BOLEHKAH MEMBACA AL-QURAN SEMASA HAID

Assalamualaikum.

Soalan : Benarkah wanita berhaid boleh baca al-Quran dan pegang al-Quran terjemahan?

Waalaikumussalam.


* Bagi setengah orang awam di tempat kita yang mempelajari fiqh mazhab syafi'i secara umum sahaja, mereka sangat sensitif dalam soal ini. Apatah lagi jika mereka tidak memahami bahasa Arab, dan tidak mengetahui pendapat-pendapat lain dalam mazhab fiqh, (termasuk pandangan berbeza dalam mazhab syafi'i sendiri), serta tidak pernah mendapat pendedahan tentang dalil ayat al-Quran dan hadith sesuatu amalan yang dilaksanakan.
Samalah seperti kita dahulu, semasa sekolah. Sebab ketika itu kita hanya belajar satu pendapat sahaja. Kita hanya bergantung kepada sukatan pelajaran dalam tingkatan tertentu ketika itu, belum didedahkan kepada mazhab-mazhab fiqh yang lain, dan kita belum mampu membuat kajian ilmiah dan membaca kitab-kitab lain. Apabila diberitahu oleh seseorang bahawa wanita berhaid boleh baca ataupun pegang al-Quran, tentulah kita berasa pelik. 
Oleh yang demikian, persoalan sebegini perlu dibincangkan dalam majlis ilmu sahaja, ataupun dalam perbincangan secara ilmiah, bukan sebagai topik perdebatan awam.
Kita jawab soalan Sila dengan cara terbuka, kerana kita fikir ahli usrah memang terbuka dan sudah terdedah kepada dalil-dalil amalan ibadah yang kita kerjakan, dengan mengikuti perbincangan dan
perbahasan para ulama' fiqh dan hadith salam majlis-majlis ilmu sebelum ini.
* Dalam ilmu agama, sangat penting kita mengetahui yang mana menjadi khilaf (perselisihan pendapat di kalangan ulama' dalam skop yang dimaafkan) dan yang mana yang tidak. Adalah tidak patut dan tidak berbaloi bergaduh jika perkara itu khilaf. Pilihlah pendapat yang paling baik, yang paling jelas dalilnya.
Tetapi jangan pula terpengaruh dengan ajaran yang menyimpang dengan alasan mereka juga ada sandaran dalil. Syiah pun berdalilkan al-Quran dan hadith juga. Begitulah juga mereka yang menyembah kubur di negara2 umat Islam, dan amalan2 lain yang tiada sandaran. Mereka hendak melakukan perkara yang dilarang dalam agama, lalu mereka ada-adakan dalil dari al-Quran dan
hadith tanpa disiplin. Jadi, kita sangat perlukan disiplin yang betul dalam beragama.
Para ulama' bertoleransi, hormati menghormati apabila ada perbezaan dalam fiqh, namun mereka semua bersepakat dalam perkara teras dan asas, serta sangat tegas membanteras syirik dan bid'ah. 
Dalam erti kata lain, kalau kita tidak pandai memandu sendiri, kita memang terpaksa memilih pemandu yang baik, bertaqwa dan amanah, membawa kita ke jalan yang lurus. Salah pemandu, salahlah jalan yang kita lalui.
Itulah tinggi nilainya doa yang kita ulangi dalam surah al-Fatihah : 
اهدنا الصراط المستقيم
* Hukum wanita berhaid membaca dan memegang al-Quran termasuk dalam perkara fiqh yang
menjadi khilaf di kalangan ulama'. Kita boleh pegang pendapat yang paling kita yakini, setelah kita belajar daripada sumber dan guru yang betul. 
* Kita ringkaskan rujukan dari 3 kitab untuk memudahkan, dan kitab ini memang menjadi rujukan yang dimaklumi oleh ahli ilmu. Ustazah-ustazah dalam group ini boleh rujuk jika memiliki.
1. Al-Mufassal fi Ahkam al-Mar'ah wa al-Bait al-Muslim
2. Sahih Fiqh Sunnah
3. Al-Fiqh al-Manhaji 'ala Mazhab al-Imam al-Syafi'i
* Kita ringkaskan pendapat2 para ulama' seperti berikut :
1. Ulama' yang mengatakan wanita berhaid haram membaca al-Quran dan haram memegang al-Quran. Antara ulama' yang berpendapat begini ialah al-Imam al-Syafi'i.
Yang dibenarkan hanya baca ayat-ayat yang diniatkan sebagai zikir sahaja, seperti
 بسم الله الرحمن الرحيم 
dan
 ربنا اتنا في الدنيا حسنة وفي الاخرة حسنة وقنا عذاب النار
2. Ulama' yang mengatakan wanita berhaid boleh membaca al-Quran tetapi haram memegang al-Quran.
Maknanya, boleh baca al-Quran seperti biasa, tidak perlu niat sebagai zikir, cuma tidak boleh pegang al-Quran.
(Terjemahan al-Quran dan kitab agama yang mengandungi banyak ayat al-Quran tidak dikira sebagai mushaf/ al-Quran.)
3. Ulama' yang mengatakan wanita berhaid boleh membaca al-Quran dan boleh memegang al-Quran.
Maknanya, haid tidak menghalang seseorang wanita untuk membaca dan menyentuh al-Quran.
Dengan kata lain, ulama' golongan ketiga TIDAK memasukkan membaca dan menyentuh al-Quran sebagai perkara yang haram dilakukan oleh wanita berhaid.
Antara yang berpendapat begini ialah Imam al-Bukhari dan Ibn Hazm.
*****
* Para ulama' yang disebutkan tadi berselisih pada beberapa dalil, panjang perbahasannya. Dalam perbincangan ini, kita ambil satu sahaja, iaitu ayat al-Quran. Firman Allah swt : 
إنه لقرآن كريم (٧٧) في كتاب مكنون (٧٨)
 لا يمسه إلا المطهرون (٧٩) تنزيل من رب العالمين (٨٠)
Maksudnya :
"Dan sesungguhnya (yang dibacakan kepada kamu itu adalah) Al-Quran yang sangat mulia. Tersimpan dalam kitab yang terpelihara (lauh mahfuz). Tiada yang menyentuhnya selain hamba-hamba yang disucikan. Al-Quran itu diturunkan dari Allah Tuhan semesta alam."
Bagi ulama' golongan ketiga, 
'لا يمسه الا المطهرون' bukan merujuk kepada makhluk yang menyentuh al-Quran di bumi. Pada mereka, berdasarkan konteks ayat sebelum dan selepasnya ;

a. 'nya' dalam 'menyentuhnya' itu bukan al-Quran di dunia, tetapi al-Quran yang terpelihara di kitab/tablet 'luh mahfuz'.
b. Hamba-hamba yang dimaksudkan dalam ayat tersebut adalah makaikat2 yang disucikan daripada 
melakukan sebarang dosa.
Maknanya, ayat itu tidak menunjukkan wanita berhaid tidak boleh memegang al-Quran.
* Dari segi membaca, bagi golongan ketiga, hadith yang menyebut larangan wanita berhaid membaca al-Quran, adalah hadith yang lemah. Pada mereka, tidak ada dalil yang kuat menunjukkan bahawa wanita berhaid tidak dibenarkan membaca al-Quran, sedangkan perkara itu penting. Jika benar2 haram tentu banyak riwayat sahih mengatakannya. 
Kesimpulan :
Kalau hendak detailkan dalil satu persatu, perlu hadiri kelas pengajian, khususnya kelas Fiqh Sunnah, yang diulas oleh mereka yang ahli dalam bidangnya, supaya kita boleh belajar dalil al-Quran dan hadith pada setiap amal ibadat yang kita lakukan. 
Apapun, demikianlah ringkasnya, khilaf dalam perkara fiqh memang banyak. 
Bagi orang awam, dengan kemampuan mereka, tidak mahu pening kepala, lebih baik ikut sahaja apa yang pernah dipelajari secara ringkas seperti zaman sekolah, iaitu satu mazhab sebagai asas.

Bagi mereka yang ingin terus belajar fiqh perbandingan, bila sudah jelas hujah, dipelajari dengan berdisiplin dan berguru, pilihlah pendapat yang paling baik, paling dekat dengan nas al-Quran dan al-hadith, dan hormati orang lain yang ambil pendapat yang berbeza dengan kita. 
Namun sekali lagi kita ulangi, para ulama' fiqh tidak berkompromi, malahan mereka sepakat sangat tegas dalam bab akidah, iaitu soal syirik dan bid'ah.

Itu persoalan yang berbeza.

والله أعلم

Sumber : Ustazah Nabilah Hasan

Posted by SulamKaseh Creative on 22:31. Filed under , , , , . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. You can leave a response or trackback to this entry

0 comments for "BOLEHKAH MEMBACA AL-QURAN SEMASA HAID "

Leave a reply

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...