Menutup Aurat Bukan Sekadar Bertudung

Fenomena baharu sejak kebelakangan ini apabila ramai dari kalangan artis, selebriti mula memakai tudung selepas ‘puas’ berada dalam bentuk free hair. Gambar free hair mereka sebenarnya sudah terlalu banyak terpapar di internet.

Alhamdulillah, iman yang masih ada dalam diri masih menjerit-jerit secara halus meminta supaya mereka kembali kepada fitrah. Di antara fitrah itu ialah menutup aurat mereka terutama dari kalangan wanita. Ia bukan kongkongan tetapi bermaksud membimbing masyarakat nmenjadi baik.

Bagi mereka yang belum insaf, maka ambillah peluang lebih awal sebelum gambar-gambar free hair dan ‘berpakaian tapi bertelanjang’ mereka  terpampang dengan banyaknya dalam internet.

Bagi mereka yang mula sedar dan insaf, kita ucapkan tahniah dan terus Istiqamah dengan bertudung. Cuma satu perkara yang mesti difahami oleh semua ialah apabila seorang wanita Islam mula bertudung, maka ia sebenarnya baharu kembali kepada fitrah dan bukanlah bermakna ia sudah menjadi ‘malaikat’.

Menutup aurat sebenarnya mesti melihat pelbagai aspek-cara bertudung, jenis pakaian, cara berinteraksi, perangai lama yang masih ada, termasuk konsep tabarruj yang masih jauh dilaksanakan oleh ramai wanita Islam. Sekali lagi ingin saya tegaskan, semua hukum ini tidak bermaksud mengongkong wanita Islam tetapi ia adalah sebagai tanda iman, tanda tunduk kepada perintah Allah, tanda menundukkan nafsu di bawah kehendak Allah dan tanda wanita itu menjaga maruah dan harga dirinya.


Justeru, Kempen Setahun Menjaga Aurat Sepanjang Hayat yang dilancarkan oleh Teras Pengupayaan Melayu (Teras), Persatuan Persaudaraan Muslimah Negeri Kedah (Salimah) dan Badan Gabungan NGO Islam Kedah (Wehdah) yang bermula sehari dua ini sangat-sangat dialukan. Kempen bertemakan “Menjaga Aurat, Hidup Berkat, Masyarakat Selamat” mesti disokong sepenuhnya oleh pelbagai agensi kerajaan dan swasta serta masyarakat seluruhnya.

Harakahdaily melaporkan Kempen Jaga Aurat Sepanjang Hayat  akan menyebarkan maklumat dan kesedaran ke seluruh masyarakat Islam agar menghayati hikmah dan manfaat menjaga aurat dalam membina watak masyarakat Islam yang bermaruah, berakhlak dan berprinsip.

Sebagaimana laporan, Presiden Teras, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, walaupun memakai tudung di kalangan wanita Islam kelihatan sangat meluas dewasa ini, namun pakaian tudung dengan segala bentuk dan corak yang difahami oleh masyarakat telah menghilangkan makna menutup aurat seperti yang ditekankan dalam Islam. Beliau berkata, fesyen berpakaian ketat tetapi bertudung, menggunakan tudung hanya waktu tertentu sahaja, wujudnya kaum lelaki yang tidak menjaga aurat dalam beriadah dan berseni adalah antara gejala yang kini berleluasa dalam masyarakat. Tudung yang kini dilihat suatu fesyen terbaru ditanggapi hanya sebagai trend semasa yang akhirnya memesongkan kefahaman masyarakat terhadap pengertian sebenar menutup aurat seperti yang dituntut oleh Islam.

Menurutnya, kini gaya berpakaian bertudung sedang menjalani era komersialisasi yang amat pesat sehingga ramai artis dan wanita muda memakai tudung bukan kerana kefahaman dan penghayatan yang mendalam, tetapi kerana ia dilihat sebagai trend.

“Kempen ini akan melibatkan seluruh lapisan masyarakat serta pelbagai agensi dan pertubuhan Islam supaya konsep menjaga aurat dihayati dan mencapai kesan yang sepatutnya. Ia juga akan melibatkan agensi media, kesatuan sekerja , badan belia, pertubuhan wanita, badan professional, badan korporat dan persatuan mahasiswa IPT,” katanya lagi.

Kempen itu, ujarnya akan melibatkan pelbagai aktiviti seperti menyebar risalah dan poster, forum, ceramah penerangan, dialog, khutbah, penerangan di institusi pendidikan dan demonstrasi tatacara berpakaian dalam Islam.

Menurutnya lagi, kempen itu akan menarik institusi masjid dan surau untuk menyertainya yang akan melibatkan seluruh institusi masjid sebanyak lebih 500 buah di negeri Kedah.

“Memorandum khas mengenai kempen ini juga akan diserahkan kepada kerajaan negeri Kedah, jabatan dan agensi swasta untuk mendapatkan perakuan persetujuan dan sokongan mereka terhadap etika menjaga aurat sebagai kod berpakaian pekerja.

Para wanita Islam sepatutnya mengingati hadis Nabi SAW  “Dua golongan dari kalangan ahli neraka, aku tidak akan memandang mereka di hari akhirat, iaitu lelaki yang bersama mereka cemeti sambil memukul-mukul manusia dan wanita yang berpakaian tetapi bertelanjang, berjalan sambil menggoyangkan kepala dan badan, di atas kepala mereka seumpama bonggol unta”.

Sumber : Nik Nasri

Posted by Sulam Kaseh on 20:18. Filed under . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. You can leave a response or trackback to this entry

0 comments for "Menutup Aurat Bukan Sekadar Bertudung"

Leave a reply