Sampaikan dari ku walaupun sepotong ayat



بَلِّغُوا عَنِّى وَلَوْ آيَةً
Maksudnya: "Rasulullah s.a.w. bersabda: “Sampaikan dari ku walaupun sepotong ayat."
Hadis di atas merupakan ingatan daripada Baginda s.a.w. kepada umatnya supaya menyampaikan apa sahaja daripada Baginda s.a.w. yang diketahui kepada masyarakat. Mereka yang diberi kelebihan oleh Penciptanya dengan sedikit ilmu pengetahuan yang bermanfaat, diminta berkongsi kemanisan itu dengan saudaranya yang lain. Walaupun hanya sepatah perkataan, namun sekiranya dilihat mampu memberi kebahagian kepada seseorang, sebarkanlah. Betapa indahnya persaudaraan dalam Islam, perasaan individualistik dan egois dikikis daripada hati umatnya bagi menjamin kebaikan dan kesejahteraan seluruh umat manusia.

Faedah daripada Nas

Hadis yang dibincangkan di atas telah dituturkan oleh Baginda s.a.w. dalam redaksi yang agak panjang dan saling memerlukan antara satu sama lain. Rasulullah s.a.w. bersabda:

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرٍو أَنَّ النَّبِىَّ صلى الله عليه وسلم قَالَ « بَلِّغُوا عَنِّى وَلَوْ آيَةً ، وَحَدِّثُوا عَنْ بَنِى إِسْرَائِيلَ وَلاَ حَرَجَ ، وَمَنْ كَذَبَ عَلَىَّ مُتَعَمِّدًا فَلْيَتَبَوَّأْ مَقْعَدَهُ مِنَ النَّار »

Terjemahan: Daripada ‘Abd Allah bin ‘Amr, sesungguhnya Nabi s.a.w. telah bersabda: “Sampaikan dari ku walaupun sepotong ayat, dan tidak mengapa mengambil (sesuatu) daripada Bani Israel, (akan tetapi) sesiapa yang berdusta di atas nama ku secara sengaja, maka tersedialah tempat duduknya daripada neraka.” (Riwayat al-Bukhari, Tirmidhi, Ahmad dan Ibn Hibban)

Antara faedah-faedah yang boleh dipetik daripada hadis ini:

1) Rasulullah s.a.w. mengingatkan kepada seluruh umatnya supaya sentiasa
menyampaikan ilmu yang dimiliki kepada saudaranya yang lain, walaupun hanya
sepotong ayat.

2) Berusahalah menyampaikan apa jua kebaikan kepada masyarakat, kerana ganjarannya
begitu besar seperti yang disebut oleh Baginda s.a.w. dalam sepotong hadis riwayat
Bukhari : “Demi Allah, sekiranya seorang lelaki
memperoleh hidayah (daripada Allah)kerana (usaha) kamu, itu lebih baik untuk mu
daripada nilai unta merah (sesuatu yang sangat berharga).”

3) Kalimah ‘Anni (dari ku) menunjukkan bahawa ilmu yang benar adalah sesuatu yang
datangnya daripada Rasulullah s.a.w. Daripada Rasulullah s.a.w. samalah juga
daripada Allah s.w.t. kerana tutur kata Baginda s.a.w. adalah wahyu daripadaNya.

4) Ancaman keras daripada Rasulullah s.a.w. kepada mereka yang menyampaikan sesuatu
tetapi mendustai nya, atau dalam erti kata lain, menyandarkan sesuatu itu daripada
Rasulullah s.a.w. sedangkan Baginda s.a.w. langsung tidak pernah bersabda mengenai
perkara itu. Takutlah dengan ancaman keras ini !!!

5) Sepatah perkataan yang keluar berlandaskan ilmu adalah lebih baik daripada percakapan yang
panjang tetapi kosong daripada hidayah. Berhati-hatilah ketika berbicara, kerana
satu patah perkataan yang keluar akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah Jalla
wa ‘Ala

Sumber

Posted by Sulam Kaseh on 07:08. Filed under , . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. You can leave a response or trackback to this entry

0 comments for "Sampaikan dari ku walaupun sepotong ayat"

Leave a reply