-Quran dan al-Hadith, beliau menjelaskan dengan baik bahawa yang kembali kepada badan semasa disoal dalam kubur ialah al-nafs, bukan al-ruh.

4.  Tiada Waktu Khusus Untuk Ziarah Kubur
Tidak ada sebarang nas yang thabit menyuruh kita menziarahi kubur pada waktu ataupun hari tertentu. Oleh itu, tiada waktu khusus untuk menziarahi kubur. 
Disunatkan kita menziarahi kubur pada bila-bila masa yang sesuai, termasuk kubur ibubapa, kerana menziarahi kubur boleh mengingatkan kita kepada kematian.
Amalan menziarahi kubur ibubapa kerana menyangka roh mereka menunggu di kubur pada waktu-waktu yang tertentu tidak menepati ajaran Rasulullah saw, kerana Rasulullah saw menyuruh kita menziarahi kubur kerana amalan tersebut boleh mengingatkan kita kepada kematian.
5. Ziarah Kubur Untuk Mengingati Mati
Manfaat utama disunatkan menziarahi kubur ialah untuk mengingatkan kita kepada kematian. 
عَنْ أَبِى هُرَيْرَةَ قَالَ زَارَ النَّبِىُّ -صلى الله عليه وسلم- قَبْرَ أُمِّهِ فَبَكَى وَأَبْكَى مَنْ حَوْلَهُ فَقَالَ :
 اسْتَأْذَنْتُ رَبِّى فِى أَنْ أَسْتَغْفِرَ لَهَا فَلَمْ يُؤْذَنْ لِى وَاسْتَأْذَنْتُهُ فِى أَنْ أَزُورَ قَبْرَهَا فَأُذِنَ لِى فَزُورُوا الْقُبُورَ فَإِنَّهَا تُذَكِّرُ الْمَوْتَ

Maksudnya : 

Abu Hurairah berkata : Nabi Muhammad saw menziarahi kubur ibunya, baginda menangis, lalu orang-orang disekitar baginda pun turut menangis. Kemudian baginda bersabda, "Aku memohon izin daripada Tuhanku untuk meminta keampunan bagi ibuku, tetapi aku tidak diizinkan. Aku pun memohon izin daripadaNya untuk menziarahi kubur ibuku, dan aku diizinkan. Ziarahilah kubur kerana ziarah kubur itu memberi peringatan tentang kematian.

(Sahih Muslim, Kitab al-Janaiz, Bab Allah Azza wa Jalla Mengizinkan Nabi Muhammad saw Menziarahi Kubur Ibunya)

Sabda Nabi Muhammad saw :

كنت نهيتكم عن زيارة القبور، ألا فزوروها فإنها تذكركم بالأخرة.

Maksudnya : Pernah aku melarang kalian menziarahi kubur, namun sekarang ziarahlah, kerana kubur itu boleh mengingatkan kalian kepada hari akhirat. 

(Mustadrak al-Hakim. Dinilai sahih oleh al-Albani.)
Adapun berdoa untuk si mati, ia boleh dilakukan di mana-mana sahaja, tidak semestinya di kubur.
Walau bagaimanapun, apabila kita menziarahi kubur, kita disunatkan supaya mendoakan kebaikan buat ahli kubur, termasuk ibubapa kita. Kita juga 
السلام عليكم اهل الديار، من المؤمنين والمسلمين، وإنا إن شاء الله بكم للاحقون، أسأل الله لنا ولكم العافية. 
6. Al-Quran dibaca di rumah, bukan di kubur. 
Sabda Nabi Muhammad saw :
"لا تجعلوا بيوتكم قبورا، إن الشيطان ينفر من البيت الذي تقرأ فيه سورة البقرة."
Maksudnya :

'Jangan kalian jadikan rumah-rumah kalian seperti kubur. Syaitan lari daripada rumah yang dibaca di dalamnya Surah al-Baqarah.'
(Sahib Muslim, Kitab Solah al-Musafirin wa Qasriha)
Maksudnya, kubur bukan tempat yang disarankan secara khusus untuk membaca al-Quran. Bacalah al-Quran di rumah, jangan jadikan rumah seperti kubur.
Masyarakat kita suatu ketika dahulu pernah membaca al-Quran untuk dihadiahkan kepada orang yang sudah meninggal dunia, bukan untuk dipelajari dan diamalkan. Al-Quran jarang dibaca di rumah, tetapi sering dibaca di kubur. Jangan diulangi kesilapan lama itu.
7. Dosa Derhaka Mesti Bertaubat

Menziarahi kubur ibubapa TIDAK SAMA seperti berbuat baik kepada ibubapa semasa di dunia

Menziarahi kubur ibubapa tidak menyebabkan dosa anak derhaka terampun. Dosa derhaka terhadap ibubapa mesti bertaubat bersungguh-sungguh memohon keampunan dari-Nya.
Apabila ibubapa sudah meninggal dunia, anak yang menyesali dosa derhaka masih berpeluang berbuat baik kepada ibubapa yang telah meninggal dunia dengan menghubungkan silaturrahim dengan orang yang selalu dihubungi oleh ibubapa, bersedekah untuk ibubapa, sentiasa memohon keampunan untuk ibubapa serta mendoakan kebaikan untuk mereka. Hal ini boleh dilakukan oleh semua anak, walaupun mereka berjauhan daripada kubur ibubapa. 
Kepada anak yang masih mempunyai ibubapa, berbuat baiklah kepada mereka sebelum Allah menarik peluang itu daripada kita.
8. Pesanan Untuk Pencari 'Ilmu'
Sesiapa sahaja boleh menulis sesuatu dan menyebarkannya. Begitu juga dengan ceramah dan tazkirah, sesiapa sahaja boleh menarik perhatian dengan pandai mengungkapkan sesuatu dengan baik.
Namun menjadi tanggungjawab kita sebagai individu untuk berusaha memastikan apa yang dikatakan sebagai ilmu agama itu datang daripada sumber yang berautoriti.
Agama mesti difahami dalam bentuk dan wajahnya yang asal, kerana itulah yang membawa rahmat. Kenyataan dan maklumat yang bercampur aduk antara yang benar dan yang salah boleh mengeruhkan kefahaman terhadap agama, yang asalnya jernih.
Pesan Ibn Sirin : 
إن هذا العلم دين، فانظروا عمن تأخذون دينكم
"Sesungguhnya ilmu ini adalah AGAMA, maka perhatikan daripada siapa kamu mengambil agama kamu."
والله أعلم
17 RAMADHAN 1437H
RABU 22.6.16
 

Posted by Karimah Hanapi on 08:40. Filed under , , , , , . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. You can leave a response or trackback to this entry

0 comments for "BENARKAH ROH IBUBAPA MENUNGGU ANAK DI KUBUR? "

Leave a reply

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...