Tazkirah Isnin : LIMA PERINGATAN TENTANG AL-QURAN

LIMA PERINGATAN TENTANG AL-QURAN

🌷1. Secara umumnya, tiada zikir yang lebih baik daripada al-Quran, KALAMULLAH. Tidak perlu banyak, biar sedikit-sedikit, asalkan ada tadabbur.
Kata Imam Nawawi : 'Ketahuilah, membaca al-Quran adalah zikir yang terbaik, dan dituntut dibaca dengan tadabbur.'

🌷2. Pentingnya memahami dan menghayati dalam membaca al-Quran, ialah kerana al-Quran diturunkan agar menjadi petunjuk dalam kehidupan insan. Bagaimana hendak mengambil panduan, jika kita tidak berdikit untuk cuba memahami?

🌷3. Katakanlah, kita membaca '3 Qul - Surah al-Ikhlas, al-Falaq dan al-Naas' sebagai ayat pendinding, agar dijauhkan daripada gangguan makhluk halus. Ayat-ayat dalam surah-surah tersebut adalah doa, meminta perlindungan Allah. Memang al-Quran tetap ada manfaat, meskipun kita tidak memahaminya. Namun, bagaimana kita berdoa, jika kita sendiri tidak begitu memahami apa yang kita minta dalam permintaan kita? Tidaklah sampai menjadi salah, namun jika difahami dan dihayati, bukankah lebih khusyu' doa kita kepadaNya?

🌷4. Usaha-usaha kita untuk lebih memahami al-Quran, dengan disiplin yang betul, adalah jalan-jalan yang kita lalui untuk menuntut ilmu. Jalan yang memudahkan ke syurga. (Mengapa kita sebut 'disiplin yg betul'? Kerana ada juga golongan yg mentafsirkan al-Quran dan hadith secara salah. Syiah contohnya, mereka ada kitab tafsir sendiri, yg tidak boleh kita gunapakai.)

🌷5. Betapa ramai orang bukan Islam mendapat petunjuk selepas membaca al-Quran, kerana mereka ikhlas hendak mencari kebenaran. Mereka menemui hidayah setelah membaca makna/ terjemahan al-Quran, walaupun mereka tidak kenal satu pun huruf al-Quran. Bertuahnya kita umat Islam, jika kita bukan hanya fokus kepada cara baca dan tajwid sahaja, tetapi mengambil berat akan usaha memahami ayat-ayat al-Quran.

.: Ustazah  Nabilah  Hasan  :.

Posted by Sulam Kaseh on 12:04. Filed under , , . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. You can leave a response or trackback to this entry

0 comments for "Tazkirah Isnin : LIMA PERINGATAN TENTANG AL-QURAN"

Leave a reply