SETELAH JATUH CINTA, BANGUNKAN CINTAMU...

Satu demi satu kunjungan persolan rumahtangga menjengah ke kotak emel saya. Rata-ratanya adalah dari kaum wanita, baik yang bekerja mahupun yang bergelar surirumahtangga. Dari luahan rasa, gelodak jiwa hinggalah kepada cetusan emosi yang meluap api benci kepada suami , semuanya dicoret sebegitu panjang bernada harapan agar saya mampu melorongkan mereka kepada jalan-jalan penyelesaian.

Namun, menginsafi bahawa saya bukanlah seorang yang benar-benar berkelayakan dalam memberikan nasihat dan pandangan, ditambah pula hambatan masa yang sukar berkompromi untuk saya berlama-lama di hadapan komputer bagi menjawab kemusykilan yang diutarakan, justeru menulis secara umum sebegini diharapkan mampu memberi sedikit jawapan bagi merungkai kekusutan perasaan seorang isteri yang sedang gerhana dari cahaya cinta.

Sebenarnya, sudah agak lama saya mahu menambah penulisan saya pada sesuatu yang memfokus kepada ikhtiar isteri dalam melakar bahagia rumahtangga tetapi masa dan idea belum kunjung tiba. Sehinggalah saat ini, kala suami berpergian memenuhi tanggungjawabnya kepada ummah, kerinduan yang hadir membangkitkan keinsafan, kesedaran dan muhasabah diri seorang isteri. Lalu, jemari ini mulai ligat menyusun kata bertemankan wajah-wajah bersih yang sedang lena dibuai mimpi.

JATUH CINTA
Saya yakin, ramai pasangan membuka kunci kehidupan berumahtangga dengan rasa cinta antara mereka. Jatuh cinta! Ya, bermula dengan jatuh cinta pandang pertama atas sebab yang pelbagai sehingga ikhtiar dilaksana bagi memulakan salam perkenalan antara keduanya. Demikian juga, rata-rata pengirim emel tersebut menyatakan mereka berkahwin atas dasar suka sama suka. Sebahagiannya sudah mengenali antara satu sama sebelum disatukan sebagai suami isteri.

Setelah dua jiwa yang saling menyintai diikat dengan lafaz mulia ‘aku terima nikahnya’ mereka mula membina kehidupan bersama. Berbekal perasaan cinta yang masih membara, serasa tidak begitu menyukarkan untuk mereka melakar musim bunga perkahwinan yang dipenuhi warna warni keindahan. Kalaupun sesekali hujan gerimis datang tanpa diundang, keadaan itu tidak merencatkan kegembiraan mereka menikmati kuntuman mewangi yang sedang mekar dalam hati. Masalah yang timbul, pasti tidak memakan masa lama untuk dileraikan.

Semuanya tampak selari, sehati sejiwa.

Begitulah kebiasaannya, permulaan yang bagai sempurna, tiada cacat dan cela.
Walaupun begitu mukadimahnya, kini, di antara mereka ada yang merasa kasih suami sudah beralih arah setelah segala pengorbanan dilakukan sejak melangkah ke alam perkahwinan. Ada juga yang meluah sikap suami yang kurang memberi belaian tanda cinta dan sayang. Tidak kurang juga yang menyatakan sudah tidak tahu bagaimana lagi usaha yang patut dilakukan bagi meraih cinta suami sedangkan kecantikan dirinya begitu dijaga dan diperhati namun layanan acuh tak acuh daripada suami menjadikan dirinya merasa kurang dikasihi.

Bagaimana ini terjadi?

Justeru, dalam keadaan rumahtangga dihenyak kegelisahan dan ketidakharmonian seperti di atas, beberapa perkara di bawah ini mungkin baik untuk dijadikan muhasabah dan renungan terutama kepada para isteri bagi membangun cinta sejati, buat merealisasi bahagia hakiki. Kemungkinan, sebaik melangkah ke tahun kedua, ketiga dan seterusnya setelah tanggungjawab bertambah dengan kehadiran cahayamata, keperluan kewangan yang semakin meruntun kerja keras dan lebih masa, maka ketika inilah saat-saat indah itu akan sirna sedikit demi sedikit andai tiada inisiatif untuk memBANGUNkan cinta setelah sekian lama terduduk leka saat diri JATUH cinta.

BARAKAH
Satu persoalan yang selalu terlupakan oleh pasangan yang melangkah ke alam perkahwinan ialah tentang keberkatan rumahtangga. Seharusnya, suami sebagai nakhoda bahtera kehidupan, dan isteri selaku pembantu yang menggerakkan pelayaran, bertanya kepada diri :
“Ke manakah rumahtangga ini akan kami bawa?”
“Komitmen bagaimana yang mampu dilaksana bagi menjayakan matlamat bahagia bersama?”
“Adakah hanya di dunia? Tidak! Kebahagiaan itu pasti mahu diteruskan hingga ke syurga milik-NYA.”

Firman ALLAH SWT :
وَلَوْ أَنَّ أَهْلَ الْقُرَى آمَنُواْ وَاتَّقَواْ لَفَتَحْنَا عَلَيْهِم بَرَكَاتٍ مِّنَ السَّمَاءِ وَالأَرْضِ وَلَـكِن كَذَّبُواْ فَأَخَذْنَاهُم بِمَا كَانُواْ يَكْسِبُونَ
Maksudnya : “Jikalau sekiranya penduduk desa / negeri itu beriman dan bertaqwa, pastilah Kami anugerahkan kepada (kehidupan) mereka barakah dari langit dan bumi, tetapi mereka mendustakan (ayat-ayat Kami) itu, maka Kami siksa mereka disebabkan perbuatannya.” ( Surah AI-A'raf ayat 96 )
Jelas, dari ayat ini, ALLAH SWT menyatakan bahawa keimana dan ketaqwaan adalah sumber barakah. Ia dijana apabila nilai-nilai yang diambil dari al-Quran seterusnya dipraktiskan dalam kehidupan seharian. Dalam hal ini, bukan kemewahan dan kesenangan hidup menjadi piawaian barakah. Bukan juga rumahtangga sifar masalah menjadi tanda aras keberkatan, tetapi keterikatan hati penghuninya kepada ayat-ayat ALLAH SWT.

Justeru, sebagai isteri yang lebih banyak mencorak suasana rumahtangga mari kita renungkan sekadar mana usaha yang telah dan masih dijana demi meraih barakah dalam perkahwinan. Sudah berapa banyak kebaikan dan ketaatan yang kita gerakkan kerana itu adalah langkah-langkah bagi meraih keberkatan. Solat dan ibadah-ibadah lain yang terjaga dan dilaksana sebaiknya, perhiasan rumahtangga yang tidak melangkaui keharusan yang digariskan syari’at yang mulia, program televisyen dan filem yang menjadi tontonan sekeluarga, dan seumpamanya.

Semestinya, rumahtangga yang paling beruntung menurut kacamata agama adalah rumahtangga yang paling banyak produktiviti ketaatannya kepada Yang Maha Esa. Sesungguhnya, hati yang akrab kepada Penciptanya, pasti mudah dilorongkan kepada jalan keluar atas setiap masalah yang tiba. Bahkan, mungkin ia menjelma dari peristiwa dan jalan yang tidak pernah dijangka!

DOA DAN MUNAJAT
Saya pernah membaca satu kisah tentang doa yang cukup menyentak tangkai nurani. Ia mengingatkan saya bahawa dalam kebanyakan masa yang telah dan sedang berlalu, saya dan ramai individu di luar sana sebagai manusia yang punya banyak kelemahan kita sering tidak menyedari bahawa ada peristiwa yang berlaku dalam kehidupan ini merupakan pengabulan dan jawapan ALLAH atas permintaan kita dalam munajat dan doa kepada-NYA, cuma ia terjadi dalam keadaan yang tidak kita sangka-sangka.

Kisahnya begini…..
“Ada seorang ‘abid ( ahli ibadah ) yang selalu meminta dalam doanya agar dikurniai dua potong roti setiap hari tanpa perlu bekerja, sehingga dia dapat menumpukan sepenuh masanya untuk beribadah dan menambah 'amal. Dalam bayangannya, jika tidak bersusah payah bekerja mengejar dunia, ibadahnya akan lebih terjaga.
Lalu, ALLAH SWT mengabulkan doanya dengan cara yang tidak terduga; ia ditimpa fitnah yang dahsyat yang menyebabkan dirinya terhumban ke penjara. Sepanjang berada di penjara, ALLAH mentakdirkan setiap hari dia memperoleh dua potong roti; pagi dan petang, tanpa bekerja. Dengan ini masanya banyak terluang dan sangat lapang untuk beribadah.
Namun, apa yang dilakukan oleh si 'abid tadi? Dia sibuk meratapi nasibnya yang terasa nestapa di penjara.
"Mengapa ini terjadi?" soalnya sendiri.
Tanpa dia menyedari inilah jalan ijabah ( jawapan dan pengabulan ) dari ALLAH SWT atas doanya yang terisi, berikan aku dua potong roti sehari!”
Lalu, mari kita ingat-ingati semula. Adakah selama ini kita pernah memohon : “Ya ALLAH, kurniakan kami rezeki yang melimpah ruah, perhiasan yang mewah, rumah yang besar..”lalu dengannya ALLAH SWT mengabulkan doa itu dengan cara suami memperolehi keuntungan besar dalam perniagaannya atau kenaikan pangkat yang tinggi pada pekerjaannya sehingga dia kini menjadi semakin sibuk dengan aktiviti di luar melebihi perhatian yang sewajarnya diberikan kepada anak dan isteri di rumah. Kita meminta mewah, lalu ALLAH memberikannya tetapi ia diiringi ujian yang mampu merobek kebahagiaan sebuah rumahtangga!
Justeru, selaku wanita yang dianugerahi kelembutan jiwa, mari kita meneliti dan memuhasabah diri terhadap adab kita dalam meminta kepada-NYA, adakah ia bernada perintah, atau berirama harapan nan indah atau ianya adalah manifestasi kerendahan hati seorang hamba yang menginsafi dirinya yang lemah, fakir, menghiba, mengakui salah dan banyaknya noda diiringi perakuan dan pengagungan keesaan-NYA yang tiada tara. Sebagaimana doa Nabi ALLAH Yunus a.s :

وَذَا النُّونِ إِذ ذَّهَبَ مُغَاضِبًا فَظَنَّ أَن لَّن نَّقْدِرَ عَلَيْهِ فَنَادَى فِي الظُّلُمَاتِ أَن لَّا إِلَهَ إِلَّا أَنتَ سُبْحَانَكَ إِنِّي كُنتُ مِنَ الظَّالِمِين

Maksudnya : "Dan (ingatlah kisah) Zun Nun (Yunus), ketika ia pergi dalam keadaan marah, lalu ia menyangka bahwa KAMI tidak akan mempersempitnya (menyulitkannya), maka ia menyeru dalam keadaan yang sangat gelap: ""Bahwa tidak ada TUHAN (yang berhak disembah) selain ENGKAU. Maha Suci ENGKAU sesungguhnya aku adalah termasuk orang-orang yang zalim." ( Surah Al Anbiya' ayat 87 )
Indah, mesra dan penuh kerendahan jiwa seorang hamba.
Oleh itu, bagi merawat luka yang sedang pedih menimpa perhubungan rumahtangga, juga sebagai usaha memohon keberkatan yang mungkin terlupa, ALLAH SWT mendidik agar kita memanjatkan doa ini :
وَقُل رَّبِّ أَنزِلْنِي مُنزَلاً مُّبَارَكاً وَأَنتَ خَيْرُ الْمُنزِلِينَ
Maksudnya : “Dan berdoalah: “Ya Tuhanku, tempatkanlah aku pada rumah yang dianugerahi barakah, dan Engkau adalah sebaik-baik yang memberi tempat.” ( Surah Al Mukminun ayat 29 )
Juga doa yang bernada memujuk dan membelai sebagaimana firman ar Rahman :
Maksudnya : "Ya Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami isteri-isteri kami dan keturunan kami sebagai penyenang hati (kami), dan jadikanlah kami imam bagi orang-orang yang bertakwa." ( Surah al Furqan ayat 74 )

MOTIVASI SI BIDADARI
Perkara seterusnya yang baik untuk dimuhasabah bagi mengembur kembali kebahagian suami isteri ialah mengenai kecantikan.

Saya selalu membaca dan mendengar kata-kata daripada beberapa individu muslimah hari ini tentang siapakah ikon, role model dan contoh ikutan mereka dalam usaha menjadi seorang muslimah yang cantik, baik dan berketrampilan menarik. Saya akur terhadap suasana yang mendominasi sudut pandang kebanyakan muslimah hari ini, namun demi melihat satu demi satu imej dan ikon muslimah dijelmakan menerusi tarikan fizikal yang menawan sukma, bagai ada benih kerinduan yang memutik dalam hati.

Kerinduan yang tumbuh seiring rasa bimbang dan gusar bila menyaksikan para muslimah bagai dididik untuk lebih menghargai diri hanya dari sudut fizikal semata. Demikian suasana yang banyak ditemukan lewat iklan dan peragaan busana muslimah baik di kaca televisyen mahupun suratkhabar dan majalah.

Soal hati dan ketundukan jiwa yang menyerlah pesona malu para sahabiyat era nabi dan Rasul terdahulu bagai telah ditenggelamkan oleh keghairahan ramai muslimah hari ini menonjolkan kecantikan diri. Keadaan ini sedikit sebanyak mencipta cemburu para isteri yang turut terheret sama dalam menyimpulkan solusi :
“Aku juga mesti tampil cantik persis model hari ini agar dengan perawakan fizikal yang mempesona itu, cinta suami pasti dapat aku menangi dengan mudah! “

Sangka mereka, yang cantik hidupnya selalu bertuah. Lalu mereka sibuk menghias rupa sehingga kecantikan itu terlupa untuk dilindungi sewaktu keluarnya mereka dari ruang rumahtangga suami.
Sedangkan hakikat sebenar bukan selalunya begitu.

Inilah kerinduan yang semakin kuat laungannya dari dalam jiwa. Kerinduan untuk melihat muslimat hari ini menyebarkan pesonanya dari tarikan intelektual, kecerdasan emosi dan rohani, kerinduan untuk melihat kesedaran dalam diri wanita bahawa pencinta sejati dari kalangan lelaki bertakwa hanya mendambakan pesona sebegini dari bidadarinya di dunia ini. Pesona yang dimotivasikan oleh ayat-ayat cinta-NYA tentang bidadari syurga idaman setiap jejaka. Peribadi suci sang bidadari yang ditata khusus hanya untuk tatapan suami yang dinanti. Firman ALLAH SWT :
Maksudnya : “Di dalam surga itu ada bidadari-bidadari yang sopan menundukkan pandangannya, tidak pernah disentuh oleh manusia sebelum mereka (penghuni-penghuni surga yang menjadi suami mereka) dan tidak pula oleh jin.” ( Surah ar Rahman aayat 56 )
Justeru, kembalilah para isteri memuhasabah diri. Pada saya kecantikan fizikal dalam mewarnai bahagia rumahtangga adalah satu keperluan, tetapi keindahan jiwa yang memancar darinya peribadi mulia adalah satu kemestian. Sewajarnya, perkara kedua mendapat perhatian yang berganda berbanding perkara pertama kerana cinta dari tarikan fizikal akan sirna seiring masa, tetapi cinta dari tarikan akhlak dan peribadi pasti kekal dalam lipatan kenangan.

SETELAH JATUH CINTA, BANGUNKAN CINTAMU...
Buat akhirnya, saya mengakui kebenaran bicara seorang penulis dari seberang yang pernah saya baca. Lewat tulisannya beliau menukilkan :

“Ada dua pilihan ketika bertemu cinta. ‘Jatuh ‘ cinta dan ‘bangun’ cinta. Untuk dirimu, aku memilih cinta yang kedua, supaya cinta kita menjadi istana, tinggi menggapai syurga!”
Untuk itu, marilah para isteri…kita jadikan bidadari syurga sebagai ikon dan role model yang membangkitkan motivasi untuk memperbaiki diri, manfaatkan kerendahkan diri sebagai hamba sewaktu bermunajat kepada ILAHI dan usahakan keberkatan dalam setiap aktiviti rumahtangga agar kemelut rasa yang melanda, akan menemui jalan keluarnya, dan kebahagiaan hakiki menjadi milik kita.

Setelah jatuh cinta, kita bangunkan cinta berpaksi reda-NYA.
Dan buat suami yang dikasihi…bersamamu isterimu ini pernah jatuh cinta, dan dengan izin serta rahmat-NYA, kita akan terus bangunkan cinta ini sehingga lestari ke syurga yang abadi, InsyaALLAH….ameen.
Mencari dan terus mencari cinta ILAHI.
Jumpa lagi, InsyaALLAH.
Sumber

Posted by Sulam Kaseh on 02:56. Filed under , . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. You can leave a response or trackback to this entry

0 comments for "SETELAH JATUH CINTA, BANGUNKAN CINTAMU..."

Leave a reply

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...